Monday, March 19, 2018

Perjuangan biar bermakna

Ramai orang berjuang, namun apakah perjuangan itu bernilai di sisi Allah maka hanya Dia yang Maha Mengetahui. 

Namun ada beberapa pesanan daripada baginda rasulullah salallahualaihiwassalam yang wajar dihayati....

** Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA (wafat 93 H) bahawa baginda Rasulullah salallahualaihiwassalam telah bersabda;

لَيؤيِّدنَّ الله ُهَذَا الدِّينَ بِقَوْمٍ لا خَلاقَ لَهُمْ

'Allah akan menjadikan agama ini dibantu oleh suatu kaum yang tidak mendapat bahagian (pahala) apa-apa untuk mereka.'

[HR. Al-Nasaie dan Ibn Hibban]

*** Manakala dalam riwayat yang lain daripada Abi Bakrah RA (wafat 51 H) bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda;

إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى سَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِأَقْوَامٍ لَا خَلَاقَ لَهُمْ

'Sesungguhnya Allah Tabaraka Wa ta'ala akan menguatkan agama ini dengan satu golongan yang tidak akan mendapat bahagian (pahala di akhirat).'

[HR. Ahmad dan Al-Tabarani]

# Perjuangan Islam tidak cukup hanya dengan semangat, kerana ada riwayat daripada Abu Hurairah RA (wafat 57 H) bahawa ada seorang lelaki yang berjuang dengan hebat sewaktu peperangan Khaibar, namun akhirnya dia tetap masuk neraka.

Disebut bahawa dia membunuh dirinya kerana tidak sabar menderita luka, baginda salallahualaihiwassalam pun kemudian memerintahkan seorang sahabat (dalam riwayat disebut orangnya ialah Bilal) untuk bangkit memperingatkan orang ramai dengan menyebut;

أَنَّهُ لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلا مُؤْمِنٌ ، إِنَّ اللهَ يُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

'Sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang mukmin, dan Allah akan menguatkan agama ini dengan lelaki yang fajir.'

[HR Al-Bukhari dan Muslim]

**** Semoga kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang perjuangannya sia-sia dan tidak membuahkan pahala dan keampunan daripada Allah SWT!

Wednesday, February 28, 2018

Jika diambil ilmu itu daripada tokohnya, kita pun akan selamat

Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas rahimahullah (wafat 179 H) pernah menyebut;

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم
 
'Sesungguhnya ilmu ini merupakan agama. Maka, lihatlah dengan siapa kamu mengambil agama kamu.' 

لقد أدركنا في هذا المسجد سبعين ممن يقول قال فلان قال رسول الله صلى الله عليه وسلم وإن أحدهم لو ائتمن على بيت مال لكان أمينا عليه فما أخذت منهم شيئا ، لم يكونوا من أهل هذا الشأن

'Sesungguhnya aku telah bertemu dengan 70 orang di Masjid Nabi ini yang menyatakan telah berkata fulan bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda (menyampaikan hadis). Sesungguhnya jika salah seorang daripada mereka itu diamanahkan untuk menjaga Baitulmal, nescaya dia ialah orang yang amanah, namun aku tidak mengambil sesuatu pun (hadith) daripada mereka kerana mereka bukanlah ahli dalam bidang ini (hadith).'

ويقدم علينا محمد بن مسلم بن شهاب الزهري وهو شاب فنزدحم على بابه

'Namun apabila datang kepada kami Muhammad bin Muslim bin Syihab Az-Zuhri (wafat 125 H) walaupun dia masih muda maka kami bersesak-sesak ke pintu rumahnya (untuk belajar hadith).'

[Al-Adab Asy-Syar'iyah wa Al-Minah Al-Mar'iyah, Ibn Muflih]

# Jangan asal berguru dengan sesiapa sahaja yang sedap didengar kata-katanya, kerana gula itu walaupun manis boleh membawa penyakit. Tetapi belajar dan bergurulah daripada mereka yang ahli dalam bidangnya!

Konspirasi teori, freemason, sejarah Yahudi tidak wajar menjadi tajuk ceramah

Ustaz yang cerdik dan berilmu tidak akan berceramah dalam masjid bercakap tentang raja-raja Firaun, sejarah yang belum tentu betul, teori konsiprasi dan kisah-kisah yang ganjil tanpa sumber yang sahih. 

*** Apatah pula hal-hal yang melibatkan riwayat yang tidak sahih seperti isteri Nabi Ibrahim berketurunan Melayu bernama Keturah dan teori bangsa Melayu, kerajaan-kerajaan nusantara, nama kerajaan Kemboja diambil daripada nama bunga sebab Melayu suka bunga (Baca; Cambodia atau disebut Kampuchea) semuanya mengarut dan menzahirkan kejahilan terhadap fakta sejarah, lemahnya ilmu alat dan memalukan Islam apabila lebai sebegini berceramah di masjid!

Diriwayatkan daripada Hafs bin A'sim RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda;

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
'Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila menyampaikan semua yang didengarnya.'

[HR Muslim dalam Mukadimah]

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 H);

أكذب الناس القُصَّاص والُّسوَّال
Orang yang paling kuat berdusta ialah penceramah yang bercerita pelbagai kisah-kisah...

# Bukan semua yang dibaca di laman website illuminati, video klip 'The Arrival...', buku-buku tentang Dajjal dan fitnah akhir zaman boleh diajar di masjid kerana ianya belum tentu benar.

Dinyatakan oleh Imam Ibn Jauzi Al-Baghdadi rahimahullah (wafat 597 H);

والقاص يروي للعوام الأحاديث المنكرة , ويذكر لهم ما لو شم ريح العلم ما ذكره
Si tukang cerita yang menceritakan kepada orang awam hadith-hadith (berita-berita) yang munkar itu kalaulah dia hanya memiliki sedikit bauan-bauan ilmu pun nescaya itu sudah mencukupi untuk menyebabkan dia tidak menceritakan kepada orang ramai apa yang disampaikannya....

[Al Mawdhuaat, Ibn Jauzi]