Wednesday, August 24, 2005

Wara' Satu Penjelasan Ringkas


Peribadi yang mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya sangat susah dicari pada zaman sekarang maka apatah lagi mencari peribadi yang wara’.

Menjawab mengenai apakah makna wara’ dan bagaimana cara mengenal orang yang wara’ maka ianya seolah bertanyakan tentang satu mahkluk yang sudah pupus dari muka bumi ini sama seperti Dinousour.

Pertama-tama sekali biarlah saya jelaskan bahawa saya bukanlah orang yang wara’ dan mempunyai sifat ini namun marilah kita melihat dan mengenali wara’ moga kita dapat beroleh pengajaran dan berusaha menjadi wara’ .

Menurut dari riwayat yang isnadnya baik bahawa telah menguji Khalifah Ali ib Abi Talib ra kepada Hassan Al-basri ra yang mengajar di masjid dengan bertanya kepada Hassan basri yang masih kecil itu apakah yang menjaga agama ? Maka dijawab oleh Hassan bahawa ianya ialah wara’ lalu dibenarkan oleh Khalifah Ali ibn Abi Thalib ra untuk Hassan basri terus mengajar di masjid.

Wara’ dalam bahasa arab bermaksud menyempitkan atau menyusahkan dan jika dinisbahkan kepada manusia maka ia bermaksud lelaki yang bertaqwa dan menyempitkan hidupnya atau juga disebut siqah (yang dipercayai dan adil) juga dapat membawa maksud bercukupan dengan apa yang ada (lihat Lisan Arab oleh Ibn Manzur m/s 276 Jilid 9).

Perngertian wara’ sangat banyak dan berbeza-beza menurut pendapat ulama’ dan berkata Ibn Qayyim ra dalam kitabnya Madarijus salikin bahawa wara’ itu bermaksud seseorang yang sentiasa berhati-hati dan menyempitkan dunianya. Menurut riwayat bahawa sebahagian sahabat rasulullah meninggalkan 70 pintu dari perkara yang halal semata-mata takut dalam perkara yang haram (lihat Madarijus salikin m/s 20 Jilid 2).

Berkata Dhahak ra wara’ ialah memperbaiki amalan engkau dan berkata Said ibn Jubair ialah membersihkan hatimu dan tempat tinggalmu dan berkata pula Hassan ialah membaiki akhlakmu. Berkata Yahya ibn Muadz wara’ itu ialah berhenti sekadar apa yang engkau ketahui dari perbuatan tanpa menggunakan ta’wil akal. Berkata sebahagian mereka wara’ ialah meninggalkan apa yang halal demi menjaga diri dari yang haram.

Manakala wara’ menurut Ibrahim Ibn Adham ialah meninggalkan syubhat dan keraguan serta apa-apa yang tidak perlu dalam kehidupan dan sebahagian ulama salaf menasihati bahawa berlaku wara ialah dengan menjaga agama dengan menyempitkan hidup dunia dan mengharap balasan akhirat.

“Di antara kamu ada golongan yang menginginkan dunia dan ada pula golongan yang mengingini akhirat” (Ali-Imran : 152).

Berhati-hati dalam menjaga diri serta menjaga hati , lisan dan perbuatan agar tidak sampai terjatuh kepada hal yang syubhat apatah lagi haram. Menyempitkan dunia bermaksud tidak menerima perkara sia-sia atau tidak bersenang-senang sebaliknya mencukupi dunia dengan sekadarnya bahkan menjaga serta mengetatkan diri melawani kehendak nafsu.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan bagi mereka itu pahala di sisi tuhan mereka dan tidaklah ada ketakutan ke atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita” (Al-Baqarah : 277).


Juga disebut wara’ ialah sesuatu darjat yang dicapai dengan meninggalkan perkara makruh dan berhati-hati pada yang halal dengan mempunyai sikap zuhud.

“Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak suka golongan yang berlebih-lebihan (melampaui batas)” (Al-A’raf : 31).

Sesungguhnya pemahaman pada wara’ itu bukanlah seperti yang dibaca oleh orang jahil iaitu memakai pakaian buruk dan berjalan tunduk. Jika di sini iaitu di negara arab mereka mengelar orang wara’ sebagai “mutawwek” iaitu orang yang dilihat berjanggut dan berjubah digelar orang wara’ sedangkan hakikatnya mereka inilah paling penipu dan suka mengambil kesempatan.

“Apabila engkau melihat mereka (orang yang munafiq) maka nescaya engkau akan takjub kerana keindahan peribadi mereka dan jika mereka bercakap-cakap akan mengejutkan engkau kerana kefasihan dan kebaikan perkataan mereka seolah-olah mereka itu satu pesandaran yang kukuh, mereka menyangka setiap suara percakapan (pujian) manusia itu tertuju kepada mereka dan sebenarnya mereka itu ialah musuh dan berwaspadalah kamu terhadap mereka dan akan binasalah mereka oleh Allah” (Al-Munafiqun : 4).

Pengertian sebenar wara’ ini ialah pada hati kerana wara’ ini ialah sifat yang lahir dari amal perbuatan , lisan dan hati.

Menjaga hati dari maksiat kepada Allah, dari kebesaran dan pujian dunia serta takut dan mengharap kepada Allah swt.

Turut disertai dengan lisan yang kerap berzikir, tidak bercakap sia-sia dan bercakap yang baik dengan banyak diam serta dari sudut perbuatan ialah menjaga dari yang haram dan syubhat, menjauhi makruh dan melaksanakan segala yang wajib dengan tidak meninggalkan yang sunat.

Setelah itu mereka ini mengambil langkah hati-hati dalam agama dan menjauhi segala kemungkinan-kemungkinan yang boleh menjerumuskan mereka kepada keburukan.

Misalnya tidak memakai telepon tangan kerana takut mendengar suara perempuan, tidak ke Bandar dan pekan kerana takut terlihat maksiat, tidak memakan dan minum di kedai-kedai sebarangan kerana takut syubhat dicampur bahan yang haram atau tidak menerima wang pemberian orang kecuali yang diusaha sendiri melalui jalan yang halal demikianlah serba sedikit sikap mereka yang wara’.

“Adapun golongan yang takut kepada kebesaran tuhan mereka maka mereka menahan hawa nafsunya (tidak menurut hawa nafsu) maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal mereka” (An-Na’ziaat: 40).

Mereka ini benar-benar melaksanakan sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dari riwayat Abu Hurairah ra dengan sabda baginda : “ Sebaik-baik perkara dalam Islam ialah seseorang itu meninggalkan apa yang tidak perlu baginya” (hadith hasan, riwayat tirmidzi dan ibn Majah).

Secara kesimpulan kita dapat mengenal seseorang itu wara’ apabila dirinya tidak terpaut oleh dunia dan mengaharp balasan akhirat. Dia beramal dengan Islam menurut panduan dari Al-Kitab dan sunnah dan menurut panduan salaf soleh. Akhlaknya merupakan akhlak yang mulia dan terpuji membuatkan kita terpegun dengan kesolahan dan kebaikan ibadahnya dan perilaku muamalah dengannya.

Wara’ itu lebih dekat kepada lelaki dan sukar bagi perempuan dalam beberapa hal dan sukar bagi lelaki dan mudah bagi perempuan dalam beberapa hal.

Wara’ dekat kepada lelaki dalam perkara mengerjakan ketaatan dan kebaikan dan jauh dari lelaki dalam soal meninggalkan keburukan dan kebiasaan kehidupan. Manakala bagi perempuan wara itu dekat dalam meninggalkan larangan dan jauh dalam mengerjakan ketaatan dan kebaikan.

Diriwayatkan oleh Fadholah ibn Ubaid ra yang menyebut beliau mendengar baginda rasulullah bersabda : “Berbahagialah mereka yang diberi hidayah Islam dan hidup dengan bercukupan dan bersederhana” (hadith sahih riwayat tirmidzi ).

1 comment:

nurnurani said...

mohon izin dicopy artikel ini utk pedoman diri...syukran