Thursday, July 28, 2005

Mimpi : Antara Benar dan Salah

Mimpi ialah satu perbuatan bagi seseorang yang melihat sesuatu atau mendengar atau melakukan sesuatu perbuatan dalam tidurnya dengan tidak menyedarinya dan berlakunya mimpi itu ialah dengan tanpa kehendak. Menjawab apakah mimpi itu sebenarnya, sudah pasti jangan mengharap kepada saya untuk menceritakan fenomena mimpi dari sudut sains, gelombang otak dan pemikiran separa sedar yang berlaku ketika tidur kerana saya bukan saintis.

Firman Allah swt :

“ Sesungguhnya fitrah yang diciptakan Allah dan ditetapkan manusia dengannya (tertakluk kepada fitrah tersebut).” (Surah Ar-Rum :30).


Sebagai seorang ustaz saya cuma mampu menerangkan apakah kedudukan mimpi dalam Islam. Mimpi mempunyai kedudukan dalam Islam kerana ianya dijadikan Allah swt sebagai salah satu kaedah dalam penyampaian wahyu kepada para nabi dan rasul.

Mimpi itu terbahagi kepada 3 iaitu pertamanya ialah mimpi yang benar dari Allah swt, seperti wahyu kepada para nabi dalam tidur mereka atau pun ilham dan nasr (pertolongan & Maunah) kepada orang yang soleh dan kedua ialah mimpi buruk yang daripada syaitan seterusnya ketiga ialah mimpi biasa yang berlaku seharian akibat terbawa kehidupan seharian dalam pemikiran sehingga masuk dalam tidur lalu menjadi mimpi akibat kelesuan otak.

Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah :
“ Mimpi itu tiga bahagian iaitu berita gembira dari Allah , apa yang berlaku dalam hidup seharian dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan” (hadith riwayat Ahmad no. 359 Jilid 2).

Mengenai mimpi ini , ia terkadang bukan hanya khayalan seharian bahkan bukan pula hanya mainan akal sebaliknya ialah merupakan salah satu dari khabar dan wahyu Allah kepada manusia melalui kebesaran-Nya dan pengawasan-Nya seperti mana sabda baginda rasulullah :
“ Mimpi orang yang soleh itu merupakan sebahagian dari 46 bahagian sifat kenabian” (hadith sahih, riwayat Bukhari dalam fathul bari no. 373 Jilid 12 dan Muslim no. 1774 Jilid 4).


Persoalan mengenai mimpi ini walaubagaimana pun bukanlah seperti mana yang didakwa oleh ajaran sesat dan tokoh tareqah atau oleh para dungu dan juhala (orang bodoh). Mimpi yang benar hanya berlaku kepada mereka yang soleh dan beriman kepada Allah swt menurut panduan sunnah dan terdiri dari umat rasulullah salallahualaihiwasalam.

Manakala golongan yang sudah terkeluar dari umat rasulullah akibat bid’ah dan kesesatan, kesyirikkan mereka kepada Allah dan menyeleweng dari ajaran rasul maka mimpinya hanyalah menjadi salah satu dari mainan dan lubang kesesatan dari syaitan apabila syaitan menjadikan mimpi itu sebagai medium atau wasilah menabur kesyirikkan dan kesesatan.

Firman Allah swt :

" Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus : 36).

Mimpi orang yang soleh, yang beramal dengan sunnah maka mereka ini disebut sebagai golongan al-mansurah (yang diberi pertolongan oleh Alah swt). Ini dikuatkan lagi apabila keadaan akhir zaman semakin menjelang kerana baginda rasul pernah bersabda melalui riwayat Abu Hurairah ra dengan sabda rasulullah :
“ Apabila zaman mendekati hari kiamat maka tidaklah mimpi seorang muslim itu berdusta” (Hadith sahih riwayat bukhari dalam fathul bari no. 404 Jilid 12 dan Muslim no. 1773 Jilid 4).


Hari ini, akibat dari kesesatan kejahilan dan manusia sudah mula meninggalkan sunnah maka mimpi orang yang beriman itu menjadi perisai atau khabar maunah (bantuan) dari Allah dalam memberitahu kepada kita akan pertunjuk dan ilham pertolongan Allah kepada golongan yang beriman dan menetap diri kepada sunnah rasulnya.

Penafsiran mimpi perlulah dilakukan oleh orang yang soleh dan alim kerana mereka ini memiliki hikmah dan kefahaman yang dianugerahi oleh Allah hasil dari ilmu dan amalan soleh. seperti yang disebut oleh baginda sallahualaihiwasalam : " Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari & Muslim).

Mimpi sebenarnya merupakan rahsia bagi seorang mukmin yang Allah anugerahkan kepadanya dan ianya bukanlah untuk dicerita-cerita dan disebarkan sebagai kisah dongeng bagi mengambil istinbat darinya dan ianya pun tidak seperti perbuatan ustaz-ustaz bodoh dan para agamawan yang jahil apabila menjadikan mimpi sebagai hujah dan modal ceramah serta menakuti masyarakat dengan mimpi dan cerita yang macam-macam.

Ini disebutkan dalam hadith baginda juga dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa bersabda rasulullah : “ Janganlah menceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang alim dan orang yang sering memberi nasihat (iaitu orang soleh)” (hadith sahih riwayat Tirmidzi dan Ad-Darimi dengan isnadnya sahih di atas syarat syaikhain).

Sesungguhnya berpadalah kita dengan panduan dari kitab (Al-Qur’an) dan As- Sunnah bagi memelihara kita dari kesesatan dan godaan syaitan serta tipu dayanya yang jahat.

Islam mengajarkan seseorang muslim supaya apabila menghadapi mimpi yang buruk dan tidak disukai maka lalukanlah seperti sabda baginda rasulullah : “ Mimpi baik itu dari Allah dan igauan buruk (termasuk mimpi basah) itu dari syaitan maka barangsiapa yang mendapati sesuatu yang dibencinya dalam tidurnya (mimpi) maka hendaklah meludah tiga kali di kirinya dan berta’auz (meminta perlindungan) dari Allah dari keburukan mimpinya dan sesungguhnya tidaklah mimpinya itu akan memudharatkannya” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 371 Jilid 12 dalam fathul bari dan Muslim no. 1771 Jilid 4).

Cukuplah sekadar ini mengisahkan mengenai mimpi dan sebagai panduan janganlah sampai mimpi itu dijadikan sesuatu yang membebankan kehidupan kerana segala-galanya sudah ditakdirkan dan hanya doa yang mampu mengubah apa yang sudah ditakdirkan Allah swt seperti hadith dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi).

Fimran Allah swt :

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).










2 comments:

Unknown said...

Apakah hukum orang yang melawan nafsu onani tetapi tidak mampu lalu ia melakukan onani.minta penjelasan secepat mungkin

Unknown said...

Apakah hukum orang yang melawan nafsu onani tetapi tidak mampu lalu ia melakukan onani.minta penjelasan secepat mungkin