Wednesday, January 11, 2006

Aidhul Adha : Mengingati Detik Pengorbanan dan Ketaqwaan


Ketika Ibrahim as mendoakan kepada Allah : “ Wahai tuhan berikanlah aku anak yang soleh” lalu Allah membalas doanya dengan berfirman : “ Kemudian kami gembirakan dia dengan anak lelaki yang penyantun” (As-Shofat : 101).

Kemudian Allah swt menguji pula nabi Ibrahim dengan mengarahkan supaya Ibrahim menyembelih (mengorbankan) anaknya Ismail seperti yang terpapar dalam ayat : “ Setelah anak itu sampai masa menemani bapanya (Ibrahim) dalam perjalanan maka berkatalah Ibrahim kepada anaknya : Wahai anakku sesungguhnya aku bermimpi di dalam tidur bahawa aku (diperintah) menyembelih engkau maka bagaimanakah pandangan engkau ? Sahut anaknya (Ismail) wahai bapaku hendaklah engkau memperbuat apa yang diperintahkan maka engkau akan mendapati aku dengan izin Allah termasuk seorang yang sabar” (As-Shofat : 102).

Berkata Mujahid ra bahawa yang dimaksudkan “Setelah anak itu sampai masa perjalanan” ialah telah menjadi remaja atau pemuda yang mampu membantu memanfaatkan bapanya dan para ahli sejarah dan ilmu sepakat bahawa ianya ialah Ismail as bukan Ishaq as seperti dalam riwayat lain (lihat dalam bidayah wan nihayah Ibn katsir).

Melalui hadith yang marfu kepada Ibn Abbas ra bahawa baginda rasulullah pernah bersabda : “Mimpi para nabi itu ialah wahyu” (Bukhari no. 138 dan Tirmidzi no. 3689). Maka lantaran itulah Ibrahim as mengambil perhatian dari wahyu Allah swt kepadanya itu yang disampaikan melalui mimpi dengan bertanyakan kepada anaknya : “ Wahai anakku sesungguhnya aku bermimpi di dalam tidur bahawa aku (diperintah) menyembelih engkau maka bagaimanakah pandangan engkau ?”

Pertanyaan ini mengandungi makna bahawa disamping hendak melihat ketaatan anaknya dan keredhaan melaksanakan perintah ianya juga dapat dimaksudkan bahawa Ismail as telah membesar menjadi anak yang benar-benar memanfaatkan bapanya baik dalam hal agama juga dalam berkongsi masalah dan boleh memberi pandangan dan cadangan.

Lihatlah mengapa Allah swt menyifatkan “ Kemudian kami gembirakan dia dengan anak lelaki yang penyantun” (As-Shofat : 101). Apabila Ismail dengan rela dan kepatuhan serta redha menjawab kepada bapanya dengan kalimah yang teguh : “Sahut anaknya (Ismail) wahai bapaku hendaklah engkau memperbuat apa yang diperintahkan maka engkau akan mendapati aku dengan izin Allah termasuk seorang yang sabar” (As-Shofat : 102).


Kesabaran dalam melaksanakan perintah Allah ialah satu darjah kesabaran yang tinggi bahkan lebih dahsyat dari sabar menghadapi bencana dan dukacita kerana perintah Allah swt ternyata dalam keadaan-keadaan tertentu menjadi sangat rumit dan berat yang bukan hanya boeh ditabahi semata oleh hati sahaja sebaliknya memerlukan harga nyawa dan sebuah kehidupan untuk diserahkan.

“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga begitu sahaja dengan mudah sedangkan kamu belum pun diuji seperti mana ujian yang telah menimpa golongan terdahulu daripada kamu ? Mereka itu ditimpa dengan kesusahan dan bala yang sangat dahsyat dan juga ketakutan sehingga berkata rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya bilakah akan sampai pertolongan Allah ? Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” (Al-Baqarah : 214).

Bersabar di atas bencana cukup kita menahan hati dari sebak dan pilu, berabar dari putus cinta cukup kita menahan air mata tetapi bersabar dalam menjalani perintah Allah swt memerlukan kita menyerah tubuh daging dan darah serta segala milik diri kepada Allah swt dan jalan perintah-Nya.

Kemudian apabila Allah swt menadapati ketaqwaan kedua rasul-Nya ini maka Allah swt membalas dengan membenarkan mereka dengan berfirman : “Lalu kami menyeru Dia (Ibrahim) : Wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berbuat baik” (As-Shofat : 105).

Berkata Imam Ibn katsir ra bahawa dimaksudkan dengan membenarkan mimpi itu ialah telah engkau capai dan tunaikan maksud mimpi dan perintah kami (Allah) kepada engkau dan demikian kemudiannya Allah mengantikan bagi Ibrahim seketika itu juga seekor Kibasy yang disebut sebagai “dan kami tebusi anaknya itu dengan korban (sembelihan) yang agung” iaitu dimaksudkan ialah menjadi sunnah dan peringatan kisah ini sebagai satu ikutan dan teladan akan mengorbankan binatang pada syariat Islam.

Demikian kisah ini jelas menguji ketaqwaan apabila Allah swt sendiri membenarkan perkara ini sebagai cubaan apabila befirman : “ Sesungguhnya ini ialah sebuah bala (ujian) yang sangat nyata” ( As-Shofat : 106).

Mengorbankan anak kandung sendiri yang ketika waktu masih remaja dan muda serta demikian pula penyantun dan dapat memanfaatkan ibubapa sangat memberati sesiapa pun yang memiliki jiwa manusia. Namun ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya dan pengorbanan dilakukan dan Allah menerima niat dan ketaatan ini dengan mengantikan sesuatu yang lebih baik dikorbankan dan kemudian menjadikan sebagai pensyariatan serta sunnah kepada mereka yang beriman.

“Dan kami tinggalkan bagi orang-orang yang kemudian akan (kisah) mereka berdua” (As-Shofat : 108).

Demikianlah sedikit coretan ringkas kisah yang mulia dalam sejarah kemanusiaan apabila ada waktu dan ketika para hamba menunaikan janji dan perintah tuhannya tanpa ragu dan kecewa serta pula merasa yakin dengan segala janji-jani Allah swt.

“Di antara orang-orang yang beriman itu ada lelaki-lelaki yang telah menunaikan janji-janji mereka kepada Allah maka di antara mereka itu ada yang telah sampai ajalnya dan di antara mereka itu pula masih ada yang sedang menanti-nanti dan mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka dengan segala sesuatu” (Al-Ahzab : 23).

No comments: