Thursday, August 18, 2005

Kasyful Syubhat : Menolak Kesenian Islam dan Penulisan Sastera Islam Yang Semakin Bercambah dan Menyemak

Dewasa ini kita sudah semakin lari dari landasan Islam dan syariat yang sebenar yang diturunkan oleh Allah swt dan apa yang di bawa oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasalam.

Rata-rata masyarakat Malaysia semakin hari semakin kacau oleh kerosakan dan semakin silau oleh pancaran duniawi sehingga sudah tidak mengerti lagi mana jalan yang benar dan mana yang salah.

Bermula dari yang kecil di dalam buaian kini sudah terdedah kepada kerosakan apabila si ibu dan bapa menyuapkan sarapan pemikiran yang silap dan salah tentang kehidupan dan agama sehinggalah yang di sekolah di kolej atau kepada remaja lepak atau sehingga kepada mereka yang sudah tua dan mereka yang bergelar ustaz dan ustazah tidak terkecuali dari kekeliruan pemikiran dan kesilap fahaman tentang Islam dan syariatnya.

Dalam hadith baginda rasulullah pernah bersabda : “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas dan di antaranya ialah perkara musytabihat (syubhat-syubhat) yang tidaklah diketahui oleh ramai orang” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 19).

Permasalahan sastera dan kesenian di antaranya termasuk perkara syubhat yang tidak diketahui hukumnya oleh ramai orang lantaran kecetekkan ilmu dan kefahamannya dari kitab dan sunnah rasulullah.

Sesungguhnya syariat Islam itu syumul dan padanya segala-gala panduan dalam kehidupan. Bercakap dan memberi komen kepada sastera Islam dan kesenian Islam maka saya akan mengungkapkan bahawa kehadiran karya-karya seni yang dinisbahkan kepada Islam hari ini sebagai karut dan mengarut.

" Dan apakah lagi selepas Haq (kebenaran) melainkan kesesatan…" (Surah Yunus : 32).

Penulisan pandangan seorang ustaz pada kali ini akan menjawab dan membantah penisbahan penulisan karya-karya yang semakin tersebar di khalayak dan dipuji sebagai sastera Islam. Sebenarnya baru-baru ini saya banyak menemui golongan remaja dan muda yang berkecimpung dalam dunia sastera dan mereka begitu asyik dengan khayalan dan kegilaan yang tidak berkesudahan.

Kelahiran penulis muda dari kalangan golongan agama dikagumi dan dipuji sebagai sasterawan Islam sedangkan hakikat adalah sebaliknya. Maafkan saya, sebagai seorang ustaz saya tidak berhak mengkritik penulisan mereka kerana sastera bukan bidang saya dan tidaklah bermaksud saya mengkritik mereka dalam bidang sastera bermakna saya lebih baik dari mereka sebaliknya sebagai seorang muslim maka saya ialah saudara mereka dan kritikan saya bermaksud membantu sesama saudara seIslam agar bersama-sama ke jalan yang benar.

Juga sebenarnya dalam bidang sastera realiti kita memang tidak punyai hak mutlak dalam bercakap soal karya orang lain atau soal persembahan , genre dan cara penampilan serta corak aliran penulisan seseorang kerana setiap manusia itu bebas dalam menghasilkan dan melahirkan karya yang dia ingini, itulah konsep yang dipegang oleh golongan sasterawan zaman Renaissance dulu yang kata mereka “ As the wind couldn’t be stopped from moving and the mind can’t be stopped from thinking and also the hand shouldn’t be stopped from writing”.

Namun apabila seseorang Muslim itu melakukan sesuatu maka ceritanya sudah lain pula kerana biarpun sehebat mana kesusasterawanannya maka dia tetap tertakluk kepada kekekuasaan tuhannya yang menciptakan akal sehingga mampu baginya berkarya dan menulis dan mengecapi nikmat kepopularan dan kehidupan.

Hendaknya saya menulis ialah untuk menerangkan bahawa yang menjadi permasalahan soal kesasteraan Islam ini ialah apabila ianya mencemari Islam dan disalah ertikan oleh golongan awam yang jahil lantaran perbuatan seleweng ini dilakukan oleh para ustaz dan ustazah dan mereka yang belajar Islam.

Pertama,

Kewujudan novel-novel hasil karya tulisan para penulis muda dan mereka yang bergelar ustaz hari ini sering dianggap sebagai sastera Islam sedangkan ianya tidaklah benar.

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Kewujudan istilah kesenian Islam, sastera Islam tidak ubah seperti kita dan ramai pihak yang lain yang menolak konsep Islam hadhari. Seolah dalam Islam itu masih wujud satu bidang atau konsep yang tersembunyi dan baru hari ini ditimbulkan apabila muncul karya seperti “cinta Islam” dan lain-lain.

Sebenarnya jika kesenian Islam itu diterima sebagai salah satu bidang dalam keilmuan Islam seperti feqah, usul feqah, sirah dan lain-lain yang merupakan hasil ijtihad dan cari gali para ulamak dari sumber al-qur’an dan sunnah maka seharusnya juga sastera Islam menjadi satu keilmuan yang ditimbulkan hasil dari cali gali para ustaz dan ustazah dari sumber asas Syariah iaitu Al-Qur;an dan sunnah.

Namun malangnya jika kita lihat konsep penulisan para ustaz-ustaz dan ustazah muda ini kita akan mendapati penulisan mereka berkisar soal cinta Islam , kisah hidup ustaz dan ustazah, kecomelan ustazah, kegenitkan ustazah dan kenakalan ustaz Azhar dan ustaz Jordan, ustaz Yaman dalam bercinta dan bergurau, kisah perjuangan dakwah yang jauh dari konsep sunnah dan kisah hidup yang lari dari kehendak Islam yang sebenar.

“Janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu sangat keji dan seburuk-buruk jalan” (Al-Isra : 32).

Kegilaan sastera Islam ini semakin merebak pesat di Al-Azhar sehingga dalam apa sahaja majalah dan buletin penulisan pihak persatuan mereka akan dimuatkan dengan cerpan Islam atau novel Islam iaitu ? Kisah cinta ustaz dan ustazah !!!

Apakah sastera Islam itu bermaksud ustazah dan ustaz menjadi objek cinta ??? Memperlihatkan bagaimana cinta sepatutnya dengan menjadikan objek ustaz dan ustazah sebagai model, kisah ustazah tersenyum kemalu-maluan melihat ustaz berceramah, kisah ustaz meminang ustazah, kisah ustazah menghantar email rahsia dan bersajak dan bersyair kepada ustaz maka inikah sastera Islam ??

Permasalahan mengelarkan pemuda-pemuda dan ustaz yang menulis cerpen, sajak, syair, novel yang memuatkan sedikit kata-kata agama, sedikit sedutan cerita sejarah Islam, sedikit fakta tentang Islam bukanlah bermakna ianya sudah diiktiraf sebagai sastera Islam.

Juga tidak bermakna apabila watak-watak dan objek cerita berkisar hidup seorang ustaz dan ustazah maka ianya menjadi sastera Islam kerana apa ada pada ustaz ? apa ada pada ustazah ? Ustaz yang hensem dan kacak, pandai berceramah, belajar di Al-Azhar, di Jordan, di Yaman kemudian tidak fasal-fasal ditulis ke barat pula sambung Master belajar dengan orinetalis atau cari sijil dunia lalu mengajar maka itu dianggap perjuangan dan dakwah ?

“ Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).

Apa ada pada ustaz dan ustazah ? apakah dengan menceritakan masalah dalam persatuan pelajar agama di timur tengah baik persatuan pelajar melayu di Jordan, di Al-Azhar, di Yaman, lalu mengisahkan kehidupan mereka hidup berpersatuan berceramah, berdakwah (dakwah apalah agaknya) bagaimana akhirnya mereka menyelesaikan masalah mereka dan kemudian mengakhiri novel dengan ustaz dan ustazah yang menjadi hero dan heroin itu bercinta kemudian bersatu dalam cinta dengan ikatan pernikahan ??? atau putus cinta lalu kecewa berserah pada Allah kemudian mengembara membawa hati luka ???

Allahuakbbar, Allahuakkbar

Bermula contoh dan teladan dari beberapa orang ustaz muda yang bergiat dalam bidang sastera dengan kemahiran dan kefahaman sasteranya belum pun melepasi matang maka kita melihat akibat yang besar di bawa dan dibentuk oleh mereka. Betapa ramai sekarang ustaz dan ustazah menjadi gila novel dan cerita ? Sangat ramai wanita dan remaja perempuan mengendong novel dan cerpen disebalik buku-buku agama dan kitab sunnah.

Tidak ada ustazah yang menyelesaikan pengajian kitab Riyadus Solihin karya Imam Nawawi ra dengan berserta syarahnya di waktu lapang sebaliknya si ustazah menyelesaikan membaca novel “Cinta Islam” dan lain-lain (saya tidak ingat sangat apa nama novel sekadar membaca tanpa minat lalu tak terhadam oleh ingatan ).

Kita melihat fenomena ustaz dan ustazah yang semakin “jiwang” dan suka berawang-awangan berangan kisah mimpi cerita-cerita ilusi dan perjuangan yang tidak realiti langsung tidak bertapak di muka bumi. Saya tidaklah menyalahkan para penulis muda dan ustaz-ustaz seperti itu dalam menulis kerana itu mungkin sudah gaya mereka cari makan atau minat mereka dalam penulisan iaitu suka menulis kisah cinta para ustaz dan ustazah dan kisah cinta romantis yang berkisar dalam kehidupan pengalaman mereka belajar di Jordan, Syiria dan Mesir atau yaman dan lain-lain.

Benarlah memang begitu pun para ustaz-ustazah kita orang Malaysia di sana, bukan seperti orang Indonesia yang belajar dan gigih menuntut ilmu. Sebaliknya sebagaimana yang digambarkan oleh novel-novel yang memaparkan kisah hidup pelajar Malaysia timur tengah itu banyak yang benar iaitu mereka tidak belajar sangat, hanya ikut kelas bagi yang memang ke kelas dan bagi yang tidak ada kelas mereka sibukkan diri dalam bisnes, dalam persatuan, dalam cinta atau kegilaan lain.

Mereka habisi masa dengan bermesyuarat bagi yang berpersatuan, adakan ukhuwah yang tidak benar lelaki perempuan, ustaz dan ustazah, berkenalan dari jemaah dan persatuan lalu bercinta…begitulah mereka. Kegiatan politik juga ada disibukkan dengan fikrah yang tidak berguna dan ditambah pula oleh kegiatan berjalan-jalan ke sana-sini sambil urusan tidak penting.

Begitulah pelajar agama Malaysia di timur tengah, setelah 4 tahun mereka pun pulang bergelar ustaz dan ustazah, rasa diri sudah berilmu lalu mula mengajar agama dan ialah 4 tahun ditolak cuti dan masa bercinta, masa berpersatuan mana sangat ilmunya. Saya menginsafi diri sendiri dan bukanlah kata-kata ini mencela sebaliknya mengajak kita memuhasabah diri sendiri kerana diri saya juga seorang ustaz dan pelajar agama.

Bukan saya tidak minat sastera bahkan saya juga punyai bakat dan gaya penulisan serta bijak menyusun kata-kata. Tetapi bila berfikir sebagai ustaz tanggung-jawab utama saya ialah bidang agama maka sastera saya jadikan sebagai kenangan lama.

Sebagai ustaz saya memikirkan bahawa dari saya menghasilkan kisah cinta tidak berguna sehingga mengalakkan zina mata, hati dan jiwa lebih elok saya menghasilkan karya agama, syarah hadith atau buku fiqih yang menjawab soal-soal agama. Daripada saya menghasilkan karya tidak berguna, sajak-sajak pengkhayal minda lebih bermakna saya menghasilkan kisah-kisah sirah nabi dan sahabat baginda yang banyak berjasa pada agama lalu paparkan istifadah pengajaran agar berguna buat semua.

Kedua,

Penolakan penisbahan sastera Islam kepada buku-buku novel yang tidak bermakna dan khayalan minda perlu dibuat sebagai memelihara kata nama Islam dan gelar islam pada kalimah sastera.

Sastera itu satu bidang ilmu dalam bidang kesenian manusia yang hidupnya penuh makna dan nilai-nilai semula jadi yang wajar dihargai. Oleh yang demikian Islam mengiktiraf sastera sebagai bidang ilmu namun apabila menisbahkan sastera itu sebagai “Sastera Islam” maka perlu beberapa syarat :

a) Wajarlah sastera itu atau kesenian itu mesti dilandasi dan dihasili dari cari gali bersumber kitab dan sunnah.

Kepentingan syarat ini supaya memang benar maksud dan matlamat sastera dan karya atau kesenian yang digubah dan dicipta itu selari dan wajar seperti yang sesuai dengan Al-Qur’an dan sunnah.

" Dan taatlah kamu kepada Allah dan kepada rasul jika kamu benar-benar beriman " (Surah Al-Anfaal : 1).

" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatha no.898 dan Hakim dalam Mustadrak no.63).

Tidak hanya mensyaratkan mesti tidak berlanggar dengan syariat sebaliknya semestinya karya itu disumberkan dari syariat Islam iaitu al-qur’an dan sunnah.

Sabda baginda “ Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.223 ).

Perkataan Islam itu ialah kalimah suci dan mulia yang padanya di ambil iktibar dan pengajaran serta panduan maka mana mungkin di ambil karya manusia lalu diletakkan dengan nama agama serta mendakwa maka inilah hasil agama ?

Seorang penulis matang dan mahir apabila berdepan dengan syarat ini akan mengerti bahawa tidak lagi menjadi fikirannya, atau khayalannya atau kegilaannya itu yang mencorak arah seni dan sastera atau karyanya sebaliknya agama dan maksud syariat yang menjadi pokok utama.

Seorang penulis lama dan matang akan mengerti bahawa menulis persoalan karya agama dan sastera Islam bererti sumbernya harus dikutip dari sumber Islam iaitu Al-Kitab dan sunnah.

Tema sesuatu karya itu pun harus bertepatan dengan kalimah mulia iaitu Islam dan terkandung dalam sumbernya. Sebagai contoh buat penulis muda, misalan ingin memilih tema percintaan dan ternyata dalam Al-Qur’an dan sunnah wujud kalimah cinta dan sayang maka diperbolehkan diguna tema sedemikian.


“ Dan tidaklah kami tertinggal dalam Al-Quran itu akan sesuatu (melainkan telah kami terangkannya) dan kepada tuhanlah mereka akan dihimpunkan .” (Surah Al-An'am : 38).

Lalu isinya maka dipetik dari kalimah Allah dan kisah Al-Qur’an, serta dinukil dari riwayat sirah atau sunnah yang bersanad sahih atau sekurangnya dhaif jika hanya untuk cerita, maka akhirnya dengan akal dan kebijaksanaan diolahlah, ukirlah, canailah sehingga segala bahan dan sumber menjadi satu turutan dan satu kisah yang berpermulaan dan berpengakhiran sebagai kisah yang berpengajaran sambil di tambah dengan peringatan dan teladan buat manusia zaman berzaman sesuai waktu dan keadaan.

Terciptalah sastera penulisan Islam, terhasil karya keaslian Islam yang bersumber hanya Al-Qur;an dan sunnah dan akal sebagai penafsir dan penggubah ukir pencantik penyusun gaya penyampaian dan dipersembahkan sebagai pengajaran.

Bukankah al-qur’an dan sunnah itu sudah lengkap untuk semua keadaan dan kisah kehidupan ? Pengambaran sebuah kisah kehidupan sudah pun lengkap terisi di dalam Al-Qur’an dan di tambah serta di jelaskan pula oleh sunnah mulia. Segala tema kehidupan, kesasteraan wujud dalam Al-Qur’an dan sunnah maka akhirnya akan terbentuk sastera apabila dan diacu oleh tangan yang mempunyai kuasa minda atau bakat kebijaksanaan seorang sasterawan.

Seandainya penulisan itu tidak disumberkan dari Al-Qur’an dan sunnah maka tidaklah dinamakan ianya sebagai karya Islam atau hasil dari kesenian Islam. Apakah komunis tiada nilai mulia ? Apakah sosialai, kaitalis atau agama seperti kristian, budha, yahudi tiada nilai harmonis dan mulia ?

Jika hanya sekadar mengatakan syaratnya ialah konsep nilai mulia dan karya itu membawa kebaikan dan nilai bahagia harmonis dan keamanan maka bukanlah lagi mencapai kedudukan sastera atau karya Islam.

Jika sekadar sedikit petikan ayat Al-Qur’an, sekadar sedikit kata-kata hikmah dan hadith yang dimuat untuk menjadi penambah rasa penyedap cerita cinta ustaz dan ustazah maka tetap tidak dapat menginjakkan kaki karya itu ke kedudukan mulia untuk digelar sebagai sastera Islam.

" Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah ucapan Allah dan sebaik-baik ajaran adalah ajaran Rasulullah. Dan sesungguhnya sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya sesuatu yang baru diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah kesesatan." (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 867).


b) Mestilah yang menulis dan orang yang menghasilkan karya atau kesenian itu seorang yang benar agamanya pada ilmu dan amalan moga selamat karyanya itu dari penyelewengan dan kesesatan yang membawa bahaya kepada mereka yang beriman.

Penulisan dan penghasilan karya Islam itu haruslah dilakukan oleh seseorang yang tekun dan diiktiraf ilmunya sebagai seorang berkelayakan oleh para ulama’ atau sekurangnya memiliki pengetahuan yang mendalam dalam syariat Islam.

Penulis itu haruslah benar aqidahnya supaya dirinya tidak menjadikan karyanya itu sebagai agen penyebar kesesatan. Sesungguhnya penghasilan karya itu jika dibuat tanpa kefahaman yang jelas dan benar akan menyebabkan seringkali berlaku penyelewengan dalam agama sehingga isi karya dan penulisannya selalu melanggar syariat.

“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Al-Mujadalah :11).

Menurut riwayat Abdullah Ibn Mas'ud ra pernah menyebut bahawa “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama') mereka dan jika mereka mengambil dari As-shaghir dan buruk, mereka pasti hancur.”

"Sesungguhnya yang takut pada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah para Ulama” (Surah Al-Fathir : 28).

Mereka yang dimaksud sebagai As-shaghir adalah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah Ashaghir itu ?”. Ia menjawab,”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal/menafsir sendiri tanpa merujuk dalil). Adapun orang yang mengambil ilmu dari pembesar (Ulama') bukan termasuk Ashaghir.” (Lihat Ibn Abd Bar' dalam Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 246).

Tidaklah menjadi syarat untuk menulis karya sastera Islam itu harus seorang ulama’ namun jika yang menulis itu ialah ulama’ maka lebih afdhal. Sebaliknya cukup jika disyaratkan seseorang penulis itu benar aqidah, pemahamannya terhadap Islam diketahui benar dan sahih berdasar pegangan para salaf soleh dengan terbukti bersih sahsiahnya dari bid’ah dan keburukan.

c) Perlulah penulisan itu mencapai matlamat dan membawa manfaat dan memberi hasil kepada manusia dan memberi kebaikan dan tidak hanya sebagai sesuatu yang membuang masa dan tidak memberi faedah.

Dimaksudkan tidak sia-sia dan memberi manfaat ialah Islam tidak menerima sesuatu yang hanya membuang masa dan melalaikan kerana dalam Islam menganggap masa dan kehidupan ini sesuatu yang berharga dan singkat demi persediaan d hari akhirat.

Dunia merupakan medan ujian dan medan mengumpulkan amalan untuk dihisab di hari akhirat. Oleh itu sebarang perbuatan tidak bermanfaat adalah ditegah dan dilarang oleh Islam disebut dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra bahawa baginda bersabda : “Sebaik perkara dalam Islam ialah meninggalkan apa yang tidak berkaitan denganya (tidak penting)” (hadith hasan riwayat tirmidzi).
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah.Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (al-Munaafiqun: 9).
Kelalaian dengan menyibukkan diri dalam sesuatu yang perlu seperti lalai mengingati Allah kerana sibuk mengurus anak dan harta itu pun ditegah oleh agama apatah lagi menyibukkan diri dalam sesuatu yang tidak penting serta tidak membawa manfaat kepada Islam sebaliknya hanya untuk berkahayalan dan berimaginasi yang tidak membawa manfaat maka lebih-lebih lagi ditegah oleh Islam. Oleh yang demikian hendaklah karya dan hasil penulisan sastera Islam itu sesuatu yang membawa kebaikan dan kemanfaatan yang berguna sehingga boleh diambil pengajaran oleh Umat Islam yang lain.
“Sesungguhnya dalam kisah-kisah mereka itu (umat terdahulu) terdapat pengajaran bagi golongan yang berakal dan bukanlah Al-Qur’an ini perkhabaran yang direka sebaliknya membenarkan kitab-kitab yang terdahulu dan menerangkan segala sesuatu serta pertunjuk dan rahmat bagi mereka yang beriman” (Ar-Radd : 111).


Sekiranya syarat-syarat di atas itu dipenuhi maka dengan ini kita secara lapang dan senang mampu mengiktiraf sesuatu karya itu sebagai karya Islam dan sebagai satu kesenian Islam yang wajar dianugerahi dan dikagumi oleh umat Islam. Malahan kita tentu sahaja dapat menisbahkan penulisnya sebagai sasterawan Islam dan sebagai penulis muda Islam.

Dalam riwayat Abu Dzar berkata : Rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “Tidaklah tertinggal sesuatu yang dapat mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka kecuali telah diterangkan pada kalian.” Juga disebut oleh Abu Zar ra akan katanya “ Rasulullah meninggalkan kami dalam keadaan tidak ada seekor burung pun yang mengepak-ngepakkan kedua sayapnya di udara kecuali beliau menyebutkan ilmunya pada kami.” (Hadith Sahih riwayat Thabrani dalam Mu’jamul Kabir, lihat As Sahihah oleh Syeikh Albani ra 416 Jilid 4 dan hadith ini memiliki pendukung dari riwayat lain).

Jika dalam sejarah Islam kita melihat beberapa ramai tokoh matang digelar sebagai Imam dalam agama seperti Imam Abu Hanifah ra, Imam Malik ra, Imam Syafie ra dan Imam Ahmad ra dan lain-lain serta kita juga melihat para ulamak Islam dalam pelbagai bidang mendapat gelaran dan penghormatan yang berhak seperti gelaran al-hafidz dalam bidang hadith (Al-hafidz Ibn Hajar ra, Al-hafidz Ibn katsir ra ) juga gelaran syeikhul Islam kepada mereka yang berjasa kepada umat Islam seperti Syeikhul Islam Ibn taymiyyah ra, Syeikhul Islam Al-Ghazalie dan lain-lain maka tidak ada salahnya jika dalam bidang sastera kita mengelar sasterawan Islam kepada mereka yang benar-benar layak menyandang penghormatan tersebut apabila mereka memang berhak demikian.

“ Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta patuhlah kepada pemimpin walaupun dia diangkat dari hamba habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu pada Sunnah aku dan sunnah khulafa Ar-Rasyidin yang diberi pertunjuk selepas aku . Peganglah ia (sunnah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa mengigitnya dengan gigi geraham kamu. Dan berhati-hatilah kamu dengan perkara baru !!! Sesungguhnya setiap perkara baru (dalam agama) ialah bid’ah !!! dan setiap bid’ah itu sesat !!! (Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi (no.2676) , Abu Daud (no. 4607) dan Ahmad (no.12561).


Sesungguhnya segala pandangan ini merupakan pandangan seorang pelajar dan pengajar agama sebagai membela agama dan bukanlah bermakna saya mencela atau memburukkan segala yang baik itu ialah dari Allah dan segala yang buruk itu dari kelemahan kita semua sebagai manusia.


“ Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepada-Nya aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali” (Surah Hud :88).


Segala puji hanyalah bagi Allah.

p/s :

Bukan apabila kita mencela bermakna menghina
Sebaliknya kita menegur kerana kita seagama
Celaan kita celaan manusia
Wajar ada sebagai hamba
Tidak sempurna iman kita
Selagi tidak mengasihi saudara seagama

1 comment:

Korakora said...
This comment has been removed by a blog administrator.