Wednesday, August 31, 2005

Perkembangan Hadith Di Zaman Selepas Sahabat


Sunnah merupakan pertunjuk kedua selepas Al-Qur’an dan ianya wajib diikuti, penulisan ini ialah sebagai sedikit ulasan dan menjawab persoalan beberapa pihak yang bertanyakan mengenai perkembangan hadith dan era penulisan sunnah.

Sebenarnya penulisan ini bukan untuk menjawab persoalan mereka secara serius kerana saya tidak berhasrat membuat penjelasan ilmiah kepada mereka sebaliknya sebagai teguran mengenai kaedah ilmiah ulama hadith dan menegur pihak tertentu.

Sebenarnya sunnah di zaman rasulullah berperanan sebagai pertunjuk yang diam dan senyap. Ini kerana wujud perintah baginda salallahualaiwasalam secara tegas melarang penulisan hadith dan sunnah seperti sabdanya : “Janganlah kamu menulis sesuatu yang kamu terima daripada aku selain Al-Qur’an. Barangsiapa yang menulis apa yang diterimanya dari aku selain Al-Qur’an hendaklah memadamkannya tetapi tidak mengapa kamu cukup menyampaikan apa yang kamu dengar dari aku (tanpa menulisnya) dan barangsiapa yang sengaja berdusta ke atas aku maka hendaklah bersedia dengan tempat duduknya di neraka.” (hadith sahih riwayat Muslim).

Di jelaskan dalam perintah baginda di atas ialah jangan menulis hadith serta apa yang didengar dari baginda selain dari Al-Qur’an. Ini kerana dibimbangi akan menyebabkan perampuran di antara Al-Qur’an dan hadith serta apa yang selainnya kerana pada zaman tersebut Al-Qur’an di tulis di atas kulit binatang dan daun-daun pokok serta di atas pelbagai lagi dan tidaklah ramai para sahabat yang tahu membaca dan menulis.

Dibimbangi percampuran Al-Qur’an akan menyebabkan keaslian kitab Allah tercemar dan bercampur dengan kalam manusia maka kerana itulah baginda melarang penulisan hadith demi maslahat kepentingan Al-Qur’an.

Bahkan diketahui bahawa pengumpulan Al-Qur’an itu sendiri sahaja baru bermula pada zaman Abu Bakar As-Sidq atas saranan Umar Ibn Khattab ra dan disempurnakan tugas ini oleh sahabat bernama Zaid Ibn Sabit ra selepas berlakunya peristiwa perang Yamamah seterusnya dilakukan pengumpulan semula dan penyelarasan Al-Qur’an di atas mushaf yang satu yang dikenali mushaf usmani pada zaman Khalifah Usman Ibn Affan ra (lihat fathul Bari dan Al-Itqan Fi Ulum Qur’an).

Lalu dimanakah kedudukan sunnah ?

Peranan sunnah seolah dilihat tidak kelihatan dan dilihat bahawa bermulanya pengumpulan As-Sunnah itu sendiri pada zaman tabie’en iaitu ketika era Khalifah Umar Ibn Aziz ra dari Bani Umaiyah yang menjadi khalifah selama 2 tahun lebih dari tanggal 99 Hijrah sehingga 101 Hijrah.

Arahan pengumpulan hadith dan membukukannya dimulakan oleh beliau kepada Gabenor Madinah pada waktu itu yang bernama Abu Bakr bin Muhamad ibn Amr ibn Hazm (wafat 117 Hijrah) dan turut sama memerintahkannya supaya menuliskan hadith dari seorang tabien wanita yang bernama Amrah Binti Abd Rahman ra dengan katanya :

“Tuliskan kepada aku hadith baginda rasulullah yang ada padamu dan dari hadith riwayat oleh Amrah binti Abd rahman sebab aku takut akan hilang dan hancurnya ilmu” (riwayat Ad-Darimy).

Maka atas perintah khalifah maka dikumpulkanlah hadith baik yang dipunyai oleh beliau serta dari tabien wanita itu yang banyak meriwayatkan dari ummul Mukminah Aisyah ra serta beliau (ibn hazm) turut juga mengarahkan Ibn Syihab Az-Zuhri seorang ulama besar Hijjaz (wafat 124 Hijrah) untuk membantu pengumpulan hadith rasulullah salallahualaihiwasalam.

Sebenarnya larangan penulisan hadith di zaman rasulullah ialah tidak berlaku secara mutlak bahkan dalam sebahagian keadaan baginda pernah membenarkan para sahabat tertentu menulis hadith dari baginda seperti dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa selepas peristiwa pembukaan kota Makkah maka telah datang seorang lelaki dari Yaman yang bernama Abu Syah yang meminta baginda rasulullah menuliskan hadith untuknya lalu dijawab oleh baginda rasul : “Tulislah kamu sekalian untuknya” (hadith sahih riwayat Bukhari dan Abu Daud no. 3649).

Bahkan pada zaman sahabat juga , sebahagian dari mereka mempunyai naskah tulisan hadith secara peribadi seperti Abu Bakar ra, Umar ra, Usman ra dan Ali ra serta Abdullah ibn Amr bin Al-Ash ra yang pernah ditegur oleh para sahabat yang lain mengenai perbuatan beliau lalu beliau bertanya kepada rasulullah dan dijawab oleh baginda: “Tulislah ! Demi Zat yang jiwaku ditangan-Nya tidaklah keluar dari lisanku selain yang benar” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 3646).

Disebut oleh para ulama’ bahawa keizinan menulis hadith yang diberikan kepada sesetengah sahabat ialah disebabkan mereka mempunyai kemahiran menulis dan kemampuan untuk menjaga tidak sampai tercampur aduknya Al-Qur’an.

Naskah Abdullah ibn Amr Al-Ash ra ini disebut naskah As-Sahifah Sadiqah kerana ianya ditulis langsung dari baginda rasul dan merupakan yang terjamin benarnya dan mengandungi lebih kurang 1000 hadith yang kemudiannya dipelihara dan dijagai oleh keturunannya dan cucunya Amr ibn Syuaib disebut telah meriwayatkan 500 hadith darinya.

Sungguhpun tidak sampai kepada kita naskah As-Shahifah As-Sadiqah ini kepada kita namun hadith-hadith di dalamnya dapat diperolehi melalui kitab-kitab hadith yang lain seperti Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud, Sunan An-Nasaie , sunan At-Tirmidzi dan sunan Ibn Majah (lihat Kitab As-Sunnah Qabla Tadwin oleh Muhammad Ajjai Al-Khatib untuk maklumat lanjut).


Demikianlah juga pada sahabat lain seperti Jabir ibn Abdullah Al-Ansori ra yang juga menulis hadith baginda sehingga naskah tulisannya dinamai Shahifah Jabir dan Qatadah ibn Da’amah As-Sudusy memuji naskah ini dengan katanya aku menghafaz shahifah ini lebih dari hafalan ku pada surah Al-baqarah. Di antara tabie yang mempunyai naskah al-hadith ini ialah Humam ibn Munabbih (40 H-131 H) yang merupakan tabien yang banyak mengambil hadith dari sahabat seperti Abu Hurairah ra yang kemudiannya mengumpulkan hadith tersebut dalam satu tulisan naskah yang disebut As-Shahifah As-Sahihah dan disebut di dalamnya memiliki 138 hadith dan kemudiannya semua hadith di dalamnya diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra keseluruhannya ke dalam musnadnya dan di ambil sebahagiannya oleh Imam Bukhari ra.


Namun permasalahan penulisan hadith ini ke dalam kitab dan naskah khas hanya dibuat secara persendirian dan sehinggalah ke zaman Khalifah Umar ibn Abd Aziz ra barulah urusan pembukuan hadith di jalankan secara serius ini disebabkan setelah berlakunya zaman fitnah dan pembunuhan, lahirnya Khawarij, Syiah dan beberapa puak sesat yang mendorong para ulamak dan muslihin Islam memikirkan jalan untuk menyelamatkan hadith baginda dengan mengumpulkan hadith yang sahih dan memperkenalkan ilmu isnad atau disebut mustalahah.

Kerana arahan pelaksanaan membukukan hadith itu dilaksanakan oleh Ibn Syihab Az-Zuhri maka disebut bahawa beliaulah yang pertama mengumpulkan hadith secara tersusun. Pada zaman khalifah Abbasiyah muncullah pula golongan ulama seperti Ibn Juraij (150 H) yang mengumpulkan hadith di Makkah, Abu Ishaq (151 H) dan Imam Malik (179 H) yang mengumpulkan hadith di Madinah, Ar-Rabi ibn Syabih (160 H) , Hammad ibn Salamah (176 H) yang mengumpulkan hadith di Basrah dan Sufyan As-Sauri (116) di Kufah serta Al-Auzaie (156 H) yang mengumpulkan di Syam dan lain-lainnya yang nyatanya kebanyakkan mereka pernah berguru kepada Ibn Hazm dan Az-Zuhri.


Manakala selain menumpukan pada usaha menghimpunkan hadith para ulama’ juga mula meneliti hadith- hadith yang sampai kepada mereka dan perawi-perawi yang meriwayatkan hadith. Mereka mula meneliti siapakah perawi hadith, keadaan dan sifat peribadinya, kaedah menerima dan menyampaikan hadithnya, tarikh lahir dan kematiannya, perawi yang meriwayatkan darinya dan yang diriwayatkan olehnya dan pelbagai lagi demi menjaga kesahihan dan kebenaran hadith itu dari kepalsuan.

Maka demikianlah yang disebut oleh Sufyan As-Sauri ra bahawa “Para Malaikat menjaga langit dan para ulamak hadith menjaga dunia dari kepalsuan”. Bahkan sebenarnya kaedah ini iaitu meneliti hadith bermula sejak zaman sahabat ra lagi iaitu seperti yang terdapat dalam kisah Abu Bakr ra pada masalah pewarisan iaitu telah datang seorang nenek tua kepada Abu Bakar ra meminta hak bahagian warisnya lalu berkatalah Abu Bakar ra : Sesungguhnya aku tidak mendapati padamu akan sesuatu dari kitab Allah dan tidaklah aku mengetahuinya wujud pula pada sunnah rasulullah lalu pulanglah sehingga bertanya orang lain”.

Maka bertanyalah beliau kepada sahabat yang lain lalu berkatalah Al-Mughirah ibn Syubah ra bahawa “Aku menghadiri majlis baginda rasulullah dan baginda memberikan seperenam kepada yang sepertinya” lalu berkata Abu Bakar ra apakah ada orang lain yang hadir selain kamu ? Maka berdirilah Muhammad ibn Maslamah Al-Ansori dan berkata seperti demikian lalu diterimalah oleh Abu Bakar raa dan memberikan nenek itu seperenam. (lihat Muwatha no 576 dan Abu daud no 2894, Tirmidzi no 2101 dan ibn Majah ).

Demikianlah terpeliharanya sunnah dan dijagai serta diwarisi ilmu ketelitian hadith dan sunnah ini oleh para sahabat kepada tabien dan mereka iaitu tabie seperti Said ibn Musayyib ra (93 H) , Amir ibn Syarhabil (104 H), Muhammad ibn Sirin (110 H), Al-A’masy (148 H) sewaktu berlakunya fitnah dan pembohongan serta dusta yang berganda kepada sunnah maka berganda dan bergigih jugalah mereka dalam meneliti dan mengetatkan syarat penerimaan hadith dan melakukan penelitian kepada perawi hadith serta sanadnya.

Dari kalangan tabi’ tabien yang berguru kepada tabien seperti Ma’amar ibn Rasyad (153 H), Syu’bah ibn Hajjaj (160 H), Sufyan As-Sauri (161H) , Malik Ibn Anas ( 179 H) mereka ini merupakan tabi tabien yang menjadi pewaris dari tabien dan menulis serta meneliti ilmu jarah wal ta’dil serta mengkaji hal ehwal rawi dan halnya serta menghukumkan mereka dalam soal penerimaan hadith.

Kemudian selepas berlalunya mereka maka datanglah generasi Abdullah ibn Mubarak (181 H) , Yahya ibn said Al-Qathan (189 H) , Sufyan Ibn Uyainah (197 H) yang mewarisi ilmu dan menguasai sunnah dari penipuan.

Kemudian muncul kurun ketiga iaitu zaman Abu Daud At-Thiyalisi (204H) , Yazid ibn harun (206 H), Abd Razak ibn Humam ( 211 H), Abu Asim Al-nabil ( 212 H), Yahya ibn Yahya naisaburi (226H) dan Abu Walid At-Tiyalisi (271 H). Selepas zaman mereka ini maka lahirlah zaman penulisan khusus dalam masalah ilmu rawi dan rijal serta munculnya ilmu jarah wal ta’dil secara terperinci yang mengkhususkan bahagian tertentu dalam ilmu rijal.

Seperti Muhammad ibn Said pengarang kitab Tabaqat (230 H), Yahya ibn Ma’in pengarang kitab Tarikh ( 233 H), Ali Ibn Madini pengarang kitab I’lal ( 234 H), Ahmad ibn hambal pengarang kitab Musnad dan I’lal (241 H), Muhammad ibn ismail pengarang kitab as-sahih dan tawarikh ( 256) , Muslim Ibn Hajjaj Al-Qusairi pengarang kitab Tabaqat dan sahih (261 H), Ad-Darisi pengarang kitab As-Su’alat (255H), Abi Zar’ah pengarang kitab Ad-dua’fa ( 264 H), Abi Hatim Muhamamd ibn Idris ar-razi pengarang kitab I’lal (277 H), Abi Daud (375 H) dan lain-lain.

Demikianlah juga pada zaman selepas itu apabila muncul zaman kurun ke empat iaitu pada zaman Abd rahman An-nasaie ( 303 H), Abu Basyar Muhammad ibn Ahmad ibn Hammad ( 310 H), Abu Ja’far Muhammad ibn Amru (322 H), Abd Malik ibn Muhammad ibn Adi ( 323 H), Abu Muhammad Abd Rahman Abi Hatim (327 H), Muhammad ibn Hibban ( 354 H) dan lain-lain di kalangan ulama sezaman mereka.

Secara kesimpulan sesungguhnya ilmu sunnah yang berkembang melalui perkembangan zaman dan diwarisi oleh ulama sebelumnya kepada ulama selepasnya menjaga keaslian sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam dengan berpandukan kepada ilmu isnad dan riwayat yang dikenali sebagai ilmu rijal atau jarh wal ta’dil yang semua ini dikumpulkan dalam ilmu yang disebut mustalahah hadith.

Demikianlah sehingga terputusnya mata rantai ilmu ini pada zaman mutakhir ini apabila para ulama sudah tidak mengenal lagi riwayat yang sahih dan dhaif dan mencampur adukkan di antara hadith yang sahih dan tidak sahih dalam penulisan –penulisan mereka lalu membuat istinbat hukum dan lahirlah fiqih yang pelbagai didasari ta’asub pada mazhab dengan meninggalkan hadith dan sunnah yang sahih dan berpegang kepada hadith dhaif, maudhu’ dan mungkar.

Sesungguhnya sunnah itu terpelihara sehingga ke hari ini dalam kitab-kitab dan tulisan ulama terdahulu salaf soleh yang sampai kepada kita melalui jalan riwayat dan dipelihara di dalam naskah-naskah maktutokh (tulisan tangan) mereka dan disimpan di muzium-muzium dan perpustakaan seluruh dunia.

Sebagai panduan dan nasihat bersama kepada golongan cerdik pandai Islam hari ini yang merangkul Phd, Ma dalam ilmu sunnah dan hadith, mereka perlulah mengenepikan kedudukan dan pangkat taraf title yang mereka miliki sebaliknya perlulah menyibukkan diri dalam debu kitab dan menyemak buku-buku lama tulisan ulama salaf soleh mencari rangkaian sanad dan isnad riwayat yang terputus dan menyusun kembali penulisan para ulamak terdahulu dalam susunan terkini dan mengumpulkan kembali hadith-hadith sahih yang semakin lama semakin menghilang dan memadamkan hadith dhaif dan palsu yang bercambah dalam masyarakat.

Peranan para ulama hadith masa kini dan pelajar hadith :


a) Mempelajari ilmu hadith dan memahiri kaedah para ulama yang berbeza-beza dalam manhaj penerimaan riwayat, penulisan hadith , penghukuman hadith, kaedah penyusunan hadith.


b) Mengetahui dan menyelidik sejarah dan tarikh para ulamak hadith, perkembangan hadith zaman berzaman dan mengkaji waktu terputusnya sanad sesuatu hadith dan kaedah penyampaian kitab dan tulisan ulama terdahulu kepada kita.


c) Melihat dan menyelidik para guru dan murid ulamak hadith, perawi yang meriwayatkan dan diriwayatkan darinya, bilangan hadith, jenis dan kedudukan hadith-hadith tersebut.

d) Mengumpulkan hadith-hadith yang banyak masih belum diketahui dalam kitab-kitab yang masih belum dibuka oleh kebanyakkan orang kerana hadith bukan hanya berada dalam ashab sunnah atau sahihan atau musnad sahaja sebaliknya banyak lagi hadith yang belum dijumpai oleh kebanyakan para pelajar hadith.

e) Menyemak dan melihat sanad, riwayat dan perawi yang meriwayatkan dan berusaha menjelaskan kedudukan perawi serta kedudukan matan hadith dan mencari kesamaan dalam hadith-hadith yang sudah berada dalam kitab yang mashyur dan berusaha menyingkap kesamaran perawi yang dituduh majhul dan berusaha membersihkan hadith waham, hadith dhaif jika mampu dengan jalan riwayat yang lain.

f) Menyusun dan mengumpulkan hadith-hadith yang sahih dalam satu susunan yang memudahkan dan menurut bab dan meneiliti kesalahan cetakan dan kesilapan penulisan dan kecuaian yang berlaku dalam pemindahan hadith.

g) Menyebarkan dan mengalakkan pembacaan dan pengajian hadith oleh para pelajar ilmu agama sebagai asas sebelum menguasai ilmu lain seperti fiqh, usul, tafsir dan lain-lain kerana ilmu hadith merupakan ilmu dasar yang menjadi tapak kepada keilmuan Islam.



Wallahualam

Emran ibn ahmad
Pelajar hadith
San’a Yaman.


Rujukan tulisan :

1) Muqadimah Al-Maudhu’at oleh Ibn Al-jauziyah
2) Ad-Dhua’fa Wal Matrukun oleh Imam Daruquthni ra
3) Tazkirah Al-huffaz oleh Az-Zahabi
4) Manahij Al-Muhadithisin oleh Dr. Said ibn Abdullah
5) Al-Muwatho Imam Malik
6) Sunan Abu Daud tahqiq Syeikh Albani ra

P/s :
Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan risalah terbaru ustaz emran berkenaan tajuk sekitar ilmu hadith maka sila emailkan kepada themuslimmail@yahoo.com dengan menyatakan subject : INGIN RISALAH supaya memudahkan..(inbox byk sgt email) dan memberi pengenalan diri secara ringkas dan tujuan untuk memiliki risalah ini ... ianya percuma dengan syarat hanya untuk mereka yang ada asas ilmu hadith dan mempunyai basic ilmu agama.

tajuknya :


1) Muqadimah Rijal Sahih Muslim (menyenaraikan perawi sahih muslim dan biodata ringkas).
2) Muqadimah Usul intinbat hadith & sunnah (kaedah para fuqaha berijtihad dgn sunnah dan hadith).
3) Muqadimah Sunnan & Kitab Hadith (memberikan kaedah memahami sunan dan kitab hadith, istilah yang digunakan dll) .

No comments: