Monday, July 25, 2005

Adab Berpakaian Bagi lelaki dan Hukum Memakai Seluar

Dewasa ini wujud kelompok pengajian ilmu agama yang keterlaluan kerasnya kepada ta’asub akan guru-guru mereka khususnya dalam mengambil pendapat guru mereka tanpa menilai dari kaca mata ilmu dan perbahasan ilmiah.

Saya pernah ditanyakan oleh seseorang apakah hukumnya memakai seluar bagi seorang lelaki kerana disebut bahawa memakai seluar itu ialah haram dan kita seharusnya memakai jubah.

Ini kerana mereka berdalil memakai seluar akan menampakkan aurat kerana burung lelaki (zakar ) akan menonjol kembung di depan khasnya apabila baju dimasukkan ke dalam seperti kebiasaan orang yang bekerja di pejabat.

Aurat akan terkelihatan jika memakai seluar dan ditambah seluar yang ketat akan menampakkan bentuk badan lelaki khasnya bahagian aurat dari pusat sehingga lutut apabila seluar yang ketat membuatkan punggung kelihatan paha dan zakar kelihatan.

Selain itu hujah mereka juga ialah kerana wujudnya dalil bahawa seluar itu menyerupai pakaian orang kafir dan Islam melarang menyerupai pakaian orang kafir seperti sabda baginda dari riwayat Abdullah bin Amru ra bahawa ketika baginda melihat golongan yang berpakaian menyerupai kuffar lalu bersabda : “ Ini ialah pakaian kuffar maka janganlah engkau memakainya “ (hadith sahih riwayat Muslim no. 2077).

Selain itu timbul pula isu isbal (melabuhkan seluar atau pakaian melebihi buku lali) bahawa perlaku isbal itu bakal menghuni neraka.
Ini disebabkan mereka terkeliru dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dzar ra yang menyebut baginda pernah bersabda : “Tiga golongan yang Allah tidak akan becakap dengan mereka dan tidak melihat kepada mereka dan sama sekali tidak membersihkan mereka (mengampuni) dan bagi mereka itu ialah azab yang pedih iaitu mereka yang musabbil (melabuhkan pakaian mereka dari buku lali)….” (hadith sahih, riwayat Abu Daud no.4087, nasaie dan lain-lain).

Dan begitu juga dalam hadith lain seperti melabuhkan pakaian dari bawah buku lali dengan sabda baginda : “ Apa yang melabuhkan dari pakaian itu di bawah buku lali maka akan menyebabkan orangnya berada dalam neraka” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Abu daud dan lain-lain).

Jawapan :

Sesungguhnya hadith di atas ialah hadith yang berbentuk umum yang memberikan perintah dan larangan akan sesuatu yang tidak disebut secara jelas kadang-kadangnya akan matlamat sebenar oleh baginda rasulullah.

Sesungguhnya mengenai hukum memakai seluar

Hukumnya ialah harus dan mengenai masalah aurat maka perlulah ditegaskan beberapa perkara :

a) Harus memakai seluar selagi tidak menampakkan bentuk badan lelaki yang wajib dilindungi (dari pusat sehingga ke lutut).

Dimaksudkan terlindung auratnya ialah tidak menampakkan kembungnya zakarnya (khasnya dibahagian zip), tidak menampakkan bentuk punggungnya (besar atau kecilkah punggungnya tidak dapat lihat) dan juga tidak menampakkan pahanya (apakah pahanya itu kokoh atau lembik).

Sekiranya seluar yang dipakai itu menampakkan aurat dan bentuknya contohnya menampakkan bentuk zakar yang mengeras maka hukumnya ialah haram.

Nasihat : pakailah seluar dengan melabuhkan baju di luar


b) Harus memakai seluar dengan syarat ianya dipakai bukanlah untuk meniru barat atau kuffar atau pelakon atau mana-mana individu dan jauh dari berbangga dengan jenama atau sebagainya.

Ini berdalilkan kepada hadith dari Ibn Abbas ra yang menyebut baginda nabi pernah bersabda : “ Barangsiapa yang tidak mendapati kain maka hendaklah dia memakai seluar” (hadith sahih diriwayatkan oelh Bukhari no. 5804 dan Ibn majah dan lain-lain).

Hadith di atas menjelaskan keharusan memakai seluar dan hukumnya bagaimanapun tetap tertakluk kepada penjagaan batas-batas syariat.


Mengenai masalah Isbal (melabuhkan pakaian)

Jawapan :

Hukumnya ialah harus melabuhkan pakaian jika ianya dilakukan bukan dan tanpa kerana untuk bongkak atau untuk fesyen.


Ini berdalilkan kepada hadith dari Musa ibn Uqbah dari Salim dari bapanya yang menyebut bahawa baginda rasul bersabda : “Barangsiapa yang memakai pakaian dengan bongkak (sombong) maka Allah tidak akan melihat kepadanya di hari kiamat” lalu Abu Bakar pun bertanya kepada baginda : Wahai rasulullah sesungguhnya aku ini berpakaian labuh melebihi mata kaki kerana pakaianku longgar apakah aku termasuk dikalangan mereka yang dijanjikan azab ? Maka dijawab oleh baginda : “ Sesungguhnya engkau bukanlah dari kalangan mereka yang membuatnya kerana bongkak (sombong)” (hadith sahih, riwayat Nasaie no. 5335 dan lain-lain).

Hadith-hadith sekitar isbal semuanya menjanjikan azab dengan adanya syarat “خيلاء” iaitu sombong atau bongkak. Lalu ianya dikhususkan dengan wujudnya pembolehan melakukannya dengan tiadanya syarat sombong atau bongkak ini dan disebabkan maslahat seperti halnya perbuatan Abu Bakar as-Sidiq ra.

Namun jika dilabuhkan pakaian baik seluar atau kain atau apa-apa lantaran merasa riya dan seronok seluarnya itu labuh kerana merasa lawa dan cantik maka hukumnya ialah haram.

Ini jelas dilarang dalam islam bahkan nabi menyebut : “ Allah tidak akan memandang mereka yang memakai pakaiannya dengan bongkak” ( hadith sahih riwayat bukhari no. 5783 dan Muslim).

Wallahualam.


p/s : Apa yang saya tuliskan di sini hanyalah sekitar perihal hukum berpakaian bagi lelaki bukannya perempuan. Bagi wanita, hukumnya ialah haram memakai seluar tanpa ditutupi dengan jubah atau kain. Ini kerana seluar bukan sahaja menampakkan menampakkan bentuk kaki yang langsing, bahkan menampakkan bentuk punggung yang pejal dan bentuk faraj yang bersegi tiga dan ini secara jujur saya ungkapkan supaya jelas dan tanpa banyak alasan bagi mereka untuk menghalalkannya.

1 comment:

MR luruhboy said...

salam ..ustaz diharapkan seoalan ini tidak keterlaluan.bagaimana kalau lelaki itu memang memiliki alat sulit yg besar dan ia akan kelihatan walaupun tidak mengalami ereksi sama sekali ketika memakai apa jenis seluar..bagaimana hukumnya uztas.adakah jatuh hukum nya haram dan perkara ini tidak dapat dielakkan.