Tuesday, February 14, 2006

Perihal Amar Ma'ruf Nahi Mungkar Menentang Sekuler Dan Kezaliman Kerajaan Barisan Nasional Di Malaysia

Baru-baru ini ana sempat menemui seorang kawan yang baru sampai di Yaman setelah pulang bercuti di Malaysia untuk berapa waktu. Dia seorang yang giat dengan ijaz ilmi (mukjizat ilmu dalam Al-Qur'an dan sunnah) yang dibawa melalui pendekatan Syeikh Abd Majid Adz-Zindani (seorang ulama Yaman yang mengasaskan Universiti Iman di bandar San'a dan merupakan pimpinan tertinggi Parti Islah Yaman (Jemaah Ikhwan Muslimin Yaman) seorang salafi pada aqidah dan manhaj tetapi berharakah dengan Ikhwan Muslimun dan kebanyakkan ulama-ulama Ikhwan Muslimun tiada seorang pun yang berfahaman sufi apatah lagi berfahaman sesat dari Hadramut.

“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11).

Malangnya budak-budak Melayu Hadramut dan yang berfahaman Hadramut boleh pula menjadi sufi sedangkan tokoh-tokoh ulama Ikhwan yang besar seperti Dr Yusof Al-Qaradhawi, Syeikh Abd Majid Adz-Zindani, Syeikh Dr Abd Karim Zaidan, Syeikh Dr. Abd Wahab Khalaf, Syeikh Dr Abd Wahab Ad-Dailami, Dr Said Hawa, Dr Said Ramadhan Al-Buti dan lain-lain semuanya menentang sufi dan bid'ah-bid'ah mereka dan beraqidah salafi dan mengambil aliran Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan menghormati Syeikh Muhammad Abd Wahab sebagai mujadid.

Syeikh Abu Hasan Ali An-Nadwi memasukkan nama Syeikh Muhammad Abd Wahab sebagai salah seorang mujadid dalam bukunya dan demikian juga pengakuan dari Syeikh Rasyid Redha, Muhammad Abduh, Dr Yusof Al-Qaradhawi, Dr Abd Karim Zaidan dan lain-lain ulama.

Sesiapa yang memburukkan Syeikh Muhammad Abd Wahab maka dia seolah-olah mendakwa dia lebih alim dari Dr Yusof Al-Qaradhawi dan Syeikh Abu Hasan Ali An-Nadwi, Dr Abd Karim Zaidan dan lain-lain ulama dunia.

Lupakan dulu pasal sufi InsyaAllah selama hidup ana akan ana abadikan menentang fahaman ini tetapi kembali pada tajuk perbincangan ialah apa yang diberitahu oleh kawan ana akan satu fenomena yang masih berterusan sejak dulu hingga sekarang kesan dari "harakah jahiliyah Islamiyah" apabila gejala maki-maki kerajaan dan kutuk kerajaan masih berterusan di kalangan pendakwah.

Ditanyakan kepada rasulullah apakah perkara yang terbaik dalam Islam lalu dijawab oleh baginda salallahualaihiwasalam : “ Orang yang dapat menyelamatkan golongan muslimin dari lisannya atau tangannya (tidak menyakiti orang lain dengan lisan atau perbuatan)” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 11 dan Muslim).

Seorang ustaz tidak akan dianggap jujur, alim dan amanah dengan ilmunya selama dia belum memaki kerajaan di pentas-pentas ceramah dan tidak mendedahkan kezaliman kerajaan Barisan Nasional dan menyatakan pendiriannya bersama PAS atau mana-mana parti pembangkang. Ini ialah satu kejahilan dan sikap bodoh yang masih diwarisi oleh umat Melayu Islam yang jauh dari pertunjuk salaf soleh.

Berkata rasulullah juga : “Bukanlah dari kalangan kami barangsiapa yang tidak menghormati orang tua (juga termasuk pembesar) kami dan mengasihi kanak-kanak (orang muda) dan mengetahui (menghormati) hak orang alim di kalangan kami” (hadith hasan riwayat Ahmad dan hakim dari Ubadah Ibn Somit ra).

Kawan ana (seorang ustaz juga) merupakan penceramah yang mampan dari sudut ilmu dan sealiran dengan ana dalam hal salaf cumanya dia lebih giat berharakah dari ana yang agak sibuk dengan urusan ilmiah. Dia mengadukan betapa orang mengatakan dia diberi upah, dibayar oleh kerajaan UMNO semata-mata dalam ceramahnya tiada langsung memaki kerajaan apatah lagi memburukkan kerajaan Barisan Nasional yang berfahaman Nasionalis (kebangsaan) dan sekuler itu.

“Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun sesungguhnya dia itu amat melampaui batas dan katakanlah kepadanya dengan perkataan yang lemah lembut mudah-mudahan dia menerima peringatan atau menjadi takut (kepada Allah)” (Taha : 44).

Ini sebenarnya perlu diperjelaskan bahawa pemikiran jahiliyah, fahaman syiah, semangat khawarij dan kejahilan sunnah masih menebal di pemikiran dan hati-hati orang Islam Melayu apabila mereka dengan mudah menerima sistem barat (demokrasi) dan kemudian mereka hendak pula menolak sekuler yang merupakan ibu kepada demokrasi dan sistem-sistem lain yang dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu.

Sikap Syiah Yang Wujud Dalam Orang Melayu Dan Harakah Islamiyah Malaysia

Orang Malaysia masih belum sedar betapa harakah tertentu di Malaysia dulu banyak digerakkan oleh semangat revolusi Iran (Khomeni) dan mereka mengambil pengajaran dari gerakan revolusi Islam Syiah Iran yang menumbangkan kerajaan komunis (sekuler) di Iran.

Selain daripada itu beberapa prinsip syiah turut diamalkan secara meluas tanpa sedar misalnya takiyah (pendustaan / helah yang menjadi halal kepada syiah) dengan kaedah matlamat menghalalkan cara serta beberapa prinsip lain.

Ini seperti disebut oleh mereka yang konon menyandarkan sebuah kata-kata dari Imam Ja’far Sadiq (83- 148 H) yang kononnya pada mereka pernah menyebut : “ Takiyah itu ialah agama aku dan agama bapa-bapa aku dan tidak berimanlah kepada sesiapa yang tidak bertakiyah ”

Sirah Islam menunjukkan syiah selain sebuah gerakan keagamaan juga sebuah gerakan siyasah (politik) yang licik dan sentiasa bergerak licin menjalankan kerja-kerja batu api di kalangan umat Islam bagi menjatuhkan kerajan sunni dan menegakkan kerajaan syiah.

Kita lihat sahaja bagaimana kerajaan bani Umaiyah dijatuhkan dan bani abasiyah ditegakkan dengan kerjasama puak alawiyah (syiah) yang bergerak gigih menjalankan kempen politik supaya tertegak kerajaan syiah.

Kita dapat ketahui hal ini seperti yang kerap berlaku kepada harakah gerakan pelajar yang melampau yang menjalankan pelbagai helah dan politik bagi memenangi dan menguasai pilihanraya yang meniru perbuatan syiah baik sedar dan tidak.

Sifat ta’asub pada harakah sendiri, muslimin dan muslimat hanya bernikah dalam lingkungan sefikrah dan mengajarkan ahli-ahli gerakan kepada kitab-kitab fikrah mereka sahaja ini seolah-olah syiah dalam aspek gerakan.


Pemahaman Khawarij dalam Gerakan Islam Malaysia


Tidak kurang Syiah yang merebak di Kedah dan di beberapa buah negeri di semenanjung dan menguasai pemikiran orang-orang intelek dan persatuan agama di Malaysia melalui pelajar-pelajar yang menuntut di Iran dan lain-lain kita juga turut diancam oleh bahaya pemikiran Khawarij.

Imam Al Barbahari (Ulama Hambali wafat 329Hijrah di Baghdad) berkata : "Setiap orang yang memberontak kepada imam (pemerintah) kaum Muslimin adalah Khawarij. Dan bererti dia telah memecah kesatuan kaum Muslimin dan menentang sunnah. Dan matinya seperti mati jahiliyah." (Syarhus Sunnah karya Imam Al Barbahari, tahqiq Abu Yasir Khalid Ar Raddadi halaman 78) .

Berkopiah putih, bertakbir, berjubah dan berpakaian keagamaan tradisonal melaungkan suara dengan tinggi akan kalimah-kalimah takbir dan membaca zikir-zikir dengan lantang seolah-olah hendak berperang sesama umat Islam dan kekerasan dalam pecakapan ketika berceramah seolah-olah mahu membunuh orang UMNO menunjukkan mereka di serapi pemikiran khawarij.

Menjatuhkan fatwa kafir kepada pemimpin kerajaan yang beragama Islam kerana tidak menegakkan hukum hudud, memaki-maki orang UMNo dalam ceramah, mencela dan mengutuk kerajaan Barisan Nasional maka ini ialah juga contoh perbuatan mereka yang diserapi pemikiran Khawarij.

Asy Syahrastani berkata : "Setiap orang yang memberontak kepada imam yang disepakati kaum Muslimin disebut Khawarij. Sama saja, apakah dia memberontak di masa sahabat kepada imam yang rasyidin atau setelah mereka di masa para tabi'in dan para imam di setiap zaman." (Al Milal wan Nihal halaman 114)

Perihal Khawarij ini juga diterangkan oleh hadith Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam : "Akan datang suatu kaum pada kalian yang kalian akan merendah diri bila solat kalian dibandingkan dengan solat mereka, puasa kalian dibandingkan dengan puasa mereka, amal-amal kalian dibanding dengan amal-amal mereka. Mereka membaca Al Qur'an (tetapi) tidak melewati kerongkongan mereka. Mereka terlepas (terkeluar) dari agama ini seperti lepasnya anak panah dari busurnya" (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 5058 dan Muslim no. 147/1064).

Mereka melampaui batas dalam beribadah hingga terjerumus ke dalam bid'ah. Mereka tidak tahu bahwa : "Sederhana dalam sunnah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam bid'ah."
"Ini adalah ucapan emas. Telah sahih dari beberapa sahabat di antaranya : Abu Darda' dan Ibnu Mas'ud.

Ubay bin Ka'ab berkata : “Sesungguhnya sederhana di jalan ini dan (di atas) sunnah itu lebih baik daripada bersungguh-sungguh tapi menentang jalan ini dan sunnah. Maka lihatlah amalan kalian jika dalam keadaan bersungguh-sungguh atau sederhana hendaknya di atas manhaj (cara pemahaman dan pengamalan) para Nabi dan sunnah mereka”.

Bekerjasama dengan Orang Kafir tetapi Tidak dengan Orang Islam kerana masalah Politik

Di antara sikap Khawarij juga ialah mereka sanggup bertolak ansur dengan parti-parti bukan Islam dan harakah bukan Islam semata-mata mahu menentang kerajaan umat Islam. Kita lihat dalam beberapa adegan parti pembangkang yang mengaku beraliran agama sanggup bekerjasama dengan parti bukan Islam menentang orang Islam kerana masalah politik.

Demikian sanggup menanggal ukhuwah Islam demi maslahat politik merupakan salah satu sifat Khawarij.

Di perjalanan, orang-orang Khawarij bertemu dengan Abdullah bin Khabbab maka mereka berkata : "Apakah engkau pernah mendengar dari ayahmu sebuah hadith yang dia dengar dari Rasulullah?" Dia menjawab : "Ya, aku mendengar ayahku berkata : 'Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pernah berbicara tentang fitnah dengan menyebut : “Orang yang duduk lebih baik daripada yang berdiri. Dan orang yang berjalan lebih baik daripada yang berlari. Maka jika engkau mendapati masa seperti itu, jadilah engkau seorang hamba Allah yang terbunuh'." (Hadith sahih riwayat. Ahmad 5/110, Ath Thabrani no. 3630, dan hadith ini memiliki beberapa syawahid).

Mereka berkata : "Apakah engkau mendengar ini dari ayahmu yang dia dengar dari Rasulullah?" Dia menjawab : "Ya." Maka mereka membawanya ke tepi sungai kemudian mereka penggal lehernya. Maka memancutlah darahnya seakan-akan dua tali sandal. Kemudian mereka membelah perut budak wanitanya yang sedang hamil.

Dan ketika mereka melewati sebuah kebun kurma di Nahrawan, jatuhlah sebiji buah. Maka salah seorang dari mereka mengambilnya dan memasukkannya ke dalam mulutnya. Maka temannya berkata : "Engkau telah mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan tanpa membayar." Kemudian dia memuntahkannya. Dan salah seorang mereka ada yang menghunuskan pedangnya dan mengibaskannya, kemudian lewatlah seekor babi milik ahli dzimmah (kafir yang membayar jizyah) dan dia membunuhnya (babi itu). Mereka berkata : "Ini adalah perbuatan merosak di muka bumi." Kemudian dia menemui pemiliknya dan membayar harga babi itu. (Talbis Iblis halaman 120-121).

Demikianlah kebodohan Khawarij apabila tidak merasa berdosa membunuh seorang sahabat nabi, seorang muslim yang beriman kerana maslahat politik tetapi sanggup pula merasa salah dan tidak sampai hati memakan kurma tanpa membayar harganya dan membunuh babi tanpa izin.

Patutlah menjauhi pemikiran Khawarij di Malaysia apabila kita melihat sekumpulan umat Islam sanggup memaki-maki Umno dan Barisan Nasional tetapi sanggp pula menjaga hati orang-orang kafir demi maslahat politik.

Sabda baginda Salallahualaihiwasalam : “ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .


Perihal Sekuler di Malaysia dan Semangat Kebangsaan

Islam menentang perjuangan berasaskan kebangsaan dan semangat yang melampau mengenainya sebaliknya menerima perihal yang berkait dengan kebangsaan yang tidak bercanggah dengan Islam.

Dalam sebuah hadith ada menyebut bahawa barangsiapa yang berjuang dengan semangat kebangsaan (perkauman) maka matinya menjadi seperti matinya orang jahiliyah.

Demikian juga mengenai sekuler yang dalam bahasa Inggeris disebut “Secularism” atau dalam bahasa Perancis disebut “Secularite” dan golongan yang mengaitkan sekuler sebagai salah satu yang berasal dari keilmuan ialah salah kerana ilmu disebut sebagai “Science” dan kumpulan kesungguhan ilmu disebut “Scientism”.

Oleh yang demikian menurut pakar bahasa menterjemahkan sekuler sebagai salah satu dari gagasan ilmu ialah salah sebaliknya kita menterjemahkan sekuler sebagai satu pemikiran yang memisahkan dunia dengan agama yang disebut “ Ladiniyah” (tiada agama) atau “Duniyawiyah” (keduniaan semata-mata).

Demikian yang diterjemahkan oleh Britannica Ensiklopedia yang menyebut sekuler ialah : “ Pergerakan kemasyarakatan yang bertujuan mengalihkan tumpuan manusia dari perihal keagamaan (akhirat) kepada perihal dunia semata-mata”.

Juga Kamus Oxford menjelaskan makna Sekuler dengan menyebut ianya sebagai : "Keduniaan, kebendaan yang tiada padanya keagamaan atau keruhaniyah seperti pendidikan tanpa agama, seni atau muzik yang tanpa pengaruh agama, kerajaan tanpa agama.."

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah.” (Al Maidah : 49).

Perlembagaan Malaysia jelas-jelas dibentuk oleh majlis perintah British sewaktu kemerdekaan dan dibina dengan berasaskan undang-undang Common Law Britain dan disertai Undang-undang Ekuiti secara kecil dan berasaskan konsep sekuler dengan mengasingkan keagamaan dari kerajaan kecuali dalam hal kecil yang termasuk dalam soal ekuiti apabila agama Islam diberi hak kecil bawah peruntukan perlembagaan khas semata-mata untuk orang Melayu Islam.

Diriwayatkan dari baginda rasulullah pernah bersabda : “Pastinya akan berlaku Islam ini diruntuhkan sedikit demi sedikit dan setiap kali Islam itu diruntuhkan maka manusia akan beralih kepada apa yang berikutnya dan yang paling awal diruntuhkan ialah pemerintahan dan yang paling akhir ialah solat” ( hadith sahih riwayat Ahmad dalam Musnadnya).

Kejahilan orang Melayu melahirkan sekuler dan membiaknya dengan sihat di dalam pemikiran orang-orang Melayu di Malaysia khasnya melalui dana dan saranan kerajaan pemerintah UMNO yang banyak dipengaruhi oleh pemikiran barat.

Kewujudan universiti dan pusat pendidikan yang berasaskan falsafah barat, membentuk pemikiran keduniaan, pengajian demi sijil dan pengiktirafan ijazah sehingga pemikiran orangb ramai di doktrin untuk belajar demi mendapat sijil supaya beroleh pekerjaan yang lumayan (bergaji mewah) dan mampu mendapat kehidupan selesa dari wang ringgit kebendaan.

Pemikiran kebendaan yang diserapkan melalui institusi pendidikan, kemasyarakatan melalui filem, seruan kerajaan kepada hidup duniawi dengan mengabaikan aspek agama kecuali semata-mata demi maslahat politik. Kewujudan parti –parti berasaskan sistem demokrasi yang mementingkan suara rakyat majoriti berbanding suara agama (milik ahli ilmu) serta para ulama.

“Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasik (kafir)? Mereka tidak sama.” (As Sajdah : 18).

“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11).

Menyebabkan keruntuhan akhlak dan agama dipinggirkan lantaran nafsu dan syaitan serta kejahatan lebih menguasai massa dan majoriti berbanding kebaikan yang hanya sedikit yang menyukainya.

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Al An’am 116).

“Sesungguhnya hari kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tiada beriman.” (Al Ghafir : 59).

Dalam kamus milik para pemuja demokrasi iaitu kamus Collins cetakan London tahun 1979 disebutkan bahawa makna demokrasi adalah hukum dengan perantaraan rakyat atau yang mewakilinya.(Lihat buku Ad Demokratiyyah wa Mauqifil Islami Minha).

Kebanyakkan rakyat lebih menyukai kelab malam, artis dan hiburan, kebebasan dalam semua aspek, keseronokkan maka tentunya Islam yang mengongkong banyak perkara dan membataskan manusia kepada syariat yang diturunkan oleh Allah akan mendapat tentangan dan di dalam Negara sekuler apabila agama tiada tempat maka hukum manusia dan akal jahil agama yang akan memerintah dan membentuk sistem kehidupan masyarakat sehingga menjadikan masyarakat jauh dari agama.

Adapun mereka yang cintakan agama, yang mengetahui Islam melalui pemahaman yang sahih sangatlah sedikit dan mereka tidak banyak dan suara mereka tidak didengar serta mereka tidak dapat mengubah dan menguasai masyarakat kerana sistem Sekuler (melalui penerapan Demokrasi) memerlukan suara majoriti sedangkan Allah telah menyebut :

“Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih dan amat sedikitlah mereka ini.” (Shad : 24).

Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dari hadits Ibnu Abbas radliyallahu 'anhuma bahwa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda : “Diperlihatkan kepadaku keadaan umat-umat. Aku melihat seorang Nabi bersama beberapa pengikutnya juga seorang Nabi bersama seorang lelaki dan dua orang lelaki. Dan ada juga seorang Nabi yang tidak bersama seorang pun juga.”

Syaikhul Islam Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah mengkategorikan tertipu dengan jumlah yang banyak ini termasuk salah satu kaedah jahiliah.

Beliau mengatakan :
“Sesungguhnya termasuk dari kaedah orang-orang jahiliah adalah tertipu dengan jumlah yang banyak dan mereka berdalil dengan jumlah terbanyak tadi untuk menunjukkan sahnya sesuatu dan mereka juga berdalil untuk menunjukkan bathilnya sesuatu dengan jumlahnya yang sedikit dan aneh.” (Masaa’il Jaahiliyah, masalah nombor 5).

Parti UMNO bukanlah parti yang Islamik, selain seruan UMNO yang membawa kepada kebangsaan Melayu ialah haram bahkan parti UMNO turut bersubahat dengan konsep Sekuler dan keruntuhan moral yang bercambah di Negara Malaysia.

UMNO yang merupakan parti kerajaan telah melakukan banyak kezaliman kepada masyarakat Islam Malaysia dengan meninggalkan hukum Allah swt dan tidak beramal dengan sunnah rasulullah dan meninggalkan banyak perkara dasar.

Mereka memerintah dengan pemahaman konsep sekuler, membenarkan lesen arak, tidak membela agama Islam, tidak mempromosikan agama Islam dan menentang penindasan terhadap umat Islam, UMNO dan Barisan Nasional yang merupakan parti pemerintah juga tidak begitu mengambil berat pada agama Islam kecuali dalam hal remeh.

Seperti PAS yang turut bersubahat dengan konsep Sekuler pada penyertaannya dengan sistem Sekuler misalnya Demokrasi dan mengiktiraf sistem yang bercanggah dengan agama ini mereka (PAS) juga tidak memainkan peranan berkesan dan benar dalam menjalankan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar di kalangan masyarakat berbanding gerakan dakwah lain yang lebih berkesan.

Pun begitu perihal politik bukanlah mudah dan tidak wajar dimasukkan soal hukum halal dan haram dengan mudah selain kita menentukan hukum hanya pada kesan dan akibat. Pengajaran dapat di ambil dalam kisah Usman ra, kisah Ali ra dan Muawiyah ra dan juga pada zaman Yazid ra dan lain-lain yang memerlukan umat Islam bersabar serta berlapang dada sesama muslim dan tidak terburu-buru menjatuhkan hukum haram kepada satu sama lain dan membenarkan pertumpahan darah sesama muslim sehingga melahirkan fitnah yang dimurkai Allah swt.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” (Ali – Imran :102).

Al Hafidz Ibnu Katsir rohimahullah berkata : “Allah telah memerintahkan kepada mereka (umat Islam) untuk bersatu dan melarang mereka dari perpecahan. Dalam banyak hadith juga terdapat larangan dari perpecahan dan perintah untuk bersatu dan berkumpul (di atas kebenaran).” (Tafsir Ibnu Katsir 1/367).

Diriwayatkan dari Auf bin Malik ra yang rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “ Hendaklah sesiapa yang dibawah kepimpinan pemerintah dan dia melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka hendaklah dibenci apa yang dilakukan oleh pemimpin itu dari maksiatnya namun jangan sekali-kali mencabut tangannya dari ketaatan kepada pemimpin itu” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 1855).

Imam Ahmad ra menyebutkan beberapa hal yang antara lain : " Mendengar dan taat kepada para imam dan amirul mukminin (pemimpin kaum mukminin), baik yang shalih (adil) mahupun yang fajir (dhalim), dan taat kepada khalifah yang desepakati dan diridhai oleh kaum mukminin…..Dan tidak halal (diharamkan) bagi siapapun untuk memerangi sultan dan memberontaknya. Barangsiap yang berbuat demikian, dia adalah mubtadi' yang tidak berjalan di atas sunnah dan tidak pula berjalan di atas jalan yang lurus." (Syarah Ushul I'tiqad 1/160-161).

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, dia berkata Rasulullah shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Wajib atasmu untuk mendengar dan taat (kepada sulthan) dalam kesulitan dan kemudahanmu, dalam perkara yang menyenangkan dan yang kamu benci, dan tidak kamu sukai." (Hadith sahih riwayat Muslim 3/1467).

Dari Wail bin Hujr radhiallahu 'anhu, dia berkata : Salamah bin Yazid Al-Ju'ti pernah bertanya kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wa sallam : "Wahai Rasulullah, kalau kita diperintah oleh sultan yang meminta haknya, tetapi tidak mahu menunaikan hak kami, apa yang engkau perintahkan kepada kami?" Maka Rasulullah shalallahu 'alaihi wa sallam berpaling darinya. Kemudian Salamah bertanya lagi dan Rasulullah berpaling lagi. Kemudian Salamah bertanya lagi untuk yang ketiga kalinya, maka dia ditarik oleh Al-Asy'ats bin Qais. Maka Rasulullah shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Dengar dan taatlah kalian, kerana mereka akan memikul dosa-dosa mereka dan kalian juga akan memikul dosa-dosa kalian (sendiri)." (Muslim 3/1474).

Memandangkan isu tajuk ini memerlukan kupasan panjang dan hanya diperluaskan di kalangan ahli ilmu dan sabar serta berpengalaman maka ianya tidak wajar diperpanjangkan kecuali beberapa hal berikut bahawa :

Perlaksanaan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar memerlukan keilmuan dan bukan di laksanakan oleh sebarang orang tanpa kebolehan ilmu dan kefahaman kerana dibimbangi berlakunya fitnah sehingga maksiat yang ingin ditegah tidak menjadi lebih besar atau mudharat yang terhasil dari usaha amar ma’ruf nahi mungkar itu tidak membawa mudharat yang lebih bahaya kepada umat Islam.

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

" Bertanyalah kamu kepada orang yang mengerti jika kamu tidak mengetahui" (Surah An-Nahl : 43).

Perlaksanaan dakwah hendaklah dalam kapasiti ukhuwah dan keilmuan yang dimiliki iaitu seorang yang hanya tahu sekadar perkara remeh dan basic hendaklah menyampaikan apa yang diketahuinya secara tidak menambah-nambah atau mengurang.

Dari riwayat Abi Darda ra bahawa nabi salallahualaihiwasalam telah bersabda : “ Dan sampaikanlah dari aku walau satu ayat” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 3461 dan Tirmidzi no. 2669).

Sedang baginda Salallahualaihiwasalam juga bersabda : " Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)" (Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).

Boleh jadi orang yang berdakwah itu tidak memahami benar apa yang dipelajarinya dan dengan menyampaikan ilmunya kepada orang lain membolehkan dirinya ditegur akan kesilapannya sekaligus menunjukkan Islam membenci sifat ta’asub dan mempercayai sesuatu tanpa kajian dan hujah.

Sabda baginda : “ Dan hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir semoga orang yang disampaikan ilmu padanya lebih memahami dari yang menyampaikan (yang mendengar ilmu kemudian menyampaikan)” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.1741 dan Ibn Majah no. 233).

Teguran berterusan kepada kerajaan yang zalim, nasihat yang baik dengan peringatan kepada mereka tetang azab-azab Allah swt, dengan memberi contoh teladan sebagai pendakwah amatlah perlu dilakukan oleh para ulama yang terlibat dalam usaha menentang kezaliman kerajaan dan kebathilan UMNO serta Barisan Nasional yang sebenarnya bukan semua mereka itu jahat sebaliknya hanya mengikuti apa yang diarahkan oleh orang atasan atau mengikut apa yang sudah tersistem kepada mereka dari pemikiran barat.

Adapun rakyat awam yang ramai pula tidak lebih seperti kambing biri-biri yang hanya mengikut arus percaturan politik Negara dan hanya mengeluh dan mengadu bila ditindas tanpa ada sesiapa yang membela kecuali parti pembangkang yang turut punyai kelemahan dan kekurangan namun sebagai sebuah umat kita harus saling melengkapi, menasihati serta memberi peringatan kerana agama itu ialah sebuah nasihat yang baik.

" Dan berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermanfaat pada orang-orang yang beriman" (Adz-Zariyat : 55).

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” (Ali-Imran : 102).

1 comment:

ANNAS said...

Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.