Monday, August 13, 2012

Mempercayai petanda tertentu yang membawa nasib buruk ialah syirik !

Sebelum kedatangan Islam, orang arab Jahiliyyah mempunyai pelbagai kepercayaan dan khurafat yang menyelubungi mereka. Antaranya ialah mempercayai gerak hati atau petanda nasib yang akan menimpa diri mereka. Hal ini disebut sebagai at-tiyarah sempena amalan orang musyrikin Mekah yang mengambil burung sebagai ramalan nasib mereka. Apabila mereka hendak melakukan musafir maka mereka pun akan menangkap seekor burung dan melepaskannya untuk melihat arah terbangnya. Jika burung itu terbang ke kanan maka mereka pun akan menganggap bahawa nasib mereka adalah baik dan ia merupakan petanda yang bagus manakala jika burung itu terbang ke kiri maka ianya dianggap sebagai nasib buruk dan petanda yang tidak baik. 

Apabila hal ini ditanyakan kepada nabi salallahualaihiwassalam maka baginda pun bersabda : “الطيرة شرك” yang bermaksud “Melihat petanda dari burung itu ialah perbuatan syirik.”[Hadith riwayat Ahmad]

Kini sebahagian daripada amalan dan budaya jahiliyyah itu masih kekal wujud dalam kehidupan masyarakat hari ini apabila masih ada orang ramai yang percaya kepada tanda-tanda tertentu dan ramalan nasib yang konon-kononnya menjadi sebab atau petanda kepada kejadian buruk atau baik yang akan berlaku.

Di kaca TV masih ada drama atau filem yang diarahkan oleh pengarah dan penerbit yang beragama Islam yang memaparkan adegan gerak hati atau petanda buruk yang akan menimpa seseorang dengan mengaitkannya melalui ‘cawan pecah, gelas menjadi retak atau sumbing dan sebagainya’ sebagai isyarat atau petanda konon-kononnya telah berlaku sesuatu yang tidak diingini. Hal semacam itu boleh mengundang syirik dan membatalkan iman jika tidak diawasi kerana yang mengetahui apa yang akan berlaku atau perkara ghaib hanyalah Allah SWT dan syaitan atau jin sekalipun tidak berkuasa  untuk mengetahui apa yang akan terjadi sementara segala macam petanda atau ramalan yang dirasai itu sebenarnya ialah gerak hati manusia yang telah dipermainkan oleh syaitan. 

Meninggalkan sesuatu perbuatan kerana mempercayai ramalan nasib atau petanda buruk ialah syirik

Adalah mejadi adat dan budaya orang Melayu suatu ketika dahulu apabila mereka akan meninggalkan musafir atau mengelak daripada berjalan jauh apabila biawak atau binatang yang berwarna hitam melintas di hadapan mereka. Sesetengahnya pula percaya bahawa jika ada burung tertentu bersiul dihadapan rumah maka akan berlaku kebakaran dan kematian. Ada pula yang mempercayai bahawa jika mata kita berkenyit-kenyit maka itu petanda ada orang jauh yang sedang merindui kita. Apa yang pasti semuanya itu adalah dusta dan tidak ada asas yang boleh dipercayai daripada agama dan bahkan berbahaya terhadap aqidah dan keimanan seseorang Muslim. 

Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Amr ra yang menyebut bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “من ردته الطيرة من حاجة فقد أشرك قالوا يا رسول الله ما كفارة ذلك قال أن يقول أحدهم: " اللهم لا خير إلا خيرك ولا طير إلا طيرك ولا إله غيرك” yang bermaksud “Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu perbuatan kerana sesuatu pertanda buruk maka dia telah syirik.” Lalu para sahabat ra pun bertanya “Ya Rasulullah, apakah kafarrah bagi hal tersebut ? Lalu baginda pun menjawab, “Hendaklah orang yang melakukannya mengatakan bahawa ; Ya Allah, tiadalah kebaikan melainkan apa yang datang daripada Engkau dan tiadalah perkara buruk kecuali keburukan yang datang daripada Engkau dan tiada tuhan yang berhak disembah selain Engkau.” [Hadith Riwayat Ahmad, disahihkan oleh Syeikh Albani]

Syaitan tidak mudah menyerah kalah di dalam menggoda anak Adam apabila di zaman moden hari ini syaitan pun menggunakan tipu helah yang baru, method yang terkini dan lebih unik bagi memerangkap manusia ke dalam perangkap syirik. Contohnya kepercayaan sebahagian orang ramai terhadap amalan ‘Feng Shui, rahsia tarikh lahir, rahsia tahi lalat, membaca tapak tangan dan pelbagai lagi ramalan sia-sia yang bercambah bagaikan cendawan selepas hujan dengan pelbagai bentuk dan pendekatan baru yang bertujuan untuk menyesatkan manusia daripada keyakinan dan penyerahan terhadap Allah SWT. 

Semoga Allah melindungi kita semua !

2 comments:

Unknown said...

assalamualaikum ustaz. nak tanya.. kalau tgk cermin pecah org tua2 ckp hilang seri wajah. betul ke ?

mujagirl92 said...

Assalaamualaikum ustaz. Bagaimana pula dgn berasa yg sesuatu itu berlaku sebab sihir? Contohnya, kaca di rumah selalu pecah dan kita berasa ada sihir yg dihantar. email sy mujagirl92@gmail.com