Wednesday, March 10, 2021

Nama dan sifat Allah pada Nabi



Nama dan sifat Allah pada Nabi 
 
1. Menurut para ulama, ada dua nama Allah yang diberikan kepada Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam dan tidak diberi kepada sesiapa selain baginda. 
 
Ianya terdapat dalam firman Allah;
 
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ 
 
"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kalangan kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu’min.” (At-Taubah:128)
 
2. Ar-Ra’uf adalah salah satu daripada Asmaul Husna iaitu merupakan nama-nama Allah yang mempunyai nama Ar-Ra'uf yang ertinya ialah Maha Belas Kasihan dan Maha Pemberi yang Dermawan. 
 
Manakala Al-Rahim pula ialah penyayang iaitu sifat penyayang kepada hamba-hamba-Nya dengan kasih yang sangat mendalam dan penuh perhatian. 
 
3. Menurut Ibnu ‘Asyur rahimahullah (wafat 1393 H) kalimah rahim ialah kasih sayang yang mendorong untuk berbuat baik kepada pihak yang disayangi.
 
Kedua-dua nama dan sifat Allah ini disebut kepada Nabi Muhammad bagi mengambarkan ciri-ciri Islam dan sifat agama yang dibawa oleh dakwah Nabi salallahualaihiwassalam. 
 
Iaitu penuh belas kasihan dan kasih sayang.
 
4. Agama yang dibawa oleh Nabi ialah agama yang menghilangkan lapar, mengangkat kesusahan, menjadikan orang gembira dan tersenyum sebagai sedekah serta ibadah. 
 
Maka sesiapa atau organisasi apa pun yang mahu mewakili Islam tetapi tidak mempunyai ciri-ciri ini, maka ia bukanlah benar-benar daripada Islam. 
 
Pepatah Arab menyebut;
وكل يدعى وصلا بليلى
"Dan semua orang mengaku ada hubungan dengan Laila"
 
وليلى لا تقر لهم بذاك
"Sedangkan Laila sendiri tidak pernah pun mengakuinya..."

No comments: