Monday, January 02, 2012

Kreativiti dalam Dakwah atau Bid’ah dalam agama ?


Ringkasnya penyampaian agama itu boleh sahaja dilakukan dalam bentuk yang kreatif dan menarik dan ianya termasuk dalam jalan-jalan yang disebut sebagai hikmah dalam dakwah.

Firman Allah SWT : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka menurut cara yang baik.” (An-Nahl : 125)

Tetapi menjadikan sesuatu perkara sebagai sambutan agama dan mengaitkan sesuatu perkara yang bukan agama sebagai agama tanpa dalil dari Al-Quran dan As-sunnah maka ketika itu ianya adalah bid’ah yang berdosa walaupun masyarakat menganggapnya ada manfaat dan faedah.

Sabda nabi salallahualaihiwassalam : “Barangsiapa yang mengada-adakan urusan baru dalam agama ini maka ianya tertolak.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi melarang penulisan hadith kerana bimbang campur aduk Al-Quran !

Tidak ada bukti dan hujah yang lebih jelas bagi kita untuk menunjukkan sikap berhati-hatinya rasulullah salallahualaihiwassalam dalam menjaga kesucian Islam dan memeliharanya dari penyelewengan seperti yang ditunjukkan di dalam hadith larangan menulis kata-kata baginda salallahualaihiwassalam itu sendiri.

Dari Abi Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Janganlah kamu menulis apa yang dikatakan olehku dan barangsiapa yang menulis kata-kataku selain Al-Quran maka hendaklah memadamkannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Imam Nawawi ra dalam syarah kepada sahih Muslim bahawa hal ini terjadi di awal-awal Islam sewaktu berlaku kebimbangan bahawa Al-Quran mungkin akan bercampur aduk dengan kata-kata baginda rasulullah salallahualaihiwassalam.

Di sini kita boleh mengambil pelajaran bahawa sekalipun sabda rasulullah salallahualaihiwassalam itu juga adalah wahyu seperti yang disepakati oleh para ulama’ berdasarkan firman Allah SWT : “Kawanmu (Muhammad) itu tidaklah sesat dan tidak pula keliru. Dan dia tidaklah mengucapkan sesuatu menurut hawa nafsunya. Melainkan apa yang diucapkannya itu ialah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (An-Najm : 2-4)

Namun ianya tidaklah sama kedudukan dengan wahyu secara langsung dari Allah SWT yang disebut sebagai kalamullah dan baginda pula sebagai rasul dan utusan yang amanah telah berusaha menjaga kesucian Islam dengan sama sekali tidak memberikan peluang kepada umatnya untuk tersilap dan tersalah dalam meneriwa wahyu dari Allah SWT yang bercampur dengan perkataan baginda salallahualaihiwassalam itu sendiri.

Demikianlah juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin Al-Ash ra, yang berkata : Aku bertanya kepada rasulullah bahawa aku mendengar sesuatu dari hadis baginda dan apakah aku boleh menulisnya ? Lalu dijawab oleh rasulullah : “Ya,” Maka aku pun berkata walaupun diwaktu marah dan suka ? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda : “Ya, kerana sesungguhnya aku ini tidaklah mengatakan sesuatu pun melainkan kebenaran.” (hadis riwayat Abu Daud no. 3646)

Seorang rasul yang maksum, seorang lelaki yang menerima wahyu dan kata-katanya diperakui sebagai wahyu sekalipun tetap berusaha berhati-hati memelihara kesucian Islam dengan melarang manusia dari menulis sabda-sabdaNya kerana khuatir dan memikirkan masa depan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi dari bentuk penyelewengan manusia.

Lalu bagaimana dengan kita ?

Sebagai seorang pendakwah yang menjadikan rasulullah salallahualaihiwassalam sebagai rasul dan teladan maka kita hendaklah lebih berhati-hati apabila di sana ada manusia yang jahil, ada umat yang jauh dari islam dan buta bahasa arab dan ada manusia yang pemalas dan tidak mempedulikan asal-usul agama atau mahu bertanya status hadis atau fiqh yang diamalkan apakah sahih atau sebaliknya maka kita harus dan wajib lebih berhati-hati !

Para ulama’ selalu menyebut bahawa kadang-kadang kesesatan kepada manusia itu selalunya bermula dari hal yang kecil dan baik. Berkata Al-Hasan bin Soleh ra (salah seorang ulama' salaf) bahawa "Sesungguhnya syaitan itu selalu membuka 99 pintu kebaikan kepada seorang hamba Allah tetapi dengan tujuan untuk mendorongnya masuk ke dalam satu pintu kejahatan." (Talbis Iblis, Ibn Jauzi)

Berhati-hatilah kita semua, betapa zina selalu terjadi dengan alasan kononnya mahu bernikah dan fitnah terhasil kerana menyangka kita sedang menegakkan kebenaran !

Wallahua’lam



No comments: