Thursday, July 28, 2005

Mimpi : Antara Benar dan Salah

Mimpi ialah satu perbuatan bagi seseorang yang melihat sesuatu atau mendengar atau melakukan sesuatu perbuatan dalam tidurnya dengan tidak menyedarinya dan berlakunya mimpi itu ialah dengan tanpa kehendak. Menjawab apakah mimpi itu sebenarnya, sudah pasti jangan mengharap kepada saya untuk menceritakan fenomena mimpi dari sudut sains, gelombang otak dan pemikiran separa sedar yang berlaku ketika tidur kerana saya bukan saintis.

Firman Allah swt :

“ Sesungguhnya fitrah yang diciptakan Allah dan ditetapkan manusia dengannya (tertakluk kepada fitrah tersebut).” (Surah Ar-Rum :30).


Sebagai seorang ustaz saya cuma mampu menerangkan apakah kedudukan mimpi dalam Islam. Mimpi mempunyai kedudukan dalam Islam kerana ianya dijadikan Allah swt sebagai salah satu kaedah dalam penyampaian wahyu kepada para nabi dan rasul.

Mimpi itu terbahagi kepada 3 iaitu pertamanya ialah mimpi yang benar dari Allah swt, seperti wahyu kepada para nabi dalam tidur mereka atau pun ilham dan nasr (pertolongan & Maunah) kepada orang yang soleh dan kedua ialah mimpi buruk yang daripada syaitan seterusnya ketiga ialah mimpi biasa yang berlaku seharian akibat terbawa kehidupan seharian dalam pemikiran sehingga masuk dalam tidur lalu menjadi mimpi akibat kelesuan otak.

Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah :
“ Mimpi itu tiga bahagian iaitu berita gembira dari Allah , apa yang berlaku dalam hidup seharian dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan” (hadith riwayat Ahmad no. 359 Jilid 2).

Mengenai mimpi ini , ia terkadang bukan hanya khayalan seharian bahkan bukan pula hanya mainan akal sebaliknya ialah merupakan salah satu dari khabar dan wahyu Allah kepada manusia melalui kebesaran-Nya dan pengawasan-Nya seperti mana sabda baginda rasulullah :
“ Mimpi orang yang soleh itu merupakan sebahagian dari 46 bahagian sifat kenabian” (hadith sahih, riwayat Bukhari dalam fathul bari no. 373 Jilid 12 dan Muslim no. 1774 Jilid 4).


Persoalan mengenai mimpi ini walaubagaimana pun bukanlah seperti mana yang didakwa oleh ajaran sesat dan tokoh tareqah atau oleh para dungu dan juhala (orang bodoh). Mimpi yang benar hanya berlaku kepada mereka yang soleh dan beriman kepada Allah swt menurut panduan sunnah dan terdiri dari umat rasulullah salallahualaihiwasalam.

Manakala golongan yang sudah terkeluar dari umat rasulullah akibat bid’ah dan kesesatan, kesyirikkan mereka kepada Allah dan menyeleweng dari ajaran rasul maka mimpinya hanyalah menjadi salah satu dari mainan dan lubang kesesatan dari syaitan apabila syaitan menjadikan mimpi itu sebagai medium atau wasilah menabur kesyirikkan dan kesesatan.

Firman Allah swt :

" Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus : 36).

Mimpi orang yang soleh, yang beramal dengan sunnah maka mereka ini disebut sebagai golongan al-mansurah (yang diberi pertolongan oleh Alah swt). Ini dikuatkan lagi apabila keadaan akhir zaman semakin menjelang kerana baginda rasul pernah bersabda melalui riwayat Abu Hurairah ra dengan sabda rasulullah :
“ Apabila zaman mendekati hari kiamat maka tidaklah mimpi seorang muslim itu berdusta” (Hadith sahih riwayat bukhari dalam fathul bari no. 404 Jilid 12 dan Muslim no. 1773 Jilid 4).


Hari ini, akibat dari kesesatan kejahilan dan manusia sudah mula meninggalkan sunnah maka mimpi orang yang beriman itu menjadi perisai atau khabar maunah (bantuan) dari Allah dalam memberitahu kepada kita akan pertunjuk dan ilham pertolongan Allah kepada golongan yang beriman dan menetap diri kepada sunnah rasulnya.

Penafsiran mimpi perlulah dilakukan oleh orang yang soleh dan alim kerana mereka ini memiliki hikmah dan kefahaman yang dianugerahi oleh Allah hasil dari ilmu dan amalan soleh. seperti yang disebut oleh baginda sallahualaihiwasalam : " Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari & Muslim).

Mimpi sebenarnya merupakan rahsia bagi seorang mukmin yang Allah anugerahkan kepadanya dan ianya bukanlah untuk dicerita-cerita dan disebarkan sebagai kisah dongeng bagi mengambil istinbat darinya dan ianya pun tidak seperti perbuatan ustaz-ustaz bodoh dan para agamawan yang jahil apabila menjadikan mimpi sebagai hujah dan modal ceramah serta menakuti masyarakat dengan mimpi dan cerita yang macam-macam.

Ini disebutkan dalam hadith baginda juga dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa bersabda rasulullah : “ Janganlah menceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang alim dan orang yang sering memberi nasihat (iaitu orang soleh)” (hadith sahih riwayat Tirmidzi dan Ad-Darimi dengan isnadnya sahih di atas syarat syaikhain).

Sesungguhnya berpadalah kita dengan panduan dari kitab (Al-Qur’an) dan As- Sunnah bagi memelihara kita dari kesesatan dan godaan syaitan serta tipu dayanya yang jahat.

Islam mengajarkan seseorang muslim supaya apabila menghadapi mimpi yang buruk dan tidak disukai maka lalukanlah seperti sabda baginda rasulullah : “ Mimpi baik itu dari Allah dan igauan buruk (termasuk mimpi basah) itu dari syaitan maka barangsiapa yang mendapati sesuatu yang dibencinya dalam tidurnya (mimpi) maka hendaklah meludah tiga kali di kirinya dan berta’auz (meminta perlindungan) dari Allah dari keburukan mimpinya dan sesungguhnya tidaklah mimpinya itu akan memudharatkannya” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 371 Jilid 12 dalam fathul bari dan Muslim no. 1771 Jilid 4).

Cukuplah sekadar ini mengisahkan mengenai mimpi dan sebagai panduan janganlah sampai mimpi itu dijadikan sesuatu yang membebankan kehidupan kerana segala-galanya sudah ditakdirkan dan hanya doa yang mampu mengubah apa yang sudah ditakdirkan Allah swt seperti hadith dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi).

Fimran Allah swt :

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).










Tuesday, July 26, 2005

Menangani Ajaran Sesat Dan Penyelewengan Agama Di Malaysia



Islam merupakan sebuah agama yang suci dan terpelihara dari penyelewengan sejak dari di utusnya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam sehinggalah ke hari akhirat.

Ini disebutkan melalui firman Allah swt :

“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Adz-Zikr (Qur’an) dan kamilah yang akan menjaganya” (Surah : al-hijr : 9).

Islam itu ialah apa yang tersimpul dari panduannya iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah yang melengkapi dan bersifat syumul dan ini disebut secara jelas oleh Allah swt dalam firman-Nya :

“ Dan diturunkan kepada kamu kitab (Al-Qur’an) yang telah menerangkan segala-galanya” (Surah An-Nahl : 89).

“ Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya” (Surah Al-An’am : 38).

Juga termasuk pertunjuk yang diberi oleh Allah swt kepada hamba-Nya ialah dari sunnah nabi-Nya Muhammad Salallahualaihiwasalam yang menerangi apa yang tersirna dari kegelapan kejahilan.

Sabda baginda rasul :

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله

" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya."
(Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatha no.898 dan Hakim dalam Mustadrak no.63).

Sebagaimana dalam riwayat Abu Dzar berkata : Rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “Tidaklah tertinggal sesuatu yang dapat mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka kecuali telah diterangkan pada kalian.” Juga disebut oleh Abu Zar ra akan katanya “ Rasulullah meninggalkan kami dalam keadaan tidak ada seekor burung pun yang mengepak-ngepakkan kedua sayapnya di udara kecuali beliau menyebutkan ilmunya pada kami.” (Hadith Sahih riwayat Thabrani dalam Mu’jamul Kabir, lihat As Sahihah oleh Syeikh Albani ra 416 Jilid 4 dan hadith ini memiliki pendukung dari riwayat lain).

Hal ini sendiri bahkan sampai disebut dalam Al-Qur’an yang diturunkan sebagai pertunjuk manusia dengan mengarahkan supaya manusia menuruti pertunjuk sunnah baginda salallahualaihiwasalam seperti firman Allah swt :


" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :50).

“ Dan taatlah kamu kepada rasul semoga kamu diberoleh rahmat.” (Surah An-Nur : 56).

“Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21).

" Dan taatlah kamu kepada Allah dan kepada rasul jika kamu benar-benar beriman "
(Surah Al-Anfaal : 1).

“Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah"
(Surah An-Nisa : 80).

Ketaatan kepada rasulullah itu dijelaskan dalam Al-Qur’an dan mentaati rasul bererti menuruti pertunjuk sunnahnya. Ini kerana baginda pernah menyebut baginda salallahualaihiwasalam menyebut seperti dalam riwayat Abu Hurairah dengan sabdanya :

كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى : قيل ومن يأبى يا رسول الله ؟ من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى

“ Setiap Ummatku akan masuk syurga melainkan mereka yang ingkar, maka sahabat bertanya, siapakah yang ingkar itu wahai rasulullah ? Siapa yang mentaati aku maka dia akan masuk syurga dan siapa yang menderhakai aku maka dialah golongan yang ingkar.”
(Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 728).

Dalam hadith yang lain baginda salallahualaihiwasalam pernah menyebut :

فمن رغب عن سنتي فليس مني
“ Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukanlah dari golonganku
(ummatku).” (Hadith Sahih Bukhari, Bab Nikah, no.1). Dari Sufyan As-Sauri berkata “ Tidak diterima perkataan melainkan dengan amal dan tidak diterima amal dan perkataan melainkan dengan niat (ikhlas) dan tidak bermanfaat perkataan, amal dan niat ikhlas melainkan dengan menepati Sunnah”.

Malangnya pada hari ini setelah kewafatan baginda salallahualaihiwasalam dan hilangnya berlalu pergi generasi yang disebut sebagai sebaik-baik ummah iaitu para sahabat dan zaman tabie’in maka umat Islam kini ditimpa musibah kejahilan dan penyelewengan dalam agama yang menyesatkan.

Umat Islam kini seolah masih tidak memahami, seolah masih tidak menyakini bahawa telah sempurna Islam ini sehingga tidak perlu ditokok tambah oleh sesiapa. Sebenarnya ajaran sesat, penyelewengan agama berlaku akibat tidak berimannya umat Islam kepada satu prinsip Islam iaitu :

“Kesempurnaan Islam sebagai deen di sisi Allah swt”

Sesungguhnya prinsip ini telah disebut oleh Allah swt dalam firman-Nya :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الأِسْلاَمَ دِيناً

“Pada hari ini telah aku sempurnakan pada kamu akan agama kamu dan aku sempurnakan nikmatku pada kamu dan aku meredhai Islam sebagai agama kamu.” (Surah Al-Mai’dah : 3).

Umat Islam pada hari ini ramai yang mengingkari dan kufur kepada ayat Allah swt yang menerangkan mengenai lengkapnya ajaran Islam dari perlu ditambah dan diubah suai baik dalam keadaan sedar dan tahu atau kerana kejahilan.

“ Dan diturunkan kepada kamu kitab (Al-Qur’an) yang menerangkan segala-galanya”
(Surah An-Nahl : 89).

Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya” (Surah Al-An’am : 38).

Bahkan tanpa sedar atau mungkin kerana kejahilan mereka sebenarnya turut kufur dan tidak beriman kepada rasulullah dengan tidak yakinnya mereka kepada hadith baginda yang sahih apabila baginda Salallahualaihiwasalam bersabda :

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهوا رد
“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.”
(Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Sepatutnya bagi mereka yang beriman kepada Allah dan rasul maka mereka patut sudah beriman bahawa Islam ini sudah syumul dan sempurna dan tidak memerlukan lagi kepada penambahan dan ubah suai baik oleh para ulamak atau cendiakawan atau cendawan atau bangsawan atau ilmuwan atau orang yang sawan otaknya sehingga mengaku sebagai pemegang pintu syurga.
{KUALA LUMPUR 18 Julai -Ketua kumpulan yang dipercayai mempunyai ratusan pengikut dari dalam dan luar negara telah mendakwa dirinya sebagai jelmaan semua nabi dan rasul menjalankan kegiatan ajarannya di sebuah kawasan yang dipanggilnya `kerajaan langit' di Besut, Terengganu.} (Utusan Malaysia)

{BESUT 8 Julai - Seorang lagi kenalan, Wan Abdullah Wan Abdul Latif, 70, yang juga bekas Penggawa Mukim Ulu Besut berkata antara penyelewengan ajaran Ayah Pin tidak mewajibkan pengikut-pengikutnya menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan.
``Beliau (Ayah Pin) mendakwa amalan itu hanya memadai dengan niat tanpa perbuatan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Payong, di sini.
Wan Abdullah berkata beliau mengenali Ayah Pin yang tinggal di Batu 13 kira-kira satu kilomter dari rumahnya sejak tahun 1964 iaitu sebelum beliau bersara.
``Sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak pernah menerima pendidikan Islam selain berguru dengan Hassan Anak Rimau yang juga pernah menjadi kontroversi berkaitan ajaran salah,'' katanya.
Wan Abdullah berkata, selain itu Ayah Pin juga gemar laga ayam di Golok, Selatan Thailand setiap Jumaat selain suka bertaruh dalam perlawanan gasing di Besut.
Katanya pada setiap malam Sabtu, beliau menerima tetamu yang ingin mengubati pelbagai penyakit dengan menggunakan air telaga dalam rumahnya yang didakwanya mengalir dari Sungai Nil.
Wan Abdullah berkata selain tetamu yang datang dari negeri Perak dan Johor yang sebilangannya wanita jelita terdapat juga tetamu dari Indonesia.
``Pernah saya terdengar seorang wanita mengakui beliau terpaksa ke sini kerana asyik teringat Ayah Pin yang dilihatnya dalam mimpi; beliau (Ayah Pin) berada di bulan,'' katanya.
Wan Abdullah berkata, selain beristeri empat, Ayah Pin juga mempunyai sembilan isteri yang dinikahinya secara batin yang terdiri daripada pelajar. - Bernama

Sangat mengemparkan apabila muncul di Malaysia pelbagai ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin, ajaran Hasan Anak Rimau, ajaran sembilu, ajaran Taslim matahari di Kampung Seronok di Pulau Pinang, ajaran Tok Ayah, ajaran Qadiyani, ajaran haji Husin, ajaran pak Mat, ajaran itu dan ini.

Sangat melucukan apabila orang kampung yang tidak dapat berbahasa arab dan untuk membaca al-qur’an pun memerlukan kepada seorang ustaz untuk membetulkan tajwidnya apatah pula ketika untuk menafsirkan Al-Qur’an perlu membuka terjemahan al-Qur’an terlebih dahulu tiba-tiba sewenang-wenang dapat mengaku sebagai rasul, sebagai imam mahdi sebagai wakil Allah sebagai wali Allah swt, sebagai pemegang kunci pintu syurga, sebagai khalifah, sebagai ulamak, malang sekali mereka ini dan sangat menyedihkan mereka yang mempercayai golongan ini.

{BESUT 24 Julai - Beberapa pengikut ajaran sesat Ayah Pin dikatakan pernah mencari rezeki dengan melakukan pelbagai kerja pelik termasuk menjual katak kepada restoran bukan Islam dan menjadi bomoh judi nombor ekor.
Perkara ini didedahkan oleh beberapa penduduk Kampung Batu 13 yang mengakui pengikut kumpulan itu sanggup melakukan pekerjaan yang menjelekkan dan menyalahi agama bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupan mereka}.
(Utusan Malaysia 25 July 2005)

Menurut riwayat Abdullah Ibn Mas’ud ra pernah menyebut “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama’) mereka dan jika mereka mengambil dari As-shaghir yang buruk, mereka pasti hancur.” (Ibn Abd Bar’ Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 248).

Dimaksudkan dengan As-shaghir itu ialah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah golongan As-shaghir itu ?”. Dia pun menjawab : ”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal & menafsir sendiri tanpa merujuk dalil) adapun orang yang mengambil ilmu dari pembesar (ulama’) bukan termasuk As-shaghir.” (Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 246).

Mereka inilah golongan sesat yang bermain disebalik tasawuf, tareqah dan lain-lain ajaran kebatinan, kesufian yang sangat memelikkan dan jalan mereka yang mengelirukan, penuh rahsia, penuh cerita-cerita khayalan yang sehingga menjadi suatu yang mistik dan berhantu ajaran itu maka mereka inilah yang sering menjadi mangsa dalam kesesatan dan penyelewengan agama akibat ditunggang oleh syaitan lantaran kejahilan mereka.

Hari ini untuk menjadi seorang yang boleh berkuasa dan hebat agak susah, untuk menjadi pemimpin perlu masuk politik dahulu dan perlu bersusah payah, untuk menjadi ulama pun agak susah perlu masuk universiti atau pusat pengajian agama terlebih dahulu dan setelah berapa lama baru akan dikenali sebagai alim jadi cara mudah oleh golongan yang inginkan kedudukan cepat dalam masyarakat ialah dengan menajdi wali atau nabi atau ketua sesuatu ajaran baru yang di ubahsuainya dari Islam.

Menjadi wali modalnya tidak banyak, cukup berpakaian jubah atau berkopiah atau berpakaian pelik sambil bertingkah laku aneh maka akan menjadi perbualan orang. Bercakap perkara-perkara pelik, soal hati , mengajar zikir-zikir pelik, mengadakan cerita aneh, menimbulkan persoalan ganjil maka insyaAllah tidak lama akan segeralah mendapat pengikut dan murid dari golongan bodoh yang mahu mempelajari dan ingin mengambil keberkatan.

Itulah realiti masyarakat Malaysia yang berada di tangga terbawah dalam keilmuan Islam dan berada di kedudukan tercorot dari segi kefahaman Islam yang syumul. Apabila seorang ustaz mengajar di masjid jika beliau menceritakan tafsir Al-Qur’an maka sangat kurang minatnya orang ramai, jika mengajar hadith pun begitu.

Begitu juga jika beliau mengajar sirah nabi , mengajar sirah sahabat, mengajar kitab feqah, aduh sangat sedikit yang suka dan sedikit sekali yang tertarik. Namun jika sang ustaz itu mengajar tasawuf, mengajar pembersihan hati, mengajar cerita wali-wali , cerita orang soleh, cerita ajaib seperti jalan atas air, jalan atas angin, menukar bukit pasir menjadi emas maka cepat sahaja ustaz itu terkenal dan ramai pengikut dan kuliahnya pun ramai orang mendengar.

Begitu juga jika sang ustaz pula pandai memberi tips doa-doa, tips zikir-zikir seperti jika baca ini akan dapat itu, jika zikir begini akan dapat begitu maka pasti ramailah yang suka dan sering mencatat dan mengikuti. Bagi sang isteri pastinya tertunggu sang ustaz memberikan doa-doa khas bagi suami menyayangi dirinya, sang lelaki pula menanti ustaz memberi doa pengasih dan zikir-zikir bagi mendapat rezeki dan harta kerana mungkin kereta lama sudah sampai masa untuk ditukar baru mungkin perdana V6 mahu diganti dengan Putera atau Proton Waja.

Sangat malang umat Islam, sangat rugi umat Islam, sangat menyedihkan kerana dalam soal duniawi, soal kehidupan mereka tidak pula bersikap kreatif, inovatif mahu memperbaharui kehidupan mereka, mahu berfikir bagaimana mempelbagaikan jalan dan mencari sumber rezeki yang halal, mahu memikirkan bagaimana mahu mempertingkatkan taraf kehidupan, bersikap keratif menghasilkan ciptaan baru dan mengkaji teknologi seperti contohnya menghasilkan penyapu sampah robot yang boleh mengesan di mana sampah dalam rumah dan tahap kebersihan dan mengenal pasti identiti kuman atau bakteria dalam rumah serta menjelaskan kepada isi penghuni rumah virus apa yang tersebar atau contohnya menghasilkan senjata canggih dalam ketenteraan bagi menandingi barat dari sudut teknologi atau lain-lain.

Sebaliknya dalam soal agama , dalam hal aqidah kepercayaan umat Islam merugikan dan memalangkan nasib mereka sendiri dengan menjadi kreatif dan inovatif apabila bersikap bodoh yang berlagak pandai dengan mengubah suai ajaran asli Islam, menokok tambah kepercayaan Islam dan membuang ganti isi pokok ajaran Islam sesuka hati mereka atau kerana kejahilan mereka dari sikap suka mengikut dan bertaqlid.

Amatlah dirisaukan balasan ke atas mereka ini di akhirat seperti disebut dalam hadith baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas’ud bahawa baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud “ Aku bersama kamu di telaga Al-Hau’d ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari ummat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu (yakni mereka telah menyeleweng, berbuat bid;ah). (Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).

Sebagai peringatan dan demi keselamatan bersama kembalilah kepada As-Sunnah dan bersamalah dengan golongan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah seperti mana di sebut dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan. Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Jika dinisbah kepada maksud golongan yang baginda berada di dalamnya ialah bermaksud pada sudut aqidah, ibadah dan pengamalan agama yang baginda rasulullah berada pada pengamalannya dan amalan para sahabatnya sebagai jalan selamat yang satu-satunya perlu diikuti oleh kita semua.

Maka awasilah mereka yang bernama wali, nabi, rasul, imam, tok guru, ustaz atau apalah lagi gelaran mereka hendaklah dinilai dengan ilmu dan kaca mata ilmiah supaya kita tidak tersesat bersama mereka.

Sangatlah elok dan menarik ungkapan Imam Az Dzahabi yang pernah berkata,” Jika ada seorang ahli kalam (Ahli akal, mantiq, rasionalis yang juga ahli bid’ah berkata, “Jauhkan kami dari Al Quran dan As Sunnah dan biarkan kami menggunakan akal,” maka ketahuilah dia ialah Abu Jahal. Bila ahli Suluk & ahli Tasauf & golongan tariqah berkata, “Tinggalkan dalil zahir dan akal, pakailah za’uq (perasaan) dan wajd (suara hati, wahyu dalam ibadah), maka ketahuilah dia adalah iblis dalam bentuk manusia. Jika dia mendekatimu, larilah atau perangi hingga kalah atau bacakanlah ayat kursi lalu cekiklah dia .” (Siyar‘Alamun Nubala m/s 472 Jilid 4 ).

Dari riwayat Irbad ibn Sariyah ra baginda rasul salallahualaihiwasalam pernah bersabda sebagai pesan yang sangat penting buat semua umat Islam iaitu baginda bersabda :

أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وان كان عبدا حبشيا فانه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين فتمسكوا بها و عضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فان كل محدثة بدعة و كل بدعة ضلالة
“ Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta patuhlah kepada pemimpin walaupun dia diangkat dari hamba habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu pada Sunnah aku dan sunnah khulafa Ar-Rasyidin yang diberi pertunjuk selepas aku . Peganglah ia (sunnah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa mengigitnya dengan gigi geraham kamu. Dan berhati-hatilah kamu dengan perkara baru !!! Sesungguhnya setiap perkara baru (dalam agama) ialah bid’ah !!! dan setiap bid’ah itu sesat !!! (Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi (no.2676) , Abu Daud (no. 4607) dan Ahmad (no.12561).



Monday, July 25, 2005

Risalah Permasalahan Ibadah orang yang Sakit

Siri Risalah Ilmiah
15/07/2005
San’a, Yaman.


بسم الله الرحمن الرحيم


Tajuk :

Permasalahan Ibadah Bagi Golongan Yang Sakit


Muqadimah :



إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
يأيها الذين أمنوا التقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وانتم مسلمون (آل عمران: 102)
يأيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا و نساء وتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)
يأيها الذين أمنوااتقوا الله وقولوا قولا سديدا يصلح لكم أعمالكم و يغفر لكم ذنوبكم ومن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزا عظيما (الأحزاب:70).

أمِّا بعد:


Alhamdulillah, dalam kesibukan dan kekalutan pengajian dan pengajaran ana masih sempat menyiapkan risalah ringkas ini bagi menjawab dan memenuhi permintaan ukhti Doktor Nabiela yang bertanyakan kepada ana mengenai kedudukan ibadah orang yang sakit dan keadaan mereka.

Mengenai rujukan yang sesuai dibaca untuk megetahui mengenai perihal orang yang sakit dalam bahasa melayu secara detail dan lengkapnya ana sendiri pun tidak mengetahui namun sekiranya bertanya mengenai buku yang berbahasa arab sebenarnya hal ini sudah banyak ditulis oleh para ulamak tetapi kerana faktor bahasa ana menyakini akan menjadi kesulitan bagi ramai pihak untuk memahaminya.

InsyaAllah secara ringkas ana akan cuba menjawab beberapa persoalan penting yang berlaku bagi golongan yang sakit dan menerangkan kaedah ibadah mereka yang berdasar sunnah yang sahih dan ijtihad ulama’ terkini moga dapat menjadi nasihat bermanfaat kepada doktor muda kita yang bersemangat untuk memikul perjuangan Islam melalui kaedah yang sahih.

Doktor dihadapan pesakitnya ibarat seorang pendakwah bersama mad’u yang perlu dibimbing dan dinasihati. Maka inilah risalah ringkas buat pendakwah berkot putih yang bergelumang dengan kematian dan kehidupan.



Oleh : Ustaz Emran Bin Ahmad
(Universiti Yemania, San’a )
Ditulis dari hasil perbincangan dengan para ulama’ seperti Al-fadhil Syeikh Prof. Dr. Hasan Ahdal (salah seorang ahli majlis fatwa Yaman) dan lain-lain.

p/s : Penghargaan kepada Ustaz Masyudi dari Indonesia yang banyak membantu menemani ana dalam muraja’ah dan perbincangan bersama para ulama’.



Manhaj dalam Penulisan Permasalahan
Ibadah bagi Golongan yang sakit

Kaedah penulisan yang menjadi pegangan ana dalam penulisan ini ialah :

a) Menulis berdasarkan pertunjuk dari Al-Qur’an dan sunnah yang sahih.

Malah prinsip menetapkan hukum berasaskan dalil ialah arahan secara langsung dari Allah swt dengan firmannya :
" فان تنازعتم في شيءٍ فردُّوهُ إلي الله و الرسول..." (النساء: 590"
"Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu hal maka kembalilah pada Allah (Al-quran) dan rasul (As-sunnah)…" (Surah An-Nisa' : 59).

b) Menulis dengan mengutamakan pendapat yang rajih dan memudahkan dan mengenepikan pendapat yang lemah serta tidak memperbanyakkan perbincangan mengenai khilaf dan perbezaan pendapat dikalangan ulama’ dan mazhab serta tidak ta’asub kepada mazhab sebaliknya mengutamakan pendapat yang sahih yang berdalil kukuh dan bertepatan makna dengan hujah nas dari Al-Qur’an dan sunnah yang sahih.

Imam Abu Hanifah ra sendiri pernah menyebut :
إذا صح الحديث فهو مذهبي
"Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)"

( Sila rujuk Hasyiyah Ibn A'bidin (63/1) )

لا يحل لأ حد أن يأخذ بقولنا ما لم يعلم من أين أخذناه
" Tidak halal bagi siapapun untuk memegang pendapat kami tanpa mengetahui dari mana dalil yang kami ambil"

(Sila rujuk Ibn Abd Barr (Al-Intiqa fi Fadlul Salasa A'immah Fuqahah, m/s 145) dan Ibn Qayyim (I'lamul Muaqi'in, m/s 29).

Begitu juga Imam Malik ra menyebut :

ليس أحد بعد النبي صلي الله عليه وسلم إلا و يؤخذ من قوله ويترك
إلا النبي صلي الله عليه وسلم

"Tidak ada sesiapa pun selepas Nabi salallahualaihiwasalam melainkan kita boleh ambil dan boleh pula tinggalkan pendapatnya melainkan Nabi salallahualaihiwasalam"

(Sila rujuk Ibn Abd Barr , Al-Jami' (m/s 91 / 2), dan Ibn Hazm (Usul Ahkam, m/s 179 / 2 ).

Imam Ahmad Ibn Hanbal ra juga turut menyebut :

لا تقلدني , ولا تقلد مالكًا, ولا الشافعي , ولا الأوزاعي , ولا الثوري,
وخذ من حيث أخذوا.
" Janganlah kamu bertaqlid kepada aku, janganlah bertaqlid kepada Imam Malik, janganlah kamu bertaqlid kepada Imam Syafi'ie dan jangan kepada Imam Al-Auza'ie dan jangan juga kepada Imam As-Sau'ri, tetapi ambillah hujah dari mana sumber yang mereka ambil…".
(Sila rujuk Ibn Qayyim dalam kitabnya "Al-I'lam" m/s 302 / 2).

Begitu jugalah Imam Syafi'ie ra yang mempunyai ramai pengikut di Malaysia namun malangnya terlalu kurang yang benar-benar mengikut panduan imam ini sebaliknya hanya menempelkan diri pada mazhab Syafi'ie tanpa mengetahui usul dan hujung pangkalnya.
Dan Imam Syafi'ie ra juga meyebut :

إذا صح الحديث فهو مذهبي
"Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)"
(Sila rujuk Imam An-Nawawi dalam kitabnya "Al-Majmuk", m/s 63 / 2).

أنتم أعلم بالحديث و الرجال مني, فإذا الحديث الصحيح فأعلموني به

" Kamu lebih alim tentang hadith dan ilmu rijal dari aku (katanya kepada Imam Ahmad ibn Hanbal) maka jika sesuatu hadith itu sahih maka beritahulah aku tentangnya…".

(Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya "Adabul Syafi'ie", m/s 94).

كل حديث عن النبي صلي الله عليه فهو قولي , و إن لم تسمعوه مني

" Setiap Hadith dari Nabi Salallahulaihiwasalam itulah sebenarnya pendapat aku cuma sahaja mungkin kamu tidak mendengarkannya dari aku."

(Sila rujuk Ibn Abi Hatim dalam kitabnya " Adabul Syafi'ie" m/s 93).

c) Memudahkan gaya penulisan dan tidak terlalu menurut gaya ilmiah dan menulis hanya maksud ayat Al-Qur’an tanpa meletakkan matan ayat dalam bahasa arab demi menyingkatkan penulisan dan memudahkan.

baginda rasul salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

أمرت أن أخاطب الناس علي قدر عقولهم

" Aku diperintahkan untuk berbicara dengan manusia menurut kadar kemampuan mereka"
(hadith Sahih, riwayat Bukhari no.124).

d) Mengambil Istifadah dan manfaat dari pendapat ulama' muktabar dengan mengikut kesesuaian tempat dan kekuatan hujah mereka.

Allah swt sendiri befirman :
"فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون" (النحل: 43)
" Bertanyalah kamu kepada orang yang mengerti jika kamu tidak mengetahui"
(Surah An-Nahl : 43).

e) Memahami masalah dan berusaha meninggalkan khilaf dan memilih pendapat yang paling rajih' berdasar dalil dan jika wujud dua qaul (pendapat ) atau lebih yang masing-masing memiliki dalil yang sahih maka ana akan mentarjihkan kedua-duanya atau setiap pendapat dan menyatakan kedua-duanya atau setiapnya sebagai pilihan jika kesemuanya memiliki dalil yang sama taraf namun tetap mengusahakan supaya terhasil pendapat atau keputusan yang paling benar dengan melihat kepada pemahaman dalil yang lebih benar dan tepat pada masa, kedudukan dan aspek sokongan dalil yang lain.

Pendirian ana berdasar demikian ialah kerana ana mempercayai kebenaran hanyalah satu dan yang lainnya harus salah.

Ini dibuktikan oleh sabda baginda Rasulullah
salallahualaihiwasalam :

إذا حكم الحاكم فاجتهدا ثم أصاب فله أجران وإذا حكم فاجتهد ثم
اخطأ فله اجر
" Jika seorang qadhi itu berhukum lalu berijtihad maka jika ijtihadnya itu benar maka baginya dua pahala dan jika salah maka baginya satu pahala"
(Sahih Bukhari)


Lalu patutkah kita mengikut mujtahid yang tersilap jika kita mengetahui bahawa ianya salah ? Sedang dalam Al- Quran, Allah swt sendiri telah berfirman :

فَمَاذَا بَعدَ الحَقِّ إِلاَ الضَّلَلُ (يونس: 32)

" Dan apakah lagi selepas Haq (kebenaran) melainkan kesesatan…"
(Surah Yunus : 32).

Bukanlah bermakna apabila ana mengetahui akan kesilapan mujtahid seperti Imam Syafie’ ra itu bererti ana seolah mengaku lebih alim dari Imam syafie sebaliknya sebagai manusia yang tidak maksum mereka (para Imam) tidak bebas dari kesilapan dan ini diketahui oleh para ulamak selepas mereka dan sezaman mereka dan terdapat dalam kitab-kitab muktabar.

Jelas bagi sesiapa yang mencedok ilmu dengan gigih pasti akan menjumpai kebenaran. Sebaliknya yang taqlid buta dan jahil akan menuduh orang seperti ana sebagai cuba berlagak lebih alim dari Imam Syafie sedang mereka sendiri jahil dan tidak tahu usul dasar mazhab syafie dan dalilnya.

Bagi mereka yang menggunakan dalil hadith bahawa khilaf pada umat ini ialah rahmat sesungguhnya perkara itu adalah salah !!!

اختلاف في أمتي رحمة !
"Sesungguhnya khilaf(beza pendapat) pada umatku ialah rahmat".

اختلاف أصحابي لكم رحمة !
" Iktilaf (perbezaan pendapat) pada sahabatku ialah rahmat "

أصحابي كالنجوم , فبأيهم اقتديتم اهتديتم !
"Sahabatku bagaikan bintang di mana yang kamu beroleh pertunjuk maka ambillah.."

Hadith-hadith ini dhaif ini tidak ada asal dan palsu bukan dari Nabi Salallahualaihiwasalam maka haram menisbahkannya pada Nabi Salallahualaihiwasalam. Seperti disebut oleh Alamah Syeikh Nasirudin Al-bani dalam kitabnya " Sifat Solat Nabi " yang meriwayatkan dari Imam As-Subki ra " Hadith ini tiada asal, tidak pula sanadnya sahih dan palsu yakni direka dan tiada pula dhaif.. bahkan bukan hadith.

"Begitulah juga pada hadith-hadith seperti di bawahnya yang semuanya dhaif dan tidak wajar dinisbah kepada Nabi Salallahualaihiwasalam. Sila rujuk Kitab Silsilah Hadith-hadith Dhaif dan Palsu (m/s 58, 59, 61) oleh Alamah Syeikh Nasiruddin Al-Albani.

Mana mungkin hadith-hadith dhaif menjadi pegangan dalam masalah pokok dasar Islam terutama hal ibadah (Mengabdikan diri pada Allah swt) !!!

Malahan jelas ianya bertentangan dengan firman Allah swt :

" Dan bersatulah kamu di atas tali Allah (Al-quran dan As- Sunnah) kesemuanya dan janganlah kamu berpecah-belah"(Surah Ali-Imran : 103).

" Dan janganlah kamu berselisih dan berbantah kelak akan merugikan kamu dan mnghilangkan kekuatan kamu" (Surah Al-Anfaal : 46)

" Dan sama sekali tidak akan berhenti perselisihan melainkan dengan rahmat dari tuhan-mu (Kembali kepada pertunjuk (dalil )." (Surah Hud : 118) .

Rahmat Allah itu ialah dengan ilmu seperti yang disebut oleh baginda sallahualaihiwasalam : "Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari & Muslim).

Dengan keilmuan maka khilaf dan perselisihan dapat disatukan dan ditarjihkan serta ditentukan akan kebenarannya supaya yang tinggal hanya kebenaran dan kesatuan.
Begitulah juga seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Abd Barr dari riwayat Ibn Qasim bahawa dia mendengar Malik (Imam Malik) dan Laits' berbicara tentang iktilaf para sahabat Nabi Salallahualaihiwasalam bukanlah seperti yang menjadi sangkaan dan perbicaraan orang kebanyakan (iaitu menyangka pada iktilaf itu rahmat dan kebebasan pendapat) sebaliknya mereka (Imam Malik & Imam Laits') mengatakan pada perbuatan sahabat Nabi Salallahualaihiwasalam padanya ada benar dan salah.

(Sila rujuk Ibn Abd Bar dalam kitabnya " Jami' Bayanul Ilm" (82 /2).


Demikianlah menjadi hujah dan pegangan ana bahawa setiap perkara hanya ada satu kebenaran dan setiap masalah patut ada jalan penyelesaian.

Walaupun begitu dalam penyusunan risalah ini ana cuba longgarkan hal ini dengan mengetengahkan beberapa pendapat yang memberi pilihan kepada golongan awam disamping ana cuba mentarjihkan pendapat yang paling benar di sisi ana setelah melakukan pengajian dan penyelidikan.

Ana juga masih tetap mengakui khilaf pada pemahaman dalil merupakan satu perkara lumrah dan menjadi suatu hal yang tidak dapat dielakkan dan kepentingan memahami perkara yang dikhilafkan (diperselisihkan ) amatlah perlu sebelum menjatuhkan sesuatu keputusan :

Sebagaimana diriwayatkan dari Qatadah ra :

من لم يعرف الاختلاف, لم يشم الفقه بأنفه
"Barangsiapa yang tidak mengetahui perkara khilaf, tidaklah sampai melepasi ilmu fiqh dari hidungnya (maksudnya belumlah mahir)".


Juga terdapat dalam riwayat dari Usman Ibn Atho ra mengatakan :

لا ينبغي لأحد أن يفتي الناس حتى يكون عالما باختلاف الناس
" Tidak patut bagi seseorang berfatwa melainkan setelah dia mengetahui tentang perkara yang diperselisihkan (khilaf) oleh orang lain."

(Sila rujuk Ibn. Abd Bar' dalam " Jami' Bayan Ulum").


f) Penyusunan risalah ini dipastikan mengambil sumber yang sahih dan berdasarkan riwayat yang sabit serta jelas dari sumber yang asal. Setiap dalil yang dimuatkan dipastikan menepati kehendak maksud ayat atau menepati hikmah hadith dan istinbatnya menurut kaedah para ulama' Ahlul Sunnah Wal Jamaah .


Sebagaimana riwayat dari Imam Sufyan As-Sauri ra :

الإسناد سلاح المؤمن فإذا لم يكن معه سلاح فبأي شي يقاتل ؟

" Isnad itu ialah senjata orang Islam dan jika pada muslim itu tiada senjata maka bagaimana akan menghadapi musuh ?" .

dan diriwayatkan dari Abd Ibn Mubarak bahawa

ولو لا الإسناد, لقال من شأ: ما شأ !

" Kalaulah tidak kerana Isnad (riwayat) maka berkatalah siapa pun apa yang ingin dikatanya (yakni dalam agama).

(Sila rujuk Tarikh Baghdad (166 / 6).


Islam Agama Yang Memudahkan


Sesungguhnya Islam merupakan agama yang mudah dan menyenangkan manusia bukan menyusahkan atau menyempitkan. Deen Islam ini diturunkan Allah swt kepada manusia sebagai rahmat dan hidayah yang membawa manusia kepada kebaikan dan kebahagiaan seperti firman Allah swt :

“ Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam” (Al-Anbiya : 107).

Rahmat Islam itu didatangkan oleh Allah swt sebagai penyelamat manusia dari kesesatan dan pembimbing dalam kehidupan untuk seluruh alam dan manusia tanpa dikecualikan sesiapa pun.

“ Dan tidaklah kami mengutuskan Engkau melainkan untuk seluruh manusia sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan azab” (Saba : 28).

Setiap manusia itu tertakluk kepada hukum Allah swt dan merupakan hamba yang wajib melaksanakan tangungjawabnya sebagai hamba kepada zat yang Maha Kuasa dengan beribadah kepada-Nya menurut perintah dan pertunjuk dari-Nya.

“ Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada kami” (Adz-Zariyat : 56).

Perintah untuk beribadah itu tertakluk kepada seluruh manusia dan kepada semua golongan serta keadaan. Setiap manusia itu wajib melaksanakan tuntutan sebagai hamba kepada Allah swt semampunya dan menurut pertunjuk yang sahih iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Islam tidak membebankan manusia sebaliknya bahkan memudahkan dan menyenangkan manusia disamping tidak sampai membiarkan manusia itu mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba kepada tuhannya. Setiap taklifan atau tuntutan dari Islam itu ditentukan menurut kadar kemampuan yang sesuai dengan manusia itu sendiri.

“ Tidaklah Allah meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar dengan kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).

Demikianlah prinsip Islam yang merupakan rahmat serta memudahkan kepada manusia di samping tetap menjaga hak manusia sebagai hamba maka Islam juga tidak sampai mengabaikan hak Allah swt sebagai penguasa dan tuhan rabbul alamin.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari Muaz bin Jabal ra, bahawa baginda salalallahualaihiwasalam pernah bersabda :

فأن حق الله على العباد أن يعبدوه ولا يشركوا به شيئا وحق العباد على الله أن لا يعذب من لا يشرك به شيئا
“ Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah kewajipan bagi setiap hamba untuk menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya ,dan hak hamba kepada Allah ialah untuk tidak diazab hamba-Nya yang tidak mensyirikkan-Nya.”
(Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.77).

Sesungguhnya Allah swt sangat mengasihi hamba-Nya dan Dialah yang telah menciptakan manusia pada awal-awalnya dan sudah pasti setiap perihal dan kelemahan manusia itu sudah diketahui-Nya sejak awal-awal. Maka bukan sesuatu yang pelik apabila sebagai Pencipta Allah swt telah menetapkan bahawa Islam ini sebagai deen yang sempurna kepada manusia untuk semua keadaan sesuai dengan fitrah dan kehidupan mereka.

“ Sesungguhnya fitrah yang diciptakan Allah dan ditetapkan manusia dengannya (tertakluk kepada fitrah tersebut).”
(Surah Ar-Rum :30).

“Sesungguhnya hari ini telah aku sempurnakan pada kamu akan agama kamu dan aku sempurnakan nikmat-Ku pada kamu dan aku meredhai Islam sebagai agama kamu." (Surah Al-Mai'dah : 3).

“ Allah mengehendaki kesenangan kepada kamu dan tidak mengingini kesusahan menimpa kamu” (Al-Baqarah : 185).

Dijelaskan dalam firman Allah di atas bahawa syariat Islam itu sebenarnya sudah mudah dan sesuai kepada manusia dalam apa jua keadaan cumanya manusia itu sendiri masih jahil dan bersikap engkar. Syariat Islam itu diturunkan oleh Allah swt dan ditetapkan kepada manusia sebagai memudahkan manusia itu sendiri dan pertunjuk jalan yang selamat.

“ Dan tidaklah kami menjadikan deen ini kepada kamu sebagai sesuatu yang menyusahkan” (Al-hajj : 78).

Bukanlah syariat itu sebagai beban sebaliknya ianya diturunkan sebagai panduan dan bimbingan dari Allah swt ke jalan yang selamat yang ditetapkan oleh-Nya sebagai syarat mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

“ Segala puji hanya bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami akan jalan ini (Syurga) dan kalaulah tidak kerana hidayah Allah pastilah kami tidak akan beroleh pertunjuk (menuju syurga).” (Surah Al’Araf : 43).


Hendaklah setiap manusia yang beriman kepada Allah swt menyerah dirinya kepada Islam dan syariatnya dalam apa jua keadaan baik dalam lemah atau ketika kuat dan gagah. Baik ketika sihat atau sedang sakit hendaklah selalu mengingati Allah dan menyerah diri kepada syariat Islam dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan dengan hati yang tunduk dan menyerah ikhlas.

“ Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah dan dia berbuat baik (Muh’sin) maka sesungguhnya dia telah berpegang pada tali (ikatan) yang kukuh.” (Surah Luqman : 22).

Ibadah Dalam Islam

Perintah supaya beribadah kepada Allah swt itu haruslah didasari dengan ilmu dan kefahaman yang sahih yang disampaikan oleh Allah swt kepada hamba-Nya melalui perantaraan rasul-Nya Muhammad salallahualaihiwasalam sebagai penerang dan penjelas kepada segala perintah dan larangan Allah swt.

" Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Al-Hasyr: 7).

Sabda baginda salallahualaihiwasalam :

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله
“ Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya.”
(Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatho no 898, Hakim dalam Mustadrak no.63).

Berkata Fudhail Ibn Iyad ra, “Hendaklah kamu ikhlas dan benar dalam beramal, ikhlas apabila kamu beramal hanya kerana Allah dan benar apabila amalan kamu itu menepati pertunjuk sunnah”. Sesungguhnya sunnah itu berperanan sebagai penerang dan penjelas bagi Al-Qur’an di samping sebagai pertunjuk yang sahih selepas Al-Qur’an.

Fungsi sunnah juga ialah sebagai pentafsir dan penjelas kepada isi-isi kandungan Al- Quran sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam :
ألا أوتيت القرأن ومثله معه
“ Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (Sunnah) ”
(Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami’ no. 2643). Imam Syafie ra juga pernah mengatakan “ Setiap yang dihukumkan oleh rasulullah merupakan apa yang hasil dari Al-Quran.” (lihat dalam Mabahis Fi Ulum Quran, m/s 302).

Asas ibadah dalam Islam ialah keikhlasan dan menuruti pertunjuk sunnah, dari dua perkara ini maka lahirlah sesuatu amalan itu sebagai ibadah dan amalan kebajikan. Seandainya amalan yang dibuat tanpa ikhlas maka segala amalan hanyalah sia-sia dan merupakan syirik kepada Allah swt .

“ Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya melalui deen yang lurus” (Al-Baiyinah : 3).

“ Barangsiapa yang mengingini pertemuan dengan tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan ibadahnya kepada tuhannya dengan sesuatu” (Al-Kahfi : 110).

Jika sesuatu amalan itu dibuat tanpa menurut pertunjuk sunnah pula maka amalannya hanya akan ditolak dan menjadi sia-sia juga kerana tidak akan diterima di sisi Allah swt.

Sabda baginda Salallahualaihiwasalam :

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهوا رد
“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.”
(Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Maka inilah yang ditakuti menimpa mereka yang beribadah tanpa ilmu dan beteraskan kejahilan dan ikutan buta serta hanya berdasarkan sangkaan sedang perbuatan itu sangatlah dicela.

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

" Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus : 36).

Disebut dalam hadith baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas’ud bahawa baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud “ Aku bersama kamu di telaga Al-Hau’d ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari ummat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu (yakni mereka telah menyeleweng, berbuat bid;ah). (Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).

Maka sebagai mencari jalan keluar dari kebahayaan kejahilan dan kesilapan dalam beramal wajarlah mengusahakan mendapatkan pengajaran dari mereka yang mengetahui akan kitab Allah dan sunnah rasul-Nya dengan pemahaman yang sahih dan benar.

“ Bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui” (An-Nahl : 43).

Melalui ilmu yang bersumber dari Kitab dan Sunnah berteraskan pemahaman yang sahih maka seseorang itu akan terselamat dari azab dunia dan akhirat dan hendaklah mengambil ilmu itu dari mereka yang benar dan sahih pada ilmu dan amal.

Kerana menurut riwayat Abdullah Ibn Mas'ud ra pernah menyebut bahawa “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama') mereka dan jika mereka mengambil dari As-shaghir yang buruk, mereka pasti hancur.”
Mereka yang dimaksud sebagai As-shaghir ialah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan dari Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah Ashaghir itu ?”.Dia menjawab,”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal / menafsir sendiri tanpa merujuk dalil). Adapun orang yang mengambil dari pembesar (Ulama') bukan termasuk Ashaghir.”
( Lihat Ibn Abd Bar' dalam Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 248).

Bahkan Ali bin Abi Thalib ra pun berkata, " Lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu kerana ilmu adalah agama.” (Lihat Al Khatib Al Baghdadi, dalam At Tankil, m/s 121).

"Dan sebelumnya kamu tidak pun mengetahui apakah itu Al- Kitab (Al-Quran) dan tidak juga mengetahui apakah itu Iman. Tetapi kamilah yang menjadikan Al-Quran itu cahaya dan pertunjuk kepada sesiapa yang kami kehendaki dari kalangan hamba kami." (Surah Al-Syura : 52).



Kedudukan Ibadah bagi Orang Yang Sakit


Orang yang sakit dan menderita akibat tidak memiliki kesihatan atau mendapat musibah seperti kecacatan dari kemalangan atau kecederaan atau mudharat penyakit mereka ini sebenarnya mendapat perhatian khusus oleh Islam dan Allah swt itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :

“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).

Hendaklah mereka yang sakit dan berada dalam keadaan derita itu sentiasa berhusnul Zon (menyangka baik) kepada Allah swt kerana hal ini merupakan kewajipan hamba kepada tuhan-Nya.

Sabda baginda salallahualaihiwasalam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).


Sesungguhnya sangat malang apabila seseorang pesakit berat seperti kanser, pesakit jantung atau lain-lain kecederaan berat kehilangan pergantungan kepada Allah swt sebaliknya mengharap keberhasilan dan kejayaan mesin, ubatan atau kepakaran doktor dalam mengubati sakit dan deritanya.

Pernah saya ke hospital dan sering menemui ramai pesakit yang tidak beribadah dan bersolat lantaran sudah putus asa atau kerana kejahilan. Bagi pesakit yang berat seperti kanser mereka kebanyakan sudah hilang tawakkal dan pergantungan kepada Allah swt sebaliknya hanya muram dan memenuhi hidup mereka dengan kekesalan dan kesedihan.

Hal ini bertentangan dengan hadith dari baginda rasul yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik ra bahawa “ Sesungguhnya nabi salallahualaihiwasalam pernah masuk menemui seorang pemuda yang berada dalam keadaan tenat, lalu baginda bertanyakan keadaan beliau maka dijawab : ya rasulullah, aku mengharap kepada Allah namun juga aku takut akan dosaku. Maka dijawab oleh rasulullah : Tidaklah berkumpul dua perasaan antara takut dan harap kepada Allah dalam hati seorang hamba seperti keadaan ini melainkan Allah akan memberikan apa yang diingininya dan mengamankannya dari apa yang ditakutinya” (hadith ini hasan riwayat tirmidzi dan Ibn majah).


Pesakit yang menderita kesakitan akibat dari sakitnya itu diharamkan dari mengharapkan maut dan mati kerana ingin segera terlepas dari penderitaannya. Perbuatan ini bukanlah perbuatan mereka yang bersabar dan beriman kepada Allah swt.

Orang yang mukmin harus redha dan pasrah atas setiap ujian dan musibah yang menimpa dirinya kerana jika dia tidak diuji dan diberi sakit maka bagaimana lagi keadaan yang dapat membuatkan dirinya mengingati tuhannya yang Maha Kuasa ?

Dari Umm Fudhail ra menceritakan :

“ Sesungguhnya rasulullah masuk menemui mereka dan Abbas iaitu bapa saudara baginda mengadu kepada baginda bahawa dia berharap agar dirinya segera mati maka bersabdalah baginda : Wahai bapa saudaraku, janganlah engkau berharap agar segera mati kerana sesungguhnya jika engkau seorang yang baik jika dilewatkan kematianmu maka ianya menjadi kebaikan bagimu agar engkau dapat menambah amalanmu dan jika sebaliknya engkau bukan orang yang baik maka jika dilewatkan kematian itu ianya menjadi kebaikan bagimu agar sempat bertaubat maka janganlah berharap segera mati” (hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan Hakim).

Hendaklah bagi pesakit itu sentiasa memperbanyakkan zikrullah dan membanyakkan mengingati kalimah syahadah. Ini bertepatan dengan sabda baginda rasulullah :

“ Talqinkan (bacakan) kepada orang yang hampir mati (nazak) dikalangan kamu akan kalimah Lailahaillallah” (hadith sahih riwayat Muslim).

Bahkan mereka seharusnya tetap jangan putus asa sekalipun contohnya bagi pesakit berat seperti kanser, virus dan lain-lain yang diberitahu oleh doktor bahawa jangka hayatnya cuma hanya beberapa waktu tertentu kerana manusia tidak dapat mengatasi takdir Allah swt dan ilmu manusia sangatlah terhad.


Dari Umm Salamah ra berkata rasulullah salallahualaihiwasalam :

“ Jika kamu mendatangi orang yang sakit atau mayat hendaklah berkata baik kerana malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan” (Hadith Sahih riwayat Muslim dan Baihaqi).

Hendaklah orang yang sakit dan mereka yang berada dalam kebuntuan akibat kesakitan dan penderitaan mereka itu tidak sampai menjadikan mereka melakukan kebathilan dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam yang sudah sempurna.

Kerap terjadi mereka yang sakit akibat dari kesakitan yang bersangatan menjadikan mereka melakukan perkara-perkara seperti membaca yasin secara beramai-ramai, berdukun dan berbomoh, bertawasul kepada makhluk seperti air yasin, jampi yang bukan dari pertunjuk sunnah, melakukan amalan-amalan pelik dan ganjil sebagai mengharap disembuhkan oleh Allah swt.

Baginda pernah bersabda :“ Dan janganlah lagi kamu mendatangi dukun (termasuk bomoh)” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam Kitab Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Nawawi no 5774 Jilid 14, Ahmad no. 24166 Jilid 7).

Sesungguhnya hal ini perlulah diambil perhatian oleh para doktor supaya menasihati pesakit mereka dengan sabda baginda

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهوا رد
“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.”
(Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Sesungguhnya doktor dihadapan pesakitnya ibarat seorang pendakwah dihadapan mad’u yang perlu dibimbing bukan hanya dari sudut kesihatan dan perubatan sebaliknya dari segi agama dan bimbingan nasihat kerana Islam itu merupakan nasihat seperti sabda baginda : “ Agama itu ialah nasihat” (hadith Sahih riwayat Muslim).

Perlulah seorang doktor itu mengetahui perkara-perkara asas dalam Islam dan mempunyai maklumat berguna dari sunnah supaya berkesan dan mampu membantu pesakitnya kepada menuju jalan yang diredhai Allah sehingga dapat mati dalam rahmat Allah swt.

“ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah ( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad 69/1).

Seorang doktor itu selain bertanggungjawab menjaga pesakitnya dari sudut fizikal mereka juga sebenarnya sebagai muslim wajib mempertahankan dan menjaga aqidah pesakitnya dari dicemari oleh syirik, putus asa, dihasut dan digoda oleh syaitan.

Sebagai golongan yang sakit, diwaktu inilah mereka perlu kukuhkan ibadah mereka, menumpu sepenuh pengharapan dan perhatian dan menambah serta melipat gandakan ibadah mereka kepada Allah swt dan bahkan di sisi Allah juga di waktu inilah mereka mendapat ganjaran pahala lebih dari biasa.

Dari Mus’ab bin Said dari bapanya ra berkata : Aku bertanya kepada rasulullah siapakah manusia yang paling dahsyat menerima bala ? Maka dijawab : Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. Tidaklah hilangnya bala itu pada seorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya” (hadith hasan Sahih, riwayat tirmidzi no. 2398, Ibn majah, Ahmad).

Hendaklah diketahui bahawa kedudukan ibadah mereka yang sakit itu sangatlah besar ganjarannya kerana kesakitan itu merupakan musibah yang sebenarnya membawa nikmat sebagaimana riwayat Abu Hurairah ra bahawa sesungguhnya nabi bersabda : “Barangsiapa yang diingini oleh Allah akan kebaikan maka diujinya dengan musibah” (hadith Sahih riwayat Bukhari, Muwatho dan Ahmad).

Firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kalian”
(Ali Imran : 200).

“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka sesungguhnya Allah akan menyediakan baginya jalan keluar (dari kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangkai olehnya” (Surah Thalaq : 2-3).



Nasihat bagi golongan yang sakit


Sebagai tambahan dari pesanan sebelumnya hendaklah para doktor menasihati para pesakit mereka selain bersabar dan redha dengan ujian Allah supaya mereka memperbanyakkan ibadah mereka.

“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).

Sesungguhnya ibadah itu merupakan tanda kehambaan seseorang manusia kepada Allah swt dan tidaklah seorang manusia itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai hamba melainkan dia telah melanggar perintah Allah swt.

“ Dan memintalah kamu akan pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat melainkan bagi mereka yang khusyuk” (Al-Baqarah : 45).

Hendaklah menyakini rahmat Allah swt kerana sesungguhnya Allah itu Maha pengasih.

“ Dan sesungguhnya Dia (Allah) sangatlah Penyayang kepada orang-orang yang beriman” (Surah Al-Ahzab : 43).

“ Maka sembahlah Dia (Allah) dan bertawakallah kepada-Nya dan sesungguhnya tidaklah tuhan-Mu lalai dari apa yang kamu lakukan” (Surah Hud : 123).

Dalam menjalani rawatan secara fizikal dan perubatan moden, sebenarnya Islam turut mengajar dan mendidik setiap mukmin supaya tidak mengabaikan peranan Al-Qur’an dan doa dalam merawati sakit kerana perlu diyakini tidak semua ilmu manusia dari hasil sains itu mampu mencukupi dalam hal pengubatan manusia kerana ilmu manusia itu sangatlah terhad.

“ Dan tidaklah kami berikan ilmu kepada manusia itu melainkan sedikit.” (Surah Al-Isra : 85).

Sebagai seorang doktor mukmin, tidaklah patut malu dan menjadi aib bahkan sepatutnya wajib bagi mereka ini iaitu para doktor untuk mempelajari jampi-jampi atau ruqiyah yang sahih yang sabit dari sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam dan pertunjuknya.

Faedah dari mengetahui hal mengenai doa yang sahih dan pertunjuk sunnah dalam jampi dan berdoa membolehkan para doktor disamping merawati pesakit dengan kaedah moden dan fizikal mereka juga dapat membantu rohani dan jiwa pesakit dan berubat dengan cara kaedah sunnah yang bahkan memberi ganjaran pahala dan kebaikan .

Ini kerana pada doa itu wujud ubat yang tiada pada ubatan moden dan ilmu manusia iaitu doa mampu menolak takdir dan mengubah nasib seseorang walaupun perubatan moden akan menemui kebuntuan dan putus asa serta titik tamat dalam usaha menyelamatkan nyawa namun doa adalah sebaliknya kerana tiada penamat dan bahkan mampu mengubah apa yang sudah tertulis.

Dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah : Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi).

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Diriwayatkan dari Ustman bin Abi As’h ra bahawa beliau pernah mengadu kepada rasulullah mengenai kesakitan pada badannya sejak Islamnya beliau maka bersabdalah baginda kepadanya : “Letakkan tangan kamu di atas tempat yang sakit di badan kamu lalu bacakanlah بسم الله sebanyak 3 kali dan bacakanlah pula أََعُوذُبِا للََّهِ وَ قُدْرَتِهِ مِنْ شَّرِمَا أَجِدُ وَ أحَاذِرُ sebanyak 7 kali” (hadith Sahih riwayat Malik dalam Muwatho dan Muslim dan Abu Daud dll).

Selain itu doktor juga boleh mengajarkan pesakitnya supaya berubat dengan ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan menurut pertunjuk sunnah seperti diriwayatkan dari kisah Abu Sa’id Al-Khudri ra bahawa ketika diberitahu kepada rasululullah salallahualaihiwasalam bahawa seorang lelaki disembuhkan dengan jampi dari bacaan Al-Fatihah maka baginda pun membenarkannya dengan bersabda : وما كان يدريه أنها رقية ؟ “ Apakah kamu masih belum menyedari sesungguhnya ia adalah penawar ?” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 2276 dan Muslim no. 2201, Abu Daud no. 3418 serta Tirmidzi no. 2064).

Bahkan doktor juga boleh menjampi pesakit mereka ketika keperluan bagi meringankan beban derita sakit yang dihadapi oleh pesakit mereka seperti riwayat Ibn Abbas ra dari nabi yang bersabda : Sesiapa dari hamba Allah yang menziarahi orang sakit dan belum sampai ajal si sakit itu maka jika dibacanya pada si sakit itu أسأل الله العظيم رب العرش العظيم أن يشفيك sebanyak 7 kali maka disembuhkan oleh Allah akan pesakit itu” (hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2083).

Demikian juga disebut bahawa sebagai doktor, selain mengajarkan pesakitnya dengan doa-doa mereka juga boleh mencadangkan pesakit mereka berubat dengan mengunakan perubatan tradisional Islam yang ditunjuki caranya oleh sunnah.

Seperti pengubatan dengan air

Nabi Salallahualihiwasalam bersabda “ Demam itu merupakan kesan dari api maka sejukkanlah ia dengan air” (hadith sahih riwayat tirmidzi no. 2073 dan Ibn Majah ).

Pengubatan dengan tamar

Nabi Salallahualihiwasalam bersabda “ Barangsiapa yang paginya memakan 7 biji tamar Ajwa’ maka tidaklah akan memudaratkannya pada hari itu baik sihir mahupun racun” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 3876).

Pengubatan dengan madu

Nabi Salallahualihiwasalam bersabda “ Ubat itu pada 3 perkara iaitu dengan meminum madu, dengan berbekam …” (hadith Sahih riwayat Bukhari no. 5680).

Pengubatan dengan habbatus sauda

Nabi Salallahualihiwasalam bersabda “ Hendaklah kamu sentiasa memakan habbatus sauda (sejenis bijirin hitam) sesungguhnya ia itu penyembuh segala penyakit selain mati” (hadith sahih riwayat tirmidzi no. 2041 dan Ibn Majah ).

Sebenarnya terdapat banyak lagi contoh-contoh pengubatan nabawi yang boleh diajarkan oleh doktor kepada pesakit mereka sebagai membantu pengubatan moden dan memulihkan pesakit disamping mendapat faedah mukjizat nabawi.

Pengubatan melalui petua-petua sunnah ini jauh dari kesan sampingan dan side- effect yang buruk bahkan turut membuatkan pengamalnya mendapat pahala lantaran beramal dengan sunnah nabi salallahualaihiwasalam.


Kaedah Ibadah Bagi Orang Yang Sakit

Membincangkan persoalan bentuk dan kaedah ibadah mereka yang sakit maka ana perlu menjelaskan bahawa Islam sudah memberikan jalan dan menjaga kebajikan golongan ini disamping tidak mengabaikan hak Allah swt sebagai rabbul alamin yang perlu disembah dalam setiap masa dan keadaan.

“ Dan tidaklah bagi orang yang buta itu akan kesusahan dan bagi mereka yang cacat dan mereka yang sakit” (An-Nur : 61).

Prinsip Islam dalam menghadapi golongan yang sakit ialah tidak membebankan mereka dan menyusahkan mereka sehingga terpaksa menghadapi mudharat untuk beribadah. Oleh yang demikian maka dalam pelaksanaan beberapa ibadah mereka diberikan kelonggaran seperti :

“ Barangsiapa yang sakit dikalangan kamu atau bermusafir atau berhadas atau menyentuh perempuan dan tidak mendapati air maka bertayamumlah dengan tanah yang bersih” (An-Nisa : 43).

Namun Islam sama sekali tidak akan sampai menyebabkan kelonggaran dan rukhsoh (kemudahan) yang diberikan kepada golongan sakit itu sampai mengabaikan tanggungjawab mereka dalam beribadah kepada Allah swt. Prinsip Islam ialah cuma memudahkan mereka dan membantu mereka melaksanakan ibadah walaupun dalam keadaan yang sakit maka itulah yang perlu difahami oleh para doktor untuk menasihati pesakit mereka.

“ Barangsiapa yang sakit dikalangan kamu atau berada dalam musafir maka bolehlah dia mengantikan puasanya pada hari-hari yang lain” (Al-Baqarah : 184).

Puasa sebagai contohnya merupakan kewajipan yang fardhu ain kepada setiap muslim apabila tibanya bulan ramadhan namun demi kelonggaran kepada golongan sakit atau dalam kesusahan mereka dibenarkan membuka puasa dan tidak puasa pada bulan tersebut namun mereka tetap perlu berpuasa pada waktu lain dengan mengantikan puasa yang telah mereka tinggalkan.

Ini disebabkan hak Allah swt ke atas mereka sebagai rabbul alamin perlu mereka tunaikan walaupun mereka dalam apa jua keadaan kerana dunia ini bahkan satu medan ujian bukan tempat istirehat selain akhirat yang kekal abadi.


Baiklah setelah difahami oleh doktor akan perkara di atas maka sampailah kepada perkara fiqhiyah yang berkaitan dengan ibadah orang yang sakit. Dalam soal fiqhiyah untuk orang yang sakit, ana mengambil pendapat dan ijtihad yang memudahkan namun tidak sampai mengorbankan prinsip utama ijtihad iaitu kerajihan qaul.

Kesahihan sesuatu pendapat atau ijtihad itu bergantung kepada dalil dan nash yang menyokong sesuatu ijtihad dan pendapat tersebut lalu dalam soal fiqh orang yang sakit ini ana menyeimbangi antara kerajihan dan kemudahan.


Masalah Taharah bagi golongan yang sakit


Ibadah itu dimulakan dengan taharah kerana Allah swt tidak menerima ibadah melainkan dalam keadaan yang suci baik batin atau zahir. Kesucian batin itu disebut oleh para ulamak sebagai ikhlas kerana ibadah yang dikotori oleh riya’ atau syirik tidaklah diterima oleh Allah swt.

Sesungguhnya taharah dari sudut bahasa bermaksud : Terhindar atau bersih dari kekotoran baik zahir seperti najis dan batin seperti aib dan kecacatan (lihat Sahih fiqh Sunnah m/s 70).

Dari sudut syariah : Taharah bermaksud mengangkat atau menghilangkan halangan untuk bersolat atau beribadah seperti menghilangkan najis dan menyucikan diri dengan berwudhuk atau mandi bagi yang berhadas besar (lihat Fiqh Manhaji Ala mazhab Syafie m/s 27 Jilid 1 dan Al-Mughni oleh ibn Qudamah m/s 12 Jilid 1).

Taharah itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu hakikiyah (zahir) dan hukmiyah. Dimaksudkan dengan hakikiyah ialah menghilangkan najis pada badan, pakaian dan tempat.

Manakala taharah dari sudut hukmiyah ialah menyucikan diri dari sudut hukum dengan mengambil wudhuk atau mandi wajib atau tayammum bagi yang berkecualian.

Kesucian zahir ialah membersihkan diri dari najis, baik pada badan, pakaian atau tempat ibadah seperti firman Allah swt :

“Dan pakaianmu (wahai Muahammad) bersihkanlah” (Al-Mudasir :4).

Sabda baginda salallahualaihiwasalam :

الطهور شطر الايمان
“Kebersihan itu merupakan bahagian dari iman”
(hadith sahih riwayat Muslim no. 223).

Adapun pada pelaksanaan ibadah tertentu maka Allah swt telah mensyaratkan pada hamba-Nya untuk membersihkan diri mereka dari hadas iaitu menyucikan diri mereka dengan baik mengambil wudhuk atau mandi atau tayammum bergantung kepada keadaan ibadah dan diri mereka.

Seperti untuk menunaikan solat tidak cukup dengan hanya membersihkan najis dari badan tapi disyaratkan dengan berwudhuk sebagaimana sabda nabi Salallahualihiwasalam :
“ Tidaklah diterima solat orang yang berhadas tanpa berwudhuk” (hadith sahih riwayat bukhari no. 135 dan muslim no. 225).

Walaubagaimanapun dalam hal menyucikan diri, pakaian dan tempat bagi orang yang sakit maka tidaklah diminta supaya mereka melakukan sesuatu yang luar dari ketetapan syariat sehingga menyusahkan kerana dijelaskan oleh Allah swt :

“Allah mengehendaki kemudahan bagi kamu dan sesungguhnya diciptakan manusia itu dalam keadaan yang dhaif (lemah)”
(Surah An-Nisa : 27).

Diriwayatkan dari Umar Ibn Khattab ra bahawa beliau pernah berjalan pada suatu hari bersama sahabatnya sehingga ketika melalui satu ampaian maka jatuhlah titisan air dari ampaian itu mengenai mereka lalu berkatalah sahabat umar : Wahai pemilik ampaian apakah air ini najis atau tidak ? lalu dibalas oleh Umar : Wahai pemilik ampaian janganlah memberitahu kami apakah ianya najis atau tidak lalu meneruskan perjalanan.


Masalah Menghilangkan Najis

Bagi orang yang sakit, sebelum membolehkan mereka beribadah mereka perlu terlebih dahulu membersihkan diri mereka dari najis dan kotoran. Hal ini merupakan masalah utama yang menghalang kebanyakkan mereka dari beribadah lantaran kejahilan dan tidak tahu caranya untuk menghilangkan najis atau beribadah ketika sakit.

Untuk menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu ana ingin menjelaskan bahawa perkara-perkara berikut bukanlah najis bagi memudahkan para pesakit dan doktor supaya menjelaskan kepada golongan sakit sebelum kita masuk kepada cara menyelesaikan masalah menghilangkan najis.

a) Air mani

Menjadi kebiasaan kepada pesakit lelaki untuk menghadapi masalah keluarnya air mani sedangkan ketika itu dia sedang sakit dan pakaiannya terkena air mani. Menurut Imam Syafie dan Imam Daud serta dari riwayat yang sahih dari Imam Ahmad bahawa mereka bersepakat mengatakan air mani bukanlah najis dan menyebut pakaian yang terkena air mani tidaklah najis dan tidaklah menghalang kita dari mengunakannya untuk bersolat dan beribadah.

Apabila keluarnya air mani dari badan lelaki maka menjadi kewajipan ijmak bahawa dia perlu mandi mengangkat hadas besar sekiranya dia orang yang sihat dan mendapati air namun itu tidak menjadikan pakaian yang terkena air maninya itu sebagai najis . Hal ini berdalilkan kepada hadith dari riwayat Aisyah ra yang menyebut “ Aku mengikis mani dari pakaian rasulullah” (hadith sahih riwayat Muslim no. 288).

Bahkan terdapat tambahan dari hadith yang sama menyebutkan rasulullah bersolat dari pakaian yang terkena air maninya dan hanya dibersihkan dengan mengikisnya sebagai menjaga kebersihan. Tambahan lagi pada zaman rasulullah ramai sahabat yang tidur di masjid dan mereka kerap sahaja berihtilam (mimpi) dan hanya mandi dan bersolat dengan pakaian yang sama tanpa menyucikannya seandainya ianya najis nescaya rasulullah akan menyuruh supaya dibersihkan pakaian mereka (Majmuk Fatawa Ibn taimiyyah Jilid 21 m/s 604).

Penyelesaian : bagi pesakit lelaki yang keluar air mani mereka maka jika mereka mampu mengangkat hadas besar dengan mandi wajib maka perlulah mereka mandi dan jika tidak mampu maka cukup sahaja bertayamum lalu solat dengan pakaian yang ada kerana air mani tidak najis.


b) Alkohol atau seumpama dengannya dari jenis ubatan


Perihal sama ada alkohol atau arak apakah ianya najis atau bukan maka sebenarnya hal ini merupakan khilaf dan ana tidak berhasrat memperpanjangkan kalam dan perbincangan. Cukup ana nyatakan pendapat yang dipilih oleh ana dari hasil ijtihad ulamak ialah ianya tidak najis dan berkukuh di atas dalil seperti dari hadith Anas bin Malik ra dalam kisah pengharaman arak lihat dalam sahih bukhari no 2332 dan Muslim no 1980.

Pendapat ini juga dipegang oleh para ulamak seperti Imam Rabiah (guru Imam Malik) dan Laits serta dirajihkan oleh Imam As-Syaukani (ulamak yaman) dan San’ani (pengarang kitab Subulusalam).


c) Darah manusia akibat luka dan lain-lain selain dari darah haid

Darah manusia menurut pendapat para ulamak fiqhiyah seperti dari hasil luka dan cedera ramai yang mengatakan ianya najis namun hujah mereka tidaklah kuat melainkan hanya benar bahawa ianya haram diminum namun apakah ianya najis dan mengotorkan sesungguhnya menurut pendapat yang rajih ianya bukanlah najis.

Pendapat mengatakan darah bukanlah najis dipegang oleh ulamak seperti Imam Syaukani ra dan lain-lain ulamak terkini disebabkan menolak pendapat jumhur kerana kelemahan hujah jumhur.

Asal sesuatu itu ialah kekal hukum awalnya seperti kekalnya darah sebagai suci sehingga datangnya dalil yang jelas mengatakan ianya najis. Sesungguhnya tidak pernah terdapat dalil yang sahih bahawa nabi Salallahualihiwasalam pernah memerintahkan menyucikan darah selain dari darah haid yang telah disepakati kenajisannya.

Selain itu para sahabat dan muslimin di zaman rasulullah sentiasa bersolat dengan darah yang mengalir dan menitis dari luka-luka mereka terutamanya ketika perang atau tidak. Bahkan sering mereka memakai pakaian yang dicemari dengan darah lantaran kekurangan pakaian.

Berkata Hasan ra : “Sesungguhnya para muslimin (di zaman sahabat) tetaplah bersolat dalam keadaan luka mereka” (Sahih Isnad dengan riwayat dari bukhari secara muallaq Jilid 1 m/s 336 dan disambung oleh Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih dalam al-fath Jilid 1 m/s 337).

Juga terdapat hadith dari seorang sahabat ansar yang solat dalam keadaan luka apabila bangun qiamullai lalu terkena panahan dari pihak musyrikin dan sahabat itu masih tetap solat sehinggalah dipanah sebanyak tiga kali lalu berhenti solat lantaran bimbangkan keselamatan nabi Salallahualihiwasalam (hadith sahih riwayat Bukhari secara muallaq m/s 336 Jilid 1 dan disambung sanadnya oleh Ahmad dan selainnya).

Juga terdapat dalil dari kisah pembunuhan Umar Ibn Khattab ra apabila diriwayatkan oleh Imam Malik ra dengan menyebut :
“ Solatnya Umar dalam keadaan mengalir darahnya” (Riwayat Sahih oleh Malik no. 82 dan Baihaqi no. 357 Jilid 1).

Bahkan darah haiwan yang boleh dimakan dagingnya juga disebut oleh para ulamak mujtahid sebagai suci dan tidak menajiskan seperti yang terdapat dalam dalil yang sahih dalam hadith Ibn Mas’ud ra dengan makna : “ Sesungguhnya nabi Salallahualihiwasalam bersolat di sisi ka’abah lalu datanglah Abu Jahal melempari baginda yang sedang bersolat dengan isi perut dan darah unta dan nabi Salallahualihiwasalam tetap meneruskan solatnya….” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 240 dan Muslim no. 1794).

Sekiranya darah unta itu tidak menjadi najis bagi membatalkan solat baginda maka apakah manusia yang lebih suci dari haiwan dan lebih mulia itu darahnya pula menjadi najis ?

Sedang baginda pernah bersabda : “ Maha Suci Allah sesungguhnya orang yang beriman itu tidak najis” (Hadith sahih diriwayatkan oleh jamaah).

d) Muntah pesakit

Disebut oleh Imam Ibn Taimiyyah dan Ibn Hazm dan diletakkan dalam fatwa mereka bahawa muntahan manusia itu tidaklah najis dan ini pendapat yang ringan dan bersesuai dengan orang yang sakit.

Selain kerana pendapat ini memudahkan, ianya tidaklah bersalahan apabila kita melihat hujah jumhur yang mengatakan ianya sebagai najis sangatlah lemah dan dalilnya tidak kuat. Adapun hadith yang diriwayatkan oleh Abi Darda ra bahawa : “ Sesungguhnya nabi salallahualaihiwasalam muntah lalu berbuka dan berwudhuk” (Hadith sahih riwayat Abu daud no. 2381 dan Tirmidzi no. 87 dan Ahmad).

Hadith ini membawa dalil menjadi sunnah berwudhuk selepas muntah dan tidak menjadi dalil bahawa ianya najis. Sekalipun pendapat mengatakan terbatalnya wudhuk kerana muntah ianya sama seperti buang angin (kentut) yang tidak najis tapi membatalkan wudhuk.

Air liur juga disebut sebagai bukan najis, terkadang sering terjadi kepada pesakit-pesakit yang kerap melelehkan air liur mereka akibat tidak dapat mengawalnya atau kerana banyaknya keluar air liur disebabkan oleh sakit pada mulut atau lain-lain maka ianya bukanlah najis.

Dari ummul Mukminah Aisyah ra : yang berkata : Aku meminum dari satu bekas air dan aku ketika itu haid lalu aku memberi kepada nabi salallahualaihiwasalam dan baginda meminum di tempat aku meletakkan bibirku di bekas minuman itu” (hadith Sahih riwayat Muslim).

Air liur ummul Mukminah Aisyah pasti tertinggal di bekas itu dan nabi langsung meminum di tempat yang sama dan ini selain menjadi sunnah kepada hubungan kasih sayang suami isteri ianya juga membawa hujah air liur itu tidak najis.


Menghilangkan najis pada pesakit

Menghilangkan najis itu ialah dengan membersihkan badan, pakaian dan tempat duduknya pesakit itu dari najis yang mengotorkan dan menghilangkan kesucian. Dalam hal ini sekali lagi mengulangi bahawa Islam itu tidak memberati pesakit dari menghilangkan najis melainkan sekadar yang termampu olehnya.

Firman Allah swt :

“Tidaklah Allah membebani seseorang melainkan sekadar apa yang termampu olehnya”
(Surah Al-Baqarah : 286).


a) Menghilangkan najis pada badan


Najis pada badan ialah akibat dari kencing, tahi , air mazi, air wadi, darah haid.

Bagi air kencing yang keluar dari pesakit atau tahi ianya dibersihkan dengan dibasuh dengan air jika mampu dan jika pesakit itu tidak dapat terkena air maka mencukupi sekadar menghilangkan air kencing itu mengunakan kain, tisu atau istinjak mengunakan batu atau peralatan yang kesat.


Pertamanya : hilangkan zat najis sekadar mampu dengan air dan sebaliknya jika tidak mampu dengan peralatan kesat seperti kain, tisu dan lain-lain.

Kedua : Bagi air madi dan wadi ianya ialah najis dan dibasuh dengan air akan zakarnya lalu berwudhuk jika mampu seperti sabda baginda : “ Dibasuh zakarnya dan berwudhuk” (Hadith sahih, bukhari no. 269 dan Muslim no. 303).

Sebaliknya jika tidak boleh terkena air maka cukup sekadar dibasuh dan disucikan dengan menyapu zakar dengan kain atau alatan kesat yang mampu menghilangkan air wadi atau mazi itu dan ditayamumkan dengan debu.

Perkara yang kebiasaan keluar dari faraj perempuan seperti cecair atau lembapan akibat dari peluh, atau pun mani suaminya yang masih berbaki dan keluar setelah beberapa lama dan ketika dan setelah ianya sudah mengangkat hadas besar maka para ulamak mengatakan ianya bukanlah najis.

Menjadi kebiasaan bagi perempuan mengeluarkan cecair tertentu dari farajnya maka selain kencing, mazi dan wadi dan haid maka ianya dimaafkan dan tidaklah menajiskan.

Adapun apabila yang keluar darinya ialah darah sakit (istihadah) maka ianya dibasuh (kemaluannya) seperti sabda baginda : “Maka basuhlah darimu akan darah itu dan solatlah” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 227 dan Muslim dan lain-lain).

Masalah :

Bagaimana hukum bagi pesakit yang pada badannya menghadapi masalah kesihatan seperti kencing tak tus iaitu kencingnya tidak berhenti menitis kerana akibat sakit atau zakarnya sudah tidak ketat dan terbuka sehingga menyebabkan terlelehnya air kencing sentiasa dari zakarnya ?

Jawapan : dalam hal ini maka pesakit itu cukup membersihkan zakarnya selepas kencing dengan air atau menyapu dengan alatan yang kesat sekiranya tidak mampu terkena air.

Adapun selepas itu apabila zakarnya masih lagi menitiskan air kencing maka ianya dimaafkan dan cukup baginya membalut zakarnya dengan kain atau apa-apa bagi mencegah dari lelehnya air kencingnya ke anggota badan yang lain.

Sekiranya tetap demikian keadaannya maka ianya dimaafkan dan tidaklah menjadi kesusahan baginya untuk beribadah seperti solat dan sebagainya.

Sabda baginda : “ Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan manusia dan bukan untuk mempersusahkan” (hadith sahih, Riwayat jamaah kecuali Muslim).


Demikianlah juga bahawa sekiranya seseorang pesakit itu tidak dapat terkena air maka cukup sahaja menghilangkan najis dari badannya dengan alatan yang kesat seperti batu atau kain atau tisu yang seumpama dengannya.

Sesungguhnya penyucian itu tidaklah terhad hanya dengan air dan ini merupakan pendapat Imam Ibn taimiyyah ra , Ibn hazm dan pendapat lama Imam Syafie dan mazhab Abu Hanifah ra.

Sungguhpun pendapat jumhur ialah penyucian itu hanya berlaku dengan air namun pendapat itu tidaklah terputus (jazam/ Qat’ie) sebaliknya masih punya ruang kelonggaran khususnya kepada golongan sakit.

Hujah yang dipilih oleh Imam Ibn taimiyyah inilah yang paling tepat kerana berdalilkan hadith baginda yang bersabda : “Jika kamu hendak membuang air (baik kecil atau besar) maka hendaklah menggunakan tiga ketul batu kerana ianya menghilangkan najis” (Hadith hasan riwayat Abu daud no. 40 dan nasaie, Ahmad).

Walaubagaimanapun disyaratkan untuk menyucikan najis apabila mengunakan alatan selain air itu sebanyak tiga kali berdasarkan sabda baginda : “Jika kamu bersuci dengan batu (istijmar) hendaklah sebanyak tiga kali” ( hadith Sahih, riwayat Ahmad dan Ibn Abi Syaibah dan Ibn Khuzaimah).

Dan dilakukan dengan mengunakan tiga ketul batu yang berlainan dan jika alatan selain batu seperti kain maka hendaklah digunakan sebanyak 3 helai atau digunakan dari penjuru atau bahagian yang berbeza sebanyak tiga kali. Ini berdasarkan sabda baginda : “Tidaklah beristinjak (menghilangkan najis) bagi kamu melainkan dengan menggunakan tiga ketul batu” (hadith sahih, riwayat Muslim no. 262 dan nasaie dan tirmidzi, Abu daud).


Jika penyucian dengan batu itu dibenarkan maka apakah pula halangannya mengunakan alatan kesat seperti tisu, kain yang lebih baik dari batu sebagai menganti air bagi mereka yang tidak dapat terkena air ? Kaedah fiqhiyah menyebut “ Kesusahan itu akan mendatangkan kemudahan” dan “ Mudharat itu membolehkan apa yang dilarang” (lihat Al-Wajiz fi Qawaaid fiqhiyah m/s 67 oleh Dr. Abd Karim Zaidan).

Menghilangkan najis dengan alatan kesat selain air maka hendaklah dihati-hati supaya tidak mengunakan alatan yang mulia seperti kertas yang bertulis nama Allah swt, ayat Al-Qur’an atau mengunakan makanan atau dari tulang binatang kerana disebut oleh sabda baginda : “Janganlah beristinjak dengan makanan atau dengan tulang kerana sesungguhnya ianya merupakan hidangan saudara kamu iaitu jin” (hadith sahih, riwayat Muslim no.682, tirmidzi dan Ahmad).

Demikianlah sehingga akhirnya jika sekalipun penyucian dengan mengunakan alatan kesat dan selain air itu tidak dapat dilakukan sebanyak tiga kali atau sebanyak tiga ketul batu atau tiga bahagian kain yang berbeza maka cukuplah dengan sekali.

Bahkan jika tetap tidak dapat dilakukan penyucian atau menghilangkan najis itu dari badan akibat dari terlalu teruk keadaan pesakit seperti berada dalam bilik kecemasan dan tidak dapat bergerak walau sedikit dan tidak dapat diusik badannya maka cukuplah dia beribadah dalam keadaannya walau tanpa menghilangkan najis atau berusaha semampunya menghilangkan najis dalam keadaan kemampuannya.


Firman Allah swt :

“Tidaklah Allah membebani seseorang melainkan sekadar apa yang termampu olehnya” (Surah Al-Baqarah : 286).


b) Menghilangkan najis pada pakaian


Pakaian yang dipakai hendaklah bersih dari najis seperti firman Allah swt :

“Dan pakaianmu (wahai Muahammad) bersihkanlah” (Al-Mudasir :4).

Menghilangkan najis bererti membasuh atau menyucikan pakaian yang dipakai agar hilang najisnya. Dalam hal ini pesakit mendapat kemudahan yang banyak.

Pesakit di hospital hari ini mudah menukar pakaian mereka apabila terkena najis dengan mengantikan pakaian mereka dengan pakaian lain yang bersih. Namun bagi yang tidak mampu menukar pakaian mereka maka cukup membersihkan pakaian mereka dengan membasuh atau menghilangkan najis darinya.

Pakaian yang terkena air kencing, darah haid, tahi, mazi dan wadi jika dapat dibersihkan dengan air maka hendaklah dilakukan. Caranya ialah seperti dalam riwayat Asma binti Abu Bakar ra yang menceritakan telah datang seorang wanita kepada baginda nabi salallahualaihiwasalam lalu bertanya : Wahai rasulullah bagaimana harus dibuat apabila pakaian salah seorang dari kami terkena darah haid ? Maka dijawab oleh baginda : “Gosokkan (meremas) ia lalu di gental-gentalkan kemudian dibasahkan dengan air dan kemudian solatlah dengan memakainya” (hadith sahih, dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim no. 291).

Demikian juga disebut mengenai air kencing akan sabda baginda : “Dibasuh bagi kencing perempuan dan dipercikkan air bagi kanak-kanak kecil lelaki yang menyusu” (Hadith hasan riwayat Abu Daud no. 376, nasaie dan Ibn majah).

Adapun juga mengenai air mazi dan wadi maka ianya dibersihkan seperti sabda baginda : “Cukuplah dengan kamu mengambil sedikit air lalu gosokkan pada pakaianmu yang dilihat terkena dengannya (mazi dan wadi)” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 210, Timidzi dan Ibn majah).

Pakaian yang terkena najis seperti di atas walaubagaimanapun sebenarnya mudah sahaja dicuci tetapi sekiranya wujud keadaan seperti pesakit dalam wad kecemasan dan tidak dapat bergerak banyak dan pakaiannya pun mustahil dapat diganti misalnya badannya penuh diikat dan dikelilingi wayar atau paip saluran darah dan apa-apa lagi maka cukuplah membersihkan sekadar yang termampu dengan menghilangkan najis secara zahir atau sekadar apa sahaja yang termampu tanpa memudharatkan dirinya.

Demikianlah juga sekali lagi apabila air tidak dapat digunakan untuk mencuci pakaiannya kerana pakaiannya itu tidak dapat ditanggalkan dari badannya dan mustahil pula air itu dapat mengenainya maka disapu sahaja dengan kain atau tisu atau alatan kesat yang lain dan jika itu pun mustahil dilakukan maka dibiarkan sahaja pakaiannya itu bernajis dan beribadahlah dia dengan keadaan yang semampunya kerana itulah kemudahan untuknya dari Allah swt.

Firman Allah swt :

“Tidaklah Allah membebani seseorang itu melainkan sekadar apa yang termampu olehnya” (Surah Al-Baqarah : 286).

c) Menghilangkan najis pada tempat ibadah

Tempat untuk melakukan ibadah mestikan bersih dan suci dari najis kerana Islam itu mementingkan kebersihan. Bagi pesakit, mereka sentiasa berada di atas katil lalu sekiranya katil itu merupakan tempat ibadah bagi mereka maka perlulah dipastikan ianya bersih dan suci.

Sekiranya mereka boleh beribadah di tempat yang bersih dan suci maka itu lebih baik dan tidak perlu memening kepala sebaliknya jika mereka berada di atas katil maka perlulah dipastikan katil mereka dibersihkan dan disucikan dari najis.

Kaedahnya ialah jika terdapat najis zahir seperti tahi, kencing maka ianya dibuang najis itu akan zatnya, lalu dibasuh dengan air seperti yang telah diberitahu sebelum ini. Adapun bagi lantai dan kawasan laluan yang bernajis maka cukup melakukan seperti yang berlaku dalam kisah kencingnya arab badwi dalam masjid di zaman baginda rasulullah dengan perintahnya supaya mencurahkan air di tempat kencing arab badwi tersebut (lihat hadith Bukhari no. 219 dan Muslim no. 284).


Masalah Menyucikan Diri

Penyucian diri secara hukum ialah dengan mengangkat hadas baik kecil atau besar bagi membolehkan melaksanakan ibadah tertentu yang disyaratkan oleh syariat untuk bersuci terlebih dahulu seperti solat.

Bersuci secara hukum berlaku setelah menghilangkan najis terlebih dahulu dari badan, pakaian dan tempat dan ianya bermakna berwudhuk bagi yang berhadas kecil atau mandi wajib bagi yang berhadas besar.


Wudhuk

Wudhuk itu bermaksud : Mengunakan air bagi menyapu bahagian tertentu pada badan yang diperintahkan atau meletakkan air pada bahagian yang disyariatkan (lihat Fiqh Manhaji Ala Mazhab Syafie m/s 53 Jilid 1).

Firman Allah swt :

“ Wahai orang-orang yang beriman jika kamu hendak menunaikan solat maka hendaklah membasuh muka kamu dan kedua tangan kamu sehingga ke siku dan menyapu kepala kamu serta kaki kamu sehingga ke buku lali” (Surah Al-Maidah : 6).

Sesungguhnya berwudhuk itu ialah wajib bagi yang hendak menunaikan solat dan menjadi sunat bagi ibadah lainnya yang tidak diminta supaya berwudhuk. Sabda baginda Salallahualihiwasalam :
Tidaklah diterima solat orang yang berhadas tanpa berwudhuk” (hadith sahih riwayat bukhari no. 135 dan muslim no. 225).


Berwudhuk itu ialah dengan mengunakan air yang suci dan melakukan seperti berikut :

a) Berniat di dalam hati untuk bersuci tanpa perlu mengucap di lisan

b) Membasuh seluruh muka dengan memastikan termasuk berkumur pada mulut dan memastikan terkena air di celah janggut.
c) Membasuh dua tangan sehingga ke siku dengan memastikan air mengalir dicelah jari dan kuku.

d) Menyapu kepala dengan memastikan air mengenai kepala dan sampai disapu seluruh kepala sambil diurut air yang ada ke telinga dengan pendapat yang sahih yang dipegang oleh Imam Malik, Ahmad dan Ibn taimiyyah dan adapun menurut Imam Syafie, Abu hanifah ialah cukup sekadar menyapu sebahagian dari kepala walaupun hanya dari tiga helai rambut dan pendapat ini kurang kuat.

e) Menyapu air ke kaki dan meratakan air serta menyampaikan air ke celah-celah jari dan kuku sambil melebihkan bahagian air sehingga kena buku ali.

f) Tertib dengan mendahulukan apa yang diperintahkan menurut turutan yang sahih.

Perkara yang membatalkan wudhuk :

a) keluarnya najis, baik tahi atau air kencing dari kemaluan depan dan belakang.

b) Keluarnya angin (kentut) dari kemaluan belakang

c) Keluarnya mazi dan wadi

d) Tidur dengan tidak tetap punggungnya di bawah

e) Hilang akal

f) Murtad keluar dari Islam

g) Menyentuh zakar atau faraj dengan sengaja

Perkara yang tidak membatalkan wudhuk

a) Menyentuh perempuan bagi lelaki dan menyentuh lelaki bagi perempuan baik suami isteri atau bukan selagi tanpa syahwat

Dalilnya : terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra bahawa beliau pernah terbangun dari tidur dan menyentuh rasulullah yang sedang solat dan baginda tetap meneruskan solatnya ( hadith sahih riwayat Muslim no. 222, Abu daud dan Tirmidzi).

Diriwayatkan dari Aisyah ra berkata bahawa : “Sesungguhnya nabi salallahualaihiwasalam mencium isterinya lalu keluar untuk solat tanpa berwudhuk” (hadith Sahih riwayat Abu daud no. 178, Nasaie dan Daruquthni).

b) Was-was apakah kentut atau tidak

Dalilnya : dari riwayat Abdullah ibn Zaid ra bahawa baginda bersabda : “Janganlah kamu keluar dari masjid (untuk berwudhuk) sehinggalah kamu mendengar bunyi atau mencium bau” (hadith sahih riwayat Muslim).

c) Keluarnya darah

d) Tidur dengan tetap punggung

Dalilnya : diriwayatkan oleh dari Qatadah ra bahawa Anas ra pernah menyebut : “Sesungguhnya para sahabat rasulullah tidur dan kemudiannya bangun lalu bersolat tanpa memperbaharui wudhuk” (hadith sahih riwayat Muslim no. 376 dan Tirmidzi ).

e) Muntah

f) Keluarnya kahak atau batuk

g) Menyentuh dubur (punggung sendiri atau isteri)

Dalilnya : punggung tidaklah sama dengan faraj atau zakar kerana tidak disebut dalam hadith sedang mengenai zakar dan faraj disebut secara jelas dan jika ianya membatalkan wudhuk pasti disebut oleh baginda.

h) Menyentuh zakar atau faraj tanpa sengaja

Berdalilkan firman Allah swt :
“ Dan tidaklah bagi kamu dosa dalam apa yang kamu tersilap tetapi dosa bagi yang sengaja dengan niat di hatinya” (Surah Al-Ahzab : 5).

Dari Thalq bin Ali ra mengisahkan bahawa mengenai seorang lelaki bertanya nabi salallahualaihiwasalam mengenai hukum menyentuh zakar apakah ianya membatalkan wudhuk maka baginda pun bersabda : “Bukankah ianya sebahagian dari-mu (iaitu tidak perlu berwudhuk)” (hadith sahih riwayat Abu daud no. 182 dan Ahmad).

Para ulamak menerangkan bahawa hukum di atas hanya berlaku dengan tidak sengaja demikianlah yang dimaksudkan dalam hadith di atas kerana dalam hadith yang lain baginda menyebut : “Barangsiapa yang menyentuh zakarnya maka hendaklah berwudhuk” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 181 dan nasaie).

Dan dari riwayat Umm Habibah ra bahawa baginda bersabda : “ Barangsiapa yang menyentuh farajnya maka hendaklah berwudhuk” (hadith sahih riwayat Ibn Majah no. 481 dan Abu Ya’la dan Baihaqi).


Bagi golongan yang sakit maka mereka diberi beberapa kelonggaran dalam masalah wudhuk.

1) Golongan yang boleh menggunakan air

Pesakit yang boleh menggunakan air, maka mereka wajib menghilangkan najis dengan air dan perlu pula menyucikan diri baik wudhuk atau mandi wajib dengan air.

Cumanya keadaan mereka dalam hal wudhuk itu diberi kelonggaran iaitu dibolehkan untuk mereka dibantu oleh orang lain dalam berwudhuk. Bahkan jika seorang isteri membantu suaminya dalam berwudhuk seperti membasuh muka, tangan, kepala dan kaki suaminya dalam berwudhuk maka hukumnya harus dan dibolehkan dan begitulah pula sebaliknya.

Dalilnya terdapat pada hadith riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra yang menyebut : “Aku pernah mandi bersama rasulullah salallahualaihiwasalam dalam satu bekas dan kami junub (yakni mandi wajib)” (hadith sahih, riwayat Abu Daud no. 77).

Juga dalam hadith dari Umm Subaiyah ra yang menyebut :
“ Tanganku dan tangan rasulullah berwudhuk dalam satu bekas yang sama” (hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 78) dalam maksud yang lain ialah bersentuhnya tangan baginda dengan beliau.

Dari hadith di atas menunjukkan tidak menjadi halangan bahawa suami isteri itu tidak boleh bersama-sama dalam menyucikan diri bahkan seperti yang disebut sebelumnya sentuhnya lelaki perempuan itu tidak membatalkan wudhuk.

Masalah seterusnya yang muncul apakah pula hukum air yang disentuh oleh seseorang lalu diwudhukkan kepada pesakit itu ? Apakah ianya musta’mal ?

Sekalipun air yang digunakan itu ialah air musta’mal (sudah digunakan) atau bercampur atau air yang merupakan dari bekas wudhuk maka ianya harus digunakan untuk bersuci.

Air musta’mal itu suci dan menyucikan seperti air mutlak dan inilah pendapat yang rajih dan tepat seperti yang dipegang oleh Khalifah Ali ibn Abi talib ra, Ibn umar ra dan Abi Umamah ra, dan sebahagian besar dari para salaf serta dipegang oleh mazhab Maliki dan merupakan sebahagian dari riwayat dari Imam Syafie sendiri dan Imam Ahmad serta merupakan pegangan mazhab Ibn hazm dan Ibn Munzir dan dirajihkan oleh Syeikh Islam ibn Taimiyyah (Al-Mughni m/s 31 Jilid 1, Al-Muhalla m/s 183 Jilid 1, Majmuk Fatawa m/s 519 Jilid 20).

Pendapat mengenai bolehnya mengunakan air mus’tamal untuk berwudhuk dan bersuci ialah berdasarkan banyak hujah dan dalil seperti dari hadith Ar-Rabi’ binti Muadz dalam mensifatkan wudhuk rasulullah salallahualaihiwasalam dengan menyebut “ Dan baginda menyapu kepalanya dengan baki air yang terdapat di tangan baginda” (hadith hasan riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Berkata Ibn Munzir dalam Al-Ausath m/s 288 Jilid 1 bahawa telah ijmak ahli ilmu dan ulamak salaf seperti Ali Ibn thalib ra, Ibn Umar ra dan Abi Umamah ra dan Atho serta Hasan dan Makhul dan Nakhaie’ bahawa mereka menyatakan apabila seseorang itu terlupa menyapu kepalanya ketika berwudhuk dan jika mendapati pada janggutnya air lebihan wudhuk maka mencukupi dengan menyapu kepalanya dengan air itu.

Sesungguhnya bercampurnya air mutlak itu dengan sesuatu yang suci yang sekalipun tidak dapat dipisahkan tidaklah menghalang kita untuk bersuci dengannya ini disebabkan oleh wujudnya dalil dari hadith Umm Hani ra bahawa “ Sesungguhnya rasulullah salallahualaihiwasalam mandi dengan Maimunah bersama dalam satu bekas yang pada airnya bercampur dengan tepung” (hadith Sahih diriwayatkan oleh An-Nasaie no. 240 dan Ibn Majah no.378).

Jika air yang sudah bercampur dengan tepung masih digunakan oleh rasulullah untuk mandi maka apakah kita dapat mengatakan air yang hanya bercampur dengan air yang sudah digunakan untuk wudhuknya manusia yang beriman yang jelas disebut oleh rasulullah bahawa orang yang beriman itu bukan najis maka sebagai najis ?

Sabda baginda : “ Maha Suci Allah sesungguhnya orang yang beriman itu tidak najis” (Hadith sahih diriwayatkan oleh jamaah).

Sesungguhnya Allah swt telah menyebut :

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Mengenai pesakit yang boleh mengunakan air namun anggota wudhuknya tidak ada akibat cacat atau hilang akibat kemalangan seperti tangan yang kudung maka berikut ialah keadaannya :

a) Tangan yang kudung dari bahu ke bawah atau dari atas siku ke bawah maka dirinya digugurkan dari membasuh tangannya. Demikian juga dengan kaki jika kudungnya itu di atas dari buku lali.

Hal ini berdalilkan kepada kaedah fiqhiyah yang disebut oleh para fuqaha اذا سقط الأصل سقط الفرع “Jika gugur asal sesuatu maka gugurlah juga cabangnya” (lihat Qawaid Fiqhiyah oleh Syeikh Dr. Abd Karim Zaidan m/s 114).

Kewajipan membasuh tangan dan anggota wudhuk itu ialah jika asalnya iaitu anggota itu wujud dan jika sudah tiada maka cabangnya (hukumnya) pun turut tiada.

b) Tangan yang kudung dari bahagian bawah siku maka dirinya wajib membasuh apa yang baki dari bawah siku seperti kudung pergelangan tangan maka wajib membasuh lengannya yang masih ada. Demikian juga dengan kaki wajib dibasuh jika kudungnya di bawah buku lali, dibasuh apa yang baki.

Hal ini berdalilkan kepada hujah yang juga dari kaedah fiqhiyah yang menyebut الأصل بقأء ما كان على ما كان “ Asal sesuatu itu kekal seperti mana keadaan asalnya” (lihat Qawaid Fiqhiyah oleh Syeikh Dr. Abd Karim Zaidan m/s 39).

Disebabkan kewajipan berwudhuk itu ialah dari bahagian siku ke bawah maka jika berbaki anggotanya maka hukum membasuhnya wajib kerana menjadi kekal hukumnya seperti awal kerana masih wujud bahagian asalnya.


2) Golongan yang tidak boleh mengunakan air

Bagi golongan yang tidak boleh menggunakan air maka bagi mereka diberi kelonggaran untuk bertayamum.

Firman Allah swt :

“ Barangsiapa yang tidak mendapati air maka hendaklah bertayammum dengan debu yang bersih” (Al-maidah: 6).

Tayammum dari sudut makna ialah : perbuatan yang berniat untuk mengangkat hadas bagi mengantikan apa yang dibolehkan bagi wudhuk dan mandi wajib (lihat sahih fiqh sunnah m/s 188 Jilid 1).

Cara melakukan tayammum ialah dengan :

a) Menepuk tangan pada debu tanah yang bersih di sekitar
b) Menyapu pada seluruh muka
c) Menyapu pada tangan dari bawah siku keseluruhan
d) Tertib
Tayammum hanya dibolehkan apabila ketiadaan air atau disebabkan pesakit itu tidak dapat menggunakan air akibat nasihat doktor kerana membahayakan kesihatan.

Apabila seseorang itu hanya boleh berwudhuk dengan air sekadar anggota tertentu sahaja dan baki anggota yang lain seperti kaki tidak dapat dikenakan air maka apakah diwudhuk terlebih dahulu setakat yang mampu kemudian bertayammum atau bertayamum sahaja dari awal?

Jawapan :

Dalam hal ini diberi dua pendapat :

a) Berwudhuk setakat apa yang mampu dari awal sehingga apabila sampai ke anggota yang tidak boleh dikenakan air maka kemudiannya dia bertayamum. Ini ialah pendapat yang dipegang oleh Imam Ahmad dan syafie dan ibn Hazm ini kerana berdasarkan hujah:

Firman Allah swt :
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (surah : at-taghabun :16).

Dan sabda baginda salallahualaihiwasalam : “ Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu urusan maka hendaklah kamu memenuhinya semampu kamu” (hadith sahih, riwayat bukhari dan Muslim no. 3199).

b) Manakala pendapat kedua pula ialah cukup sekadar bertayammum dengan debu tanah dari awal tanpa perlu berwudhuk kerana jika berwudhuk pun bukannya akan sempurna disebabkan adanya anggota yang tidak boleh terkena air dan inilah pendapat Abu hanifah, Malik dan jumhur dari salaf.

Pendapat ini berdasarkan hujah :

Dan tidaklah bagi orang yang buta itu akan kesusahan dan bagi mereka yang cacat dan mereka yang sakit” (An-Nur : 61).

Selain dari itu menurut ibn Munzir ra bahawa tidak wujud berkumpulnya air dengan tayammum dalam satu masa kerana datangnya tayammum itu sebagai rukhsoh dan menafikan wudhuk.

Dalam hal ini diberi kelonggaran kepada pesaki memilih pendapat yang disukainya kerana kedua-duanya benar dan berhujah yang kukuh dan di sini pengarang merajihkan pendapat yang pertama iaitu berwudhuk terlebih dahulu kemudian bertayamum namun jika ianya menyusahkan maka cukup sahaja bertayamum kerana sabda baginda : “Sesungguhnya agama ini ialah mudah dan tidaklah yang (sengaja) menyusahkan dirinya dalam hal agama ini melainkan dia akan dikalahkan (tidak mampu)” (hadith sahih riwayat bukhari syarah ibn hajar jilid 1 m/s 93).


3) Golongan yang tidak boleh bergerak bagi berwudhuk

Manakala bagi golongan yang tidak boleh bergerak bagi berwudhuk sedangkan dia boleh mengunakan air maka cukup sahaja dibawakan air kepadanya lalu berwudhuk atau dia boleh bertayamum sahaja jika tempat wudhuk itu terlalu jauh dan tidak mampu sampai olehnya dan tiada pula orang yang dapat membantunya untuk berwudhuk maka tidak mengapa bertayamum sahaja.

Ataupun wujud dalam kejarangan, orang sakit yang langsung tak boleh bergerak baik tayamum atau baik wudhuk kerana dirinya diikat oleh doktor dengan seribu macam wayar dan saluran paip dan dirinya sendiri lemah untuk mengerakkan badan maka cukup sahaja dia itu diwudhukkan oleh orang lain atau dia ditayamumkan oleh orang lain.

Sekalipun perempuan yang bertayamumkan kepadanya atau orang yang kafir maka hukumnya tetap sah dan dibolehkan. Adapun jika tiada sesiapa yang berada di sisinya dan tidak dapat membantunya maka cukuplah dia bersolat sahaja walau tanpa wudhuk dan tayamum dan solatnya itu sah di sisi Allah swt dengan keadaannya.

Firman Allah swt :

“Tidaklah Allah membebani seseorang itu melainkan sekadar apa yang termampu olehnya” (Surah Al-Baqarah : 286).


4) Golongan yang sentiasa berada dalam keadaan najis dan hadas

Bagi golongan yang sentiasa berada dalam keadaan hadas kerana badannya sudah serabut oleh sakit dan tidak lagi dapat dikawal seperti kencing keluar tanpa henti, atau keluar najis setiap masa seolah badannya itu sudah tidak berfungsi lagi maka hukumnya ialah dia berwudhuk atau bertayamum mengikut kemampuannya pada setiap kali ingin bersolat atau beribadah dan lakukanlah ibadah itu selepas setiap kali selesai wuhduk atau tayamum walaupun selepas itu kencingnya masih menitis atau najisnya masih keluar kerana dia tidak dibebani dengan apa yang dia tidak kuasai.

Firman Allah swt :

“Tidaklah Allah membebani seseorang itu melainkan sekadar apa yang termampu olehnya” (Surah Al-Baqarah : 286).

Cumanya sebagai langkah berjaga-jaga dan usaha dia perlulah menutup kemaluannya atau mengikat kemaluannya dengan kain atau lubang najisnya semasa hendak ibadah jika mampu sekurangnya biarlah sewaktu ibadah itu dapat ditahan sedikit keluar najisnya dan jika tidak mampu maka biarkanlah sahaja keadaannya begitu.

Firman Allah swt :
“Allah mengehendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mengingini kesusahan bagi kamu” (surah Al-baqarah : 286).

“ Dan tidaklah dijadikan pada agama ini sesuatu yang menyusahkan” (Surah Al-hajj: 78).


Sesungguhnya tayammum itu haruslah dilakukan setiap kali hendak melakukan solat dan ianya tidak kekal dan lama seperti wudhuk sebaliknya ianya perlu diulang setiap kali waktu solat.

Mengenai tayammum maka segala jenis tanah dapat dijadikan sebagai bahan tayammum ini kerana berdasarkan hujah : sabda baginda salallahualaihiwasalam : “Dijadikan Allah kepada aku akan tanah itu sebagai tempat solat dan menyucikan” (yakni untuk tayammum)” (hadith sahih riwayat muslim no. 522 dan lain-lain).

Dan juga disebut oleh baginda : “Dijadikan tanah itu seluruhnya untuk aku dan untuk umatku sebagai tempat solat dan menyucikan (tayammum)..” (hadith hasan riwayat Ibn Hibban, daruquthni dan lain-lain).

Juga disebut oleh sesetengah pendapat bahawa solat dengan tayammum itu perlu diulang semula setelah berjumpa air bagi yang bertayammum kerana tiada air dan bagi yang sembuh dari sakit apabila solatnya dengan tayammum itu kerana kesakitan atau tidak boleh kena air. Maka di sini pengarang merajihkan pendapat sebaliknya iaitu solat dengan tayammum tidak perlu diulang semula dan ianya sah dan sempurna.

Sebenarnya inilah pendapat yang dipegang oleh imam Syafie dan Ahmad dan ibn hazm serta dipilih oleh Imam Ibn taimiyyah. Pendapat ini menepati seruan Allah swt :

Firman Allah swt :
“Allah mengehendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mengingini kesusahan bagi kamu” (surah Al-baqarah : 286).

“Tidaklah Allah membebani seseorang itu melainkan sekadar apa yang termampu olehnya” (Surah Al-Baqarah : 286).

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (surah : at-taghabun :16).

Dan sabda baginda salallahualaihiwasalam : “ Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu urusan maka hendaklah kamu memenuhinya semampu kamu” (hadith sahih, riwayat bukhari dan Muslim no. 3199).

Maka ketika tiada air atau tidak dapat menggunakan air maka kerana itulah Islam memberikan rukhsoh (kelonggaran) untuk bertayammum. Lalu jika sesuatu ibadah itu perlu diulang semula maka di manakah kelonggaran itu atau rukhsohnya ? Apakah Allah swt menurunkan firmannya seperti

“ Apabila kamu tidak menemui air maka bertayammumlah dengan debu tanah yang suci..” (Surah Al-maidah : 43)

Ini sebagai sia-sia dan hanya melepaskan batuk di tangga sekadar untuk menjadi satu amalan yang tidak sampai mensahkan ibadah itu sehingga perlu diulang semula ? maka pendapat yang tidak perlu diulang semula itulah yang paling rajih dan tepat.
bersambung insyaAllah....