Monday, July 25, 2005

Perkembangan Hadith Selepas Zaman Sahabat

Sunnah merupakan pertunjuk kedua selepas Al-Qur’an dan ianya wajib diikuti, penulisan ini ialah sebagai sedikit ulasan dan menjawab persoalan beberapa pihak yang bertanyakan mengenai perkembangan hadith dan era penulisan sunnah.

Sebenarnya penulisan ini bukan untuk menjawab persoalan mereka secara serius kerana saya tidak berhasrat membuat penjelasan ilmiah kepada mereka sebaliknya sebagai teguran mengenai kaedah ilmiah ulama hadith dan menegur pihak tertentu.

Sebenarnya sunnah di zaman rasulullah berperanan sebagai pertunjuk yang diam dan senyap. Ini kerana wujud perintah baginda salallahualaiwasalam secara tegas melarang penulisan hadith dan sunnah seperti sabdanya : “Janganlah kamu menulis sesuatu yang kamu terima daripada aku selain Al-Qur’an. Barangsiapa yang menulis apa yang diterimanya dari aku selain Al-Qur’an hendaklah memadamkannya tetapi tidak mengapa kamu cukup menyampaikan apa yang kamu dengar dari aku (tanpa menulisnya) dan barangsiapa yang sengaja berdusta ke atas aku maka hendaklah bersedia dengan tempat duduknya di neraka.” (hadith sahih riwayat Muslim).

Di jelaskan dalam perintah baginda di atas ialah jangan menulis hadith serta apa yang didengar dari baginda selain dari Al-Qur’an. Ini kerana dibimbangi akan menyebabkan perampuran di antara Al-Qur’an dan hadith serta apa yang selainnya kerana pada zaman tersebut Al-Qur’an di tulis di atas kulit binatang dan daun-daun pokok serta di atas pelbagai lagi dan tidaklah ramai para sahabat yang tahu membaca dan menulis.

Dibimbangi percampuran Al-Qur’an akan menyebabkan keaslian kitab Allah tercemar dan bercampur dengan kalam manusia maka kerana itulah baginda melarang penulisan hadith demi maslahat kepentingan Al-Qur’an.

Bahkan diketahui bahawa pengumpulan Al-Qur’an itu sendiri sahaja baru bermula pada zaman Abu Bakar As-Sidq atas saranan Umar Ibn Khattab ra dan disempurnakan tugas ini oleh sahabat bernama Zaid Ibn Sabit ra selepas berlakunya peristiwa perang Yamamah seterusnya dilakukan pengumpulan semula dan penyelarasan Al-Qur’an di atas mushaf yang satu yang dikenali mushaf usmani pada zaman Khalifah Usman Ibn Affan ra (lihat fathul Bari dan Al-Itqan Fi Ulum Qur’an).

Lalu dimanakah kedudukan sunnah ?

Peranan sunnah seolah dilihat tidak kelihatan dan dilihat bahawa bermulanya pengumpulan As-Sunnah itu sendiri pada zaman tabie’en iaitu ketika era Khalifah Umar Ibn Aziz ra dari Bani Umaiyah yang menjadi khalifah selama 2 tahun lebih dari tanggal 99 Hijrah sehingga 101 Hijrah.

Arahan pengumpulan hadith dan membukukannya dimulakan oleh beliau kepada Gabenor Madinah pada waktu itu yang bernama Abu Bakr bin Muhamad ibn Amr ibn Hazm (wafat 117 Hijrah) dan turut sama memerintahkannya supaya menuliskan hadith dari seorang tabien wanita yang bernama Amrah Binti Abd Rahman ra dengan katanya :

“Tuliskan kepada aku hadith baginda rasulullah yang ada padamu dan dari hadith riwayat oleh Amrah binti Abd rahman sebab aku takut akan hilang dan hancurnya ilmu” (riwayat Ad-Darimy).

Maka atas perintah khalifah maka dikumpulkanlah hadith baik yang dipunyai oleh beliau serta dari tabien wanita itu yang banyak meriwayatkan dari ummul Mukminah Aisyah ra serta beliau (ibn hazm) turut juga mengarahkan Ibn Syihab Az-Zuhri seorang ulama besar Hijjaz (wafat 124 Hijrah) untuk membantu pengumpulan hadith rasulullah salallahualaihiwasalam.



bersambung....

No comments: