Wednesday, August 24, 2005

Penjelasan Hadith Musalsal



Dewasa ini sangat kerap kita terdengar wujudnya guru agama dan ustaz yang memberikan sanad di pondok-pondok dan surau serta masjid tentang hadith-hadith dari nabi lalu berkerumunlah orang ramai memburu dan mendapatkan ustaz dan syeikh tersebut konon demi mendapatkan sanad kitab dan sanad merawikan hadith.

Sesungguhnya berterima kasih kepada seseorang muslimat yang menguna nick syahiditusuci kerana memberikan ana hadith dari riwayat Jabir ra yang sekaligus mengingatkan ana untuk menulis dalam tajuk ini yang telah lama ana lupakan untuk menulisnya.

Hadith tersebut menyebut sabda baginda salalallahualaihiwasalam :

Barangsiapa yang mempelajari ilmu demi bertujuan untuk menyaingi para ulama’ , dan berdebat atau mengalahkan orang jahil, atau mencari pandangan (penghormatan) manusia padanya maka dia akan berada di neraka” (Hadith Sahih,Riwayat Tirmidzi no. 2578 dan Ibn Majah no.249).

Manakala dalam hadith yang lain baginda juga pernah bersabda :

“ Siapa yang mempelajari ilmu selain mencari redha Allah, dan mempelajarinya bertujuan untuk habuan dan ganjaran dunia maka tidaklah dia dapat (diharamkan) mencium bau syurga di hari akhirat” (Hadith Sahih, Riwayat Abu Daud no. 3179).

Bukanlah bermaksud kita menyangka buruk namun kita sedih apabila memang wujud segolongan ahli agama yang menipu dengan memperdagangkan sanad palsu dan riwayat yang tidak sahih dalam mendapatkan penghormatan orang ramai kononnya beliau memiliki banyak sanad agama dan memiliki banyak sanad hadith dan kitab dalam merawikan hadith walau hakikatnya tidak semuanya benar.

Penjelasan hadith Musalsal

Tidak lama dahulu ana ditanyakan tentang hadith musalsal namun kerana lupa ana tidak menjawab sehinggalah baru diingatkan tentang hal ini kelmarin.

Musalsal merupakan salah satu sifat yang terdapat pada sanad rawi hadith yang saling bersamaan dan berkaitan sehingga disebut musalsal (iaitu tali temali atau sambung menyambung).

Dari sudut mustalahah para muhadith menyebut ianya sebagai “hadith yang rawi-rawi pada hadith itu saling mengikuti seseorang demi seseorang dalam satu sifat , keadaan atau perkataan”.

Maksudnya ialah para perawi hadith itu saling meniru guru mereka dalam merawikan hadith itu dan menyamakan keadaan , perbuatan atau pun sifat dalam merawikan hadith itu kepada orang selepas mereka.

Dalam hal ini kita akan menemui dua jenis :

a) Musalsal fi ruwah
b) Musalsal fi riwayah

Maksud musalsal fi ruwwah ialah bersambungnya atau wujudnya ciri-ciri hadith musalsal pada sifat perawi hadith tersebut seperti hadith Muaz ibn Jabal ra yang mana pernah baginda rasul bersabda kepada beliau :

“ Wahai Muadz, demi Allah aku cinta padamu, demi Alah aku cinta padamu kerana itu aku wasiatkan pada-Mu wahai Muadz, ucapkanlah pada setiap akhir solat : “ya Allah tolonglah aku untuk mengingati-Mu dan mensyukuri-Mu dan dalam memperbaiki ibadahku” (hadith sahih, riwayat Abu Daud no. 1522 dan Nasaie no. 1302).

Perawi dalam hadith ini selalu selepas meriwayatkan hadith ini dari Muadz mereka selalu menggunakan perkataan “aku cinta padamu” yang sebenarnya kalimah itu hanya diguna oleh baginda nabi untuk Muadz sahaja.

Selain itu dapat juga kita ambil contoh pada perbuatan dalam hadith musalsal seperti hadith Abu Hurairah ra dengan berkata “ Abu Qassim (rasulullah) menyalam tangan baginda dengan tangan ku lalu bersabda : “Allah menjadikan bumi pada hari Sabtu, gunug pada hari Ahad dan seterusnya..” (hadith sahih, riwayat Muslim no. 2789).

Abu Hurairah ra dan perawi seterusnya dalam meriwayatkan hadith ini selalu melakukan perbuatan yang sama dengan menyalam tangan mereka kepada orang yang mereka rawikan hadith itu.

Begitu juga dalam hadith Anas ra bahawa baginda rasul pernah bersabda : “Seseorang tidak akan mendapatkan kemanisan iman sehingga mempercayai qadar Allah baik yang elok atau yang malang baik yang manis atau pun yang getir” rasulullah setelah itu memegang janggut Anas lalu bersabda : “Aku beriman kepada qadar baik yang elok mahupun yang buruk dan baik yang manis serta yang getir” (hadith riwayat Hakim dan pada isnadnya ada Yazid al raqasyi dan dianya dhaif).

Anas ra melakukan dan mengatakan sama seperti apa yang diucapkan oleh rasulullah dan demikianlah para rawi selepasnya.

Manakala Musalsal fi riwayah ialah hadith yang sifat musalsal itu terletak pada riwayat keadaan hadith, masa atau tempat berlakunya hadith bukan pada sifat perawi.

Seperti hadith Ibn Abbas ra yang meriwayatkan hadith perihal Multazam di mana kata ibn Abbas ra “ Tidaklah sesiapa yang berdoa di Multazam ini melainkan dimakbulkan” dan kemudian ibn Abbas ra melanjutkan dengan katanya : Tidaklah aku pernah berdoa di sini pada Allah melainkan doa aku itu dimakbulkan-Nya”.

Para perawi selepas beliau pun ketika mahu meriwayatkan hadith ini akan ke Multazam dan merawikan sewaktu di Multazam dan mengucap serupa seperti kata ibn Abbas.

Begitulah juga apabila menyebut perihal hadith yang lain yang juga dari ibn Abbas ra yang menyebut : “ Saya hadir bersama rasulullah salallahualaihiwasalam pada solat aidul fitri dan aidul adha dan setelah selesai solat baginda lalu memandang kepada kami sambil bersabda : “ Wahai manusia kamu sekalian telah memperolehi kebaikan , Maka barangsiapa yang ingin pulang maka pulanglah dan barangsiapa yang ingin tetap mendengar khutbah maka tunggulah”.

Hadith di atas musalsal pada hari raya dengan perawi yang meriwayatkan hadith ini meriwayatkan pada hari raya fitri atau aidul adha.

Masalah hukum hadith Musalsal

Permasalahan hadith Musalsal ini menjadi perkhilafan yang banyak dikalangan ulama’ dan tidak ramai mementingkan hadith Musalsal ini pada sifat periwayatannya sebaliknya pada hukum kesahihannya atau tidak untuk beramal dengan isi kandungannya.

Namun ramai ahli agama memandang rendah hal ini sebaliknya mementingkan sanad yang mereka punyai walaupun hadith itu sebenarnya dhaif atau pun maudhu’ (palsu).

Misalnya pada hadith Abu Hurairah ra sanadnya ialah sahih begitulah juga matannya namun sifat musalsalnya hadith itu adalah tidak sahih seperti yang disebut oleh Imam Sakhawi ra dan hadith ini terdapat dalam sahih Muslim.

Eloklah kita merujuk kitab “Fihrusul Faharis Wal Asbath” karya Al-hafidz Muhammad Abdul hayyi Al-Kattani yang mengumpukan hadith-hadith Musalsal secara khusus.


"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

No comments: