Saturday, March 11, 2006

Penjelasan Hadith Muallaq & Dhaif Di Dalam Kitab Sahih Bukhari

Berlaku di dalam masyarakat kita hari ini orang yang mengaji agama dengan silibus universiti tanpa melibatkan diri dengan kajian ilmiah dan kajian mendalam terhadap ilmu agama bercakap agama seperti seorang ulama dan ingin menunjuk pandai terhadap orang jahil.

Diriwayatkan bahawa baginda salallahualahiwasalam pernah bersabda : “Barangsiapa yang mempelajari ilmu demi bertujuan untuk menyaingi para ulama’ , dan berdebat atau mengalahkan orang jahil, atau mencari pandangan (penghormatan) manusia kepadanya maka dia akan berada di neraka” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2578 dan Ibn Majah no.249).

Juga sebahagiannya mengehendaki fitnah dan ingin menyusup fahamannya kepada orang awam seperti golongan syiah dan musuh-musuh Allah yang lain apabila membuat dakwaan bahawa dalam kitab sahih bukhari terdapat hadith dhaif dan lemah jadi tidak boleh dipercayai.

“ Dijadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan (ke dalam hati) itu sebagai fitnah kepada mereka yang memiliki penyakit di hatinya” (Al-Hajj : 53).

Golongan syiah ini merbahaya kerana mereka sudah lama mahukan umat Islam berpaling dari sumber Al-Qur’an dan As-sunnah yang sahih (yang dipegang oleh Ahlul sunnah seperti Bukhari , Muslim, dan lain-lain kitab sunan) kepada Al-Qur’an acuan syiah (menurut tafsiran syiah) dan kitab hadith tulisan syiah (misalnya Al-Kulaini dan lain-lain) dengan melemahkan kepercayaan umat Islam terhadap kitab hadith umat Islam khasnya yang dianggap sahih seperti Bukhari dan Muslim.

Golongan yang mendakwa di dalam Sahih Bukhari terdapat hadith dhaif tiada lain hasratnya selain dari hasratnya mahu menunjukkan kepada orang awam betapa alim dirinya kerana dia konon mengetahui sesuatu yang orang lain tidak mengetahui. Dia ingin orang mengetahui bahawa dia seorang yang gigih membuat kajian, membuat penyelidikan dan ingin orang mengetahui bahawa dia telah berjaya menemui sesuatu hasil yang selama ini orang tidak ketahui lalu hebatkan dia ?

Tetapi apabila kita persoalkan kepada dia, apakah contoh-contoh hadith tersebut ? bagaimanakah kedudukan hadith itu disisi para ulama hadith ? Apakah sebab dimasukkan hadith muallaq di dalam sahih bukhari itu ? Apakah pendirian ulama hadith terhadap hal ini ? Maka kita akan mendapati orang ini akan berdiam diri, mengalih topik perbincangan atau pun membuat pelepasan diri dengan berkata dia cuma mengambil kata & pandangan ulama tertentu yang mengatakan demikian.

Lalu tanyakan kepada dia kalau begitu maka dia pun tidak tahu apa-apa selain hanya mendengar beberapa ulama yang mengatakan demikian lalu apa hajatnya membuat kenyataan –kenyataan pada sesuatu yang dia sendiri jahil ? Jawapannya tiada lain selain mengingini fitnah kepada agama Allah dan disebabkan penyakit di dalam hati.

Wajarlah kita menghayati hadith baginda salallahualaihiwasalam yang diriwayat dari Umar ibn Khatab ra : “ Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan bagi amalnya (balasan pada amalnya) dengan apa yang diniatkan.” (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari no. 41 & Muslim no.158).

Pengertian Hadith Muallaq

Para ulama hadith menyebut hadith muallaq ialah hadith yang terputus sanad dan gugur perawinya seorang atau lebih dari awal sanad dan keguguran sanad itu boleh jadi pada sanad yang awal atau pada seluruh sanad (lihat m/s 126 Mustalahah Hadith wa rijalluhu oleh Prof Dr Hasan Muhammad Maqbuli Al-Ahdal, Dekan Kuliah Syariah Wa Qanun Universiti San’a).

Hukum hadith Muallaq ialah ditolak dan termasuk di dalam kelompok hadith dhaif apabila termasuk syarat hadith sahih ialah mesti bersambung sanad, bebas dari kejahilan pada rawi dan dikenal perawinya termasuk orang yang memiliki sifat adil dan kuat ingatan (siqat).

Namun begitu dapat dihukum hadith muallaq sebagai diterima di sisi ulama baik sebagai hadith sahih atau hasan apabila ianya dapat dibuktikan sebagai mempunyai sanad dan dapat diketahui perawi yang dibuang ( terhapus sanadnya) sanadnya atau datang dengan riwayat lain yang menyebutkan sanad yang digugurkan.

Demikian para ulama menyebutkan perihal hadith muallaq yang terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Muslim ialah yang dapat dihukumkan sebagai sahih dan sekurang-kurangnya hasan kerana dapat dicari dan diketahui sanadnya melalui hadith-hadith yang bersanad lain.

Contoh hadith muallaq yang masyhur ialah yang terdapat di dalam sahih bukhari yang beliau (Imam Bukhari) mengugurkan sanad pertamanya iaitu hadith :

“Allah itu lebih berhak untuk kita merasa malu kepada-Nya daripada manusia”

Hadith ini bertaraf hasan dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Bahz ibn Hakim, daripada bapanya iaitu Hakim Ibn Muawiyah dan dari datuknya iaitu Muawiyah ibn Haidah Al-Qusyairi iaitu seorang sahabat yang masyhur.

Sebenarnya dari Imam Bukhari kepada Bahz ibn Hakim telah gugur satu perawi kerana Imam Bukhari tidak hidup sezaman dengan Bahz ibn Hakim dengan demikian hadith bukhari ini ialah hadith Muallaq dan sanadnya terputus di awal sanad (digugurkan oleh Imam Bukhari).

Namun begitu hadith ini dapat diterima kerana ianya terdapat dalam sanad yang lain misalnya daripada Imam Abu Daud apabila dianya meriwayatkan hadith ini bersanadkan daripada Abdullah ibn Maslamah daripada Ubai daripada Bahz Ibn Hakim daripada bapanya iaitu Hakim Ibn Muawiyah dan dari datuknya iaitu Muawiyah ibn Haidah Al-Qusyairi.

Adapun dari riwayat Imam At-Tirmidzi maka dia meriwayatkan hadith ini dari Ahmad ibn Mani’ daripada Muadz ibn Ma’adz dan Yazid Ibn Harun daripada Bahz ibn Hakim daripada bapanya iaitu Hakim Ibn Muawiyah dan dari datuknya iaitu Muawiyah ibn Haidah Al-Qusyairi.

Maka dari penelitian ilmiah kita akan mengerti bahawa Imam Bukhari telah mengugurkan sekurang-kurangnya seorang perawi daripada riwayatnya akan hadith ini.

Penjelasan Hadith Muallaq Dalam Bukhari

Dikirakan jumlah hadith di dalam sahih bukhari ialah sebanyak 7275 hadith yang sahih dan bersambung sanadnya yang berulang-ulang dan 4000 hadith yang tidak berulang. Adapun yang ditahqiq oleh Al-Imam Ibn Hajar akan hadith yang bersambung dan tidak berulang ialah sebanyak 2602 buah hadith dan yang bersambung atau muallaq dan berulang-ulang ialah sebanyak 7397buah hadith.

Adapun jumlah hadith yang dianggap muallaq ini berjumlah 341 buah hadith. Jumlah keseluruhan hadith di dalam kitabnya dianggap berjumlah 9082 buah hadith.

Tujuan Imam Bukhari mengugurkan sanad-sanad hadith ini ialah kerana demi meringkaskan dan memuatkan hadith dengan ringkasan apabila sesuatu hadith itu terlampau panjang atau pun ianya berulang-ulang. Kebanyakkan hadith muallaq di dalam bukhari datang dalam bentuk ini apabila sekalipun Al-Imam Bukhari mengugurkan sanadnya namun kita dapat menemui sanad yang digugurkan oleh beliau dalam hadith-hadith lain yang termuat di bab yang lain atau pun hadith yang sama tetapi termuat di bab yang lain.

Maka niat Al-Imam Bukhari bukanlah untuk tujuan mengada-gadakan hadith (mereka hadith) sebaliknya beliau bertujuan meringkaskan dan mengelak dari pengulangan sanad.

Oleh itu sekiranya Al-Imam menyebut hadith itu dengan siqat (uslub) jazam (pasti) seperti Qala, fa’ala, amara dan dzakara fulanun dalam hadith muallaq yang terdapat pada sahihnya maka ianya dapat dipercayai sebagai sahih.

Kelakuan ini kerana Imam Bukhari merasa tidak perlu menyambungkan sanad-sanad itu kerana sudah merasa cukup dengan sanad yang ada di tempat yang lain. Juga berkemungkinan beliau bermaksud tidak mahu meriwayatkan hadith itu padanya tetapi memuatkan dengan maksud riwayat yang ada pada muhadith yang lain dan juga merasakan hadith itu cuma sebagai pelengkap dan penerang dan penguat bukan dijadikan isi dan hanya dibuat tajuk bab dan hujah.

Menurut Ibn Solah sekalipun Imam Bukhari tidak mengunakan istilah jazam (pasti) pada hadith-hadith muallaq yang di dalam kitabnya maka tidaklah juga dihukumi dhaif kerana ianya disepakati kesahihannya di dalam kitab-kitab hadith yang lain yang hadith itu menduduki taraf sahih (lihat Syarah Alfiyah As-Suyuthi).

Kesimpulannya

Kesemua hadith di dalam kitab sahih Bukhari dapat dijadikan pegangan dan hujah adapun dari sudut permasalahan riwayatnya yang terputus dan sebagainya hendaklah ditinggalkan kepada para ulama hadith untuk diperbincangkan dan diteliti dan dikaji secara ilmiah bagi menentukan hukumnya.

Selama ianya disebut hukum sahih oleh ulama hadith dari hasil istinbat dengan kaedah-kaedah hadith dan pensyaratan yang teliti maka selama itu ianya dapat dijadikan hujah dan amalan dan seharusnya setiap hadith dibaca dengan bersama syarahan ulama hadith dan ulasan oleh para imam ummah dan huraian.

Ijmak ulama ummah bahawa seluruh sanad bukhari itu terpercaya (siqah) dan hanya sejumlah kecil sahaja diperselisihkan namun ianya tidaklah sampai mengeluarkannya dari darjah sahih (hasan lilghairih).

Bahkan beliau (Al-Imam Bukhari) sendiri menyebut : “Aku tidak memasukkan dalam kitabku ini kecuali hadith yang sahih sahaja”.

Kitab Jami Sahihul Musnad Min Hadith Rasulullah Sallahualahiwasalam wa Sunnanihi wa Ayamihi atau ringkasannya Jami Sahih atau dikenali sebagai Sahih Bukhari ini telah disyarahkan oleh ulama Islam dengan lebih dari 300 buah kitab syarahan dan yang paling terkenal ialah yang ditulis oleh Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani (852H) dengan dikenali kitab Fathul Bari dan seperti Kitab Umdatul Qari oleh Al-Imam Badrudin Al-Aini (855H) dan Kitab Irsyadus Sari oleh Al-Imam Ahmad Ibn Muhammad Al-Qastalani (922H).

Wallahualam

Rujukan ringkas :

Muqadimah Fathul Bari BiSyarh Sahih Bukhari Oleh Imam Ibn Hajar.
Mustalahah Hadith wa rijalluhu oleh Prof Dr Hasan Muhammad Maqbuli Al-Ahdal, Dekan Kuliah Syariah Wa Qanun Universiti San’a).

Oleh :

Ustaz Emran Ahmad
San’a, Yaman.

3 comments:

hnordean said...

Alhamdulillah, terima kasih kerana penerangan ustaz. sy kini lebi faham ttg hadith.

Nurul Ashikin Hazmi said...

terima kasih atas penerangan yg diberikan

Nurul Ashikin Hazmi said...

terima kasih atas penerangan ustaz