Friday, August 19, 2005

Pengenalan Imam Syafie ra

Berkenaan soalan mengenai sejarah Imam syafie dan sebagainya ana mencadangkan eloklah kiranya dicari sendiri sejarah hidupnya dan buku mengenai sejarah Imam Syafie begitu banyak jadi carilah sirah yang sahih dari rujukan yang tepat.

Berkata Imam Ahmad ibn hanbal ra tentang Imam Syafie ra : “Sesungguhnya Allah memberi nikmat kepada kami melaluinya dan telah kami pelajari ilmu dari sesuatu kaum dan menulis ilmu dari mereka sehinggalah munculnya As-Syafie kepada kami dan setelah kami mendengar ilmu darinya maka tahulah kami bahawa dia itu lebih alim dari orang selainnya dan kami duduk bersamanya pagi dan petang tidaklah kami menemui darinya melainkan yang baik-baik” (sila lihat Tarikh Islam oleh Ad-dzahabi m/s 334).

Sesungguhnya menurut ulama tarikh, nama beliau ialah Muhammad ibn Idris bin Abbas ibn Usman bin Syafie bin Sai’ib bin Ubaid ibn Yazid bin Hisyam bin Muthalib ibn Abd Manaf bin Qais. Iaitu bertemu keturunan nabi salallahualaihiwasalam pada sebelah datuk.

(Demikian menurut ulama seperti yang disebut dalam Tazkirat Huffaz Jilid 1 m/s 329, tahzibul tahzib m/s 25 Jilid 9 dll).

Dilahirkan pada 150 Hijrah di Gaza , Palestin walaupun pada asalnya bapanya merupakan asal dari Yaman dan menetap di Makkah dan bapanya mati setelah Imam Syafie ra lahir dan dijaga oleh ibunya selepas itu. Keluarga mereka kemudiannya berhijrah ke Makkah ketika Imam Syafie masih berumur 2 tahun.

Imam Syafie menamatkan hafazan Al-Qur’an ketika umurnya 7 tahun dan hal ini satu perkara biasa dan sekiranya dilihat adat orang arab mereka memang membiasakan anak kecil dengan menghafaz Al-Qur’an. Walaubagaimanapun Imam Syafie ra diberkati Allah swt dengan kekuatan menghafaz kerana diasuh dalam minat ilmu dan tarbiyah Islamiyah apabila dia mampu memahami apa yang dihafaznya.

Beliau juga telah menghafaz kitab Al-Muwatho karya Imam Malik ra ketika umurnya 10 tahun dan mula belajar di sisi Imam Malik ketika umurnya 13 tahun. Dia belajar Al-Qur’an di sisi gurunya Syeikh Ismail ibn Qastantin dan beliaulah yang menjelaskan kepada Imam Syafie bahawa Al-Qur’an itu ialah isim (kata nama) bukan di’irabkan dari kalimat qira’atu (dibaca) dan juga Imam Syafie ra mengambil ilmu dari Sufyan Ibn Uyainah ra dan Muslim bin Khalid Az-Zanji serta Said ibn Salim dan Daud bin Abd Rahman, Abd Majid bin Abd Aziz bin Abi Daud dan mereka ini semuanya merupakan gurunya di Makkah.

Manakala gurunya di Madinah ialah Imam Malik bin Anas ra, serta Ibrahim bin Said Al-ansori, Abd Aziz bin Muhammad Ad-Darawardi dan Abdullah ibn Nafi’.

Adapun Syeikh dan guru Imam Syafie di Yaman ialah Mutharif bin Mazan, Hisyam bin Yusof (Qadhi San’a) , Amru bin Abi Salamah (sahabat Imam Auzaie) dan Yahya bin Hasan (sahabat Imam Laits Bin Said).

Manakala gurunya dari Iraq pula ialah seperti Waqi’ ibn Jarrah ra, Hammad ibn Usamah dan Ismail bin Aliyah serta Abd Wahab bin Abd Majid dan Muhammad bin Hassan.

Sesungguhnya Imam Syafie bukan sahaja alim dalam fiqh dan hadith bahkan juga ilmu bahasa dan sastera arab serta pelbagai lagi cabang ilmu sekalipun dirinya masih muda tetapi telah dikenali dan diiktiraf oleh ulama pelbagai bidang dan tempat.

Di antara anak muridnya pula yang menadah ilmu dari Imam Syafie ra ialah Abu Abdullah Imam Ahmad ibn Hanbal ra yang terkenal sebagai ulama mazhab dan alim hadith sehingga disebut oleh Imam Syafie ra kepada Imam Ahmad dengan kata Imam Syafie :

" Kamu lebih alim tentang hadith dan ilmu rijal dari aku (katanya kepada Imam Ahmad ibn Hanbal) maka jika sesuatu hadith itu sahih maka beritahulah aku tentangnya…".

(Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya "Adabul Syafi'ie", m/s 94).

Selain dari Imam Ahmad ramai lagi ulama dan fuqaha yang belajar dengan Imam Syafie seperti Hassan Bin Muhammad Az-Za’farani, Hussin Al-Karabisi, Ismail bin Yahya Al-Muzni, Rabi bin sulaiman al-Maradi dan Rabi bin Sulaiman al-Jizi dan Abu Ya’kub Yusof bin Yahya Al-Buwaiti, dan Hurmalah bin Yahya dan Muhammad bin Abdullah Al-Misri dan Abdullah bin Zubair Al-Humaidi dan lain-lain.

Imam Syafie menghabisi umurnya dalam belajar dan mengajar sehingga ke akhir hayat tanpa menamatkan pengajian dan pembelajaran walaupun sudah bergelar Imam tidak seperti insan sekarang yang merasakan sudah alim dengan hanya mempunyai gelaran Doktor atau Master di depan atau belakang namanya.

Lebih teruk dari itu, gelaran ustaz sudah cukup membuatkan dirinya berlagak dan mengaku alim sedangkan para imam terdahulu begitu merendah diri dan memuliakan ilmu. Namun sekarang dengan hanya bertitle phd yang diperolehi dengan kajian sejemput dalam tajuk tertentu sudah berlagak mengetahui semua perkara dalam Islam.

Pada tahun 198 Hijrah, Imam Syafie brhijrah ke Mesir dan mengahwini perempuan di sana dan menetap di sana sehinggalah wafatnya dan mengajar di Masjid Amru bin Ash ra dalam pelbagai ilmu sehinggalah pada tanggal 204 Hijrah beliau mengalami sakit buasir dan melemahkan badannya yang membawa kepada kematiannya pada bulan Rejab di pangkuan muridnya Rabi’ ibn Sulaiman Al-Jizi dan dikebumikan di Mesir dan umurnya ketika itu ialah 54 tahun.

Pujian ummah dan ulama kepada Imam Syafie :

Berkata Imam Ahmad ra : “ Sesungguhnya Imam Syafie bagaikan matahari di dunia ini..”

Berkata Imam Abd Rahman bin Mahdi ra : “Tidaklah aku bersolat melainkan aku mendoakan kepada Imam Syafie ra”

Berkata Yunus bin Abd A’la : “Jika dikumpulkan kebijaksanaan umat ini tidaklah menyamai kebijaksanaan Imam Syafie”

Kitab Imam Syafie yang terkenal ialah “Ar-Risalah” yang merupakan kitab pertama dalam Usul fiqh yang ditulis secara tersusun seterusnya kitab Al-Umm serta Kitab “Al-Imla ul Shaghir” dan “Al-Imla ul Kabir” dan Mukhtasar Al-Muzni” dan “Mukhatsar Al-Buwaithi” yang dicetak di kitab Al-Umm di jilid pengakhiran dan lain-lain dari risalahnya.

Kesimpulan

Setelah kita mengetahui kealiman Imam Syafie, kefadhilan dan kelebihannya maka seharusnya kita tidak mengabaikan nasihat dan ajaran ilmunya serta mengambil kemanfaatan dari susah payah diri beliau mencari ilmu yang kemudiannya diperkembangkan usul dan fahamannya terhadap fiqh Islam serta manhaj Islam itu sendiri sehingga tersebarnya mazhab syafie yang bermakna pegangan usul syafie ra dalam fiqh Islam.

Maka wajarlah kita memegang benar nasihat beliau yang banyak mengajar kita supaya berpegang kepada Islam dengan ilmu dan menjauhi taqlid dan kejahilan seperti pesanan beliau :

"Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)"
(Sila rujuk Imam An-Nawawi dalam kitabnya "Al-Majmuk", m/s 63 / 2).

" Setiap Hadith dari Nabi Salallahulaihiwasalam itulah sebenarnya pendapat aku cuma sahaja mungkin kamu tidak mendengarkannya dari aku."
(Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya " Adabul Syafi'ie" m/s 93).

"Barangsiapa yang bertaqlid pada mengharamkan sesuatu atau menghalalkan sesuatu dan jelas taqlidnya itu berlawanan dengan hadith dan kerana taqlidnya itu menyebabkan dia dilarang atau menyekatnya dari beramal dengan sunnah maka sesungguhnya dia telah mengambil orang yang ditaqlidnya itu sebagai tuhan selain dari Allah swt ."


" Dan sesungguhnya hadith nabi itu lebih utama, dan janganlah bertaqlid padaku”

(Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya " Adabul Syafi'ie" m/s 93).

Dengarilah pesanan Imam Syafie dengan menuruti Al-Qur’an dan sunnah dan mengambil pertunjuk salaf soleh yang alim dan faham akan islam dnegan kefahaman yang sahih dan menjauhi taqlid buta dan ikutan jahil tanpa hujah dan dalil kerana itulah pesana para ulama dan perintah Islam kepada kita semua.


" Apakah kamu mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu ?" (Surah Al-Baqarah : 80).

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

No comments: