Thursday, January 05, 2006

Larangan Dari BerKhilaf Dalam Agama dan Panduan Salaf Soleh


Khilaf bermaksud berbeza dan berlawanan demikian yang diberikan oleh Ibn Manzur ra (wafat 711Hijrah) dalam Kitabnya Lisanul Arab m/s 190 Jilid 3 . Lawan kepada Khilaf ialah bersatu atau bersepakat dan tidak berpecah belah demikian sudah maklum dikalangan ahlul ilmi bahawa kewajipan untuk bersatu dan bersepakat serta meninggalkan perpecahan.

Allah swt telah berfirman dalam Al-Qur’an yang suci dengan menyebutkan : “Jika tuhan-mu menghendaki nescaya akan dijadikan manusia itu umat yang satu tetapi mereka itu sentiasa berselisih” (Hud : 118).

“ Bersatulah kamu semua di atas tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah” (Ali-Imran : 103).

Juga baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Sesungguhnya barangsiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak…” (Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi no.2676, Abu Daud no. 4607 dan Ahmad no.12561).

Berkata Al-Imam Ibn Hazm ra :

وقد نصَّ ـ تعالى ـ على أن الاختلاف ليس من عنده، ومعنى ذلك أنه ـ تعالى ـ لم يرضَ به، وإنما أراده ـ تعالى ـ إرادة كونٍ ، كما ارادَ الكُفر وسائر المعاصي . إ.هـ. [ الإحكام في أُصول الأحكام

“ Telah disebut dalam nash (Al-Qur’an) dari Allah swt bahawa Ikhtilaf bukanlah daripada kehendak Allah swt dan dari maksud-Nya ialah Dia (Allah) tidak meredhai-Nya sebaliknya yang dikehendaki oleh Allah ialah seperti kehendak keadaan yang menjadikan orang kafir dan seluruh perlaku maksiat” (Al-Ihkam Fi Usul Ahkam m/s 64 Jilid 5).

Sebenarnya yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Hazm ra ini ialah memang pada zahir ayat 118 Surah Hud seolah menunjukkan Allah swt berkehendakkan manusia ini berada dalam keadaan berselisih kerana jika Allah tidak mempunyai kehendak demikian nescaya tidak mungkin akan terjadi demikian (sebab mustahil berlaku sesuatu tanpa kehendak Allah ) walaubagaimanapun dijelaskan oleh Imam Ibn Hazm ra bahawa kehendak ini bukanlah bermakna membawa redha Allah pada perbuatan berselisih itu kerana ianya seperti Allah menciptakan manusia yang kafir dan perlaku maksiat dan itu semua berlaku dengan kehendak Allah tetapi bukanlah membawa maksud Allah redha kepada perlakuan maksiat dan kekufuran orang kafir.

Ini kerana Allah swt telah berfirman dengan maksud-Nya :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” (Ali-Imran : 102).

Sekalipun pada hakikatnya manusia ini diciptakan dengan fitrah berpecah belah dan berselisih namun dengan hidayah Islam dan pertunjuk dari Allah swt maka manusia dapat bersatu dan bersepakat dan inilah yang dimaksudkan antara nikmat Islam itu ialah persaudaraan.

“Sesungguhnya golongan yang berpecah belah dalam agamanya dan mereka berpuak-puak (berkumpulan& berbilang berjemaah) maka bukanlah engkau (wahai Muhammad) dari golongan mereka itu sedikit pun” (Al-An’am : 159).

Berkata Imam Al-Baghawi ra pada ayat ini bahawa mereka itu ialah Ahlul bid’ah dan hawa nafsu (Syarah As-Sunnah m/s 210 Jilid 1).

Iaitu golongan yang disebut sebagai berpecah belah ini dalam ayat di atas berpanjangan sepanjang zaman dari sikap bid’ah dan kejahilan mereka dan jauh dari pertunjuk sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam dan mereka yang menuruti sunnah baginda (salaf soleh).

Berkata pula Imam Syatibi ra bahawa mereka itu ialah golongan yang seburuk-buruk dari para golongan pembuat bid’ah” (Al-Itisom m/s 113 Jilid 1).

Perpecahan ini berlaku di sebabkan dosa dan kejahilan umat Islam terhadap agama yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam sehingga mereka menjadi sesat dan menyesatkan dari jalan Islam yang lurus.

Baginda rasulullah pernah bersabda : “Tidaklah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah swt kemudian berselisih kedua-duanya melainkan disebabkan oleh dosa salah seorang mereka” (hadith sahih riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 401 dan disahihkan oleh Syeikh Albani ra dalam As-Sahihah no. 637).

Berkata Ibn Mas’ud ra : “Perselisihan itu buruk (jahat)” (Sahih diriwayatkan oleh Abu Daud no. 1960).

Disebut oleh Imam Thahawi ra dalam Matan Thahawiyah :

ونرى الجماعة حقاً وصواباً ، والفُرقة زَيغاً وعذاباً
“ Jamaah itu padanya haq dan kebenaran dan perpecahan itu keburukkan dan azab”

Berkata pula Imam Ibn Taimiyyah ra :

فإن الجماعة رحمةٌ ، والفُرقة عذابٌ

“Sesungguhnya jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab” (Majmuk Fatawa m/s 421 Jilid 3).

“Janganlah kamu menjadi seperti orang yang musyrikin iaitu mereka yang berpecah belah dalam agama mereka dan setiap hizbi (golongan, parti, jemaah) itu bergembira dengan apa yang mereka punyai” (Ar-Rum 31-32).

Pada hadith dari riwayat Umar Al-Khatab ra yang menyebut bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ Hendaklah Kamu berada dalam jamaah dan jauhilah kamu dari perpecahan sesungguhnya syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua dan barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah” (Hadith Sahih riwayat Tirmidzi, Ibn Majah dan Humaidi).


Permasalahan Khilaf

Khilaf atau Ikhtilaf bermakna sama iaitu menunjukkan tiadanya kesepakatan pada sesuatu masalah seperti yang disebut oleh Fairuz Abadi dalam maksud khilaf bahawa setiap orang mengambil jalan yang berbeza atau pendapat yang berlainan dalam sesuatu masalah atau perkara.

Khilaf yang berlaku sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa jenis dan bahagian antaranya khilaf yang haram, dibenarkan dan ada pula yang wajib apabila memerlukan seorang yang beriman itu mengambil pendapat dan jalan yang berbeza dari golongan yang bercanggah pegangan mereka dengan Allah dan rasul.

Namun apabila dibincangkan konsep ini dikalangan orang yang beriman maka tiada satu pun khilaf yang disukai sebaliknya dapat dibahagikan kepada berikut :


(bersambung...)

1 comment:

Mr Swat said...

assalamualaikum ust...terima kasih atas penerangan diatas..

sambungann nyer di mana yer???