Showing posts with label Iklan. Show all posts
Showing posts with label Iklan. Show all posts

Monday, February 17, 2020

Merawat Masalah Kekeluargaan dan rumahtangga

Merawat Masalah Kekeluargaan dan rumahtangga, hasil tadabbur Surah Yusuf dan Maryam

"... Masa dan sabar, pengubat hubungan..." 

Surah Yusuf dan Maryam sangat indah dan sesuai untuk ditadabburi oleh mereka yang ingin mengambil iktibar dalam masalah rumahtangga dan hubungan kekeluargaan.

Allah berfirman;

لَقَدْ كَانَ فِي يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِلسَّائِلِينَ

"Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya." (Yusuf: 7)

1. Surah-surah ini mengajarkannya kita hakikat kehidupan insan bahawa tiada manusia yang terlepas daripada masalah rumahtangga dan kekeluargaan, hatta keluarga para nabi.

Nabi Yusuf alaihisalam diuji dengan adik-beradik yang cemburu dan Nabi Ya'kub alaihisalam diuji dengan anak-anak yang degil lagi derhaka.

2. Kebanyakan musibah dan fitnah bermula daripada niat yang baik, sebagaimana anak-anak Ya'kub alaihisalam yang berniat baik,

Kata mereka;

اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِنْ بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ

"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia kesuatu daerah (yang tak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik." (Yusuf: 9)

Mereka bertujuan baik, (يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ) untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang penuh bapa mereka iaitu Ya'kub alaihisalam yang dianggap berat sebelah pada sangkaan mereka.

3. Banyak hubungan kekeluargaan, rumahtangga rosak akibat sangkaan dan anggapan. Sangkaan atau disebut الظن seringkali menjadi alat syaitan merosakkan hubungan sesama manusia.

Kerana itu Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah bersangka-sangka, kerana sebahagian dari sangka-sangka itu dosa..." (Al-Hujurat:12)

Agaknya, rasa-rasa, mungkin, jangan-jangan... seringkali menjadi racun yang merosakan  perasaan dan hati nurani manusia.

4. Menangis itu lumrah, dalam Al-Quran, Allah menceritakan bagaimana Nabi Allah Ya'kub alaihisalam menangis kerana kehilangan anaknya Yusuf sedangkan baginda ialah Nabi Allah dan demikian Maryam yang menangis dan bersedih sambil mengeluh atas nasib dirinya yang hamil tanpa suami dan bimbang tuduhan buruk orang-orang ke atas dirinya.

Allah berfirman tentang Maryam yang menyebut;

يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا

"Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak berarti, lagi dilupakan". (Maryam: 23)

Kata-kata Maryam ini bukanlah bermaksud beliau tidak redha atau berputus asa tetapi mengambarkan bahawa agama ini bukan hitam putih atau semuanya perlu dihukum sebagai halal atau haram, sah atau batal.

Ada kalanya, biarkan sahaja.

Allah abadikan keluhan ini bagi mengambarkan betapa Allah menyantuni keluhan hamba-hamba-Nya dan bukan hanya mahu menghukum sebagai kufur, syirik, kafir, fasik, derhaka dan sebagainya. 

5. Syaitan adalah perosak dan punca sebenar kepada segala perselisihan dan masalah di antara sesama keluarga dan rumahtangga.

Allah berfirman;

مِنْ بَعْدِ أَنْ نَزَغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي ۚ

".. setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku...(Yusuf: 100)

Kerana itu penting bagi setiap yang bergaduh untuk membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم bagi meminta perlindungan Allah daripada syaitan.

Sebagaimana dalam hadith Al-Bukhari dan Muslim tentang dua orang yang bergaduh di hadapan Nabi salallahualaihiwassalam dan disuruh mereka supaya membaca تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ bagi menghilangkan kemarahan mereka. 

Diriwayatkan dari Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

إذا غضب الرجل فقال : أعوذ بالله سكن غضبه
“Jika seseorang itu marah, lalu dia mengatakan: a’udzu billah (aku berlindung pada Allah), maka akan redalah marahnya.” [HR. Ibn Adi dalam Al-Kamil]

6. Ubat dan rawatan yang paling mujarab bagi masalah kekeluargaan dan rumahtangga ialah kesabaran dan masa.

Dikatakan oleh ahli tafsir bahawa tempoh perpisahan Yusuf alaihisalam dengan bapa dan ahli keluarganya ialah selama 30 tahun, ada yang berpendapat selama 40 tahun dan ada yang mengatakan tempohnya adalah lebih daripada itu seperti Imam Ibn Jarir Al-Tabari rahimahullah yang meriwayatkan bahawa tempohnya ialah selama 80 tahun lebih.

Para ahli hikmah menyebut;

 الصبر كالصبر مر في مذاقته لكن عواقبه أحلى من العسل

`Sabar itu adalah pahit seperti buah Sibr rasanya, tetapi hasil akibatnya adalah lebih manis daripada madu.. '

Pergaduhan adik-beradik, perpisahan anak beranak, pertengkaran suami isteri, ipar-duai, mertua dan sebagainya memakan masa untuk pulih atau baik.

7. Orang yang gopoh, tidak penyabar dan anak muda yang belum berpengalaman dalam seluk beluk rumahtangga, isu kekeluargaan perlulah menahan diri daripada mencampurinya kerana dibimbangi membawa mudharat daripada ubat.

Bukan semua perkara perlu kepada fatwa dan dijawab, 

لكل مقال مقام ، وليس كل ما يعلم يقال

'Bagi setiap ungkapan itu ada tempatnya dan bukanlah setiap apa yang diketahui itu diucapkan..'

Itulah maksud hikmah, mengetahui apa dan bagaimana..

Ketenangan الأناة ialah hasil daripada ketabahan hati dan kemampuan untuk bersabar dan mengawal diri.

Allah berfirman tentang Yusuf yang berhasil mengawal emosi dirinya, agar rahsianya terpelihara;

قَالُوا إِنْ يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ ۚ قَالَ أَنْتُمْ شَرٌّ مَكَانًا ۖ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ

"Mereka berkata: "Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu". Maka Yusuf pun menyembunyikan kejengkelan itu pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): "Kamu lebih buruk kedudukanmu (sifat-sifatmu) dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu". (Yusuf: 77)

Bukan semua isi hati, komen dan perasaan kita perlu dizahirkan, ada kalanya demi mencapai sesuatu tujuan dan maslahat, ianya disimpan dan dipendamkan.

Itulah kematangan hidup.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ 

"... Allah menganugerahkan al hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, dia telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran..." (Al-Baqarah: 269)

Thursday, November 01, 2018

Ahli Al-Qur'an


Berkata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah rahimahullah (wafat 751 H) berkenaan golongan ahli al-Quran:

و لهذا كان أهل القرآن هم العالمون به , و العاملون بما فيه و إن لم يحفظوه عن ظهر قلب , و أما مَنْ حفظه و لم يفهمه , و لم يعمل بما فيه , فليس من أهله , و إن أقام حروفه إقامة السهم …..

'Dan kerana itu, Ahli Qur’an ialah orang-orang yang memahaminya dan mengamalkan apa yang ada di dalamnya sekalipun mereka mungkin tidak menghafalnya di luar hati.

Adapun orang yang menghafal tetapi tidak memahaminya dan tidak mengamalkan apa yang ada di dalamnya, maka dia tidaklah termasuk Ahli al-Qur’an, sekalipun dia dapat menegakkan hurufnya seperti meluruskan anak panah..... '

و أما مجرد التلاوة من غير فهم و لا تدبر , فيفعلها البر و الفاجر , و المؤمن و المنافق

'....Adapun sekadar membaca al-Quran tanpa pemahaman dan tadabbur, maka hal itu dapat dilakukan oleh semua orang baik orang yang bertaqwa dan orang yang fajir, orang yang mukmin mahupun orang yang munafik....'

[Adh-Dhau' al-Munir 'ala at-Tafsir]

# Mentadabbur Al-Quran, ialah tujuan dan matlamat utama kenapa Allah menurunkan Al-Quran supaya ianya dibaca oleh hamba-hamba-Nya:


كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran." (Sod: 29)

Monday, March 19, 2018

Perjuangan biar bermakna

Ramai orang berjuang, namun apakah perjuangan itu bernilai di sisi Allah maka hanya Dia yang Maha Mengetahui. 

Namun ada beberapa pesanan daripada baginda rasulullah salallahualaihiwassalam yang wajar dihayati....

** Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA (wafat 93 H) bahawa baginda Rasulullah salallahualaihiwassalam telah bersabda;

لَيؤيِّدنَّ الله ُهَذَا الدِّينَ بِقَوْمٍ لا خَلاقَ لَهُمْ

'Allah akan menjadikan agama ini dibantu oleh suatu kaum yang tidak mendapat bahagian (pahala) apa-apa untuk mereka.'

[HR. Al-Nasaie dan Ibn Hibban]

*** Manakala dalam riwayat yang lain daripada Abi Bakrah RA (wafat 51 H) bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda;

إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى سَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِأَقْوَامٍ لَا خَلَاقَ لَهُمْ

'Sesungguhnya Allah Tabaraka Wa ta'ala akan menguatkan agama ini dengan satu golongan yang tidak akan mendapat bahagian (pahala di akhirat).'

[HR. Ahmad dan Al-Tabarani]

# Perjuangan Islam tidak cukup hanya dengan semangat, kerana ada riwayat daripada Abu Hurairah RA (wafat 57 H) bahawa ada seorang lelaki yang berjuang dengan hebat sewaktu peperangan Khaibar, namun akhirnya dia tetap masuk neraka.

Disebut bahawa dia membunuh dirinya kerana tidak sabar menderita luka, baginda salallahualaihiwassalam pun kemudian memerintahkan seorang sahabat (dalam riwayat disebut orangnya ialah Bilal) untuk bangkit memperingatkan orang ramai dengan menyebut;

أَنَّهُ لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلا مُؤْمِنٌ ، إِنَّ اللهَ يُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

'Sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang mukmin, dan Allah akan menguatkan agama ini dengan lelaki yang fajir.'

[HR Al-Bukhari dan Muslim]

**** Semoga kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang perjuangannya sia-sia dan tidak membuahkan pahala dan keampunan daripada Allah SWT!

Wednesday, February 28, 2018

Konspirasi teori, freemason, sejarah Yahudi tidak wajar menjadi tajuk ceramah

Ustaz yang cerdik dan berilmu tidak akan berceramah dalam masjid bercakap tentang raja-raja Firaun, sejarah yang belum tentu betul, teori konsiprasi dan kisah-kisah yang ganjil tanpa sumber yang sahih. 

*** Apatah pula hal-hal yang melibatkan riwayat yang tidak sahih seperti isteri Nabi Ibrahim berketurunan Melayu bernama Keturah dan teori bangsa Melayu, kerajaan-kerajaan nusantara, nama kerajaan Kemboja diambil daripada nama bunga sebab Melayu suka bunga (Baca; Cambodia atau disebut Kampuchea) semuanya mengarut dan menzahirkan kejahilan terhadap fakta sejarah, lemahnya ilmu alat dan memalukan Islam apabila lebai sebegini berceramah di masjid!

Diriwayatkan daripada Hafs bin A'sim RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda;

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
'Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila menyampaikan semua yang didengarnya.'

[HR Muslim dalam Mukadimah]

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 H);

أكذب الناس القُصَّاص والُّسوَّال
Orang yang paling kuat berdusta ialah penceramah yang bercerita pelbagai kisah-kisah...

# Bukan semua yang dibaca di laman website illuminati, video klip 'The Arrival...', buku-buku tentang Dajjal dan fitnah akhir zaman boleh diajar di masjid kerana ianya belum tentu benar.

Dinyatakan oleh Imam Ibn Jauzi Al-Baghdadi rahimahullah (wafat 597 H);

والقاص يروي للعوام الأحاديث المنكرة , ويذكر لهم ما لو شم ريح العلم ما ذكره
Si tukang cerita yang menceritakan kepada orang awam hadith-hadith (berita-berita) yang munkar itu kalaulah dia hanya memiliki sedikit bauan-bauan ilmu pun nescaya itu sudah mencukupi untuk menyebabkan dia tidak menceritakan kepada orang ramai apa yang disampaikannya....

[Al Mawdhuaat, Ibn Jauzi]

Monday, November 20, 2017

Setiap tuduhan akan berpatah balik


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA (wafat 72 H) bahawa ;
إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَد بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا وفي رواية : إِن كَانَ كَمَا قَالَ ، وَإِلاَّ رَجَعَتْ عَلَيهِ
'Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya maka tuduhan itu akan kembali kepada salah seorang daripada mereka'.

Dalam riwayat lain,

'Jika tuduhan itu benar seperti yang dikata maka jadilah ia seperti yang dikata tetapi jika tidak benar maka tuduhan itu akan kembali mengenai orang yang menuduh.'

[HR. Al-Bukhari dan Muslim]

# Kita begitu mudah menuduh seseorang sedangkan banyak daripada tuduhan itu hanya berdasarkan sangkaan. Islam mengajar umatnya sifat al-Inshof, untuk bersikap adil kepada kawan dan lawan.

Diriwayatkan bahawa Imam Muhammad bin Sirin rahimahullah (wafat 110 H) berkata;

ظلمت أخاك إذا ذكرت مساوئه ولم تذكر محاسنه

'Kamu telah menzalimi saudaramu apabila kamu hanya menyatakan keburukannya tanpa menyebutkan kebaikan-kebaikannya.'

[Al-Jami lil Akhlak al-Rawi, Al-Khatib Al-Baghdadi]

Wednesday, January 11, 2017

Bukan semua arahan atau keputusan pemimpin itu betul

Allah SWT berfirman;

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا (66) وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا (67) رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا (68)

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikan dalam neraka, mereka berkata: “Alangkah baiknya, andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul”. Dan mereka berkata: “Ya Rabb kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Rabb kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar”.
(Al-Ahzab: 66-68)

Di zaman Nabi salallahualaihiwassalam, ada seorang lelaki Ansor yang bernama Abdullah bin Hudzafah as-Sahmi (wafat 28 H) yang diangkat sebagai ketua kepada suatu rombongan oleh baginda salallahualaihiwasalam.

Lelaki itu ialah sahabat Nabi, yang melantiknya pula ialah Nabi salallahualaihiwassalam sendiri. Namun itu bukanlah jaminan beliau tidak akan pernah salah.

Ternyata dalam hadis tersebut mengisahkan bahawa beliau (sang ketua) telah memerintahkan sesuatu yang menyalahi kebenaran maka perintahnya tidaklah diikuti oleh para sahabat.

Setelah diadukan kepada baginda salallahualaihiwassalam maka baginda pun membenarkan dengan bersabda;

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Sesungguhnya ketaatan hanyalah pada perkara kebaikan.

[HR. Al-Bukhari dan Muslim]

Hati-hatilah wahai pengikut, jangan taasub membuta tuli.

Jangan sampai kita diseksa dalam neraka kerana mengikuti keputusan yang salah secara membuta-tuli.

Allah SWT berfirman;

وَإِذْ يَتَحَاجُّونَ فِي النَّارِ فَيَقُولُ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِّنَ النَّارِ
"Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah di dalam neraka, maka orang-orang yang dahulunya lemah itu berkata kepada orang-orang yang dahulunya menyombongkan diri (pembesar mereka) : "Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menghindarkan kami dari sebahagian azab api neraka?" (al-Mukmin:47)

Sesungguhnya ketua dan pemimpin kita walau sehebat mana sekalipun tetap tidak akan dapat menyelamatkan pengikut-pengikutnya bahkan mereka akan berlepas diri daripada mereka ketika di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman;

قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُلٌّ فِيهَا إِنَّ اللَّهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ الْعِبَادِ
"Orang-orang yang menyombongkan diri (di dunia itu dahulu) pun menjawab: "Sesungguhnya kita semua sama-sama sudah berada dalam neraka kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-(Nya)." (Al-Mukmin:48)

# Semoga Allah memberikan petunjuk kepada kita dan kepada pemimpin kita supaya mereka dipandu ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT dan membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya.

Tidak salah bersikap wala’ dan taat kepada pemimpin yang menjadi pilihan, namun biarlah ianya di atas jalan kebenaran!

Tuesday, August 30, 2016

Merdeka yang sebenar, apabila kita rasa selamat

Kita belum lagi merdeka. Buktinya, anak-anak kita belum rasa selamat apabila berada di jalan-jalan raya, di sekolah, di Ma'had Tahfiz dan di dalam rumah.

Wanita tidak selamat apabila jalan berseorangan. 

Orang miskin masih ada yang terpaksa mengemis di jalanan, orang kaya masih ada yang menindas orang bawahan, penjenayah masih ada yang belum ditangkap, pemimpin masih ada yang korup....

Kita masih hidup dalam ketakutan dan merasa tidak selamat!

Kemerdekaan yang sebenar pernah ditonjolkan oleh hadith Nabi salallahualaihiwassalam dari riwayat Adi bin Hatim RA (wafat 68 H) yang menyebut;

فوالذي نفسي بيده ليتمن الله هذا الأمر حتى تخرج الظعينة من الحيرة حتى تطوف بالبيت من غير جوار أحد
Demi zat yang jiwaku berada ditangan-Nya, Allah pasti akan menyempurnakan urusan agama ini, sehingga seorang wanita di atas untanya akan bermusafir dari Hirah (satu kawasan di Iraq) menuju ke Mekah sehingga dapat bertawaf di Baitullah tanpa ditemani oleh sesiapapun. [HR. Ahmad]

Dalam riwayat yang lain menyebut;

لا تخاف أحدا إلا الله
Tanpa takut kepada sesiapa pun kecuali Allah.

[HR. Al-Bukhari]

# Merdeka ialah apabila anak-anak kita selamat, anak gadis kita selamat, anak lelaki kita selamat dan keluarga kita serta seluruh masyarakat merasa selamat dan aman tanpa takut kecuali kepada Allah SWT!

Saturday, October 25, 2014

Kenapa mahu jadi terkenal ?

1. Ada seseorang pernah meminta saya untuk mendoakan anaknya supaya menjadi seorang ulama'. Saya pun mendoakan anaknya dengan apa yang dibacakan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasallam kepada Ibn Abbas RA ;

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Ya Allah, faqihkanlah dia pada urusan agama. [Riwayat Al-Bukhari]

Lalu beliau pun dengan gembira dan berkata secara spontan, saya teringin hendak melihat anak saya menjadi seorang ulama' yang terkenal.

Ah sudah, kenapa mesti terkenal?

Saya pun memberitahu bahawa jika kita hendak anak kita menjadi seorang ulama' maka itu bagus kerana pengertian ulama' itu ialah mereka yang bukan sahaja alim tentang agama Allah tetapi adalah yang paling takut dan bertaqwa kepada-Nya.

Tetapi menjadi terkenal, itu artis bukan ulama'. Masyhur, popular dan terkenal hanyalah keinginan nafsu kita yang tiada kena mengena dengan agama Allah.

Ibubapa mahu anaknya menjadi ulama' terkenal supaya dia boleh berbangga, sebagai ibubapa kepada ulama' lalu berkata 'Itulah anak saya.'

Sedangkan ianya langsung tidak menguntungkan akhiratnya.

Lupakah kita hadith baginda rasulullah salallahualaihiwasallam dari riwayat Abu Hurairah RA yang menceritakan tentang seorang lelaki yang diberikan ilmu dan mengajarkan ilmu serta membaca al-Quran lalu apabila dikatakan kepadanya ;

فما عملت فيها
Apa yang engkau perbuat dengannya (ilmu yang dimiliki) ?

Lalu orang itu pun menjawab ;

تعلمت العلم وعلمته وقرأت فيك القرآن
Aku telah mempelajari ilmu pengetahuan dan mengajarkannya serta membaca al-Quran kerana engkau.

Maka dikatakan kepadanya :

كذبت ولكنك تعلمت العلم ليقال عالم وقرأت القرآن ليقال هو قارئ فقد قيل ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار
Engkau dusta. Sebaliknya engkau menuntut ilmu supaya dikatakan bahawa engkau seorang yang alim dan membaca al-Quran supaya dipanggil sebagai qari dan telah pun dikatakan sedemikian (telah mendapat pujian) lalu mengarahkan supaya lelaki itu diseret pada wajahnya sehingga dicampakkan ke dalam api neraka. [Riwayat Muslim, Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Nasaie]

Apa guna menjadi ulama' jika menjadi bahan bakaran api neraka?

2. Imam-imam salaf mengelak dari dikenali, Imam Ahmad apabila menuju ke masjid untuk solat Jumaat akan melalui jalan para buruh supaya tidak diketahui beliau adalah Imam Ahmad.
Berkata Imam Abdullah bin Mubarak rahimahullah ;

قال لي سفيان: إياك والشهرةَ؛ فما أتيتُ أحدًا إلا وقد نهاني عن الشهرة
Telah berkata kepada aku oleh Sufyan; ‘Jauhilah kamu daripada menyukai kemasyhuran kerana tidaklah aku mendatangi seseorang (daripada kalangan salaf) kecuali mereka berpesan dengan melarang aku daripada kemasyhuran.’

Alasan saya perlu terkenal untuk menyebarkan dakwah, untuk mengembangkan sayap dakwah hanyalah helah untuk menghalalkan kehendak nafsu kita yang sukakan kepada populariti dan kemasyhuran yang disebut sebagai حب الشهرة.

Dakwah tidak pernah bergantung kepada seorang individu, terkenal atau tidaknya kita bukanlah menjadi penentu kejayaan Islam. Ini kerana agama Allah akan tetap disempurnakan oleh para pejuang yang ikhlas, yang benar dan yang beristiqamah di atas jalan al-sunnah.

3. Ramai orang selalu mengaitkan pemidato, sang penceramah agama yang pandai bercakap mempengaruhi emosi pendengar sebagai ulama' sedangkan takrif ulama' ialah orang berilmu yang bertaqwa.

Pernah ditanyakan kepada ulama' salaf tentang siapakah yang paling alim dikalangan mereka? Lalu dijawab oleh mereka dengan berkata yang paling bertaqwa dikalangan kami kerana Allah SWT berfirman ;

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, adalah para ulama." [Fathir :28]

Boleh saja seseorang itu bisu, gagap, tidak pandai berceramah atau pidato, sangat pendiam, tidak dikenali namun dia takut kepada Allah dengan ilmunya yang banyak maka jadilah dia seorang ulama'.

4. Apa jua label yang dipanggil oleh manusia seperti ulama', gelaran alim, dipanggil syeikh, tok guru, ustaz, tokoh Muharam, Safar, Maulidurrasul, tokoh Maal hijrah, tokoh pendakwah hakikatnya adalah hanya bernilai dihadapan manusia bukannya dihadapan Allah atau disisi para malaikat.

Bahkan pangkat Dato, Haji, Dr, Phd, MA hanyalah pencapaian duniawi yang mungkin bermanfaat dan mungkin juga tidak berguna langsung di hari akhirat.

5. Tak usahlah berbangga dan merasa hebat dengan pencapaian kita sedangkan itu semua hanyalah pemberian dan sedikit nikmat dari Allah. Dapat belajar ke universiti itu pun pertolongan Allah, sekadar berharap pada 'keputusan' peperiksaan kita boleh saja tercicir seperti ramai yang lain. Dapat pergi ke luar negara tu pun dengan duit zakat dan hasil bantuan ramai, jika ke sana dengan duit ibubapa maka siapakah yang masih memberikan kesihatan dan kemampuan kepada mereka jika bukan Allah ?

Kita tak punya apa-apa kecuali yang dipinjamkan oleh Allah.

Daripada Abdullah bin Amr RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda ;
من سمع الناس بعمله سمع الله به أسامع خلقه وحقره وصغره
Barangsiapa yang berusaha untuk manusia mendengar tentang amalan yang dilakukannya maka Allah pun akan memperdengarkan (perbuatannya) kepada sebahagian makhluknya yang mendengar dan menghinanya serta memperkecilkannya. [Riwayat al-Baihaqi dan disahihkan oleh Syeikh Albani]

Saturday, July 26, 2014

Selamat Menyambut Hari Raya Eid ul Fitri

Sebahagian dari kaum salaf diriwayatkan pernah menyebut ;

ليس العيد لمن لبس الجديد ، إنما العيد لمن طاعاته تزيد

ليس العيد لمن تجمل باللباس و الركوب ، إنما العيد لمن غفرت له الذنوب

Bukanlah hari raya itu pada orang yang memakai pakaian baru, tetapi sebenarnya hari raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya bertambah....

Bukanlah hari raya itu bagi orang yang kelihatan cantik pada pakaian dan kenderaan, tetapi hari raya itu sebenarnya adalah bagi orang yang telah diampunkan baginya segala dosa....

Hal yang sama dinukilkan dari Imam Hasan al-Basri rahimahullah yang berkata;

كل يوم لا يُعصى الله فيه فهو عيد

'Setiap hari yang padanya tidak dilakukan derhaka kepada Allah maka ia adalah hari raya.'

[Lata'if al-Ma`arif fi ma li Mawasim al-`Am min al-Waza'if, Ibn Rajab al-Hanbali]

# Selamat Menyambut Hari Raya Eid ul -Fitri kepada semua para sahabat, dengan ucapan ;

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Thursday, June 12, 2014

7 Panduan isteri apabila dipukul suami

Apabila seseorang isteri dipukul oleh suaminya maka hendaklah dia melakukan 7 perkara berikut :

1. Beristigfar dan bersabar ketika mula-mula dipukul tanpa menyebutkan perkataan yang buruk seperti mencaci, memaki dan mengikut emosi. Ini berdasarkan hadith rasulullah salallahualaihiwassalam ;

إنما الصبر عند الصدمة الأولى
"Sesungguhnya sabar itu adalah pada waktu pukulan yang pertama. " [Hadith Riwayat Muslim]

Maksudnya ialah kesabaran itu bermula pada saat-saat pertama kali ditimpa musibah. Diriwayatkan juga bahawa Umar al-Khattab RA pernah berkata ;

وجدنا خير عيشنا بالصبر
Kami mendapati kebaikan pada hidup kami datang dari sifat sabar. [al-zuhd wa al-raqaiq]

2. Mengucapkan kalimah istirja' iaitu ucapan ;

إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهَ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali.”

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang menyebut;

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ. الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.’ Mereka itulah orang yang mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”[Al-Baqarah: 155-157]

3. Tidak bertindak terburu-buru, bertenang dan melakukan muhasabah

Diriwayatkan ada hadith menyebut;

التأني من الله و العجلة من الشيطان
Ketenangan itu dari Allah dan tergesa-gesa itu dari syaitan [Riwayat Abu Ya'la dan Al-Baihaqi, dhaif]

Hendaklah seorang isteri itu melakukan muhasabah seperti kenapa dia dipukul? Apakah kesalahannya dan mengapa suami memukul dirinya? Perlu bezakan keadaan antara diri tidak bersalah lalu dipukul tanpa sebab dengan keadaan diri bersalah tetapi suami tidak sepatutnya memukul kerana pelbagai sebab.

Jika ada kesalahan, perbaiki dahulu diri kita sebelum mempertikaikan tindakan suami yang melampaui batas memukul isteri. Utamakan pembaikan sebelum terjun dalam pertengkaran yang berlanjutan.

4. Jangan menceritakan atau menyebarkan aib rumahtangga kepada orang lain sekalipun kepada ibubapa, kawan atau saudara-mara

Apa yang berlaku dalam rumahtangga ialah amanah dan aib yang tidak perlu dibuka kepada orang lain kecuali kepada sang alim yang ingin diminta fatwa atau mereka yang amanah dan bertaqwa untuk diminta nasihat serta hakim dan pihak berkuasa yang mahu menjalankan kewajipan hukum. Banyak perceraian berlaku bukan kerana 'suami pukul isteri' tetapi kerana cerita suami pukul isteri tersebar, wujud campur tangan keluarga mertua, sentimen dan emosi yang mengakibatkan JALAN DAMAI TERTUTUP.

Bukan semua orang boleh diceritakan masalah. Apatah lagi dalam laman sesawang atau di forum-forum terbuka.

Diriwayatkan Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah berkata ;

ولا تشاور في أمرك إلا الذين يخشون الله عز وجل

'Dan janganlah kamu bermesyuarat tentang urusan kamu kecuali bersama-sama dengan orang yang takut kepada Allah Azza wa Jalla.' [Sifatus Sofwah, Ibn Al-Jauzi]

5. Membuat keputusan apakah mahu berdamai dengan suami atau memilih jalan keluar daripada perkahwinan

Seorang isteri memiliki hak untuk memilih apakah mahu meneruskan rumahtangganya dengan harapan ianya akan kembali menjadi lebih baik atau mahu keluar daripada kongkongan suami yang pemarah dengan meminta khulu atau fasakh di mahkamah syariah.

Setiap kes dan situasi tidak sama, jadi setiap orang perlu membuat keputusan dengan melakukan istikharah, pertimbangan buruk-baik dan kesan perceraian kepada diri sendiri, anak-anak dan masa depan.

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;

ما ندم من استخار الخالق وشاور المخلوقين وثبت في أمره
'Tidak menyesal orang yang selalu istikharah kepada Sang Khaliq dan bermusyawarah kepada makhluk serta teguh dalam perkaranya.'

6. Menjaga adab dan akhlak ketika berurusan dengan suami dan menunjukkan contoh yang baik di hadapan anak-anak

Kehidupan ini adalah sementara, akhirat itu yang utama. Dan setiap musibah yang menimpa akan menjadi kaffarah dosa dan penghapus keburukan seseorang. Justeru adalah penting bagi seorang isteri yang dipukul untuk menjaga akhlak dan adab-adabnya tanpa memberontak dan mengikut emosi serta menunjukkan teladan dan contoh yang terbaik buat anak-anaknya.

Kebiasaan wanita apabila dipukul suami akan merajuk, namun isteri yang solehah akan memperbaiki dirinya dan bersabar serta melayani suaminya dengan baik sehingga suaminya itu akan merasa bersalah sendiri kerana perbuatan memukul isterinya yang baik itu.

Ini kerana orang yang bahagia dengan hasil hubungannya dengan Allah tak akan terancam dengan apa yang dilakukan oleh manusia kepada dirinya.

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;
ما يصنع أعدائي بي؟ أنا جنتي وبستاني في صدري، أين رحت فهي معي لا تفارقني، أنا حيسي خلوة، وقتلي شهادة، وإخراجي من بلدي سياحة
'Apa yang dapat diperbuat oleh musuhku kepada diriku? Sesungguhnya syurgaku dan tamanku ada di dalam dadaku. Ke mana aku pergi pun maka ia bersama denganku dan tidak berpisah denganku. Jika aku dipenjara maka ia menjadi tempat aku bersendiri dengan tuhanku dan jika mereka membunuhku maka aku beroleh syahid, dan jika mereka mengusirku keluar dari negeri maka ia adalah pelancongan bagiku.

Sebaliknya kata beliau lagi;
المحبوس من حبس قلبه عن ربه تعالى
والمأسور من أسره هواه
'Orang yang terpenjara atau terkurung itu ialah mereka yang hatinya terlindung dari tuhan-Nya. Dan orang yang tertawan itu ialah orang yang tunduk kepada hawa nafsunya.'

[Al-Waabil as-Sayyib min al-Kalim at-Tayyib, Ibn Qayyim]

7. Menjalinkan hubungan yang akrab dengan Allah, bertaubat dan sentiasa menjaga ibadah dan perintah-Nya

Mana-mana wanita yang menjadi hamba Allah yang bertaqwa, maka mereka pasti akan dipelihara oleh Allah seperti Maryam dan Asiah yang dipelihara daripada kejahatan manusia pada zaman mereka.

Daripada Utsman bin ‘Affan RA mengatakan, ‘Saya mendengar Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda, ‘Barang siapa yang mengatakan;

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi maupun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudharat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, nescaya tidak akan ada sesuatu pun yang akan dapat memudharatkannya” [Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi]

Sesungguhnya mereka yang zalim pasti tidak akan terlepas dan mereka yang tertindas dan teranaiya pasti akan dibalas dan dibela oleh Allah SWT.

Dia-lah sebaik-baik pembela dan pelindung !

Thursday, June 05, 2014

Agar hati menjadi lembut

Diriwayatkan daripada Abu Darda RA bahawa ada seorang lelaki mendatangi Nabi salalahualaihiwassalam dan mengadu tentang hatinya yang keras lalu baginda salallahualaihiwassalam pun pernah bersabda;

أتحب أن يلين قلبك وتدرك حاجتك أرحم اليتيم وامسح رأسه وأطعمه من طعامك يلن قلبك وتدرك حاجتك

'Adakah kamu suka supaya hatimu menjadi lembut dan hajat kamu dapat dicapai? Maka sayangilah anak yatim, usaplah kepala mereka dan berikanlah mereka makan daripada makanan kamu nescaya hati kamu akan menjadi lembut dan hajat kamu akan dapat dicapai.' [Riwayat Al-Tabarani, disahihkan oleh Syeikh Albani]

# Kerasnya hati adalah petanda ditariknya nikmat dan rahmat kerana Allah SWT telah berfirman;

فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

"Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang hatinya keras untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata [Az-Zumar:22]

Saturday, March 08, 2014

Kenapa sukar mencari isteri yang solehah?

Kata seorang teman, susah nak cari isteri yang solehah zaman sekarang.

Ditanya kenapa?

Dia pun menjawab dengan berkata ;

'Mak bapak zaman sekarang ini menghantar anak perempuan mereka pergi belajar tinggi-tinggi untuk jadi doktor, lawyer, jurutera, ustazah dan balik bekerja untuk balas budi mak bapak.'

Tetapi tak ada pula yang menghantar anak perempuan mereka untuk menjadi isteri solehah.

Dari Abu Hurairah RA, dia berkata,
قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ قَالَ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ

'Pernah ditanyakan kepada Rasulullah salallahualaihiwassalam, “Siapakah wanita yang paling baik?” Jawab Baginda, “Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah, dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci.' (Riwayat Ahmad dan al-Nasaie)

Kata Nabi Salallahualaihiwassalam, wanita yang paling baik ialah wanita yang menjadi isteri yang solehah bukan wanita yang menjadi doktor, ustazah, jurutera, lawyer dan pensyarah.

Tetapi ada mak bapa ajar hal ini? Mana ada bahkan jarang sekali kerana tak menguntungkan duniawi!

Anak jadi isteri solehah mak bapa tak dapat merasai nikmat kesenangan dunia, tetapi jadi doktor dan bergaji tinggi mak bapa sakit demam boleh masuk hospital swasta dapat layanan istimewa.

Pesanan suruh menjadi isteri yang solehah pun jarang dan boleh dibilang. Yang kerap ialah suruh belajar cemerlang dan balik balas budi mak bapak atau bekerja besar dan hidup senang!

Mana ada yang ingat nak hantar anak perempuan untuk jadi isteri solehah, ibu mithali dan taat pada suami. Silap-silap disuruhnya derhaka kepada suami kerana untuk memenuhi kehendak diri.

Apa susah, kau tu belajar tinggi-tinggi dan bekerja ada gaji. Cari saja lelaki lain, itu ayat kegemaran ibubapa!

Lalu bagaimana tak binasa rumahtangga dan generasi akan datang? Institusi kekeluargaan Muslim hanya menjadi kenangan dan angan-angan.

# Komen saya; 'Harapan masih ada jika kaum lelaki ada ilmu dan tidak berputus asa untuk mendidik kaum muslimah.

Maksudnya muslimah kenalah cari lelaki yang berilmu untuk mendidiknya dan dia pun kenalah dengar cakap dan tidak keras kepala dengan suaminya.

Ini kerana Allah berfirman;

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِنْ رَبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

"Maka apakah orang-orang yang dibukakan oleh Allâh hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Rabb-nya (sama dengan orang yang hatinya keras)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang hatinya keras untuk mengingat Allâh. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata [Az-Zumar :22]

Wanita perlu sanggup berubah, keluar dari zon selesa untuk mencari redha Allah. Tak pernah ada istilah terlambat kerana apa yang penting ialah pengakhiran bukan bagaimana ia bermula.

Kata Nabi salallahualaihiwassalam;
الأعمال بالخواتيم
'Sesungguhnya amalan itu adalah bergantung kepada pengakhirannya.' (Riwayat al-Bukhari)

# Harapan umat masa depan, hancur atau binasa kini ditangan anda!

Wednesday, February 12, 2014

Solat sunat selepas 'Akad Nikah', kekeliruan dan salah faham orang awam

Sepatutnya solat sunat selepas akad nikah tidak ada, ianya perkara baru. Biarpun yang melakukannya ialah artis dan orang terkenal namun tidaklah boleh diikuti apabila ianya menyalahi al-sunnah.

Apa yang dianjurkan ialah melakukan sujud syukur kepada Allah jika mahu dilakukan kerana telah mendapat nikmat isteri atau kerana terlalu gembira. Daripada Abi bakrah RA bahawa;
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا أتاه أمر يسره وبشر به خر ساجدا شكرا لله تعالى
'Nabi Salallahualaihiwassalam apabila mendapati berita yang membuatkan baginda menjadi gembira maka baginda pun akan turun sujud menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT.' [Riwayat Ahmad, al-Tirmidzi dan lain-lain]

Tidak ada solat sunat selepas akad nikah, di depan orang ramai, dihadapan kamera dan lain-lain.

Adapun solat sunat yang dianjurkan ialah solat sunat ketika masuk menemui isteri dalam bilik daripada hadith Abu Said yang meriwayatkan bahawa ;
أن نفراً من أصحاب الرسول صلى الله عليه وسلم علّموه فقالوا له : إذا دخل عليك أهلك فصل ركعتين ثم سل الله من خير ما دخل عليك وتعوّذ به من شرّه
'Sekumpulan daripada sahabat rasulullah salallahualaihiwassalam telah mengajarnya dengan mengatakan apabila kamu masuk menemui pasanganmu maka solatlah dua rakaat lalu berdoa kepada Allah supaya meminta kebaikan yang ada padanya dan meminta perlindungan dari keburukannya.' [Riwayat Abd Razak] dan juga hadith dari riwayat Ibn Mas'ud RA yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah.

Inilah solat yang dianjurkan iaitu solat sebelum jimak (bersetubuh).

Kedua-dua hadith menyarankan dilakukan solat sunat ketika suami masuk menemui isteri dalam bilik berdua-duaan bukan ketika depan orang ramai dengan siap ditangkap gambar dan sebagainya lagi.

Hal itu adalah tidak benar dan menyalahi al-sunnah.

Allah SWT menyebut;

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

“(Hamba-hamba Allah yang diberi khabar gembira itu sifatnya ialah) Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” (Az Zumar: 18)

Tuesday, December 24, 2013

Hukum 'home birth' atau beranak di rumah


1. Amalan beranak dirumah atau 'home birth' pada zaman dahulu merupakan adat kebiasaan masyarakat yang lazim berdasarkan kemahiran semasa mereka seperti perbuatan bertani, bercucuk-tanam dan seumpamanya.

Hukumnya ialah harus pada zaman dahulu kerana ia termasuk dalam perkara yang disebut dalam hadith Rafi' bin Khadij al-Ansori RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda ;

أنْتُمْ أعْلَمُ بِأُمُوْرِ دُنْيَاكُمْ
”Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu semua." [Riwayat Muslim]

Justeru untung-rugi adalah berdasarkan rezeki Allah yang ber'asbab'kan kepada kemahiran dan teknologi zaman tersebut.

Oleh itu risiko kematian ibu bersalin, bayi lemas memang tidak dapat dielakkan pada zaman tersebut dan diterima sebagai takdir Allah seperti penyakit taun, tibi, buasir, diarrhea, demam kepialu, dan lain-lain.

Namun pada zaman hari ini risiko tersebut sudah tidak wujud lagi atas faktor teknologi, perkembangan ilmu perubatan dan sebagainya. Maka menolak kebaikan teknologi dan menjerumuskan diri kepada bahaya dan risiko kematian akibat bersalin dirumah tanpa ilmu yang mencukupi dan kemudahan perubatan adalah Haram serta termasuk perbuatan derhaka kepada Allah dan kufur kepada nikmat-Nya.

Hadith menyebut :
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
"Tidak boleh mendedahkan diri kepada mudharat dan melakukan kemudharatan." [Riwayat Malik, Ibn Majah dll]

Kaedah ini bertepatan dengan amalan salaf yang menyebut barangsiapa yang berpuasa sedangkan dia tidak mampu lalu mati maka dia seolah-olah telah membunuh dirinya.

2. Perbuatan beranak dirumah pada hari ini adalah harus dengan syarat memiliki pengetahuan asas yang penting bagi mengelakkan risiko bahaya, mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Tetapi sebaik-baiknya ialah menghantar isteri atau ibu mengandung ke hospital kerana hal ini bertepatan dengan Firman Allah SWT;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Bertanyalah kepada ahli ilmu jika engkau tidak tahu." [An-Nahl: 43].

Iaitu merujuk sesuatu urusan kepada pakar dan ahlinya, bukan tunjuk pandai atau menjadi ruwaibidhah dalam bidang perubatan.

Dan kata Ali bin Abi Thalib RA, 'Hanya keldai yang menolak layanan yang baik.' [Riwayat Said bin Mansur dalam Sunannya]

Para salaf RA, jika hidup pada hari ini pun akan ke hospital atau beranak dengan ada orang yang pakar mengendalikannya.

3. Alasan tidak mahu beranak dihospital kerana isu aurat, isu doktor lelaki merawat isteri boleh diatasi dan lebih ringan mudharatnya berbanding maslahat nyawa. Bahkan mempercayai kononnya beranak dirumah adalah lebih beragama kerana mencontohi Maryam AS adalah tidak benar. Ini kerana kejadian yang berlaku dizaman dahulu adalah sesuai dengan keadaan umatnya.

4. Hujah saya dah beranak 3 orang dirumah dan suami saya menyambut bayi saya tanpa ada masalah bukanlah hujah untuk semua. Faktor kesihatan setiap orang tidak sama, masalah kesihatan yang dihidapi setiap orang adalah berbeza dan Islam tidak pukul rata melayani semua manusia. Bahkan dalam hadith yang sahih, Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah ditanya amalan apakah yang paling utama dan baginda menjawab dengan jawapan yang berbeza bagi setiap orang.

Justeru menetapkan kepercayaan bahawa saya 'OK' maka orang lain pun mesti 'OK' adalah tidak wajar dan silap.

Akhir kata, Baginda salallahualaihiwassalam pernah bersabda ;

يسروا ولا تعسروا
'Permudahkan dan jangan persusahkan.' [Riwayat al-Bukhari]

Islam ini agama yang mudah, jangan menyusahkan diri dalam hal yang tak disuruh oleh agama. WA

Tuesday, December 10, 2013

Musibah banjir tanahair

Bagi kita yang tidak terlibat dengan banjir dan hanya menyaksikan musibah tersebut maka eloklah kita bersyukur kepada Allah dan merasa insaf atas kejadian yang berlaku sambil menyebut ;

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِيْ مِمَّا ابْتَلاَكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيْلاً

'Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku dari apa yang menimpamu dengannya dan mengutamakan aku di atas sekalian banyak makhluk-Nya dengan kelebihan yang banyak.' [Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah]

Adapun bagi yang terlibat dengan musibah yang berlaku maka mohonlah keampunan kepada Allah serta beristighfar sambil membaca ;

إنا لله وإنا إليه راجعون، اللهم أجرني في مصيبتي وأخلف لي خيرا منها
' Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, Ya Allah, berilah pahala kepadaku atas musibah yang menimpa diriku dan gantikanlah untukku dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.'

Kerana disebut dalam hadith barangsiapa yang membacanya selepas ditimpa sesuatu musibah maka Allah akan memberikannya pahala atas musibah yang menimpanya dan mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. [riwayat Muslim]

# Biarlah kita bercakap, beramal atas dasar ilmu dan al-sunnah bukan mengikut hawa nafsu dan kejahilan.

Melantik orang politik ke dalam syarikat GLC ialah perbuatan tidak amanah

Adalah dianggap tidak amanah dan tidak wajar apabila parti-parti politik baik UMNO dan PAS, BN atau Pakatan untuk melantik ahli pimpinan parti atau 'orang kuat' mereka untuk memegang jawatan dalam syarikat GLC (Government Linked Companies) baik di peringkat pusat atau kerajaan negeri.

Allah SWT berfirman ;

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila kalian menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. [An-Nisa : 58]

Sudah menjadi amalan biasa dalam politik Malaysia yang amat 'menjijikkan' apabila parti-parti politik yang memenangi pilihanraya dan berjaya membentuk kerajaan di peringkat negeri atau pusat maka mereka pun akan melantik orang-orang mereka ke dalam jawatan-jawatan penting kerajaan dan juga badan-badan korporat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan atau kepentingan di dalamnya.

Disebut dalam hadith al-Bukhari dan Muslim tentang seorang lelaki yang ditugaskan mengutip zakat, lalu dia pun mendatangi baginda sambil berkata ini bahagian kamu (yakni zakat) dan ini untukku (yang diberi orang sebagai hadiah) maka baginda pun murka lalu berkata ;

ألا جلس في بيت أبيه فينظر أيهدى إليه أم لا‍‍‍‍‍‍
'Apakah jika dia pergi duduk di rumah bapaknya dan tunggu apakah hadiah itu akan datang kepadanya atau tidak ?' Lalu baginda mengancam dengan azab neraka kepada orang yang apabila diutuskan dengan sesuatu amanah maka dia mengambil sesuatu yang bukan haknya.

Ini dalil jelas bahawa Ahli-ahli politik itu, jika bukan kerana faktor politik maka sudah tentu mereka tak akan dilantik ke jawatan tersebut lalu dapat menikmati elaun dan gaji yang lumayan dalam syarikat GLC terbabit.

Bahkan kerap kali juga pelantikan itu sebagai 'membalas jasa' atau 'membalas budi' sebagai hasil kerja kuat memenangkan parti dalam pilihanraya, sebagai habuan kepada usaha mereka dan lain-lain.

Syarikat-syarikat itu majoritinya dibina dengan wang rakyat, dana awam dan geran dari kerajaan, bukannya duit 'ibubapa' mereka atau 'derma' dari tabung parti-parti yang memenangi pilihanraya tersebut.

Ini ialah pecah amanah, tidak jujur dan haram hukumnya serta amalan tersebut adalah berdosa sekalipun Ustaz-ustaz yang dilantik ke jawatan tersebut.

Bahkan ada syarikat yang terpaksa mewujudkan 'jawatan khas' yang bukan-bukan semata-mata nak 'justify' kenapa mereka perlu membayar gaji dan elaun yang tinggi kepada orang-orang ini.

Akhir kata, hayatilah hadith ini ;

لا إيمان لمن لا أمانة له
'Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah.' [Riwayat Ahmad]

Saturday, October 26, 2013

Muslimah yang terkantoi


Dalam satu soal-jawab di dalam telepon, seorang perempuan membuat panggilan kepada Syeikh Abdullah Al-Mutlaq dan bertanyakan soalan, setelah soalannya dijawab oleh syeikh maka si perempuan tersebut pun meminta Tuan Syeikh untuk mendoakan dirinya supaya dapat berkahwin dengan Syeikh Muhammad Al-Arifi.

Lalu Syeikh Abdullah al-Mutlaq bertanya kepada perempuan tersebut, adakah kamu suka kepada Syeikh Muhammad Al-Arifi itu sebab wajah kacaknya atau kerana ilmunya ?

Lalu perempuan tersebut menjawab, kerana ilmunya.

Maka Syeikh pun membalas, kalau begitu Syeikh Soleh Al-Sadlan (berumur 72 tahun) adalah lebih alim daripada Syeikh Muhammad Al-Arifi jadi aku akan berdoa kepada Allah supaya engkau dapat berkahwin dengan Syeikh Soleh Al-Sadlan !

Ambik kau !

P/s :

Perkara yang sama selalu terjadi untuk semua tokoh2 pendakwah yang 'handsome' baik Nouman Ali Khan, Mufti Menk, Fatih Seferagic dan lain-lain.

Saturday, August 31, 2013

Menikahlah kerana agama agar kau tidak menderita

Diriwayatkan oleh Imam Yahya bin Yahya al-Naisaburi rahimahullah yang berkata bahawa beliau pernah bersama dengan Imam Sufyan bin Uyainah Rahimahullah apabila ada seorang lelaki yang datang dan mengadu kepada Imam Sufyan berkenaan masalah rumahtangganya.

Kata lelaki itu, isterinya sering menghinanya dan membencinya.

Lalu Imam Sufyan pun berkata ; لعلك رغبت إليها لتزداد بذلك عزا
'Boleh jadi kamu menikahinya kerana mahu meninggikan status kedudukanmu ?

Lelaki itu pun menjawab benar wahai Abu Muhammad (kuniyah Imam Sufyan).

Maka Imam Sufyan pun berkata ;
من ذهب إلى العز ابتلي بالذل، ومن ذهب إلى المال ابتلي بالفقر، ومن ذهب إلى الدين يجمع الله له العز والمال مع الدين
'Barangsiapa yang menikahi kerana mencari kedudukan yang mulia maka dia akan diuji dengan kehinaan, barangsiapa yang bernikah kerana harta maka dia akan ditimpa kefakiran, dan barangsiapa yang menikah kerana agama maka Allah akan menghimpunkan baginya kedudukan dan harta bersama dengan agama.'

Kemudian Imam Sufyan pun menceritakan,

Kami mempunyai 4 orang adik-beradik. Iaitu Muhammad, Imran, Ibrahim, dan diriku. Abang yang paling tua ialah Muhammad dan Imran pula yang paling muda manakala aku pula ditengah-tengah. Apabila Muhammad mahu bernikah maka dia ingin mencari kedudukan lalu dia pun menikahi seorang wanita yang berkedudukan lalu Allah pun mengujinya dengan kehinaan. Imran pula menginginkan harta maka dia pun menikahi wanita yang kaya lalu Allah membalasnya dengan kefakiran. Semua hartanya diambil tanpa ditinggalkan sedikit pun.

Aku memerhatikan keadaan mereka lalu satu hari Ma'mar bin Rasyad datang kepada kami dan aku pun meminta nasihatnya sambil menceritakan kisah yang dihadapi oleh saudara-saudaraku. Maka beliau pun mengingatkan aku dengan hadith Yah'ya bin Ja'dah dan hadith A'isyah RA. Adapun hadith Yahya bin ja'dah meriwayatkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda ;
تنكح المرأة على أربع: دينها، وحسبها، ومالها، وجمالها، فعليك بذات الدين تربت يداك
'Dinikahi wanita itu kerana empat perkara iaitu kerana agamanya, kedudukannya, hartanya dan kerana kecantikannya. hendaklah engkau memilih yang beragama nescaya engkau akan beruntung.' [riwayat Al-Bukhari]

Sedang hadith A'isyah pula menyebut ;
أعظم النساء بركة أيسرهن مؤنة
'Wanita yang paling berkah ialah yang paling murah belanja untuk menikahinya.' [Riwayat al-Nasaie]

Justeru aku pun memilih untuk menikahi wanita yang beragama dan yang murah belanjanya menurut sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Maka Allah pun memberikan aku kedudukan, kekayaan dan juga agama.

[Tahzib al-Kamal, Al-Mizzi]

Friday, August 16, 2013

Langkah seterusnya untuk rakyat Mesir


Pada pendapat saya, sudah sampai masanya para ulama' sunnah dan para pemimpin Islam di Mesir membuat keputusan segera apakah mereka akan meneruskan perjuangan untuk menjatuhkan thaghut Mesir (pemerintah tentera) atau bersurai dan kembali pulang ke rumah untuk mengelakkan pertumpahan darah yang berterusan.

Jika mereka mahu meneruskan perjuangan menjatuhkan thaghut Mesir, maka jalannya bukanlah lagi dengan duduk di medan Rabaah sebaliknya mereka harus tekad mengangkat senjata lalu berperang dengan tentera yang zalim itu sehingga beroleh kemenangan atau mereka semua syahid.

Syair Arab menyebut ;
إذا لم تستطع شيئا فدعه *** وجاوزه إلى ما تستطيع
'Apabila engkau tidak sanggup mengusahakan sesuatu
Maka tinggalkanlah ia lalu berpindahlah melakukan sesuatu yang engkau sanggup.'

Sejarah, waqi' dan nass membuktikan bahawa apa jua kebenaran yang hendak diperjuangkan tidak akan dicapai dengan duduk membantah (protes) sahaja. Rakyat Libya menjatuhkan Muammar Gaddafi dengan perang dan begitu juga dengan mana-mana kuasa tentera hanya dapat dijatuhkan dengan kuasa yang sama. Bani Umayyah tertegak dengan perang menghapuskan lawan-lawan politik, bani Abbasiyyah pun terbina dengan perang mengalahkan kuasa Umayyah.

Allah SWT berfirman ;

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnaya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu". [Al Hajj : 39].

Amerika Syarikat menyedari hal ini, justeru demi menjatuhkan Saddam Hussain maka mereka menggunakan ketenteraan bersama NATO dan negara bersekutu. Campur tangan untuk mengguling dan menyekat kekuasaan Taliban di Afghanistan juga dilakukan dengan tentera bukan dengan tunjuk perasaan dan duduk di medan perhimpunan.

Nyawa umat Islam terus tumpah, justeru tindakan segera perlu diambil oleh para pemimpin gerakan Islam dan ulama' Mesir untuk menimbang langkah seterusnya. Apakah jihad atau bersurai, apakah berjuang sehingga syariah kembali ke Mesir atau bersurai menanti pilihanraya baru untuk bertanding dan menaikkan semula calon-calon pemimpin yang berwibawa.

Kita mendoakan kebaikan kepada semua umat Islam di sana dan diseluruh dunia yang tertindas kerana kita semua hakikatnya bersaudara !

Wednesday, August 07, 2013

Sunnah-sunnah Hari Raya (Eid fitri)

Mengikuti sunnah ialah kewajipan bagi mereka yang beriman dan menyelisihinya ialah kesesatan dan keburukan. Berikut ialah sunnah-sunnah hari raya Eid Fitri yang dianjurkan kepada setiap orang yang beriman untuk mengikutinya.

1. Bertakbir sebanyak-banyaknya bermula dari terbenamnya matahari Ramadhan yang terakhir (malam raya) sehinggalah selepas solat sunat hari raya. Firman Allah SWT ;
ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur." [Al-Baqarah:185]

Riwayat daripada Zuhri menyebut bahawa para sahabat bertakbir apabila keluar dari rumah menuju ke tempat solat lalu berhenti bertakbir apabila selesai solat. [Riwayat Ibn Abi Syaibah]

Lafaz takbirnya ; الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله ، الله أكبر ولله الحمد

2. Disunnahkan mandi sebelum solat hari raya berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar RA ;
أنه كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
'Bahawa beliau (Ibn Umar) mandi pada hari raya eid fitri sebelum menuju ke tempat solat.' [riwayat Malik di dalam al-Muwatha]

Termasuk sunnah dalam mempersiapkan diri ke tempat solat hari raya ialah dengan mencabut bulu ketiak, mencukur kemaluan, memotong kuku dan memakai minyak wangi bagi lelaki.

3. Memakai pakaian yang cantik dan terbaik yang dimiliki. (Tidak disyaratkan BARU, tetapi yang disunnahkan ialah yang terbaik yang dimiliki)

Ibn Umar RA memakai pakaian yang terbaik yang dimilikinya pada hari raya. Di dalam sahih Ibn Khuzaimah menyebut bahawa baginda Nabi salallahualaihiwassalam memiliki jubah khusus yang dipakai baginda pada hari raya dan Jumaat.

4. Disunnahkan makan (melapik perut bukan melantak) sebelum menuju ke tempat solat. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ
Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam tidak keluar pada pagi hari Raya sehinggalah makan beberapa biji tamar...[riwayat al-Bukhari dengan menyebut bahawa baginda memakannya dengan bilangan ganjil]

5. Menuju ke tempat solat dengan berjalan kaki jika mampu. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA yang menyebut ;
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يخرج إلى العيد ماشيا ويرجع ماشيا
Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar pada hari raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang ke rumah dalam keadaan berjalan kaki. [Riwayat Ibn Majah]

6. Pergi dan kembali dari tempat solat dengan jalan yang berbeza. Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah RA yang menyebut ;
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam, pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan pulang dari solat hari raya). [Riwayat Al-Bukhari]

7. Solat di padang atau di tanah lapang. Diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri yang berkata : 'Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar menuju ke tempat solat pada hari 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha di padang atau tanah lapang.' [riwayat al-Bukhari]

Hikmahnya ialah supaya solat dan khutbah dapat disaksikan oleh semua orang dan diikut serta oleh para wanita dan kanak-kanak baik yang haid atau yang suci.

8. Jika solat di masjid, disunnahkan untuk tidak duduk selagi belum menunaikan solat sunat tahiyatul masjid. Nabi salallahualaihiwassalam bersabda ;
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
'Jika kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah duduk sehingga solat dua rakaat.' [riwayat al-bukhari]

9. Disunnahkan keluar semua orang ke tempat solat baik lelaki dan wanita, yang haid mahupun yang suci, kanak-kanak atau orang tua untuk menunaikan solat hari raya bagi yang dapat solat dan sekadar menyaksikannya bagi yang tidak boleh solat berdasarkan hadith dari Ummu Athiyyah seperti yang diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari.

Orang perempuan jangan duduk dirumah atau didapur, atau menonton TV sebaliknya hendaklah ikut kaum lelaki dan suami keluar solat atau menyaksikan orang solat. Hendaklah kaum perempuan keluar jika ada pakaian yang boleh dipakai berdasarkan riwayat yang menyebut ;
حَقٌّ عَلَى كُلِّ ذِيْ نِطَاقٍ الْخُرُوْجُ إِلَى الْعِدَيْنِ
'Menjadi hak bagi mereka yang ada pakaian untuk menutup badannya untuk keluar pada hari raya.' [Riwayat Ibn Abi Syaibah]

Cuma mereka tidak boleh bertabarruj dan memakai minyak wangi apabila keluar.

10. Mengucapkan ucapan tahniah dan mendoakan satu sama lain apabila berjumpa berdasarkan riwayat dari salaf yang menyebut perkataan ;

تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُم
'Semoga Allah menerima amalan dari kami dan dari kamu.' Namun menurut kata Imam Ibn Taimiyyah, disisi Imam Ahmad, ianya hanya sekadar harus dan tidak disyariatkan. Walau bagaimanapun amalan ini termasuk dalam sunnah umum apabila ziarah dan bertemu sesama muslim disamping mengucapkan salam, bersalam-salaman dan memberikan hadiah kepada orang yang diziarahi.

Adapun ucapan 'minta maaf zahir batin' tiada dalil atau sunnah dari amalan salaf atau menepati situasi hari raya namun tidak dilarang dan diharuskan mengucapkan apa saja, sebaik-baiknya mengucapkan doa seperti taqabalallah adalah lebih diutamakan.

11. Disunnahkan untuk bergembira pada hari raya dan bersyukur atas nikmat Allah SWT dan banyak memuji dan membesarkan Allah SWT. Terdapat banyak riwayat yang menyebutkan tentang keharusan nyanyian atau memukul gendang atau permainan pedang dizaman baginda Nabi salallahualaihiwassalam. Ianya tidak dilarang kerana meraikan kegembiraan orang ramai.

Makruh bersedih dan menziarahi kubur pada hari raya atau mengenang hal yang menyedihkan kerana hari raya disunnahkan bergembira. Justeru memberi duit raya atau bermain dan sebagainya yang tidak menyalahi batas hukum syarak adalah diharuskan.

12. Menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, sesama kaum muslimin adalah diharuskan bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim namun amalan ini hendaklah berterusan kerana tidak ada dalil yang jelas mengkhususkan amalan ziarah pada hari raya sebaliknya dilakukan pada sebarang kesempatan waktu dan fadhilatnya besar iaitu, hadith rasulullah salallahualaihiwassalam yang menyebut ;
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
'Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.' [riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Perbuatan menziarahi pada hari raya termasuk adat yang baik apabila semua orang bercuti dan dapat berjumpa dengan kenalan lama, keluarga yang jauh dan sebagainya.

P/s :

Saya sekeluarga mengucapkan selamat Hari Raya Eid al-Fitri kepada semua sahabat dan kenalan, semoga Allah menerima amalan kami dan kamu. Wassalam.