Tuesday, February 14, 2006

Permasalahan Takdir Allah yang Menimpa Kita (Duka & Kesedihan Serta Jalan Penyelesaian).

Perihal takdir Allah swt termasuk dalam hal yang disebut sebagai tauqifiyah (diberhentikan perbicaraan mengenainya hanya sekadar pada dalil yang sampai dari kitab dan sunnah).

“ Maka sembahlah Dia (Allah) dan bertawakallah kepada-Nya dan sesungguhnya tidaklah tuhan-Mu lalai dari apa yang kamu lakukan” (Hud : 123).

Nabi salallahualaihiwasalam pernah berdoa dengan menyebut : "Dan Aku mohon berikanlah aku menjadi redha kepada Qadar" (hadith sahih diriwayatkan oleh Nasaie dan Hakim dan disepakati oleh Adz-Zahabi).

Juga baginda bersabda lagi : " Sesungguhnya telah hancur golongan sebelum kamu kerana berselisihnya mereka dengan para nabi mereka dan tidaklah sekali-kali beriman seorang di antara kamu selagi dia tidak beriman dengan qadar kesemuanya sama ada yang baik atau yang buruk" (Hadith hasan lihat dalam Kitab Sunnah oleh Ibn Abi Asim).

Bagaimanakah berlakunya takdir itu ?

Disebut dalam hadith yang sahih bahawa takdir itu yang berlaku ke atas hamba-hamba Allah yang ditetapkan oleh Allah menjadikan segala sesuatu itu terjadi takdir yang berlaku secara sudah tertulis sejak awal.

Adapun begitu amal dan perbuatan tetap menjadi kiraan kerana sesuatu takdir itu menimpa di atas amal yang dilakukan dan amal itu berlaku berasaskan takdir yang telah ditentukan.

Hadith Umar ra yang bertanya nabi tentang amal dengan mengatakan : " Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan apakah ianya sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku ? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda : "Sesungguhnya telah pun ditetapkan segala sesuatu pada setiap perkara" maka di balas oleh Umar : "Apakah kita harus menyerah sahaja kalau demikian ? Maka bersabdalah baginda nabi : "Beramallah wahai anak Khattab, segala sesuatu itu sudah dipermudahkan adapun barangsiapa yang tergolong dari ahli kebaikan (syurga) maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan barangsiapa yang tergolong dalam ahli siksa maka dijadikan dia beramal jahat untuk neraka " (Hadith sahih, riwayat Ahmad 29 Jilid 1).

Demikianlah juga kisah yang berlaku dalam Bukhari dan Muslim mengenai protes Musa as kepada Adam as dan lain-lain riwayat yang menunjukkan kita bahawa amal dan takdir itu saling berkaitan.

Seseorang itu mendapat takdir yang menimpanya ialah berdasarkan perbuatannya dan perbuatannya itu sudah pun ditakdirkan oleh Allah swt akan apa yang akan dilakukan dan dia sendiri tidak menyedarinya.

Kita (lelaki) misalnya akibat kebodohan kita, keegoan dan pelbagai lagi kesilapan yang dilakukan akhirnya menyebabkan kita kehilangan perempuan yang kita kasihi dan sesungguhnya perbuatan kita itu menjadi sebab berlakunya takdir (perpisahan) yang menyedihkan tetapi perbuatan kita (melukakan hati perempuan yang dikasihi dan lain-lain kesilapan) juga sebenarnya merupakan sesuatu yang sudah ditakdirkan.

“Dikalangan mereka (manusia) ada yang celaka dan ada yang bahagia” (Hud : 105).

Kerana itu Orang yang beriman dan berilmu mengetahui dan beriman dengan segala takdir Allah swt baik yang suka atau yang pahit. Mereka mengerti kesilapan yang dilakukan itu adalah kerana ditakdirkan dan akhirnya membawa satu takdir yang wajib diimani.

Nabi salallahualaihiwasalam bersabda : "Adapun ahli syurga dipermudahkan supaya mereka dapat beramal dengan amalan ahli-ahli syurga dan ahli neraka dipermudahkan supaya mereka beramal dengan amalan-amalan ahli neraka" (Hadith sahih dengan ijal yang siqah dikeluarkan oleh Al-A'jari ).

Lalu mereka (orang yang beriman) segera bertaubat memohon kepada Allah swt supaya dipilih untuk termasuk dalam kalangan yang dipermudahkan kepada amalan kebaikan dan dipilih supaya termasuk di kalangan mereka yang diredhai lalu dipermudahkan untuk melakukan amalan-amalan soleh yang membawa kepada takdir yang baik dan diredhai.


Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam kerap membaca doa : “Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ? Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).


Bagaimana Mahu Menghadapi Takdir Allah yang Pedih dan Sedih dan Cara mendapat takdir yang baik dan menghindari dari Takdir yang Buruk ?

Melalui penjelasan ringkas sebelum ini sudah memberi kesedaran dan pemahaman bahawa takdir itu sudah ditetapkan oleh Allah swt sejak dalam perut ibu lagi kepada hamba-hamba-Nya ini seperti yang disebut dalam hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut rasulullah bersabda :

“Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad ).


Maha suci Allah hanya kepada-Nya kita kembali dan memohon perlindungan dari takdir yang buruk dan pengakhiran yang tidak baik.

Sesungguhnya hendaklah kita berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan dengan berusaha meminta dan memohon kepada Allah swt tanpa henti dan tangguh supaya termasuk di kalangan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.

Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan :

1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah : "Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi).

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Memperbanyakkan amalan Soleh seperti sedekah

Dari riwayat Anas bin Malik ra bahawa rasulullah salallahaulaihiwasalam bersabda : " Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan Al-Rabb (Allah)" (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 664).

2) Bersabar serta bersangka baik kepada Allah swt dan mengharap rahmat-Nya serta tidak berputus asa di atas segala derita yang menimpa dan takut serta harap kepada rahmat dan kasih sayang-Nya.

Sabda baginda salallahualaihiwasalam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).

Ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :

“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).

“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).

“ Dan memintalah kamu akan pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat melainkan bagi mereka yang khusyuk” (Al-Baqarah : 45).

3) Bertawakal kepada Allah swt selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk Allah dan rasul dan bersangka baik serta menyerah kepada takdir Allah swt dengan penuh keredhaan dan lapang hati serta yakin.

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadith dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasalam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :

“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu :

Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau,

jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah.

Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan

jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau.

Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan)”
(Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).

Bahkan turut disebut dalam Hadith yang lain riwayat Anas bin Malik bahawa baginda sentiasa membaca doa “ Dengan nama Allah aku bertawakkal hanya kepada Allah” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no.2724 ).


“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Surah Ali-Imran : 159).


Segala puji hanyalah bagi Allah swt


Rujukan :

i) Tafsir Al-Qur’an
ii) Kitabul Sunnah oleh Ibn Abi Asim (wafat 287 Hijrah)

P/s :

Sesungguhnya tulisan ini ditulis sebagai meringankan beban batin yang menekan bagi sesiapa yang diuji dalam kehidupan moga beroleh penyelesaian dan pemahaman.

1 comment:

halimazumz said...

terima kasih