
Apabila seseorang isteri dipukul oleh suaminya maka hendaklah dia melakukan 7 perkara berikut :
1. Beristigfar dan bersabar ketika mula-mula dipukul tanpa menyebutkan
perkataan yang buruk seperti mencaci, memaki dan mengikut emosi. Ini
berdasarkan hadith rasulullah salallahualaihiwassalam ;
إنما الصبر عند الصدمة الأولى
"Sesungguhnya sabar itu adalah pada waktu pukulan yang pertama. " [Hadith Riwayat Muslim]
Maksudnya ialah kesabaran itu bermula pada saat-saat pertama kali
ditimpa musibah. Diriwayatkan juga bahawa Umar al-Khattab RA pernah
berkata ;
وجدنا خير عيشنا بالصبر
Kami mendapati kebaikan pada hidup kami datang dari sifat sabar. [al-zuhd wa al-raqaiq]
2. Mengucapkan kalimah istirja' iaitu ucapan ;
إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهَ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali.”
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang menyebut;
وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ. الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ
قَالُوا إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ
صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu)
orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: ‘Inna
lillahi wa inna ilaihi raji’un.’ Mereka itulah orang yang mendapat
keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka, dan mereka itulah
orang-orang yang mendapat petunjuk.”[Al-Baqarah: 155-157]
3. Tidak bertindak terburu-buru, bertenang dan melakukan muhasabah
Diriwayatkan ada hadith menyebut;
التأني من الله و العجلة من الشيطان
Ketenangan itu dari Allah dan tergesa-gesa itu dari syaitan [Riwayat Abu Ya'la dan Al-Baihaqi, dhaif]
Hendaklah seorang isteri itu melakukan muhasabah seperti kenapa dia
dipukul? Apakah kesalahannya dan mengapa suami memukul dirinya? Perlu
bezakan keadaan antara diri tidak bersalah lalu dipukul tanpa sebab
dengan keadaan diri bersalah tetapi suami tidak sepatutnya memukul
kerana pelbagai sebab.
Jika ada kesalahan, perbaiki dahulu
diri kita sebelum mempertikaikan tindakan suami yang melampaui batas
memukul isteri. Utamakan pembaikan sebelum terjun dalam pertengkaran
yang berlanjutan.
4. Jangan menceritakan atau menyebarkan aib rumahtangga kepada orang lain sekalipun kepada ibubapa, kawan atau saudara-mara
Apa yang berlaku dalam rumahtangga ialah amanah dan aib yang tidak
perlu dibuka kepada orang lain kecuali kepada sang alim yang ingin
diminta fatwa atau mereka yang amanah dan bertaqwa untuk diminta nasihat
serta hakim dan pihak berkuasa yang mahu menjalankan kewajipan hukum.
Banyak perceraian berlaku bukan kerana 'suami pukul isteri' tetapi
kerana cerita suami pukul isteri tersebar, wujud campur tangan keluarga
mertua, sentimen dan emosi yang mengakibatkan JALAN DAMAI TERTUTUP.
Bukan semua orang boleh diceritakan masalah. Apatah lagi dalam laman sesawang atau di forum-forum terbuka.
Diriwayatkan Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah berkata ;
ولا تشاور في أمرك إلا الذين يخشون الله عز وجل
'Dan janganlah kamu bermesyuarat tentang urusan kamu kecuali
bersama-sama dengan orang yang takut kepada Allah Azza wa Jalla.'
[Sifatus Sofwah, Ibn Al-Jauzi]
5. Membuat keputusan apakah mahu berdamai dengan suami atau memilih jalan keluar daripada perkahwinan
Seorang isteri memiliki hak untuk memilih apakah mahu meneruskan
rumahtangganya dengan harapan ianya akan kembali menjadi lebih baik atau
mahu keluar daripada kongkongan suami yang pemarah dengan meminta khulu
atau fasakh di mahkamah syariah.
Setiap kes dan situasi tidak
sama, jadi setiap orang perlu membuat keputusan dengan melakukan
istikharah, pertimbangan buruk-baik dan kesan perceraian kepada diri
sendiri, anak-anak dan masa depan.
Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;
ما ندم من استخار الخالق وشاور المخلوقين وثبت في أمره
'Tidak menyesal orang yang selalu istikharah kepada Sang Khaliq dan bermusyawarah kepada makhluk serta teguh dalam perkaranya.'
6. Menjaga adab dan akhlak ketika berurusan dengan suami dan menunjukkan contoh yang baik di hadapan anak-anak
Kehidupan ini adalah sementara, akhirat itu yang utama. Dan setiap
musibah yang menimpa akan menjadi kaffarah dosa dan penghapus keburukan
seseorang. Justeru adalah penting bagi seorang isteri yang dipukul untuk
menjaga akhlak dan adab-adabnya tanpa memberontak dan mengikut emosi
serta menunjukkan teladan dan contoh yang terbaik buat anak-anaknya.
Kebiasaan wanita apabila dipukul suami akan merajuk, namun isteri yang
solehah akan memperbaiki dirinya dan bersabar serta melayani suaminya
dengan baik sehingga suaminya itu akan merasa bersalah sendiri kerana
perbuatan memukul isterinya yang baik itu.
Ini kerana orang
yang bahagia dengan hasil hubungannya dengan Allah tak akan terancam
dengan apa yang dilakukan oleh manusia kepada dirinya.
Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;
ما يصنع أعدائي بي؟ أنا جنتي وبستاني في صدري، أين رحت فهي معي لا تفارقني، أنا حيسي خلوة، وقتلي شهادة، وإخراجي من بلدي سياحة
'Apa yang dapat diperbuat oleh musuhku kepada diriku? Sesungguhnya
syurgaku dan tamanku ada di dalam dadaku. Ke mana aku pergi pun maka ia
bersama denganku dan tidak berpisah denganku. Jika aku dipenjara maka ia
menjadi tempat aku bersendiri dengan tuhanku dan jika mereka membunuhku
maka aku beroleh syahid, dan jika mereka mengusirku keluar dari negeri
maka ia adalah pelancongan bagiku.
Sebaliknya kata beliau lagi;
المحبوس من حبس قلبه عن ربه تعالى
والمأسور من أسره هواه
'Orang yang terpenjara atau terkurung itu ialah mereka yang hatinya
terlindung dari tuhan-Nya. Dan orang yang tertawan itu ialah orang yang
tunduk kepada hawa nafsunya.'
[Al-Waabil as-Sayyib min al-Kalim at-Tayyib, Ibn Qayyim]
7. Menjalinkan hubungan yang akrab dengan Allah, bertaubat dan sentiasa menjaga ibadah dan perintah-Nya
Mana-mana wanita yang menjadi hamba Allah yang bertaqwa, maka mereka
pasti akan dipelihara oleh Allah seperti Maryam dan Asiah yang
dipelihara daripada kejahatan manusia pada zaman mereka.
Daripada Utsman bin ‘Affan RA mengatakan, ‘Saya mendengar Rasulullah
salallahualaihiwassalam bersabda, ‘Barang siapa yang mengatakan;
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab nama-Nya tidak ada
sesuatu pun di bumi maupun di langit yang dapat membahayakan
(mendatangkan mudharat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)
sebanyak tiga kali, nescaya tidak akan ada sesuatu pun yang akan dapat
memudharatkannya” [Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi]
Sesungguhnya
mereka yang zalim pasti tidak akan terlepas dan mereka yang tertindas
dan teranaiya pasti akan dibalas dan dibela oleh Allah SWT.
Dia-lah sebaik-baik pembela dan pelindung !