Sebagai bapa, saya berharap sistem pendidikan di negara kita dapat ditukar dan diubah-suai demi kemaslahatan ummah.
Sistem peperiksaan yang sedia ada tidak menyerlahkan potensi sebenar
pelajar dan hanya berfungsi menghasilkan mesin berbanding insan yang
kamil.
# Peperiksaan hari ini ibarat menyuruh kucing, monyet, ikan dan penyu supaya memanjat pokok.
-Lalu sesiapa yang dapat memanjatnya akan dianggap hero, wira dan orang
yang bijaksana sedangkan ianya ternyata berat sebelah dan tidak
menepati potensi sebenar setiap orang. Ikan kemahirannya di dalam air
Penyu kebolehannya hidup lama kucing walau dapat memanjat namun
menangkap tikus ialah potensinya
-Untunglah kera dan monyet sedang yang lain tersia-sia bakat semulajadinya.
Justeru adalah dicadangkan supaya;
1. Pendidikan untuk kanak-kanak berusia seawal 6 sehingga12 tahun
adalah bermotifkan untuk mencungkil bakat semula-jadi dan mengenali
potensi anak-anak.
Berteraskan polisi ;
"Setiap anak-anak adalah istimewa"
* Bukannya menghukum, mengadili atau menentukan nasib mereka sebagai
pandai, bodoh, tiada harapan dengan hanya sekadar 'result' peperiksaan
UPSR dan peperiksaan awal dan akhir tahun. Bahkan ada sekolah yang
menganggap pelajar kurang cemerlang dalam akademik atau subjek tertentu
sebagai sampah dan bebanan kerana menjejaskan status dan rekod sekolah.
Sedangkan mungkin budak itu tidak pandai dalam subjek akademik, tetapi
kepandaian sebenarnya adalah pada seni dan kemahiran lain. Mungkin dia
genius dalam bidang rekaan fesyen, juruukir, pelukis terbilang, sastera
dan seumpamanya.
Jika dipaksa 'Shakespeare' menjadi ahli
matematik, dunia tidak akan mengenal karya-karya seninya. Jika disuruh
'Albert Einstein' menjadi ahli sastera dan penyanyi akan tiadalah
sumbangan fiziknya.
Namun sistem pendidikan kita telah membunuh
bakat, potensi kanak-kanak yang mungkin tersimpan pelbagai kebolehan
semula-jadi ciptaan Tuhan.
Sekolah Rendah sepatutnya ialah
institusi mencungkil bakat, bukan penentu cerdik pandai tetapi pusat
meneroka potensi anak-anak sehingga dapat membantu ibubapa membuat
pilihan yang baik terhadap bidang pendidikan lanjutan yang sepatutnya
diambil oleh kanak-kanak tersebut.
2. Sistem pendidikan sekolah
menengah pula adalah merupakan pendidikan yang diberi dengan menurut
kesesuaian bakat atau potensi yang paling menonjol yang dimiliki oleh
seseorang kanak-kanak.
Jika 'Sekolah Rendah' berperanan
mencungkil bakat dan meneroka potensi anak-anak, sekolah 'Menengah' pula
berperanan menjadi pusat asuhan bakat dan membina kemahiran hidup yang
lain serta melengkapkan anak-anak dengan kebolehan-kebolehan sampingan
yang membantunya menonjolkan bakat sebenarnya atau potensinya yang
paling utama.
Polisi sekolah menengah sepatutnya ialah ;
Perkembangkan bakat dan potensi anak-anak ke tahap maksimum
Contohnya, jika bakat anak-anak ialah pada Matematik, maka di sekolah
Menengah, disamping memperkembangkan bakat dan potensi anak-anak itu
dalam bidang matematik maka kita juga turut memberi mereka
kemahiran-kemahiran lain yang dapat meng'optimum'kan potensinya.
Pasangan yang sesuai bagi matematik mungkin ialah bidang bahasa, supaya
dia boleh berkomunikasi dengan baik untuk mengembangkan kepakarannya
dalam matematik atau kepandaian IT dan komputer.
3. Seterusnya
ialah pusat pengajian tinggi seperti universiti dan kolej-kolej yang
berperanan melengkapkan anak-anak atau pelajar dengan keperluan dunia
pekerjaan dan memberikan persediaan kepada mereka untuk menghadapi
cabaran dalam bidang yang akan diceburi.
Jika anak tersebut
sejak kecil di sekolah rendah telah dikenal pasti akan bakatnya adalah
dalam bidang lukisan misalnya. Kemudian di sekolah menengah dia diasuh
dan dikembangkan kemahiran serta bakatnya disamping melengkapkan dirinya
dengan kemahiran-kemahiran lain yang membantu menonjolkan bakat
melukisnya ke tahap maksimum.
Kini di universiti, dia akan
mempelajari keperluan dunia semasa dan cabaran-cabaran yang perlu
ditempuhinya untuk menjadi seorang pelukis yang terkemuka di dunia.
Dengan itu, sistem pendidikan yang dilaksanakan akan dapat menghasilkan
tenaga sumber insan yang optimum dan bermanfaat kepada ummah. Setiap
pelajar adalah berguna, memiliki peranan dan tujuan masing-masing serta
bukannya 'drop out' atau 'gagal' seperti penilaian masyarakat hari ini.
Hari ini jika anak-anak gagal UPSR, dianggap pelajar lemah dan tidak
bijak. Gagal PMR atau PT 3 dianggap kurang berkemampuan dan tidak
cerdik. Gagal SPM atau mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan
maka akan dianggap tidak layak masuk universiti dan menjadi orang yang
berjaya.
Anak-anak ini pun menjadi 'mat rempit', penagih dadah
sedangkan bakat-bakat mereka sebenarnya mungkin ada yang berkebolehan
menjadi pelukis terkenal dunia, petani yang berjaya, peniaga yang
kaya-raya, pereka atau juru tukang yang mahir dan terkenal serta
pelbagai lagi.
Hanya kerana mereka bukan monyet yang boleh
memanjat pokok, masyarakat pun menghukum mereka sebagai gagal dengan
sistem pendidikan yang ada sekarang!
--------------------
Anak-anak semuanya adalah istimewa, jangan bazirkan sumber manusia
dengan menjadikan mereka 'monyet' sedangkan mereka itu sebenarnya
mungkin adalah ikan yang hebat di lautan dalam, burung yang terbang
tinggi di angkasa raya dan harimau yang gagah di dalam hutan belantara !
TUKAR !