Sunday, February 05, 2006

Memelihara Agama Dari Fitnah : Jauhi Mengambil Ilmu Dari Ahli Bid’ah dan Ulama Sufi Yang Menyesat & Elak Merujuk Mereka

Persoalan ulama dan golongan alim Islam sangatlah kurang diperbahaskan secara panjang oleh umat Islam hari ini. Disebabkan kejahilan maka tidak hairan orang ramai mampu menerima sesiapa sahaja yang terkenal dan mahsyur sebagai ulama tanpa mengetahui apakah benar seseorang tersebut ialah ulama dan memiliki kelayakan untuk digelar ulama’.

Daripada Ibn Mas’ud ra berkata : “Bagaimana keadaan kamu nantinya apabila fitnah menyeliputi kamu mendidik anak-anak kecil dan menyelubungi orang tua dan manusia mengambil bid’ah seagai sunnah dan menyebar dikalangan manusia dan sekiranya kamu berusaha hendak mengubahnya maka dikatakan kamu mahu mengubah sunnah (yang hakikatnya ialah bid’ah) maka ditanya bilakah terjadinya demikian wahai Aba Abd Rahman ? Lalu dijawab : Apabila bercambahnya golongan pembaca Al-Qur’an dikalangan kamu dan sikitnya pula fuqaha (orang yang alim) dan para pembesar kamu sibuk menghimpun harta dan sedikitnya orang yang amanah dan menjual akhirat untuk dunia dan menjadi alim bukan untuk beramal” (riwayat Darimi, Abd Razak, Hakim dan Baihaqi dan lain-lain).


“Apakah sama orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu ?” (Az-Zumar : 9).

Sebaliknya generasi salaf soleh terkenal ketelitian dan penjagaan mereka terhadap kesucian ilmu dan tidaklah hairan mereka digelar sebagai sebaik-baik umat oleh rasulullah salalahualaihiwasalam. Sabda baginda salallahualaihiwasalam melalui riwayat Aisyah ra : “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien). “ (hadith Sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).

Disebut dalam pelbagai cerita mengenai kisah ketelitian mereka terhadap ilmu dan tidak menerima ilmu dari sebarangan orang dengan mudah seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim ra mengenai kisah Imam Yahya ibn Ma’in yang datang kepada A’fan untuk mendengar hadith yang dari riwayat Hammad Ibn Sulaiman ra lalu ditanya kepadanya oleh A’fan : Apakah kamu belum mendengar lagi hadith ini dari sesiapa ? Maka dijawab oleh Imam Yahya Ibn Ma’in ra bahkan aku telah mendengarnya dari tujuh belas orang yang meriwayatkan hadith yang sama dari Hammad Ibn Sulaiman.

Bahkan ketika beliau (Yahya ibn Ma’in) bertemu dengan Musa ibn Ismail untuk mendengar hadith maka berkatalah Musa apakah engkau belum mendengar hadith ini dari sesiapa ? Lalu dijawab oleh Yahya ibn Ma’in bahawa aku telah mendengar hadith ini dari tujuh belas orang dan engkaulah yang ke lapan belas. Lalu ditanya untuk apakah engkau menyusahkan diri membuat demikian dengan mendengar hadith yang sama dari guru yang berbeza ? Lalu berkatalah Yahya ibn Ma’in, sesungguhnya jika Hammad ibn Sulaiman itu tersilap dalam hadithnya maka aku dapat membezakan kesilapannya itu dengan mendengar hadithnya dari pelbagai jalan dan guru (perawi), kerana jika silapnya itu pada Hammad maka akan didapati dengan semua guru (perawi) menyebut kesilapannya dan jika silap itu bukan dari Hammad maka pasti kelihatan dengan guru yang silap akan terdedah oleh kesepakatan guru yang ramai (lihat Al-Majruhin oleh Ibn Hibban m/s 32 Jilid 1 ).

Demikianlah keagungan ilmu dalam Islam dan lihatlah bagaimana para alim ulama dahulu menjaga ilmu dan kebenaran dengan mengutamakannya lebih dari mana-mana insan yang tidak maksum dan boleh salah serta tersilap.

Perhatikan sikap ‘Umar bin Al-Khatab ra ketika dia berkata: “Hati-hatilah dan jauhilah oleh kalian orang-orang yang menggunakan ra`yunya (akalnya) . Kerana sesungguhnya mereka adalah musuh-musuh As-Sunnah. Mereka dilemahkan oleh hadith-hadith, hingga tidak mampu menghafalnya. Akhirnya mereka berbicara dengan ra`yu mereka, maka mereka tersesat dan menyesatkan (orang lain).” (Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni rahimahullah dalam Sunan dan Al-Lalikai rahimahullah dalam Syarhu Ushul I’tiqad Ahlus Sunnah wal Jama’ah).

Malangnya hari ini para tok guru, syeikh itu diutamakan dan dipentingkan dari kebenaran ilmunya yang mungkin salah dan silap. Apabila syeikh meriwayatkan hadith palsu dan hadithnya itu salah dan silap tiada siapa yang mengetahui dan jika wujud ulama yang menegur maka anak-anak murid dan pengikutnya akan membentak marah dan menuduh cabul kepada para ahli ilmu yang ingin menegakkan kebenaran.

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Al-Isra : 36).

Nilai ulama sangat tinggi dan mulia di sisi Islam dan tidaklah golongan khas dan mulia di sisi Allah ini dapat dimiliki dan dicapai oleh sesiapa sahaja tanpa usaha gigih, keikhlasan dan yang paling penting ialah keredhaan dari Allah swt.

Pengertian Ulama


" Bertanyalah kamu kepada orang yang mengerti jika kamu tidak mengetahui" (An-Nahl : 43).


Ulama dimaksudkan sebagai seorang alim yang mengetahui ilmu agama dan hukum hakam Islam dengan kefahaman yang mendalam terhadap kitab dan sunnah serta mampu memberi pertunjuk dan penjelas kepada manusia berdasar kitab Allah dan sunnah rasulullah.

“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11).

Bahkan ulama itu ialah mereka yang mewarisi ilmu dan kefahaman dari umat terdahulu kerana Islam itu ialah pewarisan dari zaman ke zaman bukan satu agama yang direka cipta dan ditokok tambah pada setiap zaman.

Sabda rasulullah “ Sesungguhnya ulama’ itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu.” ( Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah) .

Ulama disimpulkan sebagai mempunyai tiga ciri penting iaitu :

a) Golongan yang alim yang mempunyai pemahaman dan pengetahuan yang mendalam terhadap kitab Allah dan sunnah rasulullah.

Dimaksudkan dengan pengetahuan mendalam ialah mereka (ulama’) haruslah memiliki kekuatan ilmu secara ilmiah terhadap kitab Alllah iaitu Al-Qur’an dengan menguasai ilmu alat dan kaedah seperti bahasa arab dan sasteranya, hadith dan usulnya serta ilmu tafsir dan kaedah penafsiran yang sahih, usul fiqh dan lain-lain ilmu yang berkaitan.

“ Maka kami memberi kefahaman kepada Sulaiman dan masing-masing kami berikan hukum (keputusan) dan pengetahuan” (Al-Anbiya :79).

“Sesungguhnya Al-Qur’an ada tersebut dalam kitab-kitab kaum terdahulu, Tidak cukupkah Keterangan untuk mereka bahawa ulama bani Israeil mengetahui hal itu” (Asy-Syu’arak: 197).

Mereka yang mampu menafsirkan Al-Qur’an tidak digelar ulama apabila tafsir mereka lari dan menyimpang dari pertunjuk sunnah kerana dengan hanya ilmu bahasa mereka mampu mendakwa boleh memahami kitab Allah sedang mereka tidak memiliki pertunjuk rasulullah (sunnah) dalam memahami kitab Allah maka mereka ini tidak lain bukan ulama tapi ahlul hawa (mengikut hawa nafsu).

“Barangsiapa yang mengatakan sesuatu perihal Al-Quran dengan menggunakan akalnya atau dengan apa yang tidak diketahuinya maka bersedialah dia dengan tempat di neraka.” (Hadith hasan, riwayat Ibn. Jarir 34 Jilid 1 & Tirmidzi no. 2950).


“ Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).

Dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim dari riwayat Ibn Abi Talhah dari Ibn Abbas ra dalam menafsirkan ayat ini dengan berkata “ يؤتي الحكم” itu bermaksud “Mengenal Al-Quran, memahaminya serta mengetahui nasakh dan mansukh, ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat, mengetahui yang awal dan akhir diturunkan serta mengetahui halal dan haram dan yang berkaitan dengannya.” (Al-Itqan Fi Ulum Quran, m/s 452, Jilid 3).

Seterusnya mereka mestilah menguasai sunnah rasulullah dan memiliki pemahaman yang mendalam terhadap sunnah rasulullah dan mengetahui pegangan salaf soleh serta kaedah mereka iaitu mengetahui ilmu hadith dan usulnya dengan menguasai kaedah riwayat dan dirayat serta mampu memahaminya dan mengambil manfaat darinya.

Sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam : “ Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (Sunnah)” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami’ no. 2643). Imam Syafie ra juga pernah mengatakan “ Setiap yang dihukumkan oleh rasulullah merupakan apa yang hasil dari Al-Quran.” (lihat dalam Mabahis Fi Ulum Quran, m/s 302).

Ini disimpulkan sebagai :

- Mampu mengetahui riwayat dan dirayat hadith serta kaedah penyampaiannya dan mampu mengetahui kesahihan sesuatu sunnah itu benar dari nabi salallahualaihiwasalam.

- Memiliki kekuatan ilmu mengetahui sebanyak mungkin melebihi kemampuan orang biasa dalam sunnah rasulullah.

Contohnya : mereka yang menguasai 500 buah hadith tentu tidak sama darjatnya dengan mereka yang menguasai 1000 000 buah hadith dengan mengetahui ilatnya (cacatnya) , sahih dan dhaifnya serta mengetahui makna dan pemahamannya maka sesiapa yang lebih banyak menguasai sunnah maka dialah dikira lebih alim.

Berkata Muhammad ibn Abdillah Al-Munadi bahawaaku mendengar dari seorang lelaki bertanya kepada Ahmad (Imam Ahmad ra) dengan berkata : “Sekiranya seseorang itu menghafaz seratus ribu hadith apakah dia seorang faqih ? maka Ahmad mengatakan tidak dan ditambah dua ratus ribu hadith ? Dijawab tidak dan ditambah tiga ratus ribu maka dijawab tidak dan ditanya jika empat ratus ribu hadith ? Maka dijawab oleh Ahmad seperti itu membenarkan” (lihat I’lam Muwaqi’ien m/s 44 Jilid 1).

- Mampu mengambil pengajaran dalam hadith dengan berpandu kepada manhaj salaf soleh dan kaedah mereka.

Contohnya : Wujud hadith yang merupakan sabda baginda rasulullah dalam sesuatu perkara namun tidak membawa keputusan hukum yang jelas kepada mereka yang membacanya hari ini setelah 1400 tahun berlalu tetapi ulama itu ialah mereka yang mampu mengetahui tujuan sebuah hadith dan hukum yang dibawa olehnya melalui pemahaman mereka kepada suasana yang berlaku berdasarkan pengetahuan mereka tentang hadith yang satu itu dari riwayat yang lain yang dapat dikaitkan, dari asar dan riwayat salaf soleh dan dari penelitian dan kajian mendalam terhadap riwayat sampingan dan penambahan rawi yang terdapat dalam sebuah hadith tersebut.

Kerana itulah pada kitab Al-Faqih Wal Mutafaqih oleh Imam Khatib al-Baghdadi ra menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebut : Tidak halal bagi seseorang itu memberikan fatwa dalam agama kecuali mereka yang mengetahui tentang kitab Allah baik nasakh dan mansukhnya, muhkamat dan mutasyabihat, ta’wil dan penurunannya, makkiyah dan madaniyah dan lain-lain serta juga menguasai hadith seperti mana perlunya dia menguasai Al-Qur’an, mahir bahasa arab dan juga mahir ilmu usul dan kemahiran yang berkaitan (lihat Al-Faqih Wal-Mutafaqih dan I’lamul Muwaqi’in oleh Imam Ibn Qayyim m/s 45 Jilid 1 dengan tambahan perkataan dari penulis).

Maka tidaklah dapat dikatakan kepada mereka hari ini yang baru menamatkan pengajian peringkat tertentu sebagai ulama lalu mendakwa ini ialah perkara yang khilaf (diperselisihkan) tanpa memahami hal yang sebenar akibat kejahilan dan kedangkalan dan ceteknya kebolehan dalam memahami sunnah rasulullah kerana mereka yang membaca hadith pada hari ini tentu sahaja tidak akan mendapat pemahaman seperti apa yang dibaca oleh sahabat yang mengetahui keadaan dan memahami maksud sebenar sabda baginda.

Dari Fudhail bin Mai’I yang telah menyebut aku mendengar dari Mujahid yang telah berkata “Aku membaca Al-Quran kepada Ibn Abbas sebanyak 3 kali dan aku berhenti pada setiap ayat dan bertanya tentang apa yang diturunkan dan bagaimana keadaannya.” (Al-Itqan Fi Ulum Quran m/s 485 Jilid 3). Malah berkata Sufyan As-Sauri “ Ambillah ilmu tafsir dari Sa’ad Ibn Jubair, Mujahid, Ikrimah dan Dha’hak” (lihat Hilyatul Auliya’ m/s 329 Jilid 3).


b) Mampu memberi pertunjuk dan pengajaran berdasarkan kitab Allah dan sunnah kepada manusia.

“Dan kami utuskan rasul mengajarkan mereka kitab (Al-Quran) dan Al-hikmah ” (Al-Baqarah : 129).

Imam Ibn Taimiyyah ra menyebut Al-hikmah ialah As-Sunnah sebagaimana dalam ayat yang lain dalam surah Al-Ahzab ayat 23 Sila lihat Majmuk fatawa Ibn Taimiyyah, m/s 9.

Sabda rasulullah " Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari no. 3116 & Muslim no. 1037).

Dimaksudkan mampu memberi pertunjuk dan pengajaran berdasarkan kitab Allah dan sunnah kepada manusia ialah seorang ulama itu mampu menyampaikan ilmunya yang benar dari kitab dan sunnah itu kepada manusia dengan hikmah dan menepati hak serta berdasar kaedah yang sahih.

" Dan sebelumnya kamu tidak pun mengetahui apakah itu Al- Kitab (Al-Quran) dan tidak juga mengetahui apakah itu Iman. Tetapi kamilah yang menjadikan Al-Quran itu cahaya dan pertunjuk kepada sesiapa yang kami kehendaki dari kalangan hamba kami dan sesungguhnya engkaulah (Wahai Muhammad pertunjuk kepada jalan yang lurus." (Surah As-Syura : 52).

Ini diterangkan secara ringkas dengan bermaksud seseorang ahli ilmu yang memiliki kefahaman yang sahih dan benar terkadang tidak mampu memahami waqi dan juga tidak pula tahu kaedah yang sahih dalam menyampaikan ilmunya sehingga mengakibatkan fitnah dan kerosakan.

“Serulah ke jalan tuhan-Mu dengan hikmah dan pendekatan yang baik” (An-Nahl : 125).

Namun makam ulama sebaliknya ialah maka kukuh dalam ilmu dan merupakan satu kedudukan “golongan” yang sudah memahami agama dan memiliki kefahaman yang sahih di samping memiliki ciri ini iaitu tahu dan memahami bagaimana pula kaedah yang sahih dan benar dalam menunjuki ilmunya kepada manusia sehingga dapat mengelakkan dari berlakunya fitnah dan kerosakan kepada ilmu.

"Sesungguhnya yang takut pada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah para Ulama” (Surah Al-Fathir : 28).

Sebagai contohnya perbuatan golongan muda yang mempelajari ilmu tentang sunnah dan kefahaman manhaj salaf soleh. Mereka ini menyedari dengan ilmu yang ada bahawa bid’ah itu ialah haram dan berdosa namun kerana mentah dan jahil mereka dalam pemahaman manhaj dakwah dan kaedah penyampaian ilmu maka mereka telah gopoh memaksa manusia meninggalkan bid’ah dengan kekerasan, melakukan kerosakan sehingga menimbulkan fitnah yang lebih besar dari bid’ah itu sendiri.

“ Dan mengapakah tidak tetap sekumpulan dari umat Islam untuk tafaquh pada ilmu moga mereka dapat pula memberi peringatan kepada kaum mereka setelah pulang dan moga mereka beroleh kesedaran.” (Surah AT-Taubah : 122).

Kerana itu makam atau kedudukan ulama ini dikhususkan kepada mereka yang benar-benar mampu menunjuki kebenaran dan hidayah kepada manusia bukan sahaja pada ilmu yang berbentuk teori tetapi pada kaedah dan pengamalan yang sahih sehingga mampu membimbing manusia kepada kebenaran.


c) Pemahaman mereka itu ialah satu yang diwarisi dan dihasilkan dari hasil penyelidikan, kajian dan usaha gigih disamping pertunjuk dan hidayah dari Allah swt.

Sesungguhnya para ulama itu merupakan golongan yang bijak, berpengalaman dan disebut sebaik-baik golongan manusia di bawah langit dan di atas muka bumi. Mereka ini ialah benteng kesucian agama dan mempertahankan agama dari penyelewengan, kejahilan dan kesesatan.

Berkata Imam Ibn Abdil Bar ra dan lain-lain dari para ulama bahawa para muqalid (golongan yang bertaqlid seperti kebanyakkan orang pondok dan yang seketurunan dengannya) tidaklah dikira dan tidaklah dianggap sebagai ahli ilmu atau golongan berilmu kerana ilmu itu ialah mengetahui kebenaran dengan dalil dan demikianlah para ulama itu menjauhi taqlid iaitu tidak menerima sesuatu pendapat tanpa dalil dan tidaklah layak disebut ulama pada mereka yang bertaqlid (lihat I’lamul Muwaqi’in oleh Imam Ibn Qayyim m/s 13 Jilid 1 dengan tambahan perkataan dari penulis).

Walau bagaimanapun dalam memahami ilmu dan kefahaman mereka perlulah jelas bahawa antara ciri penting ulama itu ialah kefahaman mereka dan ilmu mereka itu merupakan pewarisan dan bukan sesuatu yang direka oleh kebijaksanaan akal.

Sesungguhnya ilmu itu diwarisi dari usaha gigih dan pengorbanan serta keikhlasan mencarinya dari sumber-sumber ilmu iaitu kitab dan sunnah serta pengalaman dan manhaj kefahaman yang disampaikan secara turun temurun dari salaf soleh.

Dimaksudkan ilmu itu diwarisi ialah ilmu Islam iaitu kitab Allah dan sunnah rasulullah diwarisi dari baginda rasulullah kepada sahabat dan dari sahabat kepada tabien dan seterusnya sehingga kepada ulama.

Mereka mewarisi dengan jalan riwayat dan perawi yang siqah dipercayai keadilan dan kesahihan periwayatannya sebagai pemegang amanah ilmu dan kebenaran. Inilah yang dimaksudkan sebagai ulama itu mewarisi ilmu dan kefahaman yang sahih bukan dengan jalan mereka cipta atau mencapainya dengan fikrah (idea) atau pendapat.

Inilah yang terhasil sebagai menyimpulkan hadith baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :
“ Sesungguhnya ulama’ itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu” ( Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah).

Diriwayatkan dari Qatadah ra : "Barangsiapa yang tidak mengetahui perkara khilaf, tidaklah sampai melepasi ilmu fiqh dari hidungnya (maksudnya belumlah mahir)".

Juga terdapat dalam riwayat dari Usman Ibn Atho ra mengatakan " Tidak patut bagi seseorang berfatwa melainkan setelah dia mengetahui tentang perkara yang diperselisihkan (khilaf) oleh orang lain" (Sila rujuk Ibn. Abd Bar' dalam " Jami' Bayan Ulum").


Perintah Menjauhi Mengambil Ilmu Dari Ahli Bid’ah, Golongan Sufi, Golongan yang Mengaku Mazhab Syafie (Hakikatnya mereka ialah kebanyakkan (bukan semua) pengikut tok-tok guru pondok Malaysia yang jahil tetapi menyesat dalam mazhab syafie , golongan sufi Hadramaut, golongan sufi Al-Azhar , golongan sufi Syiria, golongan sufi Oman, golongan Sufi Maghribi, Golongan Sufi Mekah (kebanyakkan sufi Mekah masih dapat dimanfaatkan ilmu mereka kerana tidak ta’asub dan mendekati manhaj salaf soleh cuma sebahagian yang ta’asub dengan mazhab syafie namun dalam banyak hal mereka dimaafkan) dan lain-lain tempat sufi di seluruh dunia.

Menurut riwayat Abdullah Ibn Mas'ud ra pernah menyebut bahawa “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama') mereka dan jika mereka mengambil dari As-shaghir dan buruk, mereka pasti hancur.”

Mereka yang dimaksud sebagai As-shaghir adalah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah Ashaghir itu ?”. Dia menjawab,”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal/menafsir sendiri tanpa merujuk dalil). Adapun orang yang mengambil dari pembesar (Ulama') bukan termasuk Ashaghir.” [1] Lihat Ibn Abd Bar' dalam Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 248.

Golongan sufi ini terkenal dengan pelbagai amalan bid’ah dan usaha keilmuan mereka dari sudut penulisan, ceramah dan pelbagai sebaran menyebarkan fikiran-fikiran bid’ah dan teori-teori bid’ah mereka melalui penyalah gunaan ayat-ayat Al-Qur’an.

Misalnya mereka menafsirkan Al-Qur’an dan sunnah dengan pelbagai tafsiran yang pelik-pelik dan jauh dari kaedah ilmu lalu dengan semudah-mudah menyandarkannya kepada Al-Imam Syafie ra untuk membenarkan ajaran mereka.

Ali bin Abi Thalib ra berkata, " Lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu kerana ilmu adalah agama.” Pernyataan ini dinukil dari beberapa ulama salaf seperti Ibnu Sirin Adh Dhahak bin Muzahim dan yang lain. (Lihat Al Khatib Al Baghdadi, dalam At Tankil, m/s 121).

Keta’suban dan taqlid mereka kepada para ulama mereka yang terdapat di Hadramaut Yaman dan Al-Azhar sangatlah parah sehingga sampai ke tahap ghulu (melampau). Ini tentunya salah satu diakibatkan masyhur cerita-cerita wali bahawa sekian ulama itu wali dan sekian tok guru itu wali maka tentulah kita biasa mendengar kewalian Tok kenali (yang tidak dapat dibuktikan selain cerita-cerita dusta yang tiada kesahihan) serta juga kewalian tok-tok guru Hadad dan Habib dan Kebab habab mereka.

" Mereka menjadikan para ulama' dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain dari Allah " (Surah At-Taubah : 31).

Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam kebetulan Adi' bin Hatim ra (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah Salallahualaihiwasalam dengan mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Maka jawab baginda Rasul Salallahualaihiwasalam : " Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib)" ( Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.3095 & Baihaqi).

Demikian permasalahan orang Melayu yang apabila menyebutkan fadhilat tok-tok gurunya maka mereka akan lebih kepada menyebut betapa syeikh-syeikh Habib mereka berzikir semalam ribu-ribu dan juta-juta zikir dan solat banyak sekian dan sekian dan juga pelbagai cerita-cerita aneh dan ghaib-ghaib seperti kebanyakkan cerita yang keluar dari mulut pelajar di Hadramut dan Al-Azhar.

Berkata nabi salallahualaihiwasalam : “ Tidaklah berlaku bid’ah oleh suatu kaum melainkan diangkat dari mereka sebuah sunnah darinya”


Adapun kalau kita lihat yang benar dalam pengajiannya maka tentulah sekiranya mahu menyebut kelebihan syeikh dan gurunya akan menyingkap betapa gurunya mampu membezakan hadith yang dhaif dan palsu, menguasai hadith-hadith dan hukumnya, mengetahui perselisihan mazhab feqah, metarjih qaul mazhab dan menghurai syarah kitab dengan ilmiah dan berhujah.

Bukannya cerita-cerita karut bahawa syeikhnya berjalan atas air dan lain-lain yang mengarut seperti kebiasaan kaum sufi.

Berkata Yahya ibn Abi Katsir ra : “Sekiranya aku melihat ahli bid’ah berjalan di suatu lorong maka aku pasti akan mencari lorong yang lain” (Siyar A’lamun Nubala oleh Adz-Zahabi).

Menurut riwayat, Imam Abu Yusof dan Imam Muhammad Bin Hasan sendiri berfatwa dan berijtihad menyalahi pendapat Imam Abu Hanifah lebih dari 1/3 dari seluruh isi mazhab Abu Hanifah walaupun mereka merupakan murid kepada Imam Abu Hanifah sekaligus menandakan bahawa bukanlah bermakna kita ini mazhab Syafie harus semata-mata tetap pada qaul syafie dalam setiap perkara kerana dalam hal ekonomi misalnya sudah lama sistem perbankan mengambil qaul Abu Hanifah dengan meninggalkan pendapat mazhab syafie.

Lalu mengapa pula kaum sufi hadramaut dan Al-Azhar ini lebih melucukan jadinya apabila mereka memarahi orang ahlul sunnah dengan tuduhan wahabi konon menolak mazhab sedangkan mereka sendiri tidak mengikut mazhab syafie dalam banyak hal sebaliknya mengikut mazhab habib dan habab dan syed-syed, hadad hadid dan syeikh-syeikh sufi mereka bukan Imam Syafie lalu menamakan fatwa syeikh mereka sebagai mazhab syafie.

" Dan berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermanfaat pada orang-orang yang beriman" (Adz-Zariyat : 55).


Bahkan pernah sampai kepada kita satu riwayat dari Imam Ahmad seperti dalam riwayat Imam Abi Faraz Abd Rahman ibn Jauzi Al-Bagdadi mengenai seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad ra bahawa Ibrahim ibn Adam (seorang Sufi ) telah berkata sekian dan sekian, maka dijawab oleh Imam Ahmad " Tetaplah kamu pada dalil" dan Tinggalkanlah kalam orang bodoh !!! (lihat Talbis Iblis Oleh Ibn Jauzi ra).

Sedang baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : " Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)" (Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).


Imam As-Syafie ra pernah menyebut "Barangsiapa yang bertaqlid pada mengharamkan sesuatu atau menghalalkan sesuatu dan jelas taqlidnya itu berlawanan dengan hadith dan kerana taqlidnya itu menyebabkan dia dilarang atau menyekatnya dari beramal dengan sunnah maka sesungguhnya dia telah mengambil orang yang ditaqlidnya itu sebagai tuhan selain dari Allah swt ." ( Sila Lihat Hidayahtul Sulton dan Ibn Abi Hatim dalam kitabnya " Adabul Syafi'ie" m/s 93).

Ini sangat jelas dari kalam Imam Syafie yang menunjukkan kedunguan orang-orang sufi apabila sekalipun terdapat hadith jelas-jelas ditompok kepada mereka namun tetap tidak akan mengambil pengajaran dari hadith sebaliknya bertanyakan juga kepada syeikh-syeikh mereka akan apa yang harus diperbuat dengan hadith ini demi menunjukkan kerasnya hati mereka dari sunnah dan teguhnya iman mereka kepada usul ilmu yang dipelajari mereka sekalipun sesat.

Dalam Syarh Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, Al-Lalika’I meriwayatkan perkataan Abdullah bin Mubarak, “Ashaghir adalah ahli bid’ah.” (Syarah Usul I’tiqad Ahlul Sunnah, m/s 85 Jilid 1).

Sangatlah elok dan menarik ungkapan Imam Az Dzahabi yang pernah berkata, "Jika ada seorang ahli kalam (Ahli akal, mantiq, rasionalis yang juga ahli bid’ah berkata, “Jauhkan kami dari Al Quran dan As Sunnah dan biarkan kami menggunakan akal,” maka ketahuilah dia ialah Abu Jahal. Bila ahli Suluk/ ahli Tasauf/ golongan tariqah berkata, “Tinggalkan dalil zahir dan akal, pakailah za’uq (perasaan) dan wajd (suara hati, wahyu dalam ibadah), maka ketahuilah dia adalah iblis dalam bentuk manusia. Jika dia mendekatimu, larilah atau perangi hingga kalah atau bacakanlah ayat kursi lalu cekiklah dia .” (Siyar‘Alamun Nubala m/s 472 Jilid 4 ).

Benarlah seperti kata Sufyan As-Sauri bahawa “ Bid’ah lebih disukai oleh Iblis dari maksiat kerana maksiat manusia akan bertaubat darinya sedang bid’ah manusia akan merasa tidak bersalah dan berterusan melakukannya.”. (Sila lihat Hilyatul Auliya oleh Abu Nu’aim m/s 26 Jilid 7).

Sebagai peringatan dan demi keselamatan kembalilah kepada As-Sunnah dan bersamalah dengan golongan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah seperti mana di sebut dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan. Maka bertanyalah para sahabat ra siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Marilah kita kembali kepada jalan para salaf soleh dalam urusan agama dan meninggalkan kedudukan kita sekarang yang penuh dengan lumpur-lumpur dan karat-karat jahiliyyah dan bid’ah. Kembalilah kepada sunnah dan dalil serta tinggalkanlah bid’ah dan kejahilan. Sebagaimana Allah swt telah berfirman :

“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih” (Ali Imran –31).

“ Dan siapakah yang lebih baik perkataannya selain dari mereka yang mengajak kepada Allah dan amal soleh ?” (Fusilat :33).

No comments: