Thursday, July 31, 2014

Fitnah yang tidak disedari oleh ramai orang

Dalam Islam, tidak ada perkara yang boleh dipandang remeh, perkataan kita, perlakuan kita, aktiviti dan program atau dakwah kita semuanya pasti membawa kesan yang kita tidak tahu apakah baik atau buruk. Khususnya apabila kita dipandang sebagai ulama', ada gelaran 'sunnah', dakwah, menjadi ikutan masyarakat.

Kerana itu kata para salaf, kami dahulu biasa bergurau senda dihadapan orang ramai sehinggalah kami menjadi ikutan lalu kami pun meninggalkannya. Contohnya kata Imam Al-Awzaie rahimahullah;

كنا نضحك ونمزح ، فلما صرنا يقتدى بنا ، خشيت أن لا يسعنا التبسم
'Kami dahulu biasa berketawa dan bergurau senda, apabila kami mendapati manusia mula mengikuti kami maka aku pun menjadi takut sampai bimbang hendak senyum.' [Siyar A'lam Al-Nubala, Adz-Zahabi]

Isunya bukan soal tak boleh senyum, tapi berhati-hatinya salaf memikirkan kesan akibat orang ramai mula mengikuti mereka, menjadikan mereka idola, ada fan-page, ada sebutan 'dia itu syeikh/guru saya', maka program, aktiviti yang dianjurkan oleh mereka kena berhati-hati memikirkan kesannya pada masa depan khususnya apabila mengait nama salaf, sunnah, dakwah, Islam, perjuangan Islam. 

# Jika ada gadis cantik/artis naik atas pentas beri tazkirah, dijadikan 'cover' majalah dan iklan program dakwah lalu agamawan diam, tokoh pendakwah hadir sama maka orang awam pun akan berkata, oh tak mengapa sebab Dr, Syeikh, Ustaz tu tak kata apa pun.

# Jika ada majlis dakwah buat dihotel, makan mewah dan bergaya, ada muzik dan persembahan, ada VVIP dan raja datang maka akhirnya orang akan kata apa salahnya kita buat majlis macam ini. Ustaz atau tokoh pendakwah itu pun buat. 

# Isunya bukan soal halal-haram, isunya bukan sangka baik, hormat dan sebagainya. Kita jelas hak sebagai muslim bersaudara dan kita tidak perlu penjelasan dari sesiapa kenapa mereka buat begitu dan begini. Kita hanya menasihati untuk pembaikan dakwah di masa depan.
Itu fokus kita. 

Akhir kata ada pesanan salaf, antaranya; Imam Makhul Rahimahullah pernah berkata; "Jika fitnah datang dan menampakkan kepalanya, seorang 'alim telah mengetahuinya dari kejauhan. Jika fitnah telah berpaling dan pergi, maka tiap-tiap orang jahil baru mengetahuinya". [Hilyah Al-Awliya, Abu Nuaym]

Asal usul syirik asalnya perkara remeh, memuliakan orang soleh, apa salahnya....lama-kelamaan setelah berlalu beberapa kurun orang pun menjadi syirik. 

Begitu juga budaya bertudung, dahulu ada ulama' kritik tentang kesilapan dakwah pada tudung bukan pada aqidah dan kefahaman Ilmu... lalu orang berkata apa salahnya ajak bertudung dulu walau belum betul aqidah dan Islamnya? Sekarang semua orang bertudung, artis, penyanyi, pelacur, pemakai baju seksi dan seluar ketat, lalu tudung menjadi fitnah dan budaya. Kemudian purdah, kemudian dakwah, kemudian Islamik muzik, kemudian rawatan Islam, satu demi satu fitnah merebak dalam umat...

Benarlah kata Hasan al-Basri rahimahullah;

إن هذه الفتنة إذا أقبلت عرفها كل عالم وإذا أدبرت عرفها كل جاهل

'Sesungguhnya fitnah ini apabila ia muncul maka ianya hanya diketahui oleh semua mereka yang alim sahaja dan apabila ianya telah beredar barulah ianya diketahui oleh semua mereka yang jahil.' [al-Tabaqat, Ibn Sa'd dan Tarikh Al-Kabir, al-Bukhari] 

Kita mahu sudah nampak akibat buruknya depan mata baru kita hendak menolaknya? 

Waktu itu mungkin sudah terlambat !

Saturday, July 26, 2014

Selamat Menyambut Hari Raya Eid ul Fitri

Sebahagian dari kaum salaf diriwayatkan pernah menyebut ;

ليس العيد لمن لبس الجديد ، إنما العيد لمن طاعاته تزيد

ليس العيد لمن تجمل باللباس و الركوب ، إنما العيد لمن غفرت له الذنوب

Bukanlah hari raya itu pada orang yang memakai pakaian baru, tetapi sebenarnya hari raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya bertambah....

Bukanlah hari raya itu bagi orang yang kelihatan cantik pada pakaian dan kenderaan, tetapi hari raya itu sebenarnya adalah bagi orang yang telah diampunkan baginya segala dosa....

Hal yang sama dinukilkan dari Imam Hasan al-Basri rahimahullah yang berkata;

كل يوم لا يُعصى الله فيه فهو عيد

'Setiap hari yang padanya tidak dilakukan derhaka kepada Allah maka ia adalah hari raya.'

[Lata'if al-Ma`arif fi ma li Mawasim al-`Am min al-Waza'if, Ibn Rajab al-Hanbali]

# Selamat Menyambut Hari Raya Eid ul -Fitri kepada semua para sahabat, dengan ucapan ;

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Thursday, July 10, 2014

Kekuatan doa jangan dipandang remeh

Disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah bahawa doa adalah ubat yang sangat bermanfaat dan menjadi musuh kepada bala. Doa akan melawannya, menghalangnya, meringankannya dan menjadi senjata kepada orang yang beriman. 

Kata beliau, keadaan doa itu apabila berhadapan dengan bala ada 3 macam keadaan ;

أحدهما: أن يكون أقوى من البلاء فيدفعه, الثاني: أن يكون أضعف من البلاء فيقوى عليه البلاءُ فيصاب به العبد ولكن قد يخففه وإن كان ضعيفًا, الثالث: أن يتقاوما ويمنع كل واحد منهما صاحبه

 Satu, sekiranya doa itu lebih kuat daripada bala maka ia akan menolaknya (maka terangkatlah bala).

Kedua, sekiranya doa itu adalah lebih lemah daripada bala, maka bala akan menimpa hamba tersebut tetapi ianya mungkin diringankan.

Ketiga, sekiranya doa itu sama kuat dengan bala maka ianya akan menjadi saling berlawanan dan saling tertahan oleh satu sama lain.

[Kitab al-Jawab al-kafi li-man sa'ala `an al-dawa' al-shafi, Ibn Qayyim]

# Justeru janganlah kita malas berdoa atau memandang remeh kepada kekuatan doa kerana ianya juga bererti kita memandang rendah kepada Tuhan yang mengabulkan doa !