Friday, June 08, 2007

Menyingkap Kejahatan Syaitan Di Dalam Jiwa Manusia


Di sebutkan oleh para ulama bahawa di dalam setiap diri manusia itu terdapat syaitan yang menjadi qarin (pendamping) dirinya di dunia ini untuk menyesatkan dan melalaikannya dan syaitan ini tidaklah berpisah dengan anak adam tersebut sehinggalah apabila manusia itu meninggalkan dunia ini.(Lihat kitab Al-Mustafad Min Qissasil Qur’an, m/s 86 Jilid 1, oleh Syeikh Dr Abd Karim Zaidan)

Hal ini berdasarkan kepada hadith nabi salallahualaihiwasalam yang baginda pernah bersabda : “ Tidaklah ada seseorang pun dari kamu melainkan telah dipasangkan dirinya dengan jin sebagai pendampingnya , lalu ditanyakan kepada rasulullah, apakah kamu juga wahai rasulullah ? Maka dijawab : “Walaupun aku (juga memilikinya) kecuali Allah telah memelihara aku daripadanya maka jadilah dia Islam dan tidak menyuruhku kecuali kepada apa yang baik.”

Diriwayatkan hadith ini dengan dibaca marfu’ (membariskan dhommah kepada mim), dan riwayat lain pula menasobkannya (membariskan fathah kepada mim) pada kalimah (فأسلم ) iaitu “maka jadilah dia Islam.”

Jika dibaca secara marfu’ menjadi fa’aslamu maka maknanya diselamatkan nabi salallahualaihiwasalam daripada kejahatan jin tersebut dan bukanlah jin itu menjadi Islam sebaliknya jika dibaca secara nasob dengan memfathahkan mim maka menjadi fa’aslama’ iaitu jin itu sendiri telah menjadi muslim dengan masuk Islam.

Syaitan Punca Manusia Manusia Di Keluarkan Daripada Syurga

Kejahatan syaitan itu tiada bertepi, ibarat laut meluas yang tiada penghujung menjadi tempat tinggalnya mereka itu sentiasa berusaha menyesatkan anak-anak Adam dan memandu mereka kepada kemurkaan Allah swt. Bahkan Iblis merupakan penyebab dan punca mengapa manusia yang merupakan anak-anak Adam hidup menderita sehingga ke hari ini. Iblis dan keturunannya syaitan itulah yang menjadi punca manusia dikeluarkan daripada syurga dan kenikmatan serta rahmat Allah swt sebelum ini.

Allah swt berfirman dengan maksudnya :

“Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan dari keadaan mereka yang asal dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh kepada yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan.” (Al-Baqarah : 38-39).

Hasad dan dengki mereka kepada Adam serta keturunannya tidak pernah habis dan hilang, merekalah yang menggoda Adam dan isterinya serta melalaikan keduanya agar melanggar perintah Allah swt dengan janji-janji manis serta tipu daya yang busuk.

Allah swt berfirman dengan maksudnya :

“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk Menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: "Tuhan kamu tidak melarangmu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi Malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)". (Al-A’raf : 20)

Tidak pernah ada seorang pun rasul yang diutuskan oleh Allah swt melainkan semuanya berpesan akan kejahatan serta tipu daya yang dibawa oleh syaitan dan tujuan diutuskan rasul itu ialah untuk demi menyelamatkan manusia serta berpesan-pesan agar anak-anak Adam itu dapat kembali ke jalan yang diredhai Allah swt serta tidak ditipu oleh kejahatan syaitan.

Allah swt berfirman dengan maksudnya :

“Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, dia menanggalkan dari keduanya pakaian mereka untuk memperlihatkan kepada keduanya 'aurat mereka. Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu pula melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Al-A’raaf : 27)


Syaitan itu Sentiasa Bersama Manusia untuk Menyesatkan

Kejahatan syaitan itu tersangatlah melampau apabila mereka tidak pernah meninggalkan manusia itu walau sekejap dan sekelip mata sekalipun ketika tidur, ketika berada di rumah, di tandas atau ketika makan atau bersama isteri bahkan sehingga ketika nazak dan hampir mati sekalipun mereka masih mahu berusaha memesongkan anak-anak Adam.

Contohnya seperti sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :

“Syaitan itu mengikat setiap orang daripada kamu yang tidur itu dengan tiga ikatan, dia lalu memukul setiap ikatan itu pada tempatnya, maka berlalu malam yang panjang dengan tidur maka apabila seseorang itu bangun menyebut nama Allah maka terlerailah sebuah ikatan dan apabila dia berwudhuk pula maka terungkai lagi ikatan dan sekiranya dia mengerjakan solat pula maka tercabutlah semua ikatan tersebut dan jadilah dia cergas dan baik jiwanya adapun sebaliknya (jika tidak dicabut ikatan itu) maka jadilah dia buruk jiwanya dan pemalas.” (Hadith sahih, riwayat Bukhari no. 3269).

Begitu gigih dan tekun usaha mereka demi mahu menjerumuskan anak-anak Adam bersama mereka di dalam neraka jahannam kelak. Pelbagai usaha di lakukan oleh syaitan dan sekutunya bagi menyesatkan manusia dan hampir-hampir sahaja manusia ini menjadi hamba kepada syaitan sekiranya tidak kerana rahmat daripada Allah swt dengan menurunkan kepada hamba-hamba-Nya akan kitab dan pertunjuk hidayah dari para rasul utusan-Nya.

Allah swt berfirman dengan maksudnya :

“Kami tidak mengutuskan seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki dan Dia-lah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Ibrahim : 4)

Syaitan Menakutkan Manusia daripada Beramal Soleh

Pengaruh syaitan ialah sesuatu yang tidak nampak dengan mata kasar tetapi kesannya dapat diketahui melalui hasil perlakuan dan tindak tanduk manusia. Di antara kejahatan syaitan yang lain ialah usahanya bagi menakutkan manusia supaya tidak melakukan amalan soleh atau melemahkan jiwa manusia dengan ancaman dan halangan ujian yang akan terpaksa dihadapi sekiranya melakukan amalan soleh atau melaksanakan kehendak agama.

Contohnya di dalam Al-Qur’an ada menyebutkan perbuatan mereka :

“ Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengatahui.” (Al-Baqarah : 268)

Sungguh jahat sekali syaitan ini apabila manusia diganggu dan digoda dengan syahwat dan pelbagai lagi helah dan tipu daya mereka namun tidak cukup sekadar itu bahkan ditakut-takutkan pula anak-anak Adam dengan pelbagai ancaman bagi menghalang mereka daripada melakukan kebaikan.

Bagi mereka yang mahu bersedekah dan mengeluarkan zakat misalnya mereka terpaksa menghadapi gangguan syaitan yang akan menakuti anak Adam dengan kemiskinan dan kekurangan harta dan wang konon daripada akibat bersedekah.

Begitulah juga dengan amalan yang lain seperti puasa misalnya syaitan akan menghasut dan menakuti orang yang beriman dengan kelaparan, kesakitan dan kekurangan tenaga untuk melakukan pekerjaaan.

Adapun lebih daripada itu syaitan akan berusaha memastikan Islam dan kebangkitannya tidak tertegak di muka bumi Allah swt ini dengan menakuti para hamba Allah swt dengan penjara, hukuman mati dan pelbagai lagi siksaan dan ancaman yang akan menakutkan hati dan melemahkan jiwa orang yang tidak kuat imannya.


Allah swt berfirman dengan maksudnya :

“ Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya, kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Ali-Imran : 175)

Hendaklah orang yang beriman itu hanya takut dan tunduk kepada Allah swt bukan kepada makhluknya dan mereka yang engkar atau zalim di muka bumi ini sekalipun mereka menguasai segala kemampuan dan kemudahan tetapi di sisi Allah itulah terdapat segala pertolongan dan kemenangan.

Syaitan Mengabui Manusia Supaya Menganggap Yang Haram itu Baik

Termasuk di antara kejahatan syaitan itu ialah apabila mereka berusaha menjadikan apa yang baik di sisi Allah swt itu sebagai jelek dan keji di mata masyarakat dan menjadikan apa yang keji di sisi Allah swt itu pula sebagai satu kebaikan di sisi manusia.

Muzik dan nyanyian yang mengasyikkan dihalalkan kerana kelemahan hujah yang mengharamkannya di atas alasan mahu menghiburkan manusia. Tentu sahaja tidak mengapa dan boleh diterima hujah yang menghalalkan hiburan selama tidak menyalahi syariat di waktu umat Islam sudah menguasai hampir separuh dunia dan setiap musuh-musuh Allah berada di dalam kehinaan dan para musyrik terpaksa membayar jizyah (wang perlindungan) kepada pemerintah Islam untuk keselamatan mereka.

Tetapi apakah wajar dihalalkan muzik dan konsert hiburan bagi memberikan hiburan dan kelekaan kepada anak-anak muda yang tidak pernah tahu apakah itu iman ? tauhid ? juga tidak pula boleh membaca Al-Qur’an ? Di saat umat Islam sangat terdesak dengan gejala keruntuhan akhlak dan kerosakan agama serta penyelewengan berlaku di sana sini sebahagian para Ustaz mahu menunjuk alim dengan mendabik dada membuka kitab-kitab feqah membahaskan hukum muzik dan hiburan bagi menghalalkannya supaya menampilkan Islam itu mudah dan indah ?

Lupakan dulu soal muzik, ini hal yang khilaf tetapi bagaimanakah pula dengan persoalan hubungan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram ? Bagaimanakah pula persoalan wanita keluar bekerja bercampur dengan lelaki, bagaimanakah pula persoalan pergaulan muda-mudi di dalam ruangan maya seperti ruangan berkenalan dan mencari teman pasangan ? Apakah ini tidak membawa kepada maksiat dan kerosakkan akhlak ?

Bagaimanakah pula dengan zina apakah ianya tidak haram ? Bagaimanakah pula dengan percampuran lelaki dan wanita secara bebas konon di atas alasan kerja ? pelajaran ? persahabatan ? Baiklah sekiranya ada alim ulama mengatakan ianya khilaf marilah pula kita beralih ke pelbagai lagi isu lain.

Apakah menghisap rokok tidak haram dan berdosa ? Baiklah ianya khilaf marilah lagi kita beralih ke topik yang lain pula. Apakah arak tidak haram dan berdosa ? mengapa ianya masih dihalalkan dan kilang-kilangnya dibiar bebas beroperasi ? Kerana memberi manfaat dan cukai yang lumayan kepada Negara ? baiklah kalau begitu kita lihat pula kepada riba, apakah ianya tidak berdosa dan haram ? mungkin akan ada yang mengatakan zaman hari ini semua perniagaan dan jual beli terlibat dengan riba dan menjadi sesuatu yang sukar di ubah maka akhirnya kita akan berkata tidak mengapa marilah kita mencari contoh yang lain pula sehingga akhirnya semua perkara yang haram dan berdosa itu akan dilihat mempunyai kebaikan dan kebaikan yang akhirnya terpaksa kita lupakan dan tidak jadi mencegahnya serta tidak mustahil kita mungkin terjebak pula ke dalamnya.

“ Orang-orang yang Makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), Maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. orang yang kembali (mengambil riba), Maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah : 275)

Demikianlah Allah swt menyebutkan pengajarannya kepada kita betapa kita sangat jahil dan lemah iman di banding para sahabat ra di zaman mereka yang berusaha melaksanakan segala perintah Allah swt dengan segala kemampuan mereka tanpa tangguh dan juga tanpa alasan.



bersambung....

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

p/s :

Adalah digalakkan para pembaca membuka kitab Talbis Iblis karangan Imam Ibn Jauzi ra

Saturday, June 02, 2007

Apakah Makna Thaghut Wahai Orang Yang Mengaku Mengikut Kitab dan Sunnah ?

Tidak ada perkataan yang lebih sesuai dari sedih untuk mengungkapkan perasaan diri seorang ustaz yang dipandang rendah lantaran kerendahan sijilnya apabila melihat umat Islam dikelirukan oleh kefahaman-kefahaman asing yang muncul laku dipasaran lantaran di dokong oleh para alim ulamak yang memiliki sarjana dan ketinggian sijil bertampuk-tampuk menghiasi ruangan pejabat mereka.

Disiplin keilmuan itu penting tetapi kebenaran itu sentiasa berada bagi mereka yang ikhlas beramal dan mengikut panduan hujah yang sahih dari teladan salaf soleh bukan dari hasil ijtihad buta tanpa ilmu juga bukan dari kebaculan sarjana ilmu yang takut memperjuangkan kebenaran.

Bukanlah suatu hal yang pelik apabila para pejuang tanahair di dalam sejarah seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain yang berkorban nyawa dan darah mengusir penjajah yang kafir seperti British dan askarnya yang terdiri daripada askar upahan dan juga anak-anak muda berbangsa sendiri yang telah dibeli dengan wang oleh pihak kuffar, diagungkan hanya di dalam buku sejarah kemudian dilupakan cerita mereka apabila tiba ke dalam dewan-dewan rasmi.

Tentu tiada siapa mahu mengaku atau menerima hakikat bahawa pihak pembesar Melayu terpaksa berlutut dan menyembah rayu kepada pihak kuffar untuk diberikan kemerdekaan dengan harga janji akan mengikut sistem barat dan menjadi sekutu mereka yang paling kuat, serta mengaku akan sentiasa menubuhkan kumpulan yang akan mempertahankan prinsip ini yang jelas-jelas melaungkan slogan “Agama dan Politik perlu dipisahkan.”

Kita akan mengelirukan anak-anak yang cerdik suatu hari nanti apabila mereka mungkin berkata “Abah, mengapa Tok Janggut itu menentang penjajah ? sedangkan apa yang dibawa oleh mereka ialah pembangunan, kemajuan, kemakmuran serta kemodenan ? Mengapa ditulis dia sebagai wira ? sedangkan hakikatnya dia ialah cuma seorang pengganas yang dunggu dan menggunakan kekerasan di dalam mencari penyelesaian ? Lebih menyakitkan apabila si anak tadi diterima pula masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan terpengaruh pula dengan sejenis fahaman, lalu berkata kepada ayahnya, si Tok Janggut ini ialah Bughah (pemberontak) yang memberontak melawan pemerintah (ulil amri) kerana nabi salallahualaihiwasalam menyebut di dalam hadith Irbad bin Sariyah ra akan perlulah umat Islam mentaati ulil amri atau pemerintah.

Di dalam sejarah mencatatkan para pembesar selalu tunduk dan sujud kepada pihak penjajah kuffar kerana mahu menjaga kedudukan dan sebahagiannya, sanggup menjemput para penjajah dan kuasa-kuasa besar yang memusuhi Islam dari seberang lautan semata-mata membantunya dan memberi sokongan di dalam perebutan takhta sesama adik beradik dan keluarga.


Masa berlalu tetapi kisah dan kejadian terdahulu pasti akan selalu berulang kerana itulah sebabnya mengapa Al-Qur’an sendiri membawa mesej dan kisah kejadian umat yang lalu sebagai peringatan kepada kita.

Cukuplah sekadar itu dahulu, pengajian sejarah mencelikkan kita akan hakikat dan realiti hari ini di mana dan di waktu bila harus kita memulakan langkah dan berubah.

Apakah Makna Thaghut ?

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. kerana itu Barangsiapa yang engkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, Maka Sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus dan Allah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.” (Al-Baqarah : 256)

“Dan sungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (An-Nahl : 36)

“Dan orang-orang yang menjauhi Thaghut (iaitu) tidak menyembah- nya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba- hamba-Ku.” (Az-Zumar : 17)


Berkata Al-Imam ibn Jarir At-Tabari ra : “Paling benar dari maksud thaghut itu di sisiku ialah setiap sesuatu yang melampaui batas ke atas Allah, yang disembah selain Allah baik dengan melalui paksaan atau secara sukarela dengan ketaatan baik yang disembah itu manusia atau syaitan atau berhala atau dukun dan sebagainya dan aku memandang asal Thaghut itu dari perkataan orang yang berkata si fulan itu thagha’ (melampau) apabila dia melampaui batas dari kadar kemampuannya.” (Tafsir Tabari m/s 21 Jilid 3)

Disebutkan pula oleh Ibn Qutaibah ra bahawa : Setiap yang disembah selain Allah swt baik daripada batu atau gambar atau juga syaitan maka itulah thaghut.” (Tafsir Gharibul Qur’an m/s 158).

Maka berkata pula Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah ra : “Thaghut itu setiap yang diagungkan tanpa kerana ketaatan kepada Allah dan rasulnya baik daripada manusia atau syaitan atau pun daripada berhala.” (Jami Rasail dengan tahqiq m/s 373 Jilid 2)


Al-Imam Ibn Qayyim menyebutkan : Thaghut itu ialah setiap apa yang melewati batasnya sebagai hamba dan Taghut itu juga ialah setiap kaum yang berhukum dengannya bukan berpandukan kepada Allah dan rasulnya atau apa yang disembah selain daripada Allah atau apa yang diikuti selain daripada Allah..” (I’lamul Muwaqi’in m/s 92 Jilid 1)

Manakala Imam Qurtubi ra pula menyifatkan bahawa Thaghut ini ialah setiap dukun dan syaitan serta setiap kepala kesesatan. (Jami Fil Ahkam Qur’an m/s 257 Jilid 2)

Di dalam membicarakan hal ini maka para ulama menyebutkan bahawa taghut ini tersangatlah banyak namun ianya dapat disimpulkan kepada lima kepala dan ketua kerana seperti maksud Syeikh Muhammad Abd Wahab ra : “Thaghut ini ialah umum maka setiap sesuatu yang disembah selain daripada Allah swt itu dan redha kepadanya bermaksud taghut…”

Syaitan

Dinyatakan di dalam Al-Qur’an bahawa Syaitan itu termasuk ketua thaghut (melampaui batas) yang sentiasa mengajak manusia menyembah selain daripada Allah swt dan merekalah yang menyesatkan anak-anak Adam sehingga mengambil taghut sebagai tuhan selain daripada Allah swt.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, dia menanggalkan dari keduanya pakaian mereka untuk memperlihatkan kepada keduanya 'aurat mereka. Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu pula melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Al-A’raaf : 27)

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? mereka hendak berhakim kepada thaghut, Padahal mereka telah diperintah mengingkari Thaghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.” (An-Nisa : 60)

(InsyaAllah boleh membaca lanjut artikel penulis di dalam tajuk Menyingkap Kejahatan Syaitan Di Dalam Jiwa Manusia )

Pemerintah Zalim yang Tidak Berhukum dengan Hukum Allah

Hal ini suatu yang jelas di sisi para ulama’ Islam sejak berzaman dan mereka telah pun bangun menyatakan kebenaran malangnya hari ini umat Islam lantaran takut kepada pemerintah dan kuasa yang ada di sisi pemimpin yang thaghut tunduk dan akur sambil menyembunyikan ketakutan mereka dengan beberapa patah dalil yang menyuruh mentaati pemerintah tanpa berani membicara lanjut di dalam persoalan tersebut.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara Kitab-Kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah : 44)

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? mereka hendak berhakim kepada thaghut, Padahal mereka telah diperintah mengingkari Thaghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.” (An-Nisa : 60)

“Dan Barangsiapa di antara mereka, mengatakan: "Sesungguhnya aku adalah Tuhan selain daripada Allah", Maka orang itu Kami beri Balasan dengan Jahannam, demikian Kami memberikan pembalasan kepada orang-orang yang zalim.” (Al-Anbiya : 29)

Malangnya pada hari ini situasi tidaklah seperti dahulu apabila Firaun dengan terbuka mengaku dirinya sebagai tuhan sebaliknya pada waktu hari ini mereka yang memerintah menjadi taghut apabila menganjurkan orang tunduk dan patuh kepada mereka dan mengadakan jalan-jalan ke arah tujuan tersebut sekalipun mereka diam dan menafikan mengaku diri mereka sebagai tuhan atau sembahan manusia walaupun sebenarnya hati mereka redha dan gembira apabila ditaati oleh manusia.

Hakikatnya cukup seseorang pemerintah itu menjadi thaghut apabila mereka tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt dalam keadaan mereka mampu dan boleh berbuat demikian.

Apa-apa yang ditaati dan dijadikan Hukum yang bukan daripada Allah dan rasulnya

Segala sesuatu yang ditaati oleh manusia baik sistem, budaya dan adat atau perundangan yang menguasai dan mengatur hidup manusia yang bukan diturunkan oleh Allah swt dan juga bukan disampaikan oleh baginda rasulullah maka ianya merupakan salah satu di antara apa yang di sebut sebagai taghut oleh para ahli ilmu Islam.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara Kitab-Kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah : 44)

“Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (At Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisas) nya, Maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” (Al-Maidah : 45)

“Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah didalamnya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Maidah : 47)

Para ulama menyebutkan sekalipun ayat-ayat di atas secara khusus diturunkan kepada orang-orang yahudi dan nasrani namun hakikatnya umat Islam menduduki arahan dan perintah yang lebih jelas dan lebih utama untuk memenuhi apa yang diperintahkan oleh ayat-ayat ini. Apakah yahudi di dalam kekurangan kitab Taurat mereka berbanding kesempurnaan kitab Al-Qur’an dan Nasrani di dalam penyelewengan Injil mereka berbanding kesucian Al-Qur’an wajib melaksanakan hukum-hukum di dalam kitab mereka dan kita yang beriman hanya cukup mengambil pengajaran sahaja ?

Lalu membiarkan hukum-hukum buatan kuffar terus menaungi hidup kita lantaran konon beralasan mahu menjaga keamanan dan ingin menjaga hubungan baik sesama manusia antara yang beriman dan yang kafir ?

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, karena Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (An-Nisa : 60)

Pada hari ini manusia semuanya tunduk kepada sistem ekonomi riba, perundangan kuffar berasaskan keputusan mahkamah lama Britain, percaturan politik barat, ketetapan itu dan ini serta peraturan yang dipakaikan kepada tengkuk manusia keldai yang hidup demi sesuap pagutan rumput kertas yang bercopkan gambar-gambar pemerintah maka apakah hukumnya menjadi mereka yang mentaati apa-apa yang bukan daripada Allah dan rasul ?

Persoalkan hal ini kepada ulama kalian, biarkan mereka yang memberikan jawapan.

Mereka yang Mengaku Mengetahui Ilmu Ghaib Tanpa dari Kitab dan Sunnah

Golongan yang mengaku sebagai mengetahui perkara ghaib dan boleh menyembuhkan sakit, mengetahui di manakah letaknya barang yang hilang, serta dapat menunjukkan siapakah yang mencuri dan mengambil barang orang-orang serta pelbagai lagi hal yang berkait sihir dan ilmu ghaib tanpa pertunjuk dan dalil daripada kitab dan sunnah ialah salah satu di antara kepala-kepala thaghut.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“(dia adalah Tuhan) Yang mengetahui hal yang ghaib, Maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, Maka Sesungguhnya Dia Mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya.” (Jin : 26-27)

Pada hari ini, para ahli sihir dan golongan yang mengaku mengetahui hal yang ghaib tidak lagi seperti Hamman pembantu Firaun yang berjampi serapah atau seperti datuk-datuk dukun yang bertasbih besar bersila menyembuhkan sakit demam dan menjenguk (melihat) geluk jampi seperti gaya cerita Nujum Pak belalang rekaan P. Ramlee sebaliknya para thaghut hari ini yang mengaku mengetahui kisah-kisah yang ghaib ialah para saintis dan ahli teknologi dan kemodenan yang berpakaian kot dan sut-sut mewah dengan bertali leher sambil mengaku mengetahui apa sahaja dan boleh menjelaskan apa sahaja secara rasional yang berlaku di alam ini.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Dan Demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Quran) dengan perintah kami sebelumnya kamu tidaklah mengetahui Apakah Al kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui Apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan Dia siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami. dan Sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (As-Syura: 52)

Mereka mengatakan itu dan ini berdasarkan teori-teori dari makmal mereka lalu kemudian menjangka hujan dan cuaca di mana-mana sahaja pelusuk bumi. Mereka juga mampu menciptakan klon dan genetik baru lalu mendakwa berjaya menciptakan manusia dan boleh mengubah suai segala ciptaan Allah swt menurut kehendak mereka. Golongan inilah yang mengatakan manusia berasal daripada kera dan mawas menurut teori evolusi mereka.

Puak ini juga berfahaman atheis yang tidak mempercayai tuhan lantaran mengaku hampir mengetahui setiap perkara di dunia ini. Mereka menjelaskan fenomena ketakutan sebagai reaksi tidak balas saraf dan otak dan imej negative di dalam mata sebagai apa yang melajukan gerak jantung dan pelbagai lagi teori mereka mengambarkan kebodohan mereka terhadap kebesaran Allah swt sebagai tuhan yang Maha Pencipta.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana Dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengerti.” (Luqman : 34)

Golongan Yang Menyembah Selain daripada Allah swt

Tidak ada sesiapa pun yang lebih malang daripada mereka yang kerugian di dunia dan juga di akhirat dan mereka ini ialah golongan yang menyembah selain daripada Allah swt lalu kehinaan menjadi milik mereka di dunia dan di akhirat. Di akhirat kelak apa-apa yang telah disembah oleh golongan yang malang ini akan berlepas diri daripada mereka.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Berkatalah orang-orang yang telah tetap hukuman ke atas mereka; "Ya Tuhan Kami, mereka Inilah orang-orang yang Kami sesatkan itu; Kami telah menyesatkan mereka sebagaimana Kami (sendiri) sesat, Kami menyatakan berlepas diri (dari mereka) kepada Engkau, mereka sekali-kali tidak menyembah kami". (Al-Qasas : 63)

Termasuk mereka ini sebahagian daripada kepala-kepala thaghut apabila mereka menyembah selain daripada Allah swt dan mengambil sesuatu selain daripada Allah sebagai sembahan mereka dan mentaatinya baik secara sukarela atau pun kerana dipaksa.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Dan (ingatlah) suatu hari (ketika) Allah menghimpunkan mereka beserta apa yang mereka sembah selain daripada Allah, lalu Allah berkata (kepada yang disembah); "Apakah kamu yang menyesatkan hamba-hamba-Ku itu, atau mereka sendirikah yang sesat dari jalan (yang benar)?". (Furqan : 17)

“Mereka (yang disembah itu) menjawab: "Maha suci Engkau, tidaklah patut bagi Kami mengambil selain Engkau (untuk jadi) pelindung, akan tetapi Engkau telah memberi mereka dan bapak-bapak mereka kenikmatan hidup, sampai mereka lupa mengingati (Engkau); dan mereka adalah kaum yang binasa". (Al-Furqan : 18)

Disebutkan oleh sebahagian ulama bahawa yang dimaksudkan ialah mereka akan dikumpulkan bersama-sama apa yang mereka sembah, iaitu: malaikat, Uzair, Nabi Isa a.s dan berhala-berhala dan setelah Tuhan menanyakan kepada yang disembah itu, Apakah mereka yang menyesatkan orang-orang itu ataukah orang- orang itu sendiri yang sesat, Maka yang disembah itu menjawab bahawa tidaklah patut bagi mereka itu sendiri untuk menyembah selain daripada Allah, apatah lagi untuk menyuruh orang lain menyembah selain Allah swt.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Katakanlah: "Wahai ahli Kitab, Marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara Kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah". jika mereka berpaling Maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahawa Kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)". (Ali-Imran : 64).

Hakikatnya pada hari ini manusia ramai sekali yang menyembah dan tunduk sujud kepada selain Allah swt tetapi mereka tidak mengakuinya sebaliknya mengatakan apa yang mereka lakukan tidak lebih daripada sekadar usaha mereka mendekatkan diri kepada Allah swt.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“ Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan Kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat engkar.” (Az-Zumar : 3)

Sebahagian yang lain pula mungkin akan mengatakan kami tidak pun menyembah sesiapa pun, sebaliknya kami tunduk dan ruku’ serta patuh kepada peraturan yang sudah dipakaikan ke tengkuk kami sebelum kami lahir yang telah dipegang oleh orang-orang tua kami. Kami ditanamkan mesti patuh kepada sistem yang ada demi menjaga keharmonian masyarakat, demi kemakmuran dan demi keselesaan serta kebaikan itu ialah apa yang telah diajarkan kepada kami.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“ (Kepada Malaikat diperintahkan): "Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah.” (As-Shoffat : 22)

Di atas nama disiplin seorang bawahan dibasuh supaya mentaati orang atasan tanpa persoalan dan di atas nama keselamatan dan keharmonian maka rakyat dipupuk mengikuti peraturan yang telah ditetapkan kepada mereka manakala pihak atasan dan orang-orang yang berkuasa berlumba-lumba menyamun dan merompak serta melanggar segala batasan dan had demi kepuasan hawa nafsu mereka lalu menjadilah mereka sebagai thaghut yang tersenarai di dalam kitab Allah swt.

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur’an dengan maksudnya :

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipersoalkan.” (Al-Israa : 36)

Segala puji hanyalah bagi Allah swt