Pada beberapa hari yang lalu, ana mendapat satu lagi persoalan dari seseorang yang bertanyakan mengenai ayat-ayat al-qur’an yang dikatakan sebagai bercanggah antara satu sama lain.
Benarkah ayat al-Qur’an yang merupakan mukjizat itu bercanggah ? bagaimana boleh terjadi demikian bukankah al-qur’an ini sebenar-benar perkataan bagaimana ia boleh bercanggah ?
Jawapan sebenarnya ialah tidak wujud percanggahan di dalam al-qur’an dan ayat-ayat al-qur’an sebenarnya tidak bercanggah. Sebaliknya lantaran tidak memahami dengan baik akan ilmu tafsir dan menguasai kemahiran bahasa arab menyebabkan kejahilan menyangka ia seperti bercanggah.
Apabila kita menjumpai ayat-ayat yang kelihatan bertentangan maka adalah salah kita menjadikan salah satu ayat itu sebagai dalil atau hujah untuk menolak ayat yang lain. Ini kerana adalah mustahil wujud pertentangan dan percanggahan di antara ayat al-Qur’an. Ini kerana telah jelas disebut oleh allah swt dalam firman-Nya :
أَفَلاَ َيَتَدَبَّرُوْنَ القُرأَنَ وَلَو كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيرِ اللهّ لَوَجَدُوْا فِيهِ اِخْتِلاَفًا كَثِيرًا
“ Apakah kamu tidak memerhatikan Al-Qur’an ? Kalau sekiranya Al-Qur’an itu bukan dari Allah maka nescayalah mereka akan mendapati padanya percanggahan yang banyak” ( An-Nisa : 82).
Bahkan selain itu, sangat ganjil dan pelik sebuah kitab suci yang dijamin terpelihara dan terjaga oleh Maha Kuasa akan dapat dicemari atau wujud percanggahan dan kesilapan seperti firman Allah swt :
اِنَّا نحَنُّ نَزَّلْنَا الذِّكْرَوَاِنَّالَهُ لحَاَفِظُونَ
“ Sesungguhnya kamilah yang menurunkannya (Al-Qur’an) sebagai az-Zikr (peringatan) dan kamilah yang akan memeliharanya” (Al-Hijr : 9).
Maka dalam hal ini, para ulama tafsir dan pakar al- Qur’an menyebut bahawa tidak wajar wujud percanggahan dan sekiranya didapati secara zahir ayat itu berbeza makna dan bertentangan maka haruslah dilihat dibawah kaca mata ilmu.
Sekiranya secara zahir ianya membawa percanggahan maka sebenarnya ia mungkin sudah dimansuhkan oleh ayat yang selepasnya sebagai salah satu dari kekuasaan Allah demi kepentingan dan kemaslahatan umat Islam seperti firman-Nya :
مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيرٍ مِنْهَا أَوْ مِثْلِهَا
“ Apa-apa ayat yang kami padamkan atau kami lupakan (darimu) maka kami datangkan (gantinya) dengan lebih baik darinya atau sepertinya” (Al-Baqarah : 106).
Pemansuhan ayat Al-Qur’an dari sudut ilmiah disebut sebagai “Nasakh” dan ia bermaksud dari sudut bahasa sebagai mengantikan atau mengubah.
Manakala dari sudut istilah nasakh bermakna terangkatnya hukum syar’ie dengan hujah syar’ie yang terkemudian yang menyebabkan hujah ini disebut sebagai nasakh dan hukum yang terangkat itu disebut sebagai mansukh.
Apabila sesuatu ayat itu sudah dimansuhkan hukumnya maka ianya tidak lagi membawa nilai hukum jadi tidaklah wujud pertentangan dengan ayat yang lain yang membawa hukum yang lain.
Menurut kaedah ulamak tafsir ialah apabila wujud percanggahan maka hendaklah diusahakan supaya ianya mencapai maksud yang jelas apakah ianya sudah mansuh atau bukan atau mempunyai tafsiran yang lain (Usul Fi Tafsir m/s 46).
Seandainya setelah dilakukan penyelidikan namun tetap kelihatan bercanggah maka hendaklah dirujuk kepada para ahli ilmu kerana mereka akan mampu menyelesaikan hal ini dengan ilmu sehingga terbukti kebenaran firman Allah swt dalam surah An-Nisa ayat 82 bahawa mustahil wujud perselisihan dalam ayat Allah swt.
Sekiranya ayat yang dilihat bercanggah itu tidak ada yang dimansuhkan atau nasakh salah satunya maka penyelesaiannya ialah wujud tafsiran khas dan istinbat pemahaman ilmiah yang perlu dilakukan oleh para ulamak untuk mengeluarkan penjelasan dari Al-Qur’an mahupun as-sunnah.
Contoh-contoh salah faham terhadap pertentangan ayat al-Qur’an sangatlah banyak antaranya ialah :
Firman Allah swt :
ذَلِكَ الكِتَب ُلاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلمُتَقِينَ
“Itulah kitab yang tiada keraguan padanya pertunjuk bagi golongan yang bertaqwa” (Al-Baqarah : 2).
شَهرُ رَمَضَانَ الذِي أُنزِلَ فِيهِ القُرآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ
“ Bulan ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an pertunjuk kepada manusia” (Al-baqarah : 185).
Pada ayat awal disebut oleh Allah bahawa hidayah Al-Qur’an itu khusus untuk golongan yang bertaqwa namun pada ayat yang kedua disebut pula bahawa ianya pertunjuk untuk kesemua manusia. Sedangkan taqwa itu satu darjat yang khas dan bukan semua manusia beriman apatah lagi bertaqwa.
Setelah diperhatikan ayat di atas melalui suluhan ilmu, maka para ulamak menyebut bahawa hidayah yang awal ialah pertunjuk khas bagi orang bertaqwa yang membawa maksud Al-Qur’an itu menjadi pedoman bermanfaat dan panduan khas kepada mereka manakala bagi golongan manusia umum Al-Qur’an itu menjadi pertunjuk penerangan dan teladan.
Golongan bertaqwa mendapat manfaat yang lebih dari Al-Qur’an dan pertunjuknya menjadi pedoman hidup mereka adapun golongan manusia awam mereka hanya mendapat pertunjuk Al-Qur’an jika mereka beriman dan Al-Qur’an itu menerangkan kepada mereka akan azab siksa dan nikmat dari perbuatan mereka.
Begitu juga pada firman Allah swt :
اِنَّكَ لاَ تَهْدِي مَن أَحْبَبْتَ وَلَكِنَ اللهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ
“Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai tetapi Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya” (Al-Qasas :56).
وَاِنَّكَ لَتَهْدِي اِلىَ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
“ Dan sesungguhnya engkau memberi hidayah kepada jalan yang lurus” (As-Syura : 52).
Ayat di atas jika dilihat secara lahir nampak seperti berlawanan kerana pada awalnya menyatakan bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang disukainya manakala dalam ayat yang kedua menyatakan pula bahawa baginda diturunkan sebagai pertunjuk ke jalan yang lurus.
Pertunjuk dalam hal ini jika dilihat secara ilmiah, hidayah pertama yang disebut dalam ayat yang awal ialah hidayah khusus atau hidayah taufiq.
Taufiq tidak dimiliki oleh manusia sebaliknya hanya Allah yang memilikinya secara mutlak dan bebas memberi kepada sesiapa yang dikehendakinya seperti firmannya :
" وَمَا تَوفِيقِى اِلاَ بِاللَّهِ عَلَيهِ تَوَكَّلْتُ وَاِلَيْهِ أُنِيبُ (هود : 88"
“ Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepada-Nya aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali” (Surah Hud :88).
bersambung
No comments:
Post a Comment