Abu Hurairah berkata: "Nabi (s.a.w.) bersabda: "Perbandinganku dengan nabi-nabi lain adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah dan telah membinanya dengan sempurna kecuali satu bata di satu penjuru. Apabila orang ramai melihat rumah tersebut, mereka kagum dengan keindahannya dan berkata: "Adakah bata [terakhir] ini akan diletakkan di tempatnya". Maka aku adalah bata tersebut, dan aku adalah Nabi yang terakhir.". " Diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari
Ramalan Nabi Danial A.S
" Lalu raja menyuruh memanggil orang-orang berilmu, ahli jampi, ahli sihir dan para Kadim, untuk menerangkan kepadanya tentang mimpinya itu; maka datanglah mereka dan berdiri di hadapan raja. Kata raja kepada mereka: "Aku bermimpi, dan hatiku gelisah, kerana ingin mengetahui mimpi itu." Lalu berkatalah para Kadim itu kepada raja (dalam bahasa Aram): "Ya raja, kekallah hidupmu! Ceritakanlah kepada hamba-hambamu mimpi itu, maka kami akan memberitahukan maknanya." Tetapi raja menjawab para Kadim itu: "Aku telah mengambil keputusan, yakni jika kamu tidak memberitahukan kepadaku mimpi itu dengan maknanya, maka kamu akan dipenggal-penggal dan rumah-rumahmu akan dirobohkan menjadi timbunan batu; tetapi jika kamu dapat memberitahukan mimpi itu dengan maknanya, maka kamu akan menerima hadiah, pemberian-pemberian dan kehormatan yang besar daripadaku. Oleh sebab itu beritahukanlah kepadaku mimpi itu dengan maknanya!" Mereka menjawab pula: "Silakan tuanku raja menceriterakan mimpi itu kepada hamba-hambanya ini, maka kami akan memberitahukan maknanya." Jawab raja: "Aku tahu benar-benar, bahawa kamu mencuba menangguhkan waktu, kerana kamu melihat, bahawa aku telah mengambil keputusan, yakni jika kamu tidak dapat memberitahukan kepadaku mimpi itu, maka kamu akan kena hukuman yang sama; dan aku tahu bahawa kamu telah bermufakat untuk mengatakan kepadaku hal-hal yang bohong dan busuk, sampai keadaan berubah. Oleh sebab itu ceriterakanlah kepadaku mimpi itu, supaya aku tahu, bahawa kamu dapat memberitahukan maknanya juga kepadaku." Para Kadim itu menjawab raja: "Tidak ada seorang pun di muka bumi yang dapat memberitahukan apa yang diminta tuanku raja! Dan tidak pernah seorang raja, bagaimanapun agungnya dan besar kuasanya, telah meminta hal sedemikian dari seorang berilmu atau seorang ahli jampi atau seorang Kadim. Apa yang diminta tuanku raja adalah terlalu berat, dan tidak ada seorang pun yang dapat memberitahukannya kepada tuanku raja, selain dari dewa-dewa yang tidak berdiam di antara manusia." Maka raja menjadi sangat geram dan murka kerana hal itu, lalu dititahkannya untuk melenyapkan semua orang bijaksana di Babel. Ketika titah dikeluarkan supaya orang-orang bijaksana dibunuh, maka Danial dan teman-temannya pun terancam akan dibunuh. Lalu berkatalah Danial dengan cerdik dan bijaksana kepada Ariokh, pemimpin pengawal raja yang telah pergi untuk membunuh orang-orang bijaksana di Babel itu, katanya kepada Ariokh, pembesar raja itu: "Mengapa titah yang begitu keras ini dikeluarkan oleh raja?" Lalu Ariokh memberitahukan hal itu kepada Danial. Maka Danial menghadap raja dan meminta kepadanya, supaya dia diberi waktu untuk memberitahukan makna itu kepada raja. Kemudian pulanglah Danial dan memberitahukan hal itu kepada anaknya, Misael dan Azarya, teman-temannya, dengan maksud supaya mereka memohon kasih sayang kepada Allah semesta langit mengenai rahsia itu, supaya Danial dan teman-temannya jangan dilenyapkan bersama-sama orang-orang bijaksana yang lain di Babel. Maka rahsia itu disingkapkan kepada Danial dalam suatu penglihatan malam. Lalu Danial memuji Allah semesta langit. Berkatalah Danial: "Terpujilah nama Allah dari selama-lamanya sampai selama-lamanya, sebab daripada Dialah hikmat dan kekuatan! Dia mengubah saat dan waktu, Dia memecat raja dan mengangkat raja, Dia memberi hikmat kepada orang bijaksana dan pengetahuan kepada orang yang berpengertian; Dialah yang menyingkapkan hal-hal yang tidak terduga dan yang tersembunyi, Dia tahu apa yang ada di dalam gelap, dan terang ada padaNya. Ya Allah nenek moyangku, kupuji dan kumuliakan Engkau, sebab Engkau mengurniakan kepadaku hikmat dan kekuatan, dan telah memberitahukan kepadaku sekarang apa yang kami mohon kepada-Mu: Engkau telah memberitahukan kepada kami hal yang dipersoalkan raja." Sebab itu pergilah Danial kepada Ariokh yang telah ditugaskan raja untuk melenyapkan orang-orang bijaksana di Babel; maka pergilah dia serta berkata kepadanya, demikian: "Orang-orang bijaksana di Babel itu jangan kau lenyapkan! Bawalah aku menghadap raja, maka aku akan memberitahukan kepada raja makna itu!" Ariokh segera membawa Danial menghadap raja serta berkata kepada raja demikian: "Aku telah mendapat seorang dari antara orang-orang buangan dari Yehuda, yang dapat memberitahukan makna itu kepada raja." Bertanyalah raja kepada Danial yang namanya Beltsazar: "Sanggupkah engkau memberitahukan kepadaku mimpi yang telah kulihat itu dengan maknanya juga?" Danial menjawab, katanya kepada raja: "rahsia, yang ditanyakan tuanku raja, tidaklah dapat diberitahukan kepada raja oleh orang bijaksana, ahli jampi, orang berilmu atau ahli nujum. Tetapi di syurga ada Allah yang menyingkapkan rahsia-rahsia; Dia telah memberitahukan kepada tuanku raja Nebukadnezar apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan datang. Mimpi dan penglihatan-penglihatan yang tuanku lihat di tempat tidur ialah ini: Sedang tuanku ada di tempat tidur, ya tuanku raja, timbul pada tuanku fikiran-fikiran tentang apa yang akan terjadi di kemudian hari, dan Dia yang menyingkapkan rahsia-rahsia telah memberitahukan kepada tuanku apa yang akan terjadi. Adapun aku, kepadaku telah disingkapkan rahsia itu, bukan kerana hikmat yang mungkin ada padaku melebihi hikmat semua orang yang hidup, tetapi supaya maknanya diberitahukan kepada tuanku raja, dan supaya tuanku mengenal fikiran-fikiran tuanku. Ya raja, tuanku melihat suatu penglihatan, yakni sebuah patung yang amat besar! Patung ini tinggi, berkilau-kilauan luar biasa, tegak di hadapan tuanku, dan tampak mendahsyatkan. Adapun patung itu, kepalanya dari emas tua, dada dan lengannya dari perak, perut dan pinggangnya dari tembaga, sedang pahanya dari besi dengan kakinya sebahagian dari besi dan sebahagian lagi dari tanah liat. Sementara tuanku melihatnya, terungkit lepas sebuah batu tanpa perbuatan tangan manusia, lalu menimpa patung itu, tepat pada kakinya yang dari besi dan tanah liat itu, sehingga remuk. Maka dengan sekaligus diremukkannya juga besi, tanah liat, tembaga, perak dan emas itu, dan semuanya menjadi seperti sekam di tempat pengirikan pada musim panas, lalu angin menghembuskannya, sehingga tidak ada bekas-bekasnya yang ditemukan. Tetapi batu yang menimpa patung itu menjadi gunung besar yang memenuhi seluruh bumi. Itulah mimpi tuanku, dan sekarang maknanya akan kami katakan kepada tuanku raja: Ya tuanku raja, raja segala raja, yang kepadanya oleh Allah semesta langit telah diberikan kerajaan, kekuasaan, kekuatan dan kemuliaan, dan yang ke dalam tangannya telah diserahkanNya anak-anak manusia, di manapun mereka berada, binatang-binatang di padang dan burung-burung di udara, dan yang dibuatNya menjadi kuasa atas semuanya itu--tuankulah kepala yang dari emas itu. Tetapi sesudah tuanku akan muncul suatu kerajaan lain, yang kurang besar dari kerajaan tuanku; kemudian suatu kerajaan lagi, yakni yang ketiga, dari tembaga, yang akan berkuasa atas seluruh bumi. Sesudah itu akan ada suatu kerajaan yang keempat, yang keras seperti besi, tepat seperti besi yang meremukkan dan menghancurkan segala sesuatu; dan seperti besi yang menghancur-luluhkan, maka kerajaan ini akan meremukkan dan menghancurluluhkan semuanya. Dan seperti tuanku lihat kaki dan jari-jarinya sebahagian dari tanah liat tukang periuk dan sebahagian lagi dari besi, itu berarti, bahawa kerajaan itu terbagi; memang kerajaan itu juga keras seperti besi, sesuai dengan yang tuanku lihat besi itu bercampur dengan tanah liat. Tetapi sebagaimana jari-jari kaki itu sebahagian dari besi dan sebahagian lagi dari tanah liat, demikianlah kerajaan itu akan menjadi keras sebahagian dan rapuh sebahagian. Seperti tuanku lihat besi bercampur dengan tanah liat, itu berarti: mereka akan bercampur oleh perkahwinan, tetapi tidak akan merupakan satu kesatuan, seperti besi tidak dapat bercampur dengan tanah liat. Tetapi pada zaman raja-raja, Allah semesta langit akan mendirikan suatu kerajaan yang tidak akan binasa sampai selama-lamanya, dan kekuasaan tidak akan beralih lagi kepada bangsa lain: kerajaan itu akan meremukkan segala kerajaan dan menghabisinya, tetapi kerajaan itu sendiri akan tetap untuk selama-lamanya, tepat seperti yang tuanku lihat, bahawa tanpa perbuatan tangan manusia sebuah batu terungkit lepas dari gunung dan meremukkan besi, tembaga, tanah liat, perak dan emas itu. Allah yang maha besar telah memberitahukan kepada tuanku raja apa yang akan terjadi di kemudian hari; mimpi itu adalah benar dan maknanya dapat dipercayai." Lalu sujudlah raja Nebukadnezar serta menyembah Danial; juga dititahkannya mempersembahkan korban dan bau-bauan kepadanya. Berkatalah raja kepada Danial: "Sesungguhnyalah, Allahmu itu Allah yang mengatasi segala tuhan dan Yang berkuasa atas segala raja, dan Yang menyingkapkan rahsia-rahsia, sebab engkau telah dapat menyingkapkan rahsia itu." Lalu raja memuliakan Danial: dianugerahinya dengan banyak pemberian yang besar, dan dibuatnya dia menjadi penguasa atas seluruh wilayah Babel dan menjadi kepala semua orang bijaksana di Babel. Atas permintaan Danial, raja menyerahkan pemerintahan wilayah Babel itu kepada Sadrakh, Mesakh dan Abednego, sedang Danial sendiri tinggal di istana raja."
Danial 2:1-49
Sejarah Jerusalam merangkumi sehingga 5000 tahun lalu. Ia mula-mula didiami oleh suku asli pada Zaman Batu. Dianggarkan bahawa sekitar 4000-2500 S.M., kaum Kanaan menghuni bandar tersebut. Kemudian Jerusalam menjadi kubu kota Jebusit. Apabila Raja Daud menawan bandar tersebut (sekitar 1000 S.M.), kaum Jebusit diserap sebagai kaum Yahudi. Nabi Daud menjadikan Jerusalam ibu kota kerajaannya, dan anaknya, Nabi Sulaiman, membina Kuil Yahudi yang pertama untuk menyimpan Bahtera Perjanjian.
Pada masa ramalan ini dibuat, Raja Nebuchadnezzar adalah pemerintah dinasti Babilonia. Baginda mendapat mimpi yang diceritakan dalam Bible . Mimpi tersebut adalah mengenai sebuah patung yang mempunyai kepala emas, dada dan tangan daripada perak, perut dan paha daripada loyang, dan kaki daripada besi dan tanah liat.
Mimpi tersebut amat merunsingkan raja tersebut dan baginda mengarahkan semua bijak pandai dan ahli sihir di Babilonia dikumpulkan.
Baginda kemudiannya mengarahkan supaya mereka menceritakan dan menafsirkan mimpinya. Tiada sesiapa yang boleh berbuat demikian kerana jika baginda hanya mereka meminta mereka menafsirkan mimpi tersebut selepas baginda menceritakannya, mereka boleh mereka-reka sebarang tafsiran dan baginda tidak mendapat sebarang maklumat baru. Oleh itu, untuk memastikan mereka tidak berbuat demikian, raja tersebut dengan bijak telah meminta mereka terlebih dahulu menceritakan kepadanya apa yang baginda telah tahu sebelum menceritakan kepadanya apa yang baginda tidak tahu.
Jika mereka menceritakan kepadanya mimpinya tanpa baginda memaklumkan mereka, maka itu adalah bukti yang mereka berkata benar dan bukan mereka-reka tafsiran mimpi tersebut.
Tiada seorang pun ahli sihir atau bijak pandai yang dapat menunaikan permintaan raja dan ini menyebabkan baginda amat murka. Baginda mengarahkan mereka semua dihukum mati. Pada masa inilah nabi Danial (a.s.) berdoa kepada Allah dan memintaNya mendedahkan kepadanya mimpi tersebut serta tafsirannya, dan Allah menunaikan permintaannya. Danial menjelaskan kepada raja bahawa mimpi tersebut adalah ramalan mengenai kerajaan-kerajaan yang akan datang.
Lima kerajaan besar akan memerintah Jerusalam sehinggalah Tuhan mengutus utusannya yang terakhir untuk memerintah kerajaan Tuhan yang keenam dan terakhir yang akan kekal sehingga ke akhir zaman. Turutan sejarah kerajaan-kerajaan yang telah memerintah Jerusalam daripada masa tersebut sehingga ke hari ini adalah seperti berikut:
1. Kepala emas: Menggambarkan dinasti Babilonia/Chaldean di bawah pemerintahan Nebuchadnezzar yang mendapat mimpi tersebut. Pada tahun 586 S.M., Nebuchadnezzar II memusnahkan Jerusalam dan Kuil Yahudi lalu mengusir kaum Yahudi ke serata bandar-bandar Babilonia.
2. Dada dan tangan daripada perak: Dinasti Parsi yang pada tahun 537 S.M. di bawah pemerintahan Cyrus Agung Parsi telah menakluk Babilonia dan membenarkan kaum Yahudi kembali ke Parsi dan membina semula Kuil mereka.
3. Perut dan paha daripada tembaga: Empayar Greek yang berkuasa memerintah bandar ini buat seketika pada tahun 333 S.M. semasa Alexander Agung menambah Palestin kepada empayarnya.
4. Kaki daripada besi: Golongan Ptolemi dari Mesir mengambil alih Jerusalam pada tahun 323 S.M. di bawah pimpinan Ptolemi I dari Mesir. Pada zaman ini, bangsa Seleucid memerintah Siria dan Mesapotamia. Sekitar tahun 198 S.M., raja Seleucid bernama Antiochus III menakluk Judaea. Kaum Yahudi memberontak dan mengalahkan bangsa Siria, membina semula Kuil pada tahun 165 dan untuk suatu tempoh yang pendek keluarga Maccabe/Hasmone Yahudi yang kecil memerintah sehinggalah empayar Rom yang gagah melanggar bandar tersebut pada tahun 63 S.M.
5. Kaki daripada besi dan tanah liat: Empayar Rom ditubuhkan semasa pemerintahan Augustus (27 S.M. - 14 M), mewarisi Republik Rom. Ia mengambil alih Jerusalam pada tahun 63 S.M. Semasa di bawah pemerintahan Herod Agung, Kuil Yahudi siap dibina semula dengan indah dan megah. Kurang daripada seabad kemudian, semasa pemberontakan kaum Yahudi terhadap Rom, Titus menawan Jerusalam pada tahun 70 M dan memusnahkan bandar tersebut. Untuk tempoh di antara tahun 614 hingga 628, ia jatuh di bawah tentera Parsi di bawah pimpinan Khosrau II tetapi ditawan semula oleh Rom di bawah pimpinan Heraclius. Empayar Rom kemudiannya dipecahkan kepada dua bahagian oleh Konstantin kepada bahagian Barat dan Timur (Bizantin) pada tahun 325M, dan menjadi pusat penyembahan berhala bagi bangsa Rom dan putsat Kristian.
Perbezaan yang amat jauh di antara dua teologi yang dipegang oleh rakyatnya, iaitu paganisma dan Kristian, menyebabkan mereka tidak dapat bersatu dan pemerintahan empayar bertukar tangan di antara pemimpin penyembah berhala dan pemimpin Rom Kristian. Seperti yang diramalkan oleh nabi Danial, kerajaan kelima ada kalanya kuat dan ada kalanya lemah. Ia adalah kerajaan yang besar tetapi dipecahkan oleh dua teologi yang bertentangan dan perselisihan dalaman yang sengit di antara dua kumpulan ini, serta di dalam kumpulan-kumpulan ini dengan pengikut-pengikut mereka, di antara mazhab-mazhab Kristian yang berbagai yang berselisih antara satu sama lain, dan banyak persidangan diadakan untuk mencerca mazhab lain dan menuduh mereka sebagai kufur. Sesungguhnya inilah ramalan nabi Danial bahawa "Seperti tuanku lihat besi bercampur dengan tanah liat, itu berarti: mereka akan bercampur oleh perkawinan, tetapi tidak akan merupakan satu kesatuan, seperti besi tidak dapat bercampur dengan tanah liat".
6. Batu dipotong tanpa tangan (Islam, kerajaan Tuhan): Pada tahun 638 M, umat Islam mengambil alih Jerusalam. Sahabat nabi Muhammad (s.a.w.) dan khalifah Islam yang kedua, iaitu Umar ibn-Al-Khattab tiba di bandar tersebut dengan menaiki keldai, lantas memenuhi ramalan Zakaria 9:9. Umat Islam tidak mengusir penganut-penganut Kristian dan kaum Yahudi, juga tidak menyembelih mereka. Sebaliknya umat Islam bersikap bertolak-ansur terhadap mereka dan kepercayaan mereka. Tidak lama selepas itu, pada tahun 688-691, umat Islam membina Masjid Dome of the Rock di tapak Temple. Pada tahun 1099, para salibi di bawah seorang bangsawan Perancis bernama Godfrey of Bouillon menawan bandar tersebut dan menyembelih ramai penduduknya.
Jerusalam ditawan semula oleh umat Islam pada tahun 1187 di bawah pimpinan Salahudin (Saladin) yang membawa kepada berakhirnya pemerintahan Kristian. Kaum Yahudi melarikan diri dari Eropah dan bernaung di bawah pemerintahan Islam di Jerusalam. Semakin lama, bilangan mereka semakin bertambah sehinggalah ia diambil alih oleh tentera Britain pada tahun 1917. Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengambil langkah-langkah untuk merampas Palestin dari tangan umat Islam dan menubuhkan negara Yahudi di situ. Walaupun penduduk Yahudi tidak melebih se pertiga penduduk, mereka telah diperuntukkan 60% daripada tanah di situ yang mana mereka telah meluaskan tanah milik mereka melalui peperangan. Jerusalam sendiri telah diisytiharkan sebagai Zon Antarabangsa yang terbuka kepada mereka daripada semua agama oleh PBB pada bulan November, 1947.
Kini, sedikit demi sedikit, ia ditukarkan kepada bandar yang eksklusif untuk bangsa Yahudi. Pada tahun 1980, Knesset Israel mengeluarkan pengisytiharan satu pihak bahawa Jerusalam adalah ibu negaranya meskipun ditentang oleh masyarakat antara bangsa [19].
Seperti yang kita lihat di atas, kerajaan Tuhan dan nabinya yang terakhir digambarkan oleh nabi Danial seperti berikut:
1. Terungkit lepas sebuah batu tanpa perbuatan tangan manusia. Ini ditunjukkan pada bahagian 6.14 buku ini sebagai ramalan mengenai nabi Muhammad (s.a.w.), dan pada penghujung bahagian tersebut kita telah melihat bagaimana beliau mengumpamakan dirinya seperti "bata" yang melengkapkan bangunan yang dibina oleh nabi-nabi terdahulu.
2. Batu ini akan memukul patung tersebut di kakinya yang dibina daripada besi dan tanah liat, dan memecahkannya. Islam bukan sahaja berjaya menghalau Rom dan Bizantin dari Jerusalam, tetapi juga dari Afrika Utara dan sebahagian Eropah. Mereka kemudiannya memerintah negara-negara ini selama beberapa abad dan menjadi pusat pengajian sains (di Sepanyol) dan mencapai kemajuan dalam berbagai bidang, daripada sains kepada etika kepada kehakiman. Oleh itu, rantaian ini melengkapkan pautan terakhirnya dengan mengusir mereka dari Jerusalam dan mengembalikannya sebagai kerajaan Tuhan, iaitu negara Islam.
3. Gunung besar yang memenuhi seluruh bumi. Pada suatu ketika, Islam menguasai kebanyakan kawasan Asia, Afrika dan Eropah. Terdapat banyak bukti yang mulai ditemui bahawa umat Islam juga telah merentas Lautan Atlantik dan menetap di Amerika Utara [20]. Sumber-sumber Barat kini mengakui bahawa Islam adalah agama yang paling pesat berkembang di dunia. Semakin ramai yang mempelajari Islam dan menganut Islam setiap hari. Ke mana pun anda pergi, dari Afrika Selatan, ke Jerman, ke Belanda, ke England, ke Amerika, ke Argentina, anda akan dapati bahawa semakin ramai yang memeluk Islam setiap hari.
Sesungguhnya, ini disahkan oleh nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri. Thawban, salah seorang sahabat Nabi (s.a.w.) meriwayatkan yang beliau mendengar nabi Muhammad (s.a.w.) bersabda:"[Seluruh] bumi dikecilkan bagiku sehingga aku dapat melihat kebanyakan daripada bahagian timur dan kebanyakan daripada bahagian barat. Dan aku dimaklumkan bahawa kerajaanmu akan merangkumi semua yang ditunjukkan kepadamu..." Diriwayatkan oleh Muslim, Al-Tirmathy, Abu Daud, Ahmad dan Ibn Majah
No comments:
Post a Comment