Tuesday, July 30, 2013

Punca perselisihan umat Islam

Perselisihan dikalangan umat Islam merupakan sesuatu perkara yang cukup memeningkan kepala. Dari hal yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada hal yang sebesar-besarnya tidak akan sunyi dari perbalahan dan berselisihan pendapat, fahaman dan pertengkaran.

Apakah punca kebanyakan perselisihan ini ?

Khalifah Umar bin Abdul Aziz rahimahullah telah menjawabnya dengan mengatakan:

وإن هذه الامة لم تختلف في ربها عز وجل ولا في نبيها ولا في كتابها، انما اختلفوا في الدينار والدرهم

“Sesungguhnya umat ini tidaklah berselisih kerana demi Robbnya azza wajalla, dan tidak juga kerana nabinya, ataupun kerana kitab sucinya. Sesungguhnya mereka hanya berselisih kerana disebabkan oleh dinar dan dirham (iaitu kerana kepentingan duniawi).”

[Sifatus Sofwah, Ibn Jauzi]

Contohnya;

Seorang ustaz jika memberikan sesuatu pendapat, amat susah benar bagi seorang ustaz lain untuk berlapang dada dan mendiamkan diri dari menyangkal pendapat yang tidak dipersetujuinya itu sedangkan ianya bukanlah isu besar atau membawa kepada hal yang haram. Tetapi disebabkan 'gagal mengawal diri, cintakan kemasyhuran, suka menjadi 'centre of attraction' maka sang ustaz dengan cepat akan membalas dan beri komen agar dirinya pula diangkat dan dimuliakan kerana lebih alim dari orang lain.

Sedangkan para salaf tidak begitu, akhlak Islam mengajar kita sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab RA pernah berkata :

لا تظن بكلمة صدرت من أخيك شرا وأنت تجد لها في الخير محملا

'Janganlah bersangka buruk terhadap kata-kata yang diucapkan oleh saudaramu sekiranya kamu mampu mencari penafsiran yang baik terhadap kata-katanya itu. [riwayat Baihaqi dan Ibn Hibban]

Begitu juga pesanan Ja'afar bin Muhammad RA yang berkata, ' Jika sampai kepada engkau tentang sesuatu perkara dari saudaramu yang engkau mengingkarinya maka carilah alasan (keuzuran) baginya yang engkau mampu perolehi dari satu sehingga kepada tujuh puluh alasan. Kemungkinan dia ada alasan yang benar atau pun paling kurang terdapat keuzuran/alasan yang tidak diketahuinya. [riwayatkan oleh Ibn Asakir]

"Mana boleh!! Inilah peluang yang terbaik untuk bantai si fulan bin si fulan, agar orang tahu dia bukanlah alim dan bagus sangat pun...." Kata nafsu.

"Apa yang aku buat ini demi dakwah, agar jangan ada yang terpedaya dengannya. Aku punyalah penat mengaji dan jumpa ramai ulama' dia pula yang senang-senang naik dan disanjung oleh orang ramai sedangkan dia tidak alim dan tidak betul...." Kata Iblis dalam talbisnya.

Lalu terjadilah perpecahan !

No comments: