Menurut Mazhab Syafie, Air Musyammas itu ialah air yang terdedah kepada matahari dan menjadi panas kerana matahari (Fiqh Manhaji Ala Mazhab Syafie m/s 32).
Ianya disebut oleh fuqaha syafieyah sebagai air yang suci pada zatnya tetapi makruh pada penggunaannya demikian menurut fuqaha syafie seperti Ar-Rafie’.
(Beliau ialah Abd karim Bin Muhammad bin Abd Karim Bin Fadhl, digelar Imam Ar-Rafie Al-Qazuwaini As-Syafie, pengarang kitab Syarh al-kabir meninggal pada 624 hijrah).
Mereka yakni fuqaha syafie’iyah berpendapat ianya makruh disebabkan oleh dalil hadith berikut :
Rasulullah salallahualaihiwasalam melarang Aisyah ra dari air musyammas dan bersabda : “Ianya menyebabkan penyakit sopak (keputihan)” .
Selain itu mereka juga berdalilkan kepada hadith Ibn Abbas ra bahawa disebut rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Barangsiapa yang mandi dari air musyammas lalu terkena penyakit keputihan maka janganlah dia menyalahkan sesiapa selain dirinya”
Imam Syafie ra meriwayatkan khabar dari Umar ibn Khattab ra bahawa beliau (Umar ra) membenci bersuci dengan air musyammas dengan katanya tidaklah aku membencinya melainkan disebabkan oleh kesihatan kerana ianya menyebabkan penyakit keputihan.
Pada hal ini mereka ( fuqaha syafi’iyah) meletakkan 2 syarat kemakruhannya iaitu :
1) Hendaklah ianya di negara yang panas (negara arab misalnya).
2) Hendaklah mengunakan dari bekas yang selain emas dan perak seperti besi, kayu dan lain-lain
(lihat kafayatul Akhyar m/s 15-16)
Jawapan :
Sesungguhnya Air Musyammas tidaklah makruh dan demikian itu menurut jumhur ulamak termasuk dari mazhab syafie sendiri.
Hujah yang digunakan oleh ulamak syafie dalam memakruhkan air musyammas tidaklah tepat ini kerana hadith yang digunakan ialah dhaif.
Rasulullah salallahualaihiwasalam melarang Aisyah ra dari air musyammas dan bersabda : “Ianya menyebabkan penyakit sopak (keputihan)” .
Hadith Aisyah di atas disebut oleh jumlah besar ulamak hadith sebagai dhaif dan bahkan ada yang mengatakan ianya maudhuk (direka). Begitulah juga hadith dari Ibn Abbas ra yang sanadnya juga dhaif dan majhul (tidak dikenali sanadnya oleh ulamak hadith).
Dimasukkan hadith ini sebagai maudhuk (palsu) oleh Ibn Jauzi ra dalam kitabnya “Al-Maudhu’at” lihat m/s 78-80 Jilid 2 serta juga dimasukkan oleh Al-Aqili dalam “Ad-Dhu’afa Al-Kabir” lihat m/s 176 Jilid 2 serta disebut tiada hadith yang mengenai air Musyammas ini sesuatu yang sahih sanadnya melainkan semuanya dhaif atau maudhuk (direka).
Demikianlah juga apa yang diriwayatkan oleh Imam Syafie dari Umar Ibn Khattab ra sebagai dhaif dan lemah bersangatan. Ianya disebut oleh ulamak hadith bahawa Ibrahim bin Muhammad salah satu perawi yang diambil oleh Imam Syafie ra sebagai maudhuk (pendusta yang mereka hadith).
Hal ini merupakan khilaf dalam mazhab syafie sendiri dan pendapat yang ramai dan lebih tepat ialah ianya tidak makruh dan itulah yang disebut dalam syarah Al-Muhazzab oleh Imam Nawawi ra bahawa yang benar ianya tidak makruh.
Kesimpulannya :
Pada sudut hukum, air musyammas tidaklah makruh kerana tiada dalil yang jelas dan sahih yang menjadikan ianya makruh melainkan sekadar sangkaan para ulamak dahulu dalam menjaga kesihatan dan mencegah mudharat kerana menyangka ianya membawa mudharat dan penyakit keputihan (sopak).
" Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus : 36).
Namun jika didapati dari perubatan moden hari ini bahawa memang benar pengamalan berwudhuk atau mandi dengan air yang panas yang terdedah kepada matahari itu boleh mengakibatkan penyakit dari sudut sains maka ianya barulah dapat diterima sebagai makruh atau haram mengikut kadar kemudharatannya.
Islam itu agama yang berdasarkan keilmuan bukan bersandar kepada sangkaan dan berpegang kepada hadith dhaif yang lemah kerana Islam itu agama yang kukuh dan kuat tidak memerlukan kedhaifan sebagai penyandarnya.
Berkata Imam Syafie ra :
" Kamu lebih alim tentang hadith dan ilmu rijal dari aku (katanya kepada Imam Ahmad ibn Hanbal) maka jika sesuatu hadith itu sahih maka beritahulah aku tentangnya…"
(rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya "Adabul Syafi'ie", m/s 94).
"Barangsiapa yang bertaqlid pada mengharamkan sesuatu atau menghalalkan sesuatu dan jelas taqlidnya itu berlawanan dengan hadith dan kerana taqlidnya itu menyebabkan dia dilarang atau menyekatnya dari beramal dengan sunnah maka sesungguhnya dia telah mengambil orang yang ditaqlidnya itu sebagai tuhan selain dari Allah swt ."
(rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya "Adabul Syafi'ie", m/s 94).
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment