Monday, January 23, 2012

Akibat Suka Memberi Pendapat

Kita cukup suka jika ada ramai orang yang mahu mendengar pendapat kita kerana itu kita suka menyuarakan pendapat ditempat yang terbuka seperti forum, internet atau media. Bahkan kita paling suka jika pendapat kita itu dapat diterima dan dijadikan sebagai pegangan oleh orang lain. Persoalannya, adakah kita masih suka jika pada hari akhirat kelak kita akan diminta oleh Allah SWT untuk bertanggungjawab ke atas setiap pendapat tersebut ?

Hadith pertama yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari, berkenaan seorang hamba yang mengucapkan suatu perkataan yang padanya dianggap remeh tetapi Allah memasukkan dia ke dalam neraka jahannam.

Sabda baginda SAW : “Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya kira-kira antara timur dan barat.” (hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dalam riwayat yang lain baginda menyebut : “Adakalanya seseorang dari kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah.” (Hadith riwayat Malik dan Tirmizi)

Bagaimana kita akan terlepas dari dipertanggungjawabkan sedangkan pendapat kita itu mungkin akan menyebabkan seseorang itu melakukan keputusan yang salah atau membuat sesuatu perkara yang membawa kerosakkan dan kita yang memberikan pendapat apakah boleh melepaskan tangan ?

Diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud dari Jabir bin Abdillah ra bahawa: "Satu ketika kami telah melakukan musafir lalu salah seorang dari kami telah terkena batu lalu terlukalah kepalanya. Pada malamnya dia telah berihtilam (mimpi basah) lalu dia bertanya kepada teman-temannya: 'Adakah kamu semua mendapati sebarang kelonggaran untukku bertayammum (tanpa perlu mandi wajib)?'

Mereka pun menjawab: 'Kami tidak menjumpai sebarang kelonggaran untukmu sekiranya kamu masih boleh menggunakan air.' Lelaki tersebut menunaikan mandi wajib dan terbukalah luka di kepalanya lalu dia meninggal."

Apabila kami sampai kepada Rasulullah salallahualaihiwassalam dan berita ini pun disampaikan kepadanya maka baginda salallahualaihiwassalam pun bersabda: “Mereka telah membunuhnya, semoga Allah taala membunuh mereka! “Mengapa tidak mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya ubat bagi kejahilan itu adalah dengan bertanya.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Kerana pendapat orang-orang yang tidak mengerti ini telah menyebabkan seorang sahabat akhirnya mati. Nabi Salallahualaihiwassalam memarahi orang-orang yang memberikan pendapat kerana tidak bertanya pada orang yang lebih mengetahui disebabkan kejahilan mereka telah membunuh lelaki tersebut.

Bagaimana dengan situasi kita hari ini ? Apabila semua orang tidak kira lelaki dan perempuan sibuk mahu memberikan pendapat seolah-olah nilai diri mereka baru akan berkilauan jika dapat memberikan sebuah pendapat pada sesuatu perkara.

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : "Seburuk-buruk umatku ialah mereka yang paling banyak cakapnya, bermulut besar, dan berlagak pandai; dan sebaik-baik umatku ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat Bukhari dalam Adab Al-Mufrad)

Tidak ada perkara yang remeh disisi Allah SWT jika ianya melibatkan persoalan agama.

Buktinya nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari akhirat, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam.” (hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith yang begitu penting ini menunjukkan kepada kita bahawa perbuatan berdiam diri itu termasuk dari bahagian keimanan kepada Allah SWT dan hari akhirat serta dapat menyelamatkan kita daripada fitnah dan dosa. Malangnya kita selaku manusia yang jahil amat suka bercakap dan tidak berhenti-henti memberikan pendapat sehingga kerap-kali kita sendiri pun tidak pula mengamalkan apa yang kita cakapkan.

Lalu kita pun terjatuh pula dalam dosa yang seterusnya.

Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (As-Soff : 2-3)

Pengajarannya, pendapat ini bukanlah urusan ringan. Yang memberi harus berani bertanggungjawab di atas kesan pendapatnya !

Maka kerana itulah Saidina Abu Bakar as-siddiq ra, pernah berkata : “Di langit manakah akan aku berlindung dan di bumi manakah akan aku berpijak jika aku berani mengatakan sesuatu tentang kitab Allah akan apa yang aku tidak ketahui.” (Lihat : Syarah Aqidah Tohawiyah Jilid 1, ms. 295)

Salaf soleh itu diangkat sebagai sebaik-baik umat kerana mereka itu amat takut kepada Allah SWT dan ketaqwaan itulah yang menjadikan sebab kemuliaan mereka.

Bertaqwalah !


2 comments:

HijabRockers said...

Assalamu'alaikum
Saya suka entry ni ustaz. Jazakallah.

Ansof86 said...

salam..

bagaimana untuk mengelak dari kemurkaan dlm memberi pendapat dan nasihat kpd seseorang yang bermasalah?

tq