Thursday, January 02, 2020

Perbuatan dedah-dedah, tidak dibenarkan syarak


Hari ini, ramai wanita umumnya suka membuka kisah rumahtangga, berkongsi cerita hal ehwal suami isteri kepada publik kononnya untuk diambil pengajaran.

Hukum perbuatan ini ialah haram.

Pelakunya berdosa kerana melakukan perbuatan haram.

Allah berfirman;

وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ
".. dan janganlah memburukkan satu sama lain.." (Al-Hujurat: 12)

Menurut Imam Al-Nawawi rahimahullah (wafat 676 H) Membuka aib atau mendedahkan keburukan orang hanya boleh dilakukan dalam 6 perkara iaitu;

1. Mengadu kezaliman (التظلُّم) kepada ulil amri, qadhi atau pihak berkuasa (polis atau mahkamah) untuk mendapatkan keadilan.

- Media massa dan media sosial tidak termasuk.

2. Mencegah mungkar dengan mengadu atau menceritakan aib kepada orang yang berkuasa untuk mencegahnya (الاستعانة على تغيير المنكَر) seperti melapor ke Jabatan Agama, SPRM dan sepertinya.

- Mengadu kepada kawan tidak termasuk.

3. Meminta fatwa (الاستفتاء) dengan menceritakan aib atau kejadian bagi mendapatkan fatwa dari mufti, alim ulama yang terbaik yang ada.

4.  Peringatan dan amaran kepada kaum muslimin (تحذيرُ المسلمين) yang berkait aib atau keburukan individu yang boleh memberi kesan kepada agama dan masyarakat. Seperti aib yang terdapat pada perawi hadith, saksi mahkamah dan urusan jual beli atau kepimpinan.

- Masalah rumahtangga, suami kahwin lain, ada orang ketiga dalam rumahtangga tidak termasuk.

5. Menyebut keburukan atau kesalahan orang yang telah melakukan kejahatan dan bid'ah mereka secara terang-terangan. Mengecam ahli bid'ah adalah diharuskan. ( أن يكون مجاهرًا بفسقه أو بدعته)

6. Menyebut seseorang dengan karekter atau aib yang sudah menjadi sebahagian kepada pengenalan dirinya. (التعريف) seperti Si Bongkok Tiga, Si buta, Si Botak yang memang telah menjadi aspek pengenalan dirinya.

[Al-Minhaj, Syarh Sahih Muslim]

📜Orang yang suka mendedah-dedah atau membuka aib, kisah rumahtangga kepada publik adalah termasuk dalam kalangan pembuat fitnah seperti firman Allah;

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَهِينٍ هَمَّازٍ مَشَّاءٍ بِنَمِيمٍ
“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina. yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menyebar luaskan fitnah.” (Al-Qalam: 10-11)

Dan firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyenangi tersebarnya perbuatan keji di kalangan orang-orang beriman, mereka memperoleh azab yang pedih di dunia dan di akhirat….” (An-Nur: 19)

Diriwayatkan bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda bersabda;

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَلِيمٌ حَيِيٌّ سِتِّيرٌ يُحِبُّ الْحَيَاءَ وَالسَّتْرَ

`Sesungguhnya Allah Azza Wajalla Maha Penyantun, Maha kekal, dan Maha Penutup, Dia mencintai sifat malu dan sikap suka menutupi aib.'

[HR Abu Daud dan Al-Nasa'ie]