Saturday, August 27, 2005

Wanita Islam Yang Bijak



Memahami perintah Allah dan seruan yang terkandung dalam Al-Qur'an dan sunnah tidaklah mudah apatah lagi mengutip hikmat yang tersimpan rahsia di dalamnya.



Selain memerlukan kepada ilmu dan pemahaman yang mendalam ianya juga memerlukan kepada kemahiran dan kebijaksanaan yang tinggi dan pendedahan kepada suasana sekeliling yang membantu.



Di dalam Islam wanita sebenarnya juga merupakan golongan yang pintar dan bijak dan diberi kemuliaan dalam Ilmu dan kedudukan.


Ini dibuktikan dengan banyak hujah antaranya ialah seperti apa yang diriwayatkan dari Shofiyah binti Syaibah ra berkata: “Ketika kami bersama Aisyah ra, beliau berkata: “Saya teringat akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Aisyah berkata: “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi Allah, saya tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab Allah dan lebih meyakini ayat-ayat-Nya melebihi wanita-wanita Anshar. Ketika turun kepada mereka ayat:
Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung ke dadanya.” (Q.S. An-Nur: 31).


Maka para suami segera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak wanita, saudara wanita dan kaum kerabatnya. Dan tidak seorang pun di antara wanita itu kecuali segera berdiri mengambil kain (tirai) dan menutupi kepala dan wajahnya, karena percaya dan iman kepada apa yang diturunkan Allah dalam kitab-Nya.

Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dengan kain penutup seakan-akan di atas kepalanya terdapat burung gagak.

"Sesungguhnya jawapan orang-orang muk’min, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka maka mereka menjawab :

“Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapatkan kemenangan.”
(Q.S. An-Nur: 51-52) .




Malangnya wanita hari ini kurang memahami isi kandungan al-qur'an kurang meneliti maknanya dan kurang sekali yang mengamalkan isi kandungannya. Kebijaksanaan itu ialah apabila cepat dapat memahami maksud dan segera mengamalkan tanpa tangguh terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah dan rasul.


Wanita Islam tidak banyak khayalnya atau rambangnya dalam sirah Islam, mereka menyedari bahawa matlamat hidup ialah untuk beribadah kepada Allah lalu mereka berlumba-lumba kepada kebaikan.

“Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).
Di antara kebaikan ialah menerima dan menyukai kebaikan serta berani melakukannya tanpa ragu-ragu.


Sayang sekali wanita yang baik dan dididik dengan suasana yang baik tidak menghargai peluang untuk menerima kebaikan dan sebaliknya bersikap ragu-ragu dan masih bertanya untuk apa kebaikan tersebut diberikan kepadanya.

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma 'ruf, mencegah dari yang munkar." (At-Taubah: 71).



Kehidupan manusia tidak lama, perlu dimanfaatkan dengan mencapai kebaikan supaya Allah memberkati hidup di dunia dan di akhirat.
w/s

Thursday, August 25, 2005

Doa Penghilang Sedih & Derita







Diriwayatkan dalam kitab ibn Sunni dari Abi Musa Al-Asya’ari ra bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

“Barangsiapa yang ditimpa kesedihan atau mengalami penderitaan maka berdoalah dengan kalimah ini dengan berkata :


اللَهُمَّ انِِّي عَبدُكَ , ابن عبدك , ابن أمتك , ناصيتي بيدك , ما ض في حكمك عدل في قضأؤك أسألك بكل اسم هو لك سميته به نفسك او أنزلته في كتابك أو علّمته احدا من خلقك أواستأثرت به في علم الغيب عندك أن تجعل القرآن ربيع قلبي ونور صدري و جلاءحزني و ذهاب همّي

Maka berkatalah seorang lelaki kepada baginda : Wahai rasulullah apakah kami dapat mengajarkan doa ini kepada yang tidak hadir di kalangan kami ? Maka bersabdalah baginda : “Bahkan sampaikanlah doa ini dan ajarkanlah mereka kerana sesungguhnya barangsiapa yang membaca doa ini maka nescayalah Allah akan menghilangkan derita sedihnya dan memberikan kegembiraan kepada dirinya” (hadith sahih riwayat Ahmad no 391 Jilid 1 dan Ibn Hibban no 972 dan Abu Ya’la dan Hakim).

Diriwayatkan dalam sahihain (kitab sahih bukhari dan Muslim) bahawa baginda rasulullah apabila ditimpa bala musibah akan membaca doa berikut :
" لا اله الا الله العظيم الحليم , لا اله الا الله رب العرش العظيم , لا اله الا الله رب السموات ورب الارض ورب العرش الكريم "

(hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).


اللهم رحمتك ارجو فلا تكلني الى نفسي طرفة عين وأصلح شاني كله لا اله الا أنت

(hadith hasan riwayat Abu Daud dan Ahmad).


Diriwayatkan oleh Anas bahawa baginda nabi salalallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Janganlah sesiapa di kalangan kamu yang mengharapkan kematian dari akibat derita kesusahan yang menimpanya sebaliknya jika sudah tidak mampu maka berdoalah Allahumma (ya Allah) hidupkanlah aku jika hidup itu lebih baik bagiku dan matikanlah aku jika mati itu lebih baik bagiku” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 5671 dan Muslim no. 2680).


" Dan berdoalah kamu kepada Aku(Allah) nescaya Aku(Allah) akan makbulkan" (Surah Al-Ghafir : 60).

Pesanan Buat Orang Bujang : Janganlah Engkau bersedih kerana dirimu Bujang


Pesanan Buat Orang Bujang : Janganlah Engkau bersedih kerana dirimu Bujang


Terdetik di hati ini ketika melalui beberapa friendster dan weblog rakan dan teman yang kini sudah bergelar suami dan isteri kepada orang serta tidak kurang yang bakal bergelar ibu dan ayah membuatkan hati ini terasa perlu memberi peringatan buat teman dan sahabat yang masih belum kesampaian dan belum berkemampuan.

Ukur baju di badan sendiri menjadi pembuka kata satu nasihat mulia dari ana bahawa orang yang bujang itu tetap mulia di sisi Islam. Artikel kali ini akan mengungkapkan kedudukan bujang dan keadaan mereka dalam Islam.

“Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa sedih kerana sesungguhnya kedudukan kamu lebih tinggi (mulia) jika kamu beriman” (Ali-Imran : 139).


Maksud Bujang

Bujang dalam bahasa arab disebut ( عزب ) iaitu bermaksud tidak mempunyai keluarga yang secara khusus jika lelaki disebut tidak mempunyai isteri dan perempuan yang tidak mempunyai suami (lihat Ibn Manzur dalam Lisan Arab m/s 224 Jilid 6).

Manakala dalam bahasa English disebut bujang sebagai single yang membawa erti tidak mempunyai ikatan atau komitmen dengan sesiapa dan masih belum berkahwin. Merujuk kepada takrifan yahoo dan MSN atau friendster serta tickle match.com, single bermakna belum mempunyai pasangan dan ikatan komitmen.

Bahkan bagi yang belum berkahwin atau belum bernikah itu pun mempunyai beberapa taraf iaitu :

a) In a relationship – Sudah menjumpai pasangan dan kini dalam hubungan secara tidak rasmi tetapi masing-masing sudah menjelaskan perasaan.
b) In a commitment – sedang dalam komitmen terhadap hubungan yang serius dan bakal membawa perkahwinan.

Dalam Islam kedudukan belum bernikah tetapi sudah mempunyai komitmen dan hubungan secara tidak rasmi dinamakan sebagai “kitbah” iaitu pertunangan dengan syarat hubungan itu memang berhasrat kepada perkahwinan bukan sekadar brsuka-suka.

“Tidaklah berdosa bagi kamu jika kamu meminang perempuan dengan kata sindiran atau kamu sembunyikan dalam hati kamu…” (Al-Baqarah : 235).

Kitbbah dibaca dengan mengkasrahkan ( خ ) “kha” membawa maksud usaha peminangan atau permintaan untuk pernikahan yang menjadi pemula kepada perkahwinan (lihat sahih fiqh sunnah m/s 107 Jilid 3).

Menurut mazhab syafie ra khitbah (pertunangan) ialah sunat yang dituntut (lihat raudatu talibin m/s 30 Jilid 7) dan ianya merupakan sunnah nabi salallahuaalihiwasalam seperti yang dilakukan oleh baginda rasul kepada isteri baginda iaitu Aisyah binti Abu Bakar ra dan Hafsah binti Umar ra (lihat hadith sahih riwayat bukhari no. 5081).

Para ulama’ mensyaratkan khitbah itu dilakukan dengan melalui walinya namun sebahagian yang lain membolehkan peminangan itu terus kepada pihak perempuan itu sendiri jika dia seorang permpuan yang berakal dan cerdik (Sahih Fiqh Sunnah m/s 109 Jilid 3).


Kembali kepada tajuk perbincangan kita iaitu perihal golongan bujang maka yang ingin ditujukan isi pesanan ini ialah kepada mereka yang masih belum beristeri dan masih belum berkhitbah, belum berkomitmen dengan mana-mana perempuan atau lelaki, belum mempunyai pasangan dan belum pun mempunyai teman istimewa baik dalam apa jua bahasa dan istilah baik arab, english atau parsi atau hindi.

Seperti kata syair :

Bujang ertinya engkau seorang
Bujang ertinya engkau tidak dikehendaki orang


Kedudukan Bujang Dalam Islam

Islam merupakan agama fitrah yang diturunkan oleh Allah swt bagi memenuhi fitrah manusia menurut syariat-Nya. Salah satu dari fitrah dan kehendak manusia ialah perkahwinan kerana manusia semuanya diciptakan dengan mempunyai fitrah berpasang-pasangan.

Sesungguhnya fitrah yang diciptakan Allah dan ditetapkan manusia dengannya (tertakluk kepada fitrah tersebut).”(Surah Ar-Rum :30).

“ Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah diciptakan bagi kamu dari diri kamu isteri-isteri supaya kamu bersenang-senang kepadanya..” (Ar-Rum : 21).

Pembujangan dalam Islam ialah salah satu perkara yang dibenci dan diharamkan bagi sesiapa yang mampu bernikah ini disebabkan baginda rasulullah pernah bersabda :

“Dan aku ini bernikah maka barangsiapa yang membenci sunnah aku maka dia bukanlah dari golongan aku” (hadith sahih riwayat Bukhari no 5063 dan Muslim no 1301 )

Islam mengalakkan pernikahan supaya dapat berkembang biaknya umat manusia melalui jalan yang halal dan menepati syariat sebagaimana sabda baginda :

“Bernikahlah perempuan yang subur dan melahirkan anak kerana aku berbangga dengan mempunyai umat yang ramai” (hadith sahih riwayat Abu Daud no 2050 dan Nasaie).

Dari riwayat Abu Zar ra bahawa baginda nabi pernah bersabda : “Dan pada kemaluan (persetubuhan) kamu itu sedekah” lalu baginda ditanya oleh sahabat, wahai rasulullah apakah seseorang yang memenuhi syahwatnya (dengan isteri) itu mendapat pahala ? maka dijawab oleh baginda : “Apakah kamu tidak melihat bahawa jika seseorang itu meletakkan syahwatnya pada yang haram itu satu dosa ? Maka demikianlah jika dia meletakkan syahwatnya pada yang halal maka baginya pahala” (hadith sahih riwayat Muslim no 1006 dan Abu Daud no 1286)

Sesungguhnya tidak adalah golongan yang membenci perkahwinan dan pernikahan melainkan dia telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri dan kepada agama Allah yang di datangkan dengan pertunjuk yang jelas.

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang melampaui batas” (Al-Maidah : 87).

Kembali kepada topik perbincangan, kita tidak mengalakkan pembujangan dan sesiapa yang mampu bernikah maka hendaklah dia berusaha menikah dan berkahwin namun tujuan penulisan ini demi memberikan semangat dan pemahaman kepada golongan bujang yang miskin, susah dan tidak mampu bernikah bahawa mereka juga merupakan sebahagian dari golongan yang mulia dan penting dalam Islam sekalipun mereka tidak mampu bernikah lantaran kesusahan, masalah dan kesempitan yang mereka hadapi dalam menunaikan ibadah nikah.


Wahai orang-orang yang bujang

Sesungguhnya Islam itu agama rahmat dan memahami keadaan umatnya dan sesungguhnya manusia sekarang sudah tidak menurut panduan syariat Al-Qur’an dan sunnah lalu terjadilah kalian sebahagian golongan yang tersisih dan terpinggir dalam kumpulan masyarakat.

Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan keadaan kamu dan dia Maha pengasih lagi Maha penyayang lalu Dia berpesan kepada kalian dengan firman-Nya :

“Dan orang-orang yang tidak mampu bernikah lantaran kesusahan maka mereka itu hendaklah memelihara kesucian mereka sehingga dikurniakan Allah dari kesenangan dari rahmat-Nya” (An-Nur : 33).

Di akhir zaman ini melaksanakan ibadah kepada Allah tidaklah mudah akibat jahil dan sesatnya umat dari pertunjuk kitab dan sunnah dan salah satu ibadah yang sukar dilaksanakan ialah nikah. Dewasa ini ramai pemuda dan pemudi Islam menghadapi masalah untuk bernikah akibat beberapa perkara :

a) Tidak mampu dari sudut kebendaan dan kewangan
b) Tidak mendapatkan calon yang sesuai
c) Tidak dikehendaki oleh orang lain akibat memiliki kekurangan, kecacatan atau kelemahan fizikal atau mental
d) Tidak mampu bernikah lantaran pernah kecewa dan putus cinta dan menghadapi tekanan jiwa
e) Mendapat tentangan dari keluarga dan dihalang dari bernikah

Golongan bujang yang tidak mampu bernikah disebabkan mempunyai masalah dan kesulitan dan kesusahan mereka ini mendapat perhatian dalam Islam dan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Islam memberikan pertolongan kepada golongan bujang yang tidak mampu bernikah kerana masalah kewangan dan kesusahan kebendaan dengan membenarkan mereka bernikah dengan hamba baik perempuan atau lelaki.

“Dan hamba perempuan yang mukminah itu lebih utama dan baik bagi kamu dari perempuan musyrik yang kafir walau dianya menarik perhatian kamu” ( Al-baqarah : 221).

Namun pada zaman sekarang sudah tidak ada lagi penghambaan namun sebenarnya masih banyak jalan Islam membantu antaranya ialah dengan membolehkan sedekah dan zakat diberikan kepada golongan yang ingin bernikah seperti yang dilakukan pada zaman Khalifah Umar Ibn Aziz ra dengan memberikan harta dan bantuan kepada lelaki dan perempuan yang tidak berkemampuan supaya dapat bernikah seperti dari riwayat Yahya ibn hamzah dari Sulaiman bin Daud dari Abdah ibn Abi Lubabah akan kisah ini.

Ini dibolehkan berdasarkan hadith dari Abu Hurairah ra yang dari baginda pernah bersabda : “Tiga golongan yang menjadi hak ke atas Allah untuk membantu mereka iaitu pejuang di jalan Allah, golongan yang berhutang yang ingin membayarkan hutang mereka dan golongan yang mengingini nikah demi menjaga kehormatan” (hadith hasan sahih riwayat tirmidzi, Ahmad dll).

Islam juga membolehkan bernikah dengan mahar yang murah dan rendah sehingga dibolehkan bernikah dengan hanya menggunakan mahar dari ayat-ayat suci Al-Qur’an. Seperti hadith yang diriwayatkan dari Sahl bin Said ra bahawa baginda menikahkan seorang sahabat dengan maskahwin dari ayat-ayat Al-Qur’an kerana sahabat tersebut terlalu susah tidak mempunyai apa-apa untuk dibuat sebagai maskahwin (lihat hadith sahih riwayat Bukhari no 5126 dan Muslim no 1425).

Juga Islam membolehkan nikah dengan mahar yang murah dan memudahkan dari ayat-ayat suci Al-Qur’an walau bagaimana pun pada hari ini para pemuda Islam dan pemudi tidak dapat bernikah kerana mereka kesempitan kewangan dan harta benda yang dierketatkan oleh keluarga dan adat setempat yang langsung jauh dari pertunjuk Islam lalu kesalahan bukan ke atas bujang sebaliknya ke atas masyarakat.

Para bujang menjadi mangsa keadaan dan kezaliman masyarakat lalu bukankah menjadi golongan yang dizalimi itu satu kemuliaan ?

“....Dan orang-orang yang sabar di atas kesusahan , kemelaratan dan ketika peperangan maka mereka itulah golongan yang benar dan mereka itulah golongan yang bertaqwa” (Al-Baqarah : 177).

Golongan bujang yang tidak dapat bernikah kerana tiada calon yang sesuai, tidak menjumpai pasangan yang serasi, tidak menemui pasangan kerana kecacatan atau kekurangan fizikal dan sebagainya sesungguhnya mereka tidaklah perlu merasa risau dan bimbang sebaliknya bersyukur kepada Allah swt dalam apa jua keadaan dan membanyakkan mendekat diri kepada Allah kerana dunia ini hanyalah sementara dan hidup manusia ialah demi Akhirat.

“Di antara kamu ada golongan yang menginginkan dunia dan ada pula golongan yang mengingini akhirat” (Ali-Imran : 152).



Kelebihan orang bujang yang tidak mampu bernikah


Golongan bujang yang tidak mampu bernikah dan terpaksa menahan dirinya dan menahan nafsunya akibat kesusahan yang di alaminya maka mereka ini dijanjikan oleh Allah swt dengan syurga dan ganjaran yang besar.

“Adapun golongan yang takut kepada kebesaran tuhan mereka maka mereka menahan hawa nafsunya (tidak menurut hawa nafsu) maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal mereka” (An-Na’ziaat: 40).

Sebenarnya tidaklah Islam menyebut kelebihan golongan yang bujang disebabkan bujang tidak digalakkan dalam Islam namun bagi mereka yang terpaksa hidup bujang maka melalui pemahaman terhadap sunnah dan syariat kita akan dapat melihat bahawa mereka ini sebenarnya mempunyai kelebihan dalam beberapa hal.

a) Golongan bujang tidak dibebani tanggungjawab terhadap keluarga kerana tidak mempunyai keluarga

Sesungguhnya tanggungjawab terhadap keluarga itu bukanlah sesuatu yang ringan, dengan mengabaikan tanggungjawab dapat menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka dan mendapat azab siksa.

“ Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari apa api neraka…” (At-Tahrim : 6).

Kita orang bujang tidak akan ditanyai tentang isteri dan anak-anak sebaliknya golongan yang berkahwin akan ditanyai tentang anak-anak mereka, isteri mereka dan lain-lain tanggungjwab.

“ Setiap dari kamu merupakan pemimpin dan setiap dari kamu akan ditanyai mengenai apa yang kamu pimpin” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 893 dan Muslim no. 1829).

Sesungguhnya golongan yang telah bernikah sekalipun mereka memang bahagia dari kita tetapi jika isteri mereka misalnya tidak menunaikan solat atau melakukan maksiat maka suami itu terpaksa menanggung dosa dan demikianlah bagi bapa terhadap anak-anak yang di dalam jagaannya.

b) Golongan bujang dapat mengunakan masa dan waktunya yang banyak terhadap ilmu, dakwah dan jihad memperjuangkan Islam

Sebagai golongan bujang yang tidak mempunyai anak dan isteri yang dapat melalaikan kita dalam beribadah maka kita mempunyai masa yang banyak yang dapat kita gunakan dalam ibadah, menuntut ilmu dan berjuang serta berdakwah di jalan Allah swt.

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta benda kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu dari mengingati Allah dan barangsiapa yang melaukan demikian maka mereka itulah golongan yang rugi” (Al-Munafiqun : 9).

Kita hidup sendiri, kita tidak diganggu oleh kanak-kanak dan kita tidak diganggu oleh kecantikan isteri yang melalaikan kita sekalipun di satu aspek kita menderita kerana tiada belaian kasih isteri dan tiada ketawa riang anak-anak menghibur hati namun kita dapat gunakan peluang ini untuk menambah ilmu dan beribadah kepada Allah untuk bekalan kita di hari akhirat kelak.


c) Golongan bujang lebih dekat kepada Allah swt kerana tidak mudah dilalaikan oleh dunia dan kesedihan dan penderitaannya membantu mendekatkan dirinya kepada Allah

Disebabkan kita kurang dilalaikan oleh anak-anak dan isteri serta dunia dan kita pula merupakan golongan yang dizalimi oleh keadaan, sering merasa sedih dan kecewa, merasa derita maka kita akan lebih mudah mencapai khusyuk dalam ibadah dan merasa dekat dengan Allah kerana bukankah manusia itu lebih dekat dengan tuhannya di waktu susah ?

Disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :

“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).

“Sesungguhnya Allah bersama dengan golongan yang sabar” (Al-baqarah : 153).

“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).

Dari Mus’ab bin Said dari bapanya ra berkata : Aku bertanya kepada rasulullah siapakah manusia yang paling dahsyat menerima bala ? Maka dijawab : Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. Tidaklah hilangnya bala itu pada seorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya” (hadith hasan Sahih, riwayat tirmidzi no. 2398, Ibn majah, Ahmad).

Dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa sesungguhnya nabi bersabda : “Barangsiapa yang diingini oleh Allah akan kebaikan maka diujinya dengan musibah” (hadith Sahih riwayat Bukhari, Muwatho dan Ahmad).


“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kalian” (Ali Imran : 200).


d) Golongan bujang mempunyai ketegasan dan semangat yang lebih tinggi dalam perjuangan dan sanggup berkorban

Mereka yang bujang itu biasanya mampu menjadi kukuh jiwa dan tabah hati terhadap perjuangan dan tidak takut kehilanagn dunia dan rela mati demi Islam berbanding orang yang sudah bernikah merasai nikmat dunia yang merasa sayang dan cinta kepada dunia dan takut mati.

Siapa yang sanggup mati apabila punyai isteri cantik terbaring di atas katil ? namun bujang seperti kita yang tidak mempunyai sesiapa maka kita lebih kehadapan di banding mereka dan kita lebih tabah dalam perjuangan dan kita lebih berani berkorban jiwa dan nyawa serta harta.

“Wahai orang yang beriman sesungguhnya isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu itu musuh bagi kamu maka berhati-hatilah” (At-taghabun : 14).

Kesedihan dan penderitaan dunia yang menimpa orang yang bujang menyebabkan dirinya sanggup berkorban dan berjihad di jalan Allah mengharap balasan syurga tanpa gentar dan tanpa bimbang walau di perjuangan itu dirinya sudah hampir di hadapan musuh dan bekalan peluru dan senjata sudah kehabisan namun dirinya masih mampu memecut laju ke hadapan kerana yakin dan tidak goyah oleh tipuan dunia.

“Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa sedih kerana sesungguhnya kedudukan kamu lebih tinggi (mulia) jika kamu beriman” (Ali-Imran : 139).

Oleh :

Anak yatim yang bujang
San’a Yaman.

Salahkah Jika Wanita Meminang & Menawar Diri Kepada Lelaki ?





Di dalam Islam kita sebagai muslim haruslah mengutamakan Al-Qur’an dan sunnah sebagai panduan dan bukan akal, bukan persekitaran atau pun adat.

Firman Allah swt :

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :50).

Sekalipun dalam kaedah fiqhiyah menyebut “Al-A’dah Muhakamah” iaitu adat itu menjadi penghukum dan diambil kira dalam menentukan keputusan (lihat dalam Al-Wajiz fi Qawaid fiqhiyah m/s 100) namun sebenarnya pemahaman terhadap kaedah ini sering disalah erti oleh orang awam.

“Tidaklah kebanyakkan mereka itu mengikuti melainkan hanya berdasarkan semata-mata sangkaan dan tidaklah sangkaan mereka itu membawa mereka kepada kebenaran sedikit pun” (Yunus : 36).

Dimaksudkan adat sebagai diambil kira dalam hukum dan keputusan ialah apabila tiada dalil dan pertunjuk yang jelas dalam sesuatu perkara dari Al-Qur’an dan sunnah dan tidak wujud riwayat dari para sahabat dan salaf soleh. Selain itu terjadi adat sebagai pertimbangan hanya dalam perkara furu’ yang berbentuk kaedah pelaksanaan bukan dasar atau pegangan.

Misalnya dalam ibadah korban, jika pelaksanaan ibadah tersebut dilakukan di Malaysia maka adat terpakai dengan melakukan korban mengunakan binatang yang mudah didapati dan biasa dibuat korban misalnya lembu atau kambing bukan unta atau kibasy yang hanya terdapat di Negara arab.

Begitulah juga adat terpakai dalam penakrifan sesuatu perkara menurut sesuatu kaum misalnya orang yang bersumpah nazar tidak mahu memakan daging lalu dia memakan ayam kerana menurut kebiasaan daging merujuk kepada lembu, kerbau dan ayam tidak dikira sebagai daging demikianlah contoh pelaksanaan adat.

Dan jika kamu hanya mengikut orang ramai di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah” (Al-An’am : 116).

Adapun dalam hal ibadah dan perkara dasar Islam seperti nikah dan perkahwinan yang merupakan sunnah dan ketetapan syariat maka hendaklah kita merujuk kepada Al-Qur’an dan sunnah selagi terdapat pertunjuk dan panduan dari keduanya.

Sebagaimana sabda baginda rasulullah :

" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatha no.898 dan Hakim dalam Mustadrak no.63).

Sesungguhnya di dalam Islam disyariatkan kepada seorang wanita untuk menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh dan beragama apabila dirinya mendapati lelaki tersebut benar akhlaknya dan benar peribadinya menurut syariat Islam (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 107 Jilid 3).

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).

Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan” (lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).

Sesungguhnya hadith di atas tidaklah hanya mengkhususkan kepada baginda rasul sahaja bahkan ianya menjadi contoh teladan kepada semua wanita muslimah dan dibolehkan mereka menawarkan diri mereka kepada semua lelaki soleh muslim yang mukmin kerana apa yang terjadi kepada rasul selagi tidak dikhususkan maka ianya merupakan perbuatan sunnah yang umum.

“Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21).

Adapun menjawab ayat al-Qur’an yang menyebut kekhususan hanya untuk nabi seperti :

“Dan perempuan mukminah yang menghadiahkan dirinya kepada rasul…..hanya khusus untuk kamu dan bukan untuk orang yang beriman yang lain ” (Al-Ahzab : 50).

Dimaksudkan pengkhususan di sini ialah dalam masalah maskahwin iaitu dikhususkan untuk rasulullah bernikah dengan perempuan yang menghadiahkan dirinya kepada baginda nabi tanpa perlu baginda membayar maskahwin sedangkan bagi umat Islam yang lain diwajibkan membayar maskahwin namun untuk nabi diberi pengecualian (lihat Tafsir Al-Qur’anul Azim oleh Ibn Katsir ra m/s 124 Jilid 3).

Sebagai kesimpulan adalah menjadi sunat dan galakkan kepada wanita muslimah bagi menawarkan diri mereka kepada lelaki yang soleh dan beragama jika benar lelaki tersebut dilihat dapat membimbing diri mereka dan memandu mereka ke jalan yang benar.


Malu itu sebahagian dari iman seperti yang disebut dalam hadith Ibu Umar ra bahawa baginda rasul menyebut : “Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman” (hadith sahih riwayat Bukhari no 24 dan Muslim no. 36 , Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah).

Begitu juga dalam hadith yang lain baginda mengatakan : “Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).

Sungguhpun wanita Islam yang muslimah dan solehah itu akan mempunyai malu dan sebagai perempuan, sifat malu itu merupakan perhiasan namun tidaklah patut malu itu menahan dari tercapainya kebaikan dan terlaksananya fitrah dan amal ibadah kerana golongan yang beriman dan solehah itu antara ciri-ciri mereka ialah bersegera kepada kebaikan dan kebajikan.

“Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).

Bagi mereka yang merasa malu dan segan menawarkan diri secara berdepan mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat .

Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) bagi menyampaikan hajatnya kepada rasulullah dengan menyampaikan pesanan khadijah ra :

“Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….” (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam m/s 122 Jilid 1).

Siapakah wanita Islam yang lebih baik dari Khadijah ra ? Wanita pertama Islam, serikandi utama dan mulia yang disebut dalam hadith yang sahih dari riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dengan katanya :

Aku tidak pernah mencemburui mana-mana isteri nabi melainkan Khadijah walaupun aku tidak pernah menjumpainya lalu beliau menceritakan : Sesungguhnya rasulullah apabila menyembelih kambing akan berkata : “Hantarkanlah sebahagian daging ini kepada sahabat Khadijah” lalu berkata Aisyah dengan marah pada suatu hari : Khadijah ? (iaitu seperti mempersoalkan kenapa Khadijah) lalu dibalas oleh baginda rasulullah :
“ Sesungguhnya aku diberi rezeki oleh Allah untuk mencintainya” (hadith sahih riwayat Muslim no. 134 Jilid 7 dalam kitab Al-Minhaj).

Sesungguhnya Ummul Mukminah Khadijah ra yang kini di jannah merupakan wanita pertama dan mulia yang menawarkan dirinya kepada baginda demi mencari kebaikan dan kebajikan.

“ Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya” (Surah Al-An’am : 38).

Wednesday, August 24, 2005

Pesanan Berharga Buat Ummah



Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadith dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasalam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :

“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu :

Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau,

jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah.

Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan

jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau.

Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan)”.

(Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).

Wara' Satu Penjelasan Ringkas


Peribadi yang mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya sangat susah dicari pada zaman sekarang maka apatah lagi mencari peribadi yang wara’.

Menjawab mengenai apakah makna wara’ dan bagaimana cara mengenal orang yang wara’ maka ianya seolah bertanyakan tentang satu mahkluk yang sudah pupus dari muka bumi ini sama seperti Dinousour.

Pertama-tama sekali biarlah saya jelaskan bahawa saya bukanlah orang yang wara’ dan mempunyai sifat ini namun marilah kita melihat dan mengenali wara’ moga kita dapat beroleh pengajaran dan berusaha menjadi wara’ .

Menurut dari riwayat yang isnadnya baik bahawa telah menguji Khalifah Ali ib Abi Talib ra kepada Hassan Al-basri ra yang mengajar di masjid dengan bertanya kepada Hassan basri yang masih kecil itu apakah yang menjaga agama ? Maka dijawab oleh Hassan bahawa ianya ialah wara’ lalu dibenarkan oleh Khalifah Ali ibn Abi Thalib ra untuk Hassan basri terus mengajar di masjid.

Wara’ dalam bahasa arab bermaksud menyempitkan atau menyusahkan dan jika dinisbahkan kepada manusia maka ia bermaksud lelaki yang bertaqwa dan menyempitkan hidupnya atau juga disebut siqah (yang dipercayai dan adil) juga dapat membawa maksud bercukupan dengan apa yang ada (lihat Lisan Arab oleh Ibn Manzur m/s 276 Jilid 9).

Perngertian wara’ sangat banyak dan berbeza-beza menurut pendapat ulama’ dan berkata Ibn Qayyim ra dalam kitabnya Madarijus salikin bahawa wara’ itu bermaksud seseorang yang sentiasa berhati-hati dan menyempitkan dunianya. Menurut riwayat bahawa sebahagian sahabat rasulullah meninggalkan 70 pintu dari perkara yang halal semata-mata takut dalam perkara yang haram (lihat Madarijus salikin m/s 20 Jilid 2).

Berkata Dhahak ra wara’ ialah memperbaiki amalan engkau dan berkata Said ibn Jubair ialah membersihkan hatimu dan tempat tinggalmu dan berkata pula Hassan ialah membaiki akhlakmu. Berkata Yahya ibn Muadz wara’ itu ialah berhenti sekadar apa yang engkau ketahui dari perbuatan tanpa menggunakan ta’wil akal. Berkata sebahagian mereka wara’ ialah meninggalkan apa yang halal demi menjaga diri dari yang haram.

Manakala wara’ menurut Ibrahim Ibn Adham ialah meninggalkan syubhat dan keraguan serta apa-apa yang tidak perlu dalam kehidupan dan sebahagian ulama salaf menasihati bahawa berlaku wara ialah dengan menjaga agama dengan menyempitkan hidup dunia dan mengharap balasan akhirat.

“Di antara kamu ada golongan yang menginginkan dunia dan ada pula golongan yang mengingini akhirat” (Ali-Imran : 152).

Berhati-hati dalam menjaga diri serta menjaga hati , lisan dan perbuatan agar tidak sampai terjatuh kepada hal yang syubhat apatah lagi haram. Menyempitkan dunia bermaksud tidak menerima perkara sia-sia atau tidak bersenang-senang sebaliknya mencukupi dunia dengan sekadarnya bahkan menjaga serta mengetatkan diri melawani kehendak nafsu.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan bagi mereka itu pahala di sisi tuhan mereka dan tidaklah ada ketakutan ke atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita” (Al-Baqarah : 277).


Juga disebut wara’ ialah sesuatu darjat yang dicapai dengan meninggalkan perkara makruh dan berhati-hati pada yang halal dengan mempunyai sikap zuhud.

“Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak suka golongan yang berlebih-lebihan (melampaui batas)” (Al-A’raf : 31).

Sesungguhnya pemahaman pada wara’ itu bukanlah seperti yang dibaca oleh orang jahil iaitu memakai pakaian buruk dan berjalan tunduk. Jika di sini iaitu di negara arab mereka mengelar orang wara’ sebagai “mutawwek” iaitu orang yang dilihat berjanggut dan berjubah digelar orang wara’ sedangkan hakikatnya mereka inilah paling penipu dan suka mengambil kesempatan.

“Apabila engkau melihat mereka (orang yang munafiq) maka nescaya engkau akan takjub kerana keindahan peribadi mereka dan jika mereka bercakap-cakap akan mengejutkan engkau kerana kefasihan dan kebaikan perkataan mereka seolah-olah mereka itu satu pesandaran yang kukuh, mereka menyangka setiap suara percakapan (pujian) manusia itu tertuju kepada mereka dan sebenarnya mereka itu ialah musuh dan berwaspadalah kamu terhadap mereka dan akan binasalah mereka oleh Allah” (Al-Munafiqun : 4).

Pengertian sebenar wara’ ini ialah pada hati kerana wara’ ini ialah sifat yang lahir dari amal perbuatan , lisan dan hati.

Menjaga hati dari maksiat kepada Allah, dari kebesaran dan pujian dunia serta takut dan mengharap kepada Allah swt.

Turut disertai dengan lisan yang kerap berzikir, tidak bercakap sia-sia dan bercakap yang baik dengan banyak diam serta dari sudut perbuatan ialah menjaga dari yang haram dan syubhat, menjauhi makruh dan melaksanakan segala yang wajib dengan tidak meninggalkan yang sunat.

Setelah itu mereka ini mengambil langkah hati-hati dalam agama dan menjauhi segala kemungkinan-kemungkinan yang boleh menjerumuskan mereka kepada keburukan.

Misalnya tidak memakai telepon tangan kerana takut mendengar suara perempuan, tidak ke Bandar dan pekan kerana takut terlihat maksiat, tidak memakan dan minum di kedai-kedai sebarangan kerana takut syubhat dicampur bahan yang haram atau tidak menerima wang pemberian orang kecuali yang diusaha sendiri melalui jalan yang halal demikianlah serba sedikit sikap mereka yang wara’.

“Adapun golongan yang takut kepada kebesaran tuhan mereka maka mereka menahan hawa nafsunya (tidak menurut hawa nafsu) maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal mereka” (An-Na’ziaat: 40).

Mereka ini benar-benar melaksanakan sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dari riwayat Abu Hurairah ra dengan sabda baginda : “ Sebaik-baik perkara dalam Islam ialah seseorang itu meninggalkan apa yang tidak perlu baginya” (hadith hasan, riwayat tirmidzi dan ibn Majah).

Secara kesimpulan kita dapat mengenal seseorang itu wara’ apabila dirinya tidak terpaut oleh dunia dan mengaharp balasan akhirat. Dia beramal dengan Islam menurut panduan dari Al-Kitab dan sunnah dan menurut panduan salaf soleh. Akhlaknya merupakan akhlak yang mulia dan terpuji membuatkan kita terpegun dengan kesolahan dan kebaikan ibadahnya dan perilaku muamalah dengannya.

Wara’ itu lebih dekat kepada lelaki dan sukar bagi perempuan dalam beberapa hal dan sukar bagi lelaki dan mudah bagi perempuan dalam beberapa hal.

Wara’ dekat kepada lelaki dalam perkara mengerjakan ketaatan dan kebaikan dan jauh dari lelaki dalam soal meninggalkan keburukan dan kebiasaan kehidupan. Manakala bagi perempuan wara itu dekat dalam meninggalkan larangan dan jauh dalam mengerjakan ketaatan dan kebaikan.

Diriwayatkan oleh Fadholah ibn Ubaid ra yang menyebut beliau mendengar baginda rasulullah bersabda : “Berbahagialah mereka yang diberi hidayah Islam dan hidup dengan bercukupan dan bersederhana” (hadith sahih riwayat tirmidzi ).

Penjelasan Hadith Musalsal



Dewasa ini sangat kerap kita terdengar wujudnya guru agama dan ustaz yang memberikan sanad di pondok-pondok dan surau serta masjid tentang hadith-hadith dari nabi lalu berkerumunlah orang ramai memburu dan mendapatkan ustaz dan syeikh tersebut konon demi mendapatkan sanad kitab dan sanad merawikan hadith.

Sesungguhnya berterima kasih kepada seseorang muslimat yang menguna nick syahiditusuci kerana memberikan ana hadith dari riwayat Jabir ra yang sekaligus mengingatkan ana untuk menulis dalam tajuk ini yang telah lama ana lupakan untuk menulisnya.

Hadith tersebut menyebut sabda baginda salalallahualaihiwasalam :

Barangsiapa yang mempelajari ilmu demi bertujuan untuk menyaingi para ulama’ , dan berdebat atau mengalahkan orang jahil, atau mencari pandangan (penghormatan) manusia padanya maka dia akan berada di neraka” (Hadith Sahih,Riwayat Tirmidzi no. 2578 dan Ibn Majah no.249).

Manakala dalam hadith yang lain baginda juga pernah bersabda :

“ Siapa yang mempelajari ilmu selain mencari redha Allah, dan mempelajarinya bertujuan untuk habuan dan ganjaran dunia maka tidaklah dia dapat (diharamkan) mencium bau syurga di hari akhirat” (Hadith Sahih, Riwayat Abu Daud no. 3179).

Bukanlah bermaksud kita menyangka buruk namun kita sedih apabila memang wujud segolongan ahli agama yang menipu dengan memperdagangkan sanad palsu dan riwayat yang tidak sahih dalam mendapatkan penghormatan orang ramai kononnya beliau memiliki banyak sanad agama dan memiliki banyak sanad hadith dan kitab dalam merawikan hadith walau hakikatnya tidak semuanya benar.

Penjelasan hadith Musalsal

Tidak lama dahulu ana ditanyakan tentang hadith musalsal namun kerana lupa ana tidak menjawab sehinggalah baru diingatkan tentang hal ini kelmarin.

Musalsal merupakan salah satu sifat yang terdapat pada sanad rawi hadith yang saling bersamaan dan berkaitan sehingga disebut musalsal (iaitu tali temali atau sambung menyambung).

Dari sudut mustalahah para muhadith menyebut ianya sebagai “hadith yang rawi-rawi pada hadith itu saling mengikuti seseorang demi seseorang dalam satu sifat , keadaan atau perkataan”.

Maksudnya ialah para perawi hadith itu saling meniru guru mereka dalam merawikan hadith itu dan menyamakan keadaan , perbuatan atau pun sifat dalam merawikan hadith itu kepada orang selepas mereka.

Dalam hal ini kita akan menemui dua jenis :

a) Musalsal fi ruwah
b) Musalsal fi riwayah

Maksud musalsal fi ruwwah ialah bersambungnya atau wujudnya ciri-ciri hadith musalsal pada sifat perawi hadith tersebut seperti hadith Muaz ibn Jabal ra yang mana pernah baginda rasul bersabda kepada beliau :

“ Wahai Muadz, demi Allah aku cinta padamu, demi Alah aku cinta padamu kerana itu aku wasiatkan pada-Mu wahai Muadz, ucapkanlah pada setiap akhir solat : “ya Allah tolonglah aku untuk mengingati-Mu dan mensyukuri-Mu dan dalam memperbaiki ibadahku” (hadith sahih, riwayat Abu Daud no. 1522 dan Nasaie no. 1302).

Perawi dalam hadith ini selalu selepas meriwayatkan hadith ini dari Muadz mereka selalu menggunakan perkataan “aku cinta padamu” yang sebenarnya kalimah itu hanya diguna oleh baginda nabi untuk Muadz sahaja.

Selain itu dapat juga kita ambil contoh pada perbuatan dalam hadith musalsal seperti hadith Abu Hurairah ra dengan berkata “ Abu Qassim (rasulullah) menyalam tangan baginda dengan tangan ku lalu bersabda : “Allah menjadikan bumi pada hari Sabtu, gunug pada hari Ahad dan seterusnya..” (hadith sahih, riwayat Muslim no. 2789).

Abu Hurairah ra dan perawi seterusnya dalam meriwayatkan hadith ini selalu melakukan perbuatan yang sama dengan menyalam tangan mereka kepada orang yang mereka rawikan hadith itu.

Begitu juga dalam hadith Anas ra bahawa baginda rasul pernah bersabda : “Seseorang tidak akan mendapatkan kemanisan iman sehingga mempercayai qadar Allah baik yang elok atau yang malang baik yang manis atau pun yang getir” rasulullah setelah itu memegang janggut Anas lalu bersabda : “Aku beriman kepada qadar baik yang elok mahupun yang buruk dan baik yang manis serta yang getir” (hadith riwayat Hakim dan pada isnadnya ada Yazid al raqasyi dan dianya dhaif).

Anas ra melakukan dan mengatakan sama seperti apa yang diucapkan oleh rasulullah dan demikianlah para rawi selepasnya.

Manakala Musalsal fi riwayah ialah hadith yang sifat musalsal itu terletak pada riwayat keadaan hadith, masa atau tempat berlakunya hadith bukan pada sifat perawi.

Seperti hadith Ibn Abbas ra yang meriwayatkan hadith perihal Multazam di mana kata ibn Abbas ra “ Tidaklah sesiapa yang berdoa di Multazam ini melainkan dimakbulkan” dan kemudian ibn Abbas ra melanjutkan dengan katanya : Tidaklah aku pernah berdoa di sini pada Allah melainkan doa aku itu dimakbulkan-Nya”.

Para perawi selepas beliau pun ketika mahu meriwayatkan hadith ini akan ke Multazam dan merawikan sewaktu di Multazam dan mengucap serupa seperti kata ibn Abbas.

Begitulah juga apabila menyebut perihal hadith yang lain yang juga dari ibn Abbas ra yang menyebut : “ Saya hadir bersama rasulullah salallahualaihiwasalam pada solat aidul fitri dan aidul adha dan setelah selesai solat baginda lalu memandang kepada kami sambil bersabda : “ Wahai manusia kamu sekalian telah memperolehi kebaikan , Maka barangsiapa yang ingin pulang maka pulanglah dan barangsiapa yang ingin tetap mendengar khutbah maka tunggulah”.

Hadith di atas musalsal pada hari raya dengan perawi yang meriwayatkan hadith ini meriwayatkan pada hari raya fitri atau aidul adha.

Masalah hukum hadith Musalsal

Permasalahan hadith Musalsal ini menjadi perkhilafan yang banyak dikalangan ulama’ dan tidak ramai mementingkan hadith Musalsal ini pada sifat periwayatannya sebaliknya pada hukum kesahihannya atau tidak untuk beramal dengan isi kandungannya.

Namun ramai ahli agama memandang rendah hal ini sebaliknya mementingkan sanad yang mereka punyai walaupun hadith itu sebenarnya dhaif atau pun maudhu’ (palsu).

Misalnya pada hadith Abu Hurairah ra sanadnya ialah sahih begitulah juga matannya namun sifat musalsalnya hadith itu adalah tidak sahih seperti yang disebut oleh Imam Sakhawi ra dan hadith ini terdapat dalam sahih Muslim.

Eloklah kita merujuk kitab “Fihrusul Faharis Wal Asbath” karya Al-hafidz Muhammad Abdul hayyi Al-Kattani yang mengumpukan hadith-hadith Musalsal secara khusus.


"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).