Pada kali ini ana ingin menimbulkan satu topik yang sangat penting terutama kepada masyarakat Malaysia khususnya dan umat Islam amnya yang kurang menyedari betapa besarnya fadhilat bersedekah dan berbakti kepada khadim ilmi iaitu golongan penuntut ilmu yang menghabiskan masa mencari cahaya demi menerangi umat Islam dari kegelapan.
Ana mendengar berita dari rakan bahawa sekarang ini di Malaysia untuk mendapat bantuan pengajian demi menampung pembelajaran sangatlah susah khususnya kepada golongan yang ingin menuntut ilmu syar’ie (agama) . Perbadanan Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) dikatakan sudah menghadkan jumlah bantuan dan jenis pengajian yang boleh menerima pinjaman kewangan.
Hal ini menyebabkan ramai pelajar yang kurang berkemampuan tidak dapat melanjutkan pengajian mereka kerana menghadapi masalah kewangan. Selain itu pusat pengajian swasta dan sekolah persendirian juga menghadapi masalah dan terpaksa gulung tikar.
Menyedari masalah ini maka ana cuba mengetengahkan satu topik mengenai galakan umat Islam yang berkemampuan dan memiliki kekayaan dari nikmat Allah swt supaya turun padang dan membantu meringankan beban golongan yang susah khususnya para penuntut ilmu yang memerlukan belanja dan dana yang besar bagi usaha mendapatkan ilmu.
Sesungguhnya zakat dan sedekah itu membersihkan harta seperti firman Allah swt :
“ Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan harta mereka” (At-Taubah : 103).
Bahkan disebut dalam hadith riwayat Muadz Ibn Jabal ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda “ Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” (hadith sahih riwayat tirmidzi no. 609 dan nasaie , Ibn majah ).
Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “ tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (hadith riwayat tirmidzi).
Apakah pelajar termasuk golongan yang boleh menerima zakat ?
Golongan yang ditetapkan berhak menerima zakat disebutkan oleh Allah swt dalam firman-Nya :
“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang miskin dan pengurus harta zakat dan orang yang baru masuk Islam (mualaf), hamba yang ingin dimerdekakan, orang yang berhutang, orang yang di jalan Allah dan ibnu Sabil ” (At-taubah : 60).
Para penuntut ilmu termasuk dalam golongan yang berhak menerima zakat harta dan lain-lain zakat dari bahagian ibnu sabil yang disebut dalam firman Allah swt di dalam ayat di atas.
Hal ini merupakan ijtihad ulamak berdasarkan kedudukan para penuntut ilmu khususnya mereka yang berada di luar negara yang kesempitan kewangan untuk menampung pengajian di luar negara.
Syarat untuk membolehkan mereka (penuntut ilmu) menerima zakat ialah :
1) mereka haruslah muslim
2) kesempitan dan kesusahan dari sudut kewangan untuk berbelanja menampung kehidupan
3) tidak menuntut ilmu yang bercanggah dengan Islam dan tidak berbuat maksiat
Sesungguhnya orang-orang yang soleh itu sifat mereka sangatlah pemurah seperti firman Allah swt :
“ Dan mereka memberikan makanan yang baik kepada orang miskin dan anak yatim dan orang tawanan” (Ad- Dahr: 8).
Mereka yakni orang yang beriman apabila bersedekah dan mengeluarkan zakat tidaklah mengharapkan balasan dunia dan pujian sebaliknya hanya mengharapkan keredhaan Allah swt.
“ Mereka berkata ; kami memberikan makanan kepadamu kerana mengharapkan keredhaan Allah dan tidak kami mengharapkan kepadamu balasan dan tidak pula pujian serta tidak pula penghargaan” (Ad-Dahr : 9).
Hari ini, bidang pengajian agama dilihat sebagai bidang yang tidak komersil dan tidak mendatangkan untung duniawi lalu sangatlah kurang bantuan dan kewangan yang disalurkan kepada golongan ini.
Mereka (pelajar agama) di anak tirikan kerana bidang mereka tidak mendatangkan keuntungan kepada ekonomi negara dan mereka sangat susah menerima bantuan pinjaman dan sokongan kewangan.
Sudahlah begitu, bagi mendapatkan bantuan zakat pula mereka terpaksa menghadapi kerenah kumpulan manusia yang ta’asub kepada parti politik dengan tidak memberikan zakat melainkan kepada golonagn yang sejemaah atau separti dengannya sedangkan rasulullah pernah bersabda ;
“ Tidaklah beriman seorang kamu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya” (hadith sahih riwayat bukhari dan muslim).
Manakala bagi para pelajar agama di luar negara, mereka berdepan dengan masalah kewujudan label dan pengiktirafan dari kerajaan apabila terdapat ramai pelajar tidak layak menerima zakat dari kerajaan dan pusat jabatan zakat disebabkan mereka belajar di tempat yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
Mereka yang belajar di Yaman misalnya seperti saya tidak layak menerima zakat kerana belajar di tempat yang tidak diiiktiraf oleh kerajaan dan kementerian pendidikan kerana kononnya tidak menghasilkan sijil yang diiktiraf.
Inilah dunia !
Apabila agama dijadikan sebagai alat dunia maka zakat yang sepatutnya disalurkan kepada golongan yang berhak seperti para pelajar penuntut ilmu agama tanpa mengira di mana dan apakah pusatnya itu diiktiraf atau tidak selagi dia belajar di tempat yang bagus dan belajar ilmu syariat dengan kefahaman yang sahih maka menjadi kewajipan untuk dibantu dan diberi zakat.
Hendaklah mereka mendengar ancaman dari Allah swt :
“ Orang-orang yang menyimpan emas dan perak (harta) mereka dan tidak membelanjakannya di jalan Allah maka berilah peringatan kepada mereka akan azab siksa yang pedih” (At-taubah : 34).
Sesungguhnya golongan yang hanya menyimpan harta mereka tanpa membelanjakannya di jalan Allah swt dan membantu para pelajar agama yang belajar mencari ilmu demi menyebarkan kebenaran dan menghancurkan kejahilan maka hendaklah mereka bersiap menghadapi balasan azab dari Allah swt.
“ Pada hari dibakar segala harta dalam neraka jahannam lalu dibakar muka, rusuk dan punggung mereka dengannya sambil dikatakan kepada mereka ; inilah harta yang kamu simpan untuk diri kamu dahulu maka rasailah balasan dari apa barang yang kamu selalu simpan itu” (At-taubah : 35).
Sesungguhnya ramai orang di Malaysia yang menyerahkan zakat mereka kepada pusat zakat dibawah tadbiran kerajaan kerana menyangka zakat mereka dapat dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dengan ditadbir secara manfaat namun malangnya kerajaan kita di Malaysia dan pihak berwajib sangatlah menyeleweng.
Mereka menyekat zakat kepada para golongan susah disebabkan perbezaan fahaman politik dan kerana kononnya tidak bertepatan dengan syarat yang mereka ada-adakan sedang baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda :
“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .
Pun begitu ramai yang tidak tahu bagaimana menguruskan zakat mereka maka demi mengambil jalan mudah mereka menyerahkan kepada pusat zakat. Sebenarnya mereka boleh membantu para pelajar agama dengan menyalurkan kewangan dan sedekah serta zakat mereka kepada golongan ini.
Golongan pelajar merupakan sebaik-baik golongan yang terdapat di bawah langit ini disebabkan sabda baginda salallahualaihiwasalam : “Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap mereka menaungi para penuntut ilmu meredhai apa yang dituntutnya itu” ( hadith sahih riwayat Ahmad no. 239 Jilid 4).
“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Al-Mujadalah :11).
Sebagai kesimpulannya diharapkan golongan masyarakat memahamai bahawa para penuntut ilmu merupakan ashab yang berhak menerima zakat sekiranya mereka merupakan golongan susah yang tidak mampu menampung pengajian mereka akibat masalah kemiskinan dan kekurangan kewangan. Wajiblah mereka dibantu dan diberi sedekah dan disumbangkan dengan bantuan. Ini kerana mereka merupakan pewaris ilmu yang merupakan tinggalan para nabi sebagaimana sabda baginda “Para nabi itu tidak meninggalkan harta baik dinar atau pun dirham tetapi mereka mewariskan ilmu” (hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2606).
“Janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka itu menyangka bahawa bakhil (kedekut) itu baik untuk mereka bahkan sebaliknya ia buruk untuk mereka kerana nantinya mereka akan dikalungkan dengan harta yang mereka bakhilkan itu di leher mereka pada hari kiamat”
(Ali- Imran : 180).
No comments:
Post a Comment