Wednesday, March 28, 2007

Kemungkaran dan Kebaikan- Jiwa Manusia Lemah Menghadapinya

Kebiasaan manusia apabila menghadapi sesuatu yang kuat dan hebat daripada dirinya maka mereka akan bersikap lemah dan mengalah lantaran itu ialah tabiat kehidupan makhluk yang bernama manusia. Rata-rata hari ini apabila hidup di dalam masyarakat yang serba sesat dan moden apabila berdepan dengan kebenaran lebih mudah mengambil sikap pasif atau mengalah iaitu berserah dan redha sekadar apa yang ada dan kemudian membuat alasan seribu alasan bagi mengatakan ketidak mampuan itu sebagai hujah lalu dicari pelbagai dalil dan sokongan bagi mengelakkan dirinya dari dipersalah.

Disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri ra bahawa beliau pernah mendengar baginda nabi salallahualaihiwasalam bersabda di dalam khutbahnya :
"Ingatlah, jangan sesekali rasa takut kepada manusia itu mencegah seseorang daripada berkata benar (haq) jika dirinya telah mengetahuinya." (hadith riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah).

Pesanan ini cukup berharga lantaran pada hari ini umat manusia cukup mudah mengalah dan takut kepada mereka yang berkuasa dan lantas berbuat alasan bahawa tidak menegur dan menegakkan yang hak ialah lebih baik konon untuk menjaga maslahat dan sebagainya. Sedangkan syariat Islam ada mengikat batas-batas ketaatan kepada pemimpian dan juga menetapkan apakah maslahat dan mafsadat yang patut dikaji dalam arena "amar makruf nahi mungkar".

Tidak menegur ketua jabatan lantaran takut dipecat dan ditukarkan ke kawasan pendalaman sehingga menyusahkan anak beranak dan keluarga serta menghilangkan peluang untuk menduduki jabatan tinggi bukanlah maslahat yang diterima dan di iktiraf oleh syarak untuk kita memeliharanya dan mengabaikan tuntutan kebenaran dan syariat Allah.

Disebutkan di dalam kitab Usul-Fiqh bahawa dimaksudkan dengan Ad-darurat ialah "Keadaan atau waktu yang sampai kepada had apabila manusia tidak melakukan hal-hal yang melanggar syarak boleh membawa kepada kehancuran dan kerosakkan". (lihat AL-Wajiz Fil Usul Fiqh oleh Dr Abd Karim Zaidan m/s 67).

Kemaslahatan dan kemafsadatan yang dilihat dan dipandang oleh syarak dalam pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah mungkar) ialah pada maslahat asasi yang berlima iaitu pada 1) Agama, 2) Nyawa, 3) Akal, 4) Maruah (keturunan), 5) Harta

Sekiranya usaha mengatakan yang benar itu sampai menghancurkan kepentingan yang berlima di atas barulah di waktu itu kita boleh bertolak ansur dan mencegah kejahatan dan kezaliman hanya dengan hati-hati yang membenci.

Sebaliknya selama harta kita yang telah diusahakan bukan harta yang belum diusahakan seperti baru dalam impian dan angan-angan dari projek dan tender yang akan dikecapi tidaklah boleh menjadi alasan tetapi jika harta yang telah diusahakan mengalami ancaman kehancuran seperti tanah, rumah dan kepentingan saraan keluarga menghadapi anacaman dari kerana kebenaran maka dibolehkan kita menyerah dan mencegah mungkar kezaliman hanya dengan hati menandakan keimanan yang lemah.

Maka demikian juga dengan keturunan yang diancam akan diperkosa, anak-anak yang diugut akan dirosakkan serta maruah yang akan dicemarkan maka saat-saat sebegini Islam tidak memaksa semua umatnya mengambil jalan "Al-Azimah" untuk mengorbankan apa yang mereka punyai selama belum sampai masa dan ketika.

Diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud ra bahawa baginda rasulullah pernah bersabda dengan maksudnya : " Tiadalah seorang nabi yang diutuskan oleh Allah kepada suatu umat sebelum aku melainkan dia mempunyai penolong (hawariyun) daripada umatnya itu dan sahabat yang mereka berpegang teguh kepada sunnahnya dan mengikuti perintahnya kemudian setelah itu sesudah mereka muncul pula generasi- generasi penerus yang mereka mengatakan sesuatu yang mereka sendiri tidak melakukannya dan melakukan sesuatu yang mereka tidak diperintahkan pula, Maka bagi yang berjihad terhadap mereka ini dengan tangannya maka dia seorang yang beriman, dan sesiapa yang berjihad terhadap mereka ini dengan lisannya maka dia seorang yang beriman dan sesiapa yang berjihad terhadap mereka dengan hatinya maka dia juga ialah seorang yang beriman dan adapun sesudah itu tiadalah iman walau sebesar biji sawi." (hadith sahih riwayat Muslim).

Pada waktu-waktu ini ramai sekali mengatakan apa yang mereka tidak lakukan seperti mendakwa mereka muslim tetapi tidak beramal seperti seharusnya seorang muslim dan juga mereka melaungkan seruan-seruan indah seperti perpaduan, kedamaian tetapi tidak pula menegakkan syariat Allah dan kalimah tauhid sebagai pengikat dan asas perpaduan dan kedamaian di dalam daulah.

Juga di waktu ini ramai sekali manusia memperbuat apa-apa yang mereka tidak disuruh untuk melakukankan seperti mengadakan kempen Islam Hadhari di waktu umat Islam jahil aqidah yang memerlukan mereka memberi kefahaman yang sahih dan semasa hukum Allah tidak tertegk tidak pula mereka melaksanakan apa yang sewajarnya sebaliknya mengadakan sambutan maulid nabi dan juga upacara keagamaan yang tidak dituntut oleh Islam dan syarak.

Mereka kreatif mereka-cipta amalan-amalan bid'ah yang tidak diperintahkan dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh tetapi tidak pula mahu berusaha melaksanakan apa-apa yang benar-benar disuruh dan diperintahkan.

bersambung...

No comments: