Sunday, September 11, 2005

Kuliah Khas Ustaz Emran


Berikut ialah Teks Kuliah Khas Ustaz Emran ibn Ahmad ibn Omar ibn Al-Ghazalie As- Sabit.

Allah menetapkan orang yang beriman itu dengan perkataan yang tetap pada kehidupan dunia dan akhirat” (Ibrahim : 27).

Moga dapatlah mengambil manfaat dari isi kuliah ini walaupun ada sesetengah isu yang sensitive dan disebut tanpa lapik dan berlindung demi kemaslahatan ummah dan sila ambil manfaat dari soal jawab dan teks jawpaan soalan yang diberikan di bawah wallahualam…


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله

إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ اِلاَّ وَاَنتُم مُّسلِمُونَ (آل عمران: 102)
ياَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم من نَّفسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنهَا زَوجَهَا وَبَثَّ مِنهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَولاً سَدِيداً يُصلِح لَكُم اَعمَالَكُم وَيَغفِر لَكُم ذُنُوبَكُم وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد فَاز فوزا عظيما (الأحزاب:70).

أمِّا بعد:

Segala puji bagi Allah dengan segala kebesaran dan kesucian, Dia-lah Allah tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta Dialah tuhan yang pada-Nya kita menyembah dan menyerah diri.

Dan kepada-Nyalah (Allah), semuanya menyerah diri baik yang berada di langit dan di bumi sama ada secara sukarela mahupun paksa dan kepada-Nya mereka semua kembali.” (Alil -Imran : 83).


Ketahuilah muslimin sekalian,

Sesungguhnya penciptaan manusia baik lelaki dan perempuan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dan menjadi hamba kepada zat-Nya yang Maha Kuasa.

“ Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada kami.” (Adz-zariyat : 56).

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik" (An-Nahl:97).

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan-amalan soleh, baik lelaki mahupun perempuan, sedang mereka orang yang beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka itu tidak dianiayai walau sedikitpun" (An-Nisa':124).

Diriwayatkan dari Muaz bin Jabal ra, bahawa baginda rasulullah salalallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah kewajipan bagi setiap hamba untuk menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya ,dan hak hamba ke atas Allah ialah untuk tidak mengazab hamba-Nya.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.77).

Dimaksudkan dengan menyembah Allah ialah beribadah kepada-Nya dengan kaedah dan jalan yang ditunjukkan oleh Allah swt melalui pertunjuk yang sahih iaitu Al-Qur’an dan sunnah rasul-Nya.

Inilah agama Islam yang dibawa oleh para rasul terdahulu seperti katanya nabi Allah Syuaib as kepada kaumnya yang diabadikan Allah dalam firman-Nya :

“ Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepada-Nya aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali” (Surah Hud :88).

Hendaklah menyembah Allah swt itu dengan jalan dan pertunjuk yang dibawa oleh Allah swt melalui para rasul-Nya dan ikutilah serta pegangilah ia sesungguhnya dan janganlah kalian menyalahinya.

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59).

" Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Al-Hasyr: 7).

" Dan taatlah kamu kepada Allah dan kepada rasul jika kamu benar-benar beriman " (Al-Anfaal : 1).

"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" ( An-Nisa : 80).

Telah bersabda baginda rasulullah kepada kita semua dengan sabdanya yang mulia : “ Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya.” (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatho no 898, Hakim dalam Mustadrak no.63).

Juga diriwayatkan dari Abd Rahman bin Yazid dari Abdullah ibn Mas’ud ra yang telah berkata
“ Bersedikit dan berpada (beramal) dalam sunnah lebih utama dari bersungguh-sunguh dan banyak dalam bid’ah” (lihat dalam Sunan Darimi no. 217).

Inilah jalan dan pertunjuk yang sahih dalam beribadah iaitu menetap pada pertunjuk sunnah yang dibawa dari Al-Qur’an dan ajaran rasul kepada umat-Nya iaitu para sahabat ra dan dipelihara oleh ummah melalui ilmu dan manhaj yang dikenali sebagai salafus soleh. Dari riwayat Aisyah ra bahawa baginda rasulullah pernah bersabda: “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien). “ (Hadith sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).

Begitu juga seperti yang disampaikan oleh Sufyan ibn Uyainah dengan berkata aku mendengar Asim berbicara kepada Abu Al-Aliyah dengan katanya “ Tetaplah pada perkara yang awal-awal dipegang dan diperintahkan (oleh para sahabat) sebelum khilafnya ummat”. Dan telah berkata juga Al-Auza’ie “Bersabarlah di atas sunnah dan berhentilah pada apa yang golongan terdahulu berhenti padanya (yakni pada perkara yang para sahabat berhenti dari melakukannya) dan berkatalah dengan apa yang dikatakan oleh mereka (para sahabat) dan berpadalah dengan apa yang mereka merasa cukup (sebagai panduan mereka) dan laluilah jalan salaf soleh.” (Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya 143 Jilid 6).

Inilah manhaj dan jalan kita dalam beribadah kepada Allah sebagai golongan yang beriman kepada Al-Qur’an dan sunnah. Kita mentaati Al-Qur’an sebagai kalam Allah dengan menyakini ianya lengkap dan sempurna sebagai panduan dalam kehidupan.

“ Dan tidaklah kami tertinggal dalam Al-Quran itu akan sesuatu (melainkan telah kami terangkannya) dan kepada tuhanlah mereka akan dihimpunkan .” (Surah Al-An'am : 38).

Lalu bukankah Al-Qur’an juga memerintahkan kita supaya mentaati rasulullah dan menuruti sunnah dan perintah serta panduannya ?

" Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Surah Al-Hasyr: 7).


" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59)

Bukankah mentaati rasulullah, menuruti sunnahnya itu sebagai tanda keimanan ?

" Dan taatlah kamu kepada Allah dan kepada rasul jika kamu benar-benar beriman " (Surah Al-Anfaal : 1).

Juga bukankah dengan mentaati rasul dan menuruti sunnahnya itu sebagai tanda bahawa kita telah mentaati Allah dan menurut perintah-Nya di dalam Al-Qur’an ?

"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" (Surah An-Nisa : 80).

Maka wahai umat Islam, berimanlah kalian kepada ayat Al-Qur’an dan sunnah rasul kalian yang disampaikan oleh Allah swt dengan jalan yang terpelihara oleh ummah dan ulama’ yang mewarisi kenabian.

Sunnah rasul kalian itu bukanlah dari hawa nafsunya sebaliknya ialah wahyu kenabian yang dibimbing oleh tarbiyah Allah.

“Dan tidaklah dia (Muhammad) berkata menurut hawa nafsunya sebaliknya apa yang telah diwahyukan kepadanya” (An-Najm : 3).

Demikianlah dalam hadith yang sahih baginda rasulullah bersabda : “Bukankah aku ini diberikan oleh Allah akan Al-Qur’an dan sesuatu yang sepertinya ? (iaitu sunnah)” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 4604 dan Ibn Majah).

Bahkan secara jelas dalam hadith Abdullah ibn Amr bin Al-Ash ra yang selalu menulis sabda baginda dan meriwayatkan hadith baginda pernah ditegur oleh para sahabat yang lain mengenai perbuatan beliau dengan kata mereka baginda rasulullah itu manusia biasa ada kalanya menuturkan sesuatu yang bukan dapat dibuat panduan maka lalu beliau (Abdullah ibn Amr bin Al-Ash ra) bertanya kepada rasulullah dan dijawab oleh baginda: “Tulislah ! Demi Zat yang jiwaku ditangan-Nya tidaklah keluar dari lisanku selain yang benar” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 3646).


Maka ternafilah fitnah kejahilan oleh mereka yang bergerak dan melata di muka bumi namun lebih hina dari haiwan dan binatang serta tumbuhan.

Mereka mengatakan sunnah rasulullah bukan lagi panduan, ianya kalam manusia yang biasa, boleh salah dan silap lalu cukup kita hanya dengan Al-Qur’an sedang Al-Qur’an itu menyuruh kita berpegang kepada sunnah dan panduan rasulullah.

Mereka ini bebas bergerak dan diberi bantuan, mereka mengelar diri mereka ahli Al-Qur’an kerana mereka menolak sunnah dan anti kepada hadith dan sunnah. Maka mereka inilah golongan sesat yang telah kufur kepada Allah dan rasul-Nya dan menyangka mereka lebih bijak dari ulama’ dari sahabat dan salaf soleh ummah.

" Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus : 36).

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Al-Mujadalah :11).

" Dan sebelumnya kamu tidak pun mengetahui apakah itu Al- Kitab (Al-Quran) dan tidak juga mengetahui apakah itu Iman. Tetapi kamilah yang menjadikan Al-Quran itu cahaya dan pertunjuk kepada sesiapa yang kami kehendaki dari kalangan hamba kami." (Surah As-Syura : 52).

Tidakkah mereka berasa risau dimasukkan ke dalam golongan yang menolak sunnah rasulullah ? Sedang baginda salallahualaihiwasalam menyebut dalam riwayat Abu Hurairah dengan sabdanya : “ Setiap Umatku akan masuk syurga melainkan mereka yang mengingkari” Maka sahabat bertanya, siapakah yang ingkar itu wahai rasulullah ? Siapa yang mentaati aku maka dia akan masuk syurga dan siapa yang menderhakai aku maka dialah golongan yang mengingkari.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 728).

Setiap umat rasulullah itu selama masih beriman baik yang melakukan dosa atau pun tidak tetap dapat berkunjung ke syurga setelah diazab dan diseksa dan selesai menerima balasan dosa selama mereka masih bertauhid dan beriman kepada Allah dan rasul.

Sabda baginda rasulullah : “ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah (memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad 69/1).

Namun dalam hadith yang awal baginda menyebut : “ Setiap Umatku akan masuk syurga melainkan mereka yang mengingkari” Maka dari hadith di atas menunjukkan kita bahawa telah kufur golongan yang mengingkari sunnah dan hadith baginda yang terbukti sahih darinya kerana baginda secara terang menyebut mereka tidak akan masuk syurga sedangkan seluruh umat baginda yang beriman akan masuk syurga walaupun melakukan dosa setelah diazab dan selesai menerima hukuman (lihat lanjut dalam kitab Syarah Aqidah Thahawiyah oleh Imam Ibn Abi Izz ra).


“ Barangsiapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.” (Surah Al-Isra : 15).

" Dan sebelumnya kamu tidak pun mengetahui apakah itu Al- Kitab (Al-Quran) dan tidak juga mengetahui apakah itu Iman. Tetapi kamilah yang menjadikan Al-Quran itu cahaya dan pertunjuk kepada sesiapa yang kami kehendaki dari kalangan hamba kami." (Surah As-Syura : 52).


Wahai muslimin sekalian,

Janganlah kita tidak beribadah kepada Allah sedangkan matlamat kita diciptakan oleh Allah swt ialah untuk menyembah-Nya dan beribadah kepada-Nya.

Ingatilah Allah dalam setiap masa baik di kala waktu berjalan, diam dan suka atau ketika waktu derita.

“Ingatilah kamu akan aku nescaya aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada aku dan janganlah kamu kufur kepada aku” (Al-Baqarah : 152).

“Iaitu orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri , duduk dan sewaktu berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi sambil berkata : Wahai tuhan kami sesungguhnya tidaklah Engkau menjadikan segalanya ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau maka peliharalah kami dari siksaan neraka” (Alil-Imran : 191).

Ketahuilah wahai manusia baik yang masih bujang, sudah bekeluarga, miskin dan hina atau kaya dan mulia bahawa orang yang beriman itu ialah mereka yang sentiasa mengingati Allah dan dan membenarkan perintah Allah dengan mentaatinya serta melakukannya sedaya upaya mereka dan meninggalkan larangan Allah semampu daya mereka.

“Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah apabila disebut nama Allah kepada mereka maka gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat Allah maka bertambahlah iman mereka itu” (Al-Anfaal : 2).

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (surah : at-taghabun :16).

“Sesungguhnya jawapan orang-orang yang beriman, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka maka mereka menjawab : “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapatkan kemenangan.” (An-Nur: 51-52).


Wahai kaum muslimin sekalian,

Sebagai penutup peringatan dari ana sebagai hamba Allah yang menyampaikan pesan para salaf soleh dan pesan peringatan dari rasulullah maka hendaklah kita semua berpegang kepada sunnah rasulullah dengan sebaik-baik pegangan.
Ingatlah akan hadith dari riwayat Irbad ibn Sariyah ra bahawa baginda rasul salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta patuhlah kepada pemimpin walaupun dia diangkat dari hamba habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu pada Sunnah aku dan sunnah khulafa Ar-Rasyidin yang diberi pertunjuk selepas aku . Peganglah ia (sunnah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa mengigitnya dengan gigi geraham kamu. Dan berhati-hatilah kamu dengan perkara baru !!! Sesungguhnya setiap perkara baru (dalam agama) ialah bid’ah !!! dan setiap bid’ah itu sesat !!! (Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi (no.2676) , Abu Daud (no. 4607) dan Ahmad (no.12561).

Ingatlah, fahamilah, yakinlah dan berimanlah kalian umat Islam kepada sunnah rasulullah dan amalkanlah sunnah dengan kefahaman yang sahih.

Pelajarilah ilmu dari ulama dan fuqaha ummah dan janganlah kalian mengambil ilmu dari mereka yang jahil dan tiada pertunjuk dan berada dalam kesesatan. Iaitu mereka yang menuruti akal fikiran dan fikrah (idea) ilham mereka dalam agama.

“Apakah kamu tahu akan perihal golongan yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan ?” (Al-Furqan : 43).

Diriwayatkan Abdullah Ibn Mas'ud ra pernah menyebut bahawa “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar ummah iaitu ulama' mereka dan jika mereka mengambil ilmu dari As-shaghir dan buruk, mereka pasti hancur.”

Mereka yang dimaksudkan sebagai As-shaghir adalah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah Ashaghir itu ?”. Dia menjawab,”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal & menafsir sendiri tanpa merujuk dalil). Adapun orang yang mengambil ilmu dari pembesar ummah (Ulama') bukan termasuk As-shaghir ” (Lihat Ibn Abd Bar' dalam Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 248).
Juga diriwayatkan Ali bin Abi Thalib ra pernah berkata, " Lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu kerana ilmu adalah agama.” ( Lihat Al Khatib Al Baghdadi, dalam At Tankil, m/s 121). Pernyataan ini dinukil dari beberapa ulama salaf yang lain seperti Ibnu Sirin Adh Dhahak bin Muzahim dan yang lain ( Lihat Syarah Shahih Muslim m/s 14 Jilid 1 , Sunan Ad Darimi m/s 124 Jilid 1) .

Ketahuilah wahai saudara muslimin sekalian,

Bukanlah ulama’ mereka yang membaca buku-buku fikrah (idea) harakah dan semangat dari ulasan beberapa orang manusia yang menulis tentang agama sedangkan dia bukanlah ulama’ dan mengetahui kaedah dan manhaj ilmu Islam.

Lalu golongan ini menulis mengenai jihad, mengenai dakwah, mengenai harakah, mengenai isu-isu Islam dan perkara besar dalam Islam sebaliknya juga bukanlah ulama itu sepatutnya beku dengan ilmu yang hanya ada di kitab tanpa memahami waqi dan situasi umat Islam semasa dan seharusnya mereka mampu beramal dan mengamalkan sunnah menurut situasi dan keadaan yang ada.

Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Al-Mujadalah :11).

Sabda rasulullah : " Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama." (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari no. 3116 & Muslim no. 1037).

Permasalahan umat Islam hari ini ialah kerana mereka enggan kembali kepada pertunjuk sunnah dan ingin kekal dalam kejahilan dan pembahruan bid’ah dalam agama tanpa ingin merasa cukup dengan sunnah dan terpedaya oleh godaan dunia.

Telah berkata Sufyan As-Sauri bahawa “ Bid’ah lebih disukai oleh Iblis dari maksiat kerana maksiat manusia akan bertaubat darinya sedang bid’ah manusia akan merasa tidak bersalah dan berterusan melakukannya.”. (Sila lihat Hilyatul Auliya oleh Abu Nu’aim m/s 26 Jilid 7).

Bid’ah dari sudut bahasa bererti “Memulakan sesuatu atau mencipta sesuatu tanpa pernah ada contoh atau teladan tentangnya.” (Mu’jam Muqayis Al-Lughah no.209 Jilid 1), (Fathul Bari 253 Jilid 13). Sebahagian mengatakan ianya sesuatu yang tiada asal juga ada mengatakan ianya ialah perekaan sesuatu yang baru tanpa pernah dicipta sepertinya atau diketahui sepertinya (Lihat Al-Ainul lil Khalil bin Ahmad 54 Jilid 2).

Bid’ah dari sudut ta’rifan istilah fuqaha secara umum ialah “ Mengadakan sesuatu yang baru dalam agama yang seakan-akan perkara agama dengan maksud dibuat untuk mendekat diri pada Allah swt”.(Sila lihat Imam Syatibi dalam Al-I’tisom no.37).

Juga disebut oleh Imam Ahmad bin Hajar Al-Haisami “ Bid’ah ialah apa yang tidak dibina berasaskan dalil syar’ie…” (Al-Fatawa Al-Hadisiyah,m/s 281).

“Sesungguhnya hari ini telah aku sempurnakan pada kamu akan agama kamu dan aku sempurnakan nikmatku pada kamu dan aku meredhai Islam sebagai agama kamu.” (Surah Al-Mai’dah : 3).

Pada hari ini, manusia dalam berdakwah, berjihad mereka tidak menurut sunnah, sebaliknya suka menurut fikrah manusia dan idea pihak tertentu yang lahir dari ilham, pemahaman dan buah fikiran bukan kepada wahyu, sunnah dan kefahaman ilmu salaf soleh.

Maka inilah bid’ah yang membahayakan dan mengakibatkan umat Islam kerugian dalam perjuangan menegakkan Islam. Malang sekali apabila para ustaz dan ustazah, para ilmuan dan cendiakawan, golongan intelektual Islam lebih menyukai perjuangan Islam yang berkonsepkan fikrah dan jemaah sehingga mewujudkan perpecahan di kalangan ummah.

Mereka menuruti individu tertentu dan tokoh manusia dari kalangan jemaah dan pertubuhan dakwah Islam yang telah lama meninggal dunia sedangkan perjuangannya sudah berlalu yang tinggal hanya doa dan kenangan. Jalannya ada yang benar dan ada yang salah sebagai manusia ianya fitrah lalu cukuplah kita jadikan sebagai sampingan dan ambil sunnah sebagai dasar dan panduan.

“Janganlah kamu menjadi seperti orang yang musyrikin iaitu mereka yang BERPECAH-BELAH dalam agama mereka dan setiap HIZBI (golongan, parti, jemaah) itu bergembira dengan apa yang mereka punyai” (Surah Ar-Rum 31-32).

Dalam hadith baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas’ud bahawa baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud “ Aku bersama kamu di telaga Al-Hau’d ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari ummat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu (yakni mereka telah menyeleweng, berbuat bid;ah). (Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).

Kembalilah kepada As-Sunnah dan bersamalah dengan golongan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah seperti mana di sebut dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan. Maka bertanyalah para sahabat ra siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Hendaklah kita berada dalam kelompok Ahlul sunnah wal Jamaah baik dalam hal aqidah, ibadah, amal dakwah, jihad dan harakah serta kehidupan kita menuruti pertunjuk sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam dalam perkara keagamaan.

Adapun urusan kehidupan umumnya dan aspek sosial yang tidak berkait dengan agama maka tidaklah mengapa kita menjadi kreatif, inovatif dan bijaksana mengatur apa yang terbaik untuk dunia kita.

"Belum tahukah kamu, bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Dia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmat-Nya yang terlihat mahupun yang tidak kelihatan." (Luqman: 20).

“ Dan tidaklah dijadikan pada agama ini sesuatu yang menyusahkan” (Surah Al-hajj: 78).

Cukuplah kita pada pertunjuk dari sabda baginda rasulullah : “Perkara yang Halal itu ialah apa yang dihalalkan oleh Allah dalam kitab (Al-Qur’an) dan apa yang haram itu ialah apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab-Nya dan apa yang didiamkan olehnya maka ianya termasuk apa yang dimaafkan kepada kalian” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no. 1726, Ibn majah, Hakim).

Juga sabda baginda rasulullah : “Sesungguhnya agama ini ialah mudah dan tidaklah yang (sengaja) menyusahkan dirinya dalam hal agama ini melainkan dia akan dikalahkan (tidak mampu)” (hadith sahih riwayat bukhari syarah ibn hajar jilid 1 m/s 93).

“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih” (Alil-Imran –31).



وصلي الله علي نبيِّنَا محمد وآله و صحبه والتابعين لهم باِحسن إلي يوم الدين والحمد لله الرب العالمين.

…………………………………………….

Berikut ialah soalan-soalan yang ditujukan dalam kuliah dan petikan isi jawapan secara ringkas (jawapan dalam kuliah panjang tapi diringkaskan di sini maka sesiapa yang berhasrat mengetahui jawapan dengan lanjut sila ke http:yahoogroup/ pandangan seorang ustaz.com dan dapatkan dalam download mp3 kuliah ustaz emran)

1) Siapakah yang berhak mentafsir Al-Qur’an dan apakah untuk menterjemahkan makna hadith dan sunnah juga memerlukan kepakaran khas ?

Isi jawapan :

Sememangnya Al-Qur’an itu diturunkan kepada semua hamba Allah swt untuk difahami dan ditadabur serta diambil pelajaran darinya oleh setiap umat Islam dan mereka yang kafir supaya kembali kepada ajaran yang benar.

Tidak benar jika dikatakan Al-Qur’an itu hanya khusus untuk para ulama’ dan orang ramai tidak boleh mengambil pengajaran dari Al-Qur’an dan tidak benar orang ramai mesti taqlid buta kepada ulama dan menuruti apa sahaja tafsiran dari kitab Allah tanpa ilmu.

Juga lebih-lebih tidak benar Al-Qur’an itu boleh ditafsir sesuka hati oleh sesiapa sahaja tanpa ilmu dan tidak benar setiap orang boleh berfatwa dengan Al-Qur’an tanpa ilmu kerana ianya kesesatan maka ianya salah dan berdosa.

Dari riwayat Ibn Abbas ra bahawa baginda bersabda :“Barangsiapa yang mengatakan sesuatu perihal Al-Quran dengan menggunakan akalnya atau dengan apa yang tidak diketahuinya maka bersedialah dia dengan tempat di neraka.” (Hadith hasan, riwayat Ibn. Jarir 34 Jilid 1 & Tirmidzi no. 2950).

Oleh yang demikian jawapan ahlul sunnah dalam hal ini ialah menetapkan bahawa sesiapa yang dapat memahami isi kandungan Al-Qur’an dengan ilmu dan pemahaman yang sahih menurut kehendak sunnah yang mentafsirkan Al-Qur’an maka bolehlah dia mengamalkan Al-Qur’an namun untuk memberi fatwa dan berhukum dengan Al-Qur’an dan mentafsir isi kandungannya untuk orang lain maka hendaklah mereka itu ulama dan memiliki kemahiran dan ilmu yang mencukupi.

Dari riwayat Mujahid ra yang pernah berguru dengan Ibn Abbas ra berkata “ Tidak halal bagi sesiapapun yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkata sesuatu perihal Al-Quran sedang dia tidak menguasai bahasa arab.” (lihat Mabahis Fi Ulum Quran m/s 302 ).

Selain memahami usul tafsir, fiqih dan usulnya, mengetahui dan memiliki kemahiran bahasa arab dan sasteranya. Mereka juga harus mempunyai kekuatan dalam hadith dan ilmunya serta mengetahui kaedah dan memiliki kemahiran dan kelebihan dalam pemahaman terhadap uslub dan gaya bahasa Al-Qur’an.

2) Salahkah kita memahami hadith pada makna umum ?

Isi Jawapan :

Memahami sunnah dan hadith hendaklah dengan ilmu seperti Al-Qur’an dan mengetahui makna hakikatnya yang dikehendaki oleh penuturnya iaitu rasulullah salallahualaihiwasalam dengan meneliti isi sunnah dan hadith yang lain yang menerangkan makna hadith tersebut atau isi Al-Qur’an.

Jika tidak maka para ulama akan melihat kepada asar dan riwayat dari para sahabat yang memahami sunnah dengan pemahaman dengan sebaik-baik pemahaman.

Tidak benar dan salah jika kita hanya memahami hadith pada makna umum walaupun pengajaran itu pada makna umum namun jika dalam permasalahan hukum dan dijadikan pengamalan maka hendaklah memiliki kaedah ilmu hadith.

Pertama memastikan kesahihan sanad hadith dan hukum hadith itu maqbul (diterima) untuk diamalkan iaitu sekurangnya hasan lighairih dan tidak mengambil yang dhaif kerana agama Islam ini hujjah dan hadith dhaif tidak dapat dijadikan hujah.

Kedua hendaklah dilihat apakah hadith itu dimaksudkan kepada sesuatu yang umum atau khusus dan ianya tidak disalah gunakan tanpa menurut maksud yang sebenar.

Contohnya pada hadith dari riwayat Umar Al-Khatab ra yang menyebut bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ Hendaklah Kamu berada dalam jamaah dan jauhilah kamu dari perpecahan sesungguhnya syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua dan barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah” ( Hadith Sahih riwayat Tirmidzi, Ibn Majah dan Humaidi).

Dari Huzaifah al-yamani ra akan hadith yang berbunyi : “Hendaklah kamu beriltizam dengan jemaah umat Islam dan kepimpinannya” (hadith sahih riwayat bukhari dan Muslim).

Serta apa yang disebut oleh hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah secara marfu dalam Sahih Muslim yang menyebut : “ Barangsiapa yang keluar dari ketaatan kepada kepimpinan umat Islam dan memecah belahkan jemaah (masyarakat Islam) maka matinya merupakan kematian jahiliyah” (hadith sahih riwayat Muslim).

Hadith-hadith di atas kerap disalah gunakan oleh para ustaz yang belum cukup ilmunya, para pengerak dakwah dengan memutar belit makna hadith dengan menyimpulkan bahawa menyertai jemaah yang ditubuhkan oleh mereka dan organisasi tanzim mereka sebagai wajib sedangkan maksud hdith di atas bukanlah jemaah atau organisasi yang dicipta atau ditubuhkan oleh mana-mana umat Islam.

Maksud hadith di atas seperti yang dijelaskan oleh Imam Al-Hafidz Mubarakfuri dalam kitabnya Syarah Jami’ Tirmidzi Tuhfatul Ahwazi mensyarahkan hadith ini dengan menyebut dalam hadith ini ialah bermaksud menetapkan diri bersama kepimpinan masyarakat Islam kerana Islam itu ialah sudah merupakan sebuah jemaah dan dalam riwayat Khalid bin Sabi’ di sisi Tibrani menambah apabila kamu melihat Khalifah maka taatilah dan apabila tiada khalifah maka berperanglah ( Sila lihat Tuhfatul Ahwazi m/s 385 Jilid 6).

Sesungguhnya hadith di atas menjadi fitnah apabila disalah maksud sehingga berpecah- belah umat Islam yang asalnya sudah satu jemaah di bawah aqidah dan kalimah tauhid. Apabila masing-masing mendakwa jemaah dan hizbi merekalah yang wajib diintima dan disertai sedangkan mereka telah berdusta dan berbohong dengan hadith baginda tanpa ilmu.

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116)

Sedang baginda Salallahualaihiwasalam bersabda :" Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)” (Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).

Kesimpulannya hendaklah memahami hadith dan sunnah menurut ilmu dan pemahaman para salaf soleh yang mengetahui akan maksud sebenar dan berada dalam pertunjuk sunnah.

3) Apa pandangan ustaz terhadap jemaah Ikhwan Muslimun ? Hassan Al-banna ? Syed Qutb ? Dr Yusof Al-Qaradhawi ?

Jemaah Ikhwanul Muslimin pada sejarahnya ditubuhkan sebagai sebuah badan dakwah dan As-Syahid hasan Albanna semoga Allah memberkatinya menceritakan tujuan penubuhannya dalam bukunya “Risalah ta’alim” dan lain-lain sebagai sebuah gerakan yang akan menegakkan khilafah Islamiyah dan memperjuangkan Islam dengan perjuangan yang sahih untuk menentang jahiliyah dan menegakkan daulah Islam setelah gugurnya khilafah Islamiyah di Turki.

Ana sendiri mengagumi dan menghormati tokoh ikhwan muslimun sebagai pejuang Islam yang berhak menerima penghormatan dan doa dari kaum muslimin seperti Hasan Albanna, Syed Qutb ra, Abd Qadir Audah, Abu Ala’ Almaududi dan lain-lain.

Namun organisasi ini semakin lama semakin dipenuhi ta’asub dan taqlid buta serta mula dipenuhi oleh mereka yang ta’asub kepada pemimpin gerakan mereka sehingga mereka mengagung-agungkan tokoh mereka lebih dari para salaf soleh dan ulama’.

Mereka membahagikan ulama kepada dua iaitu yang menyertai mereka dengan mengelar ianya ulama’ haraki yang bergerak berjuang untuk Islam dan ulama yang bukan haraki atau tidak mempunyai fikrah (idea) pemahaman seperti mereka dalam hal dakwah dan perjuangan.

Permasalahan golongan ini pernah disebutkan oleh muhadith terkemuka Syeikh Nasiruddin Albani ra dalam kuliahnya bahawa mereka ini (ikhwan Muslimun) terlalu ta’asub, gopoh, mereka tidak menekankan aspek ilmu dan kefahaman Islam yang sahih terlebih dahulu sebelum berjuang sebaliknya menekankan aspek mengikat ahli dan orang ramai dengan jemaah mereka.

Mereka lebih menekankan aspek wala’, uslub berharakah, menekankan aspek kesetiaan ahli dan mengajar usul 20 ikhwan yang ditulis oleh imam mereka supaya ahli menetap diri dalam jemaah lebih banyak dari mereka mengajar ahli dan orang ramai tentang aqidah yang sahih, tentang ibadah yang sahih, tentang akhlak Islam dan tentang sunnah rasulullah.

Apabila ditegur jemaah ini maka mereka tidak menerima teguran sebaliknya memperlecehkan orang yang menegur dengan berkata “Apa jasa engkau untuk Islam sedang kami walaupun demikian sudah melakukan pelbagai perkara” lalu mereka memperlecehkan ulama rabbani yang menegur mereka dengan katanya mereka yang berdakwah dan bergerak itu lebih baik dari ulama yang duduk diam sahaja tanpa berdakwah”.

Pandangan peribadi ustaz emran,

Tidak mengapa menyertai jemaah ini dan mengambil manfaat namun hendaklah mereka dalam jemaah ini mengetahui dan menjaga adab dan tertib mereka serta memelihara perkara berikut :

a) Tidak ta’asub kepada pemimpin harakah mereka sebaliknya mengikuti dan mematuhi arahan sekadar dalam organisasi dan dalam hal agama hendaklah mereka (umat Islam) mematuhi para ulama’ yang benar ilmunya menurut sunnah dan bukan mereka yang hanya bergelar ulama namun tidak memiliki ilmu,serta mentaati pemerintah kerajaan yang memerintah selama tidak mengarahkan kepada melakukan kejahatan dan jika mengarahkan keburukkan maka janganlah taat dalam hal itu namun tetap tidak menarik ketaatan dalam hal lain yang baik.

Diriwayatkan dari Auf bin Malik ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah bersabda :

“ Hendaklah sesiapa yang dibawah kepimpinan pemerintah dan dia melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka hendaklah dibenci apa yang dilakukan oleh pemimpin itu dari maksiatnya namun jangan sekali-kali mencabut tangannya dari ketaatan kepada pemimpin itu” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 1855).

b) Hendaklah berpegang dan memahami bahawa jemaah mereka hanya sebagai badan dakwah dan organisasi tanzim yang mempermudahkan urusan dakwah dan perjuangan Islam bukan sebagai matlamat dan bukan sebagai pokok dasar Islam.

Haram hukumnya jika mereka menganggap jemaah mereka wajib diintima dan wajib diikut oleh orang ramai lalu memaksa para ibu-ibu, wanita dan kanak-kanak dan orang muda serta awam yang lain menyertai dan berbai’ah kepada pemimpin mereka.

Jika mereka melakukan demikian maka jemaah ini haram dan jatuh hukum sebagai salah satu puak khawarij yang terkeluar dari landasan sunnah dan masyarakat Islam yang merupakan sebuah jemaah yang satu.

“ Bersatulah kamu semua di atas tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah” (Ali-Imran : 103).

Selama mereka berdakwah dan menyeru kepada kebaikan maka jemaah ini diterima tetapi jika mereka telah melanggar batasan, mula menyeru orang tidak kepada Islam tetapi kepada tanzim mereka, kepada meramaikan ahli anggota mereka maka mereka sudah lari dari kebenaran dan jemaah mereka sudah menjadi sebuah ajaran baru dan ingin menubuhkan sebuah fahaman fikrah baru dalam Islam dan membunuh sunnah dan ajaran yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam.

c) Wajiblah mereka menjadikan jemaah mereka hanya sebagai wadah dan tidak membeza-bezakan di antara umat Islam yang lain dengan ahli jemaah mereka. Barangsiapa yang mengadakan bid’ah dengan membeza-bezakan ahli jemaah mereka dengan umat Islam yang bukan ahli jemaah mereka maka hukumnya haram dan dia telah berdosa pada Allah dan rasul.
Sekiranya mereka lebih mengutamakan ahli jemaah mereka dari bukan ahli jemaah mereka yang lain dan menganggap ahli jemaah mereka lebih utama dari umat islam yang lain maka hukumnya berdosa dan hendaklah diperangi mereka dan fikrah ajaran mereka.

Baginda rasulullah pernah menyebut : “Tidak sempurna iman seseorang kamu selagimana dirinya tidak mengasihi saudaranya sepertimana mengasihi dirinya sendiri” (hadith sahih, riwayat bukhari dan Muslim).

“Janganlah kamu menjadi seperti orang yang musyrikin iaitu mereka yang BERPECAH-BELAH dalam agama mereka dan setiap HIZBI (golongan, parti, jemaah) itu bergembira dengan apa yang merka punyai” (Surah Ar-Rum 31-32).

Hendaklah mereka menghormati orang yang bukan ahli jemaah mereka dan tidak membezakan kasih sayang mereka sesama umat Islam, dan tidak berbelah bagi ketaatan kepada pemimpin pemerintah negara umat Islam, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda.

d) Hendaklah jemaah mereka membawa manfaat kepada umat Islam bukan merugikan, atau membawa perpecahan, menambah kesesatan dan bid’ah kepada Islam sebaliknya hendaklah jemaah dan organisasi harakah mereka membantu para ulama’ dalam amal ma’ruf nahi mungkar, membantu kerajaan dan pemerintah dalam menyatukan rakyat dan masyarakat dan menjaga keamanan, menolong sesama umat Islam, memupuk dan menyemai tarbiyah Islam dalam bimbingan dan panduan sunnah.

Sekiranya jemaah mereka yang ada hari ini menjaga hak-hak di atas dan melaksanakan Islam dengan pertunjuk sunnah yang sahih maka digalakkan kepada umat Islam supaya meramai-ramaikan diri menyertai gerakan harakah ini dan sekiranya sebaliknya mereka tidak melakukan hal demikian dan melanggar hak dan batasan sunnah maka hendaklah dijauhi dan ditentang gerakan mereka.

Walalhualam.

4) Bukankah hikmah itu barang kehilangan orang mukmin dan jika kita menjumpainya maka kita boleh mengambil manfaat darinya seperti dalam sebuah hadith lalu bukankah demokrasi dan hizbi politik itu dibolehkan dan bukankah dalam Al-Qur’an menyebut hizbullah iaitu parti Allah ?


Hadith yang menyebutkan bahawa hikmah itu barang kehilangan orang yang beriman ialah dari riwayat Abu Hurairah ra dengan katanya telah bersabda rasulullah : “Kalimah hikmah itu ialah barang kehilangan orang yang beriman dan di mana sahaja kamu menjumpainya maka kamu berhak memilikinya”.

Hadith ini isnadnya dhaif jiddan dan ianya pula gharib asing iaitu dhaif pada perawi dan matannya dan perawi dalam hadith ini iaitu Ibrahim ibn fadhl Al-mahkzumi itu hadithnya dhaif dan buruk hafalannya. (hadith ini terdapat dalam sunan tirmidzi no 2687).


Adapun pada masalah parti Allah iaitu hizbullah dalam firman Allah swt : “Barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya dan orang-orang yang beriman maka mereka itulah hizbullah (iaitu golongan yang Allah bersama dengannya) dan golongan yang Allah bersama dengannya itulah golongan yang berjaya” (Al-Maidah : 56).


Ayat ini bukanlah menunjukkan hizbullah itu parti politik yang Allah berada sebaliknya menunjukan golongan yang Allah bersama dengan mereka iaitu golongan yang beriman dan bersama dalam perpaduan dan kesatuan jemaah masyarakat tanpa berpecah dan menegakkan Islam haknya di dalamnya.


Demokrasi bukanlah dari Islam dan ianya dari system acuan kufar dan Demokrasi itu bukanlah syura dan Islam menerima syura dan khilafah bukan pemerintahan beraja atau system berparlimen yang jauh dari kebenaran.


Sesiapa yang benar-benar memahami siyasah syar’iyah akan mendapati syura berbeza dengan demokrasi walaupun pelajar muda yang belajar di kuliah siyasah syar’iyah di Jordan mengatakan wujud persamaan namun itu hanya dari kejahilan.


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” (Ali-Imran : 102).


Lain-lain soalan boleh didapati dalam laman pandanganseorangustaz yahoogroup insyaAllah.




No comments: