Saturday, March 17, 2007

Al-Jamaah Di Dalam Islam –Menyelesaikan Persoalan Ummah

Kejatuhan empayar Islam Uthmaniyah menjadikan umat Islam sedunia berpecah belah dan kehilangan arah dan punca perjuangan sehingga masing-masing tidak mengetahui ke manakah dan apakah seruan dakwah Islam yang harus dihadapkan.

Persoalan paling utama ditimbulkan ialah sekiranya seseorang itu mahu berdakwah dan menyeru kepada Islam maka kumpulan Islam yang manakah harus diserukan dan siapakah golongan yang boleh disertai untuk bergerak bersama kerana fitrah manusia menafikan perjuangan dan gerak kerja seorang diri.

Bahkan di dalam hadith sendiri baginda rasulullah pernah bersabda :

فان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد

“ Sesungguhnya Syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua” (hadith sahih, riwayat Ahmad dan Nasaie, Tirmidzi dan Ibn hibban dan lain-lain.)

Pelbagai perintah di dalam kitab dan sunnah menyuruh dan melazimi umat Islam supaya menetap diri di dalam jemaah al-haq dan disebut sebagai kumpulan orang-orang yang beriman serta larangan menyelisihi mereka dan perintah supaya menetap diri bersama jemaah.


Bahkan perintah di dalam Al-Qur’an juga menyuruh supaya umat Islam saling bantu-membantu di antara satu sama lain sehingga terpapar gambaran gerak kerja yang disebut “Amal Jamaie” di dalam Al-Qur’an.


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah Amat berat siksa-Nya.” (Al-Maidah : 2).

Perintah berjemaah merupakan satu perintah yang disebut sebagai wajib berdasarkan kepada hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel, selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan.

Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Iaitu jalan serta manhaj yang beradanya nabi dan para sahabatnya iaitu jalan salaf soleh dalam iktiqad (kepercayan) serta aqidah mereka itulah yang benar.

Manakala kalimah dan pengertian jemaah berdasarkan hadith pula boleh dilihat pada riwayat yang pelbagai dari baginda rasulullah salallahualaihiwasalam yang menyebut perihal jemaah.

Seperti yang dikeluarkan oleh At- Tibrani dengan sanad yang sahih akan sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam :


عليكم بالجماعة فان يد الله على الجماعة

"Hendaklah kamu berada dalam jemaah sesungguhnya tangan Allah itu berada dalam jemaah” (Riwayat Tibrani 447 /12).

Dikeluarkan oleh Imam At-Tirmidzi ra , dari riwayat Ibn Abbas ra bahawa baginda pernah bersabda :



يد الله مع الجما عة

“Tangan Allah itu bersama jemaah” (Riwayat Tirmidzi m/s 367 Jilid 6).

Juga melalui riwayat yang lain di tambah dengan


فان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد

" Sesungguhnya Syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua” (riwayat Ahmad dan Nasaie, Tirmidzi dan Ibn hibban dan lain-lain.)

Juga dari riwayat Abi Dzar ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :


من فا رق الجماعة شبرا فقد خلع الله ربقه ألاسلام من عنفه

“Barangsiapa yang memisahkan dirinya dari jemaah walaupun sejengkal maka Allah akan mencabut ikatan Islam dari tengkuknya” (Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 4750).

Sebenarnya masih banyak hadith yang menyebut mengenai perihal kewajipan melazimi dan berada dalam jemaah dan larangan dari keluar atau mengasingkan diri dari jemaah.

Juga disebut melalui riwayat Umar Ibn Khattab ra menyebut bersabdanya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :


من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة

“Barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah” (Hadith Sahih riwayat Tirmidzi no 2165, Ibn Majah dan Humaidi).

Imam Al-Hafidz Mubarakfuri dalam kitabnya Syarah Jami’ Tirmidzi Tuhfatul Ahwazi mensyarahkan hadith ini dengan menyebut kewajipan berjemaah dalam hadith ini ialah bermaksud menetapkan diri bersama kepimpinan masyarakat Islam kerana Islam itu ialah sudah merupakan sebuah jemaah dan barangsiapa yang memisahkan dirinya dan keluar dari jemaah (masyarakat Islam) itu atau menyisihkan diri (membuat jemaah baru) maka sesungguhnya dia telah menghilangkan Islam dari dirinya seperti apa yang disebut oleh hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah secara marfu dalam Sahih Muslim yang menyebut :


من خرج من الطاعة و فرقوا الجماعة فمات مات ميتة جاهلية

" Barangsiapa yang keluar dari ketaatan kepada kepimpinan umat Islam dan memecah belahkan jemaah (masyarakat Islam) maka matinya merupakan kematian jahiliyah”

Bahkan berkata lagi Hafidz, hal ini juga disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syaikhain (Imam Bukhari dan Muslim) dari Huzaifah al-yamani ra akan hadith yang berbunyi :


تلزم جماعة المسلمين وامامهم

“ Hendaklah kamu beriltizam dengan jemaah umat Islam dan kepimpinannya” dan dalam riwayat Khalid bin Sabi’ di sisi Tibrani menambah apabila kamu melihat Khalifah maka taatilah dan apabila tiada khalifah maka berperanglah ( Sila lihat Tuhfatul Ahwazi m/s 385 Jilid 6).

Menurut para ulama salaf soleh seperti apa yang diriwayatkan oleh Muhammad Ibn Sirrin dari Ibn Mas’ud ra bahawa yang dimaksudkan jemaah itu ialah para sahabat baginda dan sebahagiannya mengatakan mereka itu ialah para ulama kerana para ulama itu pewaris nabi salallahualaihiwasalam ان العلماء ورثة الأنبياء (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah).

Berdasarkan situasi pada hari ini, jemaah yang berbentuk organisasi dan membawa kefahaman yang sahih yang diperjuangkan oleh rasulullah dan para sahabat boleh memainkan peranan sebagai penyelamat umat Islam daripada kesesatan dan kejahilan. Tidak ada halangan dan kedosaan bergerak menjalankan dakwah secara berjemaah bahkan itulah yang paling afdhal selain membawa berkah dan kebaikan kepada umat Islam. Disebabkan dengan membawa dakwah secara berjemaah maka umat Islam selain teratur dan tersusun maka harakah dakwah juga bebas dari godaan syaitan secara peribadi dan ancaman-ancaman penyelewengan.

Apakah Maksud Al-Jamaah ?

Di sebut di dalam kamus Lisanul Arab oleh Ibn Manzur ra bahawa kalimah “Jamaah” bermaksud ialah menghimpunkan sesuatu daripada berpecah dan jamaah bagi manusia ialah sesuatu yang orang berhimpun dan berkumpul padanya. (lihat Lisanul Arab m/s 200 Jilid 2)

Manakala dari sudut istilah Al-Jamaah ialah “Perkumpulan orang-orang yang beriman di atas al-Haq (kebenaran) yang padanya rasul dan sahabat berada dan jalan yang dilalui oleh mereka seperti yang disebutkan oleh kitab dan sunnah.” (sila rujuk Kitab Qawaid Fil Bayan Hakikatul Iman m/s 28 oleh Syeikh Adil Ali Syaikhan, cetakan Adhaul Salaf, Riyadh, Arab Saudi)

Berdasarkan istilah di atas, jemaah bermaksud syumul, rabbani dan juga menyeluruh serta bersifat umum dan terpakai kepada sesiapa dan mana-mana kumpulan di dunia ini tanpa terikat kepada batasan kawasan, sempadan negeri dan bangsa serta organisasi.

Sesiapa sahaja yang berada di jalan yang sahih yang padanya menepati apa yang di bawa oleh rasulullah dan sahabat ra maka dia sedang berada di dalam jemaah sekalipun berseorangan atau mempunyai bilangan yang sedikit di sesuatu kawasan dan melaksanakan dasar-dasar dan prinsip berjemaah itu sendiri seperti mengangkat amir, mengadakan syura dan beramal secara jamaie maka tertunailah kewajipan berjamaah ke atas dirinya dan selamatlah dia daripada ancaman menyalahi jemaah.

Seperti hadith dari riwayat Abi Dzar ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :


من فا رق الجماعة شبرا فقد خلع الله ربقه ألاسلام من عنفه

“Barangsiapa yang memisahkan dirinya dari jemaah walaupun sejengkal maka Allah akan mencabut ikatan Islam dari tengkuknya” (Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 4750).

Sebahagian ulama menyebutkan Al-Jamaah sebagai Islam itu sendiri kerana Islam itu ialah jemaah , sebahagian mengatakan masyarakat Islam yang padanya ada imam dan sebahagian yang lain mengatakan ianya ialah haq (kebenaran) dan sunnah tetapi istilah di atas lebih tepat.

Ini berdasarkan kalimah mutiara daripada Ibn Mas’ud ra : “ Al-Jamaah itu ialah apa yang menepati kebenaran walaupun engkau berseorangan”. (Lihat dalam Syarah Usul Al-Iktikad oleh Al-Lalikaie m/s 18 Jilid 1)

Juga berkata Imam Abu Syamah ra : “ Telah datang perintah melazimi jamaah yang di maksudkan dengannya ialah perintah melazimi kebenaran dan mengikutinya sekalipun yang berpegang kepada kebenaran itu sangat sedikit sekali dan bersalahan dengan ramai orang..” (Al-Bahis Ala Inkar Al-Hawadis wal Bida’ m/s 26).

* Abu Syamah ialah Abd Rahman ibn Ismail ibn Ibrahim Al-Maqdisi ulama Muhaddis dan Mufassir, terbunuh di Dimasyq pada tahun 665 Hijrah.

Menurut Al-Imam Syatibi ra di dalam kitabnya “Al-Jamaah secara kesimpulannya mempunyai lima ciri iaitu yang pertama ialah Al-Haq (kebenaran) dan perkara ibadah serta ketaatan kepada Allah dan yang kedua ialah apa yang berada di dalamnya rasul dan sahabat, yang ketiga ialah para ulama dan mujtahid seperti yang disebutkan oleh Imam Tirmidzi ra bahawa Al-Jamaah itu ialah Ahlul fiqh wal ilm Wal Hadith dan yang ke-empat ialah Ahlul Islam iaitu apa yang berada di dalamnya umat Islam dan masyarakatnya dan lawan mereka ialah kuffar dan apa yang menyerupai kuffar dan kelima ialah apa yang disebutkan oleh Imam At-Tabari ra bahawa Jemaah itu ialah jemaah muslimin yang padanya diangkat amir dan wajib menuruti perintahnya dalam hal melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan rasul..” (lihat di dalam Al-I’tisom oleh As-Syatibi m/s 770 Jilid 2 tahqiq Dr. Salim Al-Hilali)

Maka dari penerangan di atas terkeluarlah golongan berikut daripada Al-Jamaah yang dikehendaki oleh Syarak iaitu :

1) Ahli Bid’ah dan kebathilan


2) Pengikut kumpulan sesat dan bathil seperti Syiah, Khawarij, Muktazilah, Murjiah, Qadariyah, jahmiyah, ahli kalam, sufiyah dan lain-lain)


3) Golongan yang menyalahi jalan salaf soleh dan teladan serta fatwa ulama Islam seperti ahli falsafah, pengikut isme (FIKRAH) ciptaan manusia, pengikut tokoh-tokoh tertentu yang ta’asub, golongan yang menyerupai kuffar dan menerima sistem kuffar dalam kehidupan mereka.


4) Ahli kumpulan atau organisasi yang mahukan orang lain menyertai mereka dan memperjuangkan “fahaman” dan “keyakinan” mereka yang menyalahi prinsip-prinsip Islam serta menolak organisasi selain mereka.


5) Organisasi yang memperjuangkan Islam dengan cara yang bathil, berlaku keras terhadap sesama Islam yang lain yang bukan ahli jemaah mereka dan bersikap curang terhadap Islam apabila mengajak orang menyertai jemaah mereka bukan menyeru kepada Islam sebaliknya kepada gerakan mereka.

Perjuangan jemaah yang diredhai Islam ialah “Golongan yang membawa dasar-dasar Islam dan menyeru manusia kepada Islam bukan kepada gerakan dan kumpulan mereka sebaliknya mengajak kepada kebenaran dan mengikuti kebenaran bukan kepada peribadi manusia yang tidak maksum”.


إتباع الحق لا إتباع الرجال

“Ikutilah Kebenaran Bukan Mengikuti Orangnya”

Berkata Al-Auzaie ra : “ Kami mengikuti sunnah daripada sumbernya” ( lihat Syarh Sunnah oleh Al-Lalikaie).

Berkata Ibn Abbas ra : “ Aku berasa bimbang diturunkan ke atas kamu batu daripada langit apabila aku mengatakan Allah swt berfirman sekian maka kamu bahkan mengatakan telah berkata Abu Bakar dan Umar sekian dan sekian”. (lihat di dalam Musnad Ahmad no. 337/1 dan disahihkan isnadnya oleh Syeikh Ahmad Syakir ra).

Hal ini telah disyarahkan oleh Syeikhul Islam Muhammad Abd Wahab di dalam Kitab Tauhid dan dijelaskan oleh Syeikh Soleh ibn Fauzan dengan berkata sekiranya ta’asub terhadap pendapat dan tokoh agung seperti Abu Bakar ra dan Umar ra yang merupakan sebaik manusia selepas para nabi tanpa dalil adalah dilarang maka apatah lagi ta’asub dan mengikuti pendapat mereka yang lain ?

Ubay bin Ka'ab berkata : 'Sesungguhnya sederhana di jalan ini dan (di atas) sunnah itu lebih baik daripada bersungguh-sungguh tetapi dalam menentang jalan ini dan bercanggah dengan sunnah. Maka lihatlah amalan kalian jika dalam keadaan bersungguh-sungguh atau sederhana hendaknya di atas manhaj (cara pemahaman dan pengamalan) para Nabi dan sunnah mereka.'

Baginda rasulullah pernah bersabda :


يد الله مع الجما عة

“Tangan Allah itu bersama jemaah” (Riwayat Tirmidzi m/s 367 Jilid 6).

Dimaksudkan jamaah ialah berkumpulan dan bersatu bukan berpecah, ramai lebih daripada seorang, bersoff (dalam barisan) dan tersusun bukan berterabur tanpa panduan bagaikan anak kambing



وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيراً

"Barangsiapa yang menentang rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang yang beriman maka kami membiarkan dia berleluasa dengan kesesatan yang dialaminya itu dan kami masukkan dia ke dalam neraka jahanam yang seburuk-buruk tempat kembali" (An-Nisa : 115).

Maka berkata Al-Imam Syirazi dalam kitabnya bahawa ayat di atas memerintahkan kita kepada menuruti "jalan orang yang beriman" dan larangan menyalahi mereka serta mengikuti jalan orang yang beriman itu ialah wajib (Al-Luma' Fi Usul Fiqh m/s : 180).

Jalan orang yang beriman di dalam ayat ini merujuk kepada sebaik-baik golongan manusia yang beriman iaitu mereka yang beriman di zaman rasul dan hidup di bawah pertunjuk Allah dan di zaman penurunan wahyu iaitu para sahabat ra dan kemudian para anak-anak mereka dan seterusnya cucu mereka yang disebut sebaik-baik golongan.



وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

" Golongan yang terdahulu daripada Muhajirin dan Ansor dan golongan yang mengikuti mereka dengan ehsan maka telah redhalah Allah kepada mereka dan mereka pun merasa redha dengan Allah" (At-taubah : 100).



مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعاً سُجَّداً يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَاناً سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْراً عَظِيماً

"Muhammad itu rasul Allah dan golongan yang bersamanya bersikap keras terhadap kuffar dan berkasih sayang di antara mereka dan kelihatan dari mereka beruku' dan bersujud dan mereka mencari fadhilat dari Allah dan redha-Nya" (Al-fath : 29).

Diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud " Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan. Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda " Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku ." (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Nabi Salallahualaihiwasalam bersabda melalui riwayat Aisyah ra : " Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi'ien)" (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 50)

Dasar-Dasar Jamaah

Hendaklah difahami bahawa sesuatu yang dinamakan jemaah itu haruslah mempunyai dasar-dasar dan ciri-ciri berikut berdasarkan apa yang telah diberikan garis panduan oleh kitab dan sunnah serta fatwa ulama di dalam persoalan harakah (gerakan).

Pertama :

Hendaklah Mengangkat Amir & Imam

Mengangkat Imam atau amir ialah satu kewajipan yang diperintahkan oleh sunnah dan hal ini merupakan salah satu di antara bukti-bukti kewajipan hidup berjemaah di dalam Islam supaya masyarakat Islam dan umatnya terpelihara dari penyelewengan dan kesalahan. Para ulama menyebutkan bahawa mengangkat imam bagi umat Islam itu ialah satu kewajipan yang disepakati oleh ijmak ulama. (lihat Al-Ahkam Sultoniyah m/s 5)

Disebutkan oleh para ulama seperti Imam Ibn Hazm dan Imam Al-Qurtubi ra bahawa tidak ada khilaf dalam persoalan kewajipan mengangkat imam bagi golongan ahlul sunnah dan tidaklah menyalahi mereka hal ini melainkan golongan yang sesat. (lihat Al-Imamah Al-Uzma oleh Syeikh Dr Abdullah Ad-Domaiji m/s 46)



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. kemudian jika kamu berlainan Pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisa : 59)

Diriwayatkan oleh Imam At-Tabari daripada Abu Hurairah ra bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri itu ialah para pemimpin dan kemudian di tambah lagi dengan katanya At-Tabari yang paling tepat dari maksudnya ialah mereka itu para pemimpin yang diberikan wala ketaatan oleh umat Islam dan pemelihara maslahat umat Islam. (Tafsir At-Tabari m/s 497 Jilid 7 dengan isnad yang sahih)

Bahkan di dalam hadith terdapat perintah supaya melantik amir apabila seseorang keluar bermusafir seperti hadith riwayat Abu Said Al-Khudri ra bahawa baginda rasulullah bersabda : “ Sekiranya keluar tiga orang dalam musafir maka hendaklah mengangkat amir salah seorang di antara mereka.” Demikian juga hadith yang sama makna daripada riwayat Abu Hurairah Abdullah ibn Umar dengan tambahan. (Hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud no. 87 dan lain-lain)

Maka berkatalah Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah ra dengan maksudnya sekiranya diwajibkan mengangkat amir bagi satu kumpulan yang kecil seperti tiga orang di dalam musafir maka lebih-lebih lagi menjadi kewajipan untuk mengangkat amir (pemimpin) di dalam kumpulan yang lebih besar dari itu apatah pula di dalam urusan yang lebih besar dari sekadar musafir. (lihat Al-Imamah Al-Uzma oleh Syeikh Dr Abdullah Ad-Domaiji m/s 50)

Pengangkatan Amir (pemimpin) di dalam Islam terlihat dari hadith yang menyuruh supaya mengangkat ketua di dalam musafir maka perlantikan ketua bagi urusan besar dari musafir adalah amat-amat lebih perlu seperti urusan dakwah, tarbiyah dan jihad serta pelbagai hal urusan agama. Sehingga di dalam kitab solat terdapat hadith dan bab supaya menyuruh menunggu imam dan hadith yang memerintahkan supaya makmum bersolat menurut takbir imam dan mengikuti perbuatannya sekaligus mencerminkan kedudukan imam dan ketua yang mesti dipatuhi dalam hal yang berkaitan syarak dan memberi manfaat kepada syarak.

Melalui amir (pemimpin) dan Imam maka umat Islam lebih tersusun dan kemas serta rapi dalam bergerak menegakkan deen Allah dan sesungguhnya telah disebutkan di dalam hadith baginda : “ Mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan disukai oleh Allah swt daripada mukmin yang dhaif.” (hadith sahih riwayat Muslim dan Ibn Majah no. 79)

Kedua :

Melaksanakan Syura’ Dalam Urusan

Di antara aspek penting dasar sesebuah jamaah menurut kitab dan sunnah serta konsep kumpulan orang-orang yang beriman ialah mereka melaksanakan syura’ di dalam urusan mereka seterusnya bertawakal kepada Allah di atas segala keputusan yang dibuat.



وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (As-Syura : 38)



فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu Berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. kerana itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali-Imran : 159)

Berkata Al-Ustaz Syed Qutb bahawa pada ayat ini tergambarlah kekhususan umat Islam ini berbanding umat-umat yang lain apabila Allah memerintahkan mereka dengan mengadakan syura’ sedangkan ayat ini ialah ayat Makkiyah dan daulah Islam belum lagi tertegak di Madinah maka difahami bahawa inilah sifat jemaah yang mesti ditegakkan oleh jemaah umat Islam sebelum menuju kepada daulah bahawa syura ditegakkan di dalam segala urusan penting mereka. (lihat Fi Zilalil Qur’an m/s 316 Jilid 5)

Disebut di dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra : “ Tidaklah aku melihat seorang pun yang lebih banyak bermesyuarat bersama sahabatnya selain nabi salallahualaihiwasalam.” (hadith riwayat Tirmidzi, Syafie dan Baihaqi, rijalnya siqah tetapi terputus isnadnya).

Maka menjadi kewajipan kepada para muslimin menegakkan syura’ di dalam jemaah atau gerakan mereka serta memahami baawa ianya ialah sunnah yang sangat dituntut oleh Allah swt serta menjadi salah satu dasar kepada sebuah jemaah yang dikehendaki oleh syariat.

Ketiga :

Mengikuti Tanzim (Organisasi)

Organisasi atau sebuah tanzim merupakan perkara yang mesti dan lazim di dalam sebuah gerakan atau jemaah dan ianya mesti di atur dengan baik menurut kesesuaian serta kedudukan yang sewajarnya. Di dalam hadith baginda rasulullah salallahualaihiwasalam ada menyebut :


أمرت أن أخاطب الناس على قدر عقولهم

" Aku diperintahkan untuk berbicara dengan manusia menurut kadar kemampuan mereka"(Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.124).

Lantaran itu penetapan organisasi, bidang tugasan dan pekerjaan harus disesuaikan benar-benar menurut kemampuan seseorang dan kebolehan serta keperluan semasa yang memerlukan kepada jemaah menetapkan seseorang memikul tugas dan berperanan dalam gerak kerja agama yang diputuskan melalui syura’.

Mengikut arahan atau bertindak melalui bidang kuasa serta struktur organisasi adalah sangat penting kerana ianya menjamin kepada keselamatan dan manfaat umum yang terselamat dari kesilapan dan penyelewengan. Banyak berlaku kepada umat Islam yang bertindak tidak menurut struktur organisasi sebaliknya bersikap “Sendiri” akhirnya tewas dan terjebak kepada kekalahan, penyelewengan dan kesilapan.

Hal ini pernah disebutkan di dalam hadith baginda rasulullah salallahualaihiwasalam mengenai kebahayaan bertindak dan melakukan kerja seorang diri termasuk dalam beramal untuk Islam apabila baginda menyebutkan :

فان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد
“ Sesungguhnya Syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua” (riwayat Ahmad dan Nasaie, Tirmidzi dan Ibn hibban dan lain-lain.)



(bersambung insyaAllah...)

1 comment:

hisyam_mujahid said...

fadhilatul ustaz. sangat menarik perbahasan ni. sambungannya dah ada? :)

p/s: sedang 'berjalan2' di blog ustaz melihat entri2 dulu dan kini. salam perkenalan.