Friday, July 05, 2013

Salah faham politik atas nama Islam [Isu berkaitan Mesir]

Politik atau siyasah merupakan salah satu cabang pengetahuan yang tidak semua orang memilikinya lantaran tiada pendedahan atau pengalaman memerintah. Sebab itu orang yang lemah dan gagal memahami urusan umat dilarang untuk bersuara dalam isu politik dibimbangi akan memberi fatwa atau pendapat yang memburukkan keadaan.

Hadith-hadith mentaati pemerintah ialah dalil atau nass yang tidak digunakan secara mutlak tanpa melihat kepada keadaan semasa umat Islam kerana para fuqaha salaf memahami bahawa hadith-hadith itu bermaksud melindungi perkara yang lebih mustahak atau mudharat yang lebih besar.

Kerana itu mereka menyebut :
يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام
' Dipikul kemudharatan yang khusus untuk mempertahankan kemudharatan yang umum'

Maknanya kezaliman raja atau pemerintah itu ditanggung oleh rakyat demi mengelakkan perpecahan dan kemudharatan yang lebih besar akibat ketiadaan pemimpin yang menyebabkan musuh dapat menghancurkan umat Islam.

Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah pada zamannya mempertahankan kepimpinan kerajaan di Syam dan Mesir sekalipun pemerintahan dua kerajaan ini tidak terlepas daripada kritikan, menindas rakyat dan sebagainya. Ini kerana beliau menyebut :

' Mesir dan Syam ialah benteng umat Islam daripada diserang oleh musuh Islam dan dapat diharapkan untuk mempertahankan Islam kerana umat Islam yang lain adalah lemah seperti penduduk Yaman yang tidak mampu berjihad dan tunduk kepada sesiapa yang datang memerintah mereka. Manakala penduduk di tanah Hijjazi (Mekah dan Madinah) pula tenggelam di dalam bid'ah dan khurafat serta para ulama mereka lemah dan ditewaskan oleh golongan bid'ah. Sekiranya golongan Syam dan Mesir ditewaskan oleh musuh maka nescaya penduduk Hijjaz akan menjadi hamba Allah yang paling hina dan aku memohon perlindungan Allah dari hal yang sedemikian. Umat Islam di Afrika diperintah oleh kaum Babar dan mereka sangat jahat, keji dan bahkan berhak diperangi. Manakala golongan umat Islam di Maghribi pula telah dijajah oleh orang-orang eropah dan mereka tidak pula berjihad menentang golongan tersebut. Sekiranya Tatar menguasai wilayah ini nescaya mereka akan mendapati di dalamnya orang-orang yang jinak. Maka jelas sekali bahawa kedudukan Syam dan Mesir adalah penjaga kepada umat Islam dan mesti dipertahankan kerana kejayaan mereka bermakna kemuliaan Islam dan kekalahan mereka ialah musibah kepada Islam." [Risalah Imam Ibn Taimiyyah]

Banyak orang salah faham tentang manhaj para salaf berhubung dengan pemerintahan dan politik kerana keliru atau dungu disuap oleh 'fikrah Murjiah' para guru mereka yang mendapat upah daripada kerajaan.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu memahami bahawa kerajaan yang hendak dipertahankan itu mestilah yang boleh memberikan manfaat kepada umat Islam keseluruhan bukan hanya kepada kroni. Justeru berhubung dengan isu Mesir, Dr. Morsi sepatutnya dipertahankan oleh rakyat jelata Mesir kerana kepimpinan Ikhwan di Mesir dapat diharapkan menjadi benteng Islam di tanah Arab bagi mengendalikan isu Palestin-Israel dan sebagai pengimbang kepada pengaruh proksi Amerika yang kuat dikalangan negara arab yang lain seperti Arab Saudi dan negara teluk.

Dalam banyak negara Islam, kita hanya dapat mengharap kepada Mesir dan Turki untuk membela Islam, jika jatuhnya Morsi maka yang tinggal cuma Turki yang kini pun terancam. Arab Saudi tidak lebih dari sekadar Khadam Amerika-Britain, berbanding khadam al-haramain !

1 comment:

hisemudinkasim.blogspot.com said...

Salam Ramadhan kepada semua umat Islami, moga ibadah kita dipenuhi dengan keberkatan.

Dengan kedatangan Ramadhan, kita juga berharap umat Islam di negara-negara yang bergolak akibat peperangang khususnya perang saudara di Syria dan pergolakan di Mesir akan bersama-sama menerima seruan agar menghentikan segala bentuk pertelingkahan sesama Islam.

Saya juga telah melengkapkan analisa mengenai ketiga-tiga negara yang bergolak iaitu Mesir, Syria dan Turki seperti di bawah :

1. Turki & Erdogan : Legasi bumi Uthmaniah kini bergolak
2. Krisis politik Mesir : Tentera rampas kuasa redakan Arab Spring II
3. Perang saudara di Syria : Perang proksi AS dan Russia

Moga kita di Malaysia mendapat iktibar daripada pergolakan tersebut dan menginsafi keamanan yang kita kecapi hari ini.

http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/07/krisis-politik-mesir-tentera-rampas.html