Tuesday, July 21, 2020

Berjalan kaki pun tidak mengapa





1. Di dunia ini ramai orang yang sombong dan angkuh dengan kenderaan masing-masing. Memecut laju dengan merasa hebat tanpa mempedulikan orang lain dalam kenderaan mereka yang selesa dan bergaya itu.


Tetapi di akhirat nanti keadaan akan berbeza.

2. Seburuk-buruk keadaan manusia telah dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya;

 الَّذِينَ يُحْشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُولَٰئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ سَبِيلًا

"Orang-orang yang dihimpunkan ke neraka Jahannam dengan diseret atas muka-muka mereka, mereka itulah orang yang paling buruk tempatnya dan paling sesat jalannya." (Al-Furqan:34)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA (wafat 57 H) bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

يحشر الناس يوم القيامة على ثلاثة أصناف؛ صنف مشاة، وصنف ركبانا، وصنف على وجوههم" . قيل : يا رسول الله، وكيف يمشون على وجوههم؟ قال : "إن الذي أمشاهم على أقدامهم قادر أن يمشيهم على وجوههم، أما إنهم يتقون بوجوههم كل حدب وشوك" .

Dihimpunkan manusia pada hari kiamat dalam tiga golongan iaitu golongan pertama yang akan berjalan kaki ayam, golongan kedua akan menaiki kenderaan dan golongan ketiga pula akan berjalan dengan wajah mereka di atas tanah.

قيل : يا رسول الله، وكيف يمشون على وجوههم؟ قال : "إن الذي أمشاهم على أقدامهم قادر أن يمشيهم على وجوههم، أما إنهم يتقون بوجوههم كل حدب وشوك" .

Ditanya kepada rasulullah, bagaimana mereka berjalan di atas wajah mereka? Lalu baginda menjawab: Tuhan yang menciptakan mereka berjalan di atas kedua kaki mereka berkemampuan menjadikan mereka berjalan di atas wajah-wajah mereka.

Sesungguhnya mereka pada waktu itu akan berjalan dengan wajah mereka dalam keadaan berhati-hati supaya wajah mereka tidak mengenai batu-batu dan duri.

[HR Abu Daud, Tirmidzi dan Al-Baihaqi]

Disebutkan dalam riwayat yang lain daripada Ahmad dan Al-Nasaie bahawa orang yang menaiki kenderaan itu akan mendapat naungan malaikat, diberi makan minum dan pakaian.

3. Golongan yang bertaqwa dan beriman akan menuju ke padang mahsyar dalam keadaan menaiki kenderaan sebagai tetamu VVIP di sisi Allah. Manakala orang yang beriman yang biasa dan muslim yang lain yang tidak mendapat keutamaan untuk menaiki kenderaan akan berjalan kaki dengan tidak memakai kasut.

Tetapi orang yang kafir, musyrik, munafiq, muslim yang sombong dan angkuh di dunia ini pula akan berjalan menuju ke padang mahsyar dengan menyeret wajah-wajah mereka di atas tanah sebagai bentuk penghinaan daripada Allah.

Segala macam kenderaan seperti BMW, Volvo, Audi dan Mercedes yang vroom-vroom di dunia ini yang telah menyebabkan mereka angkuh, sombong akan menjadi asbab kehinaan mereka apabila menuju ke mahsyar dengan menyeret wajah-wajah masing-masing di atas tanah.

Ketika itu mereka sudah tidak laju dan bergaya lagi.

Ketika itu tiada lagi cermin gelap, no.plat VVIP dan tiada lagi polis trafik dan pengawal mengiringi kereta mereka.

Semoga Allah melindungi kita daripada menjadi seperti mereka!