Thursday, June 30, 2005

Bolehkah bersolat dibelakang orang yang fasiq ?

Mengenai hal ini maka para ulama’ berselisih pendapat, namun secara disepakati bahawa bersolat dibelakang orang biasa yang merupakan ahli bid’ah dan ahli maksiat amatlah ditegah dan dibenci oleh para ulama’. Diriwayatkan dari Abdullah ibn Ahmad yang bertanya kepada bapanya (Imam Ahmad ra) mengenai bersolat dibelakang ahli bid’ah (menjadi makmum kepada mereka) maka dijawab oleh Imam Ahmad dengan melarang dan menyebut jangan bersolat dibelakangnya (lihat Masa’il Ahmad oleh Ibn Hani m/s 63 Jilid 1 masalah no. 312).

Namun ulama lain seperti Imam Ibn Taimiyyah menyebut dibenarkan solat dibelakang ahli bid’ah dan maksiat selagi maksiat dan bid’ahnya tidak keterlaluan (lihat Majmuk Al-Fatawa m/s 253 Jilid 4). Adapun hadith yang diriwayatkan dari Makhul dari Abu Hurairah ra yang menyebut nabi salallahualaihiwasalam bersabda: صلوا خلف كل برّوفاجر Solatlah dibelakang setiap orang sama ada yang soleh mahupun yang fasiq” (Hadith Dhaif, riwayat Daruquthni no. 57 Jilid 2 dan Baihaqi no. 19 Jilid 4).

Walaubagaimanapun jika imam itu merupakan imam rawatib maka hendaklah bersolat dibelakangnya dan jika enggan serta benci maka elakkanlah dari perselisihan dan perpecahan. Namun mengenai bersolat dibelakang pemimpin dan ulil amri (pemimpin yang mengusai urusan rakyat) maka para ulama’ menyebut ianya dibolehkan bahkan menjadi kewajipan sekalipun pemimpin tersebut zalim dan terkenal dengan maksiat kepada Allah swt.
Hal ini dibuat oleh para sahabat ra sendiri seperti Anas bin Malik ra, Abdullah ibn Umar ra yang bersolat dibelakang Hajjaj bin Yusof As-Saqafi. Ha ini dilakukan demi mentaati perintah rasulullah salallahualaihiwasalam yang diriwayatkan dari Auf bin Malik ra yang bersabda :
ألا ولي عليه ول فرآه ياتي من معصية الله فليكره ما يأتي من معصية الله ولا ينزعن يدا من طاعة
“ Hendaklah sesiapa yang dibawah kepimpinan pemerintah dan dia melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka hendaklah dibenci apa yang dilakukan oleh pemimpin itu dari maksiatnya namun jangan sekali-kali mencabut tangannya dari ketaatan kepada pemimpin itu” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 1855).
Mengenai hal ini jelas sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam seperti yang disebut oleh Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim dalam kitabnya Al-Minhaj yang menyebut mengenai kepentingan kesatuan dan perpaduan dikalangan umat Islam walaupun wujud kemaksiatan dan kesalahan yang dibenci kerana maksiat tidak dapat dicegah dengan maksiat yang lebih besar (iaitu perpecahan).
Adapun ayat وَلاَ تَرْكَنُوا اِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّار “ Dan janganlah kamu cenderung kepada golongan yang zalim kelak nanti kamu akan disambar oleh api neraka” (Surah Hud :113). Adapun ayat ini bukanlah bermakna dengan bersolat dibelakang pemimpin yang zalim itu bermaksud kita menyokongnya tetapi sebaliknya ialah apabila kita membantunya dalam kezaliman.

No comments: