Thursday, December 18, 2014

Menilai kealiman seseorang

Ramai orang sering bertanya bagaimanakah kita mahu mengukur keilmuan seseorang? Siapakah yang lebih alim di antara ahli ilmu itu adakah si ustaz A, Professor. B atau Dr. C ?

Kenapa mahu tahu ? 

Mungkin kerana mahu berbangga dengan gurunya yang dianggap lebih alim dari guru orang lain atau kerana mahu memastikan ilmunya itu benar disebabkan pada pendapatnya, sang alim itu jika ia tersangat alim maka pasti akan tidak berbuat silap!

Aljawab,

Kealiman seseorang adalah terletak pada taqwanya terhadap Allah.

Diriwayatkan bahawa Huzaifah al-Yamani RA pernah berkata ;

كفى بالمرء علما أن يخشى الله وكفى بالمرء جهلا أن يعجب بعمله
Cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai alim apabila dia bertaqwa kepada Allah dan cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai jahil apabila dia takjub dengan amalnya.

Perkataan yang sama turut diucapkan oleh Imam Masruq dan diriwayatkan dalam hadith Abdullah bin Amr RA yang dikeluarkan oleh Al-Baihaqi di dalam Syuab Al-Iman dan al-Tabarani dalam Al-Awsat dengan lafaz ;

وكفى بالمرء فقهاً إذا عبد الله وكفى بالمرء جهلاً إذا أعجب برأيه
Cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai faqih apabila dia beribadah kepada Allah dan cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai jahil apabila dia takjub dengan pendapatnya.

[Hadith ini didhaifkan oleh Syeikh Albani]

Pernah di zaman salaf, seseorang bertanya kepada para ulama dengan soalan berikut ;

سئل من أعلم أهل هذه البلد
Siapakah yang paling alim di dalam negeri ini ?

Lalu mereka pun menjawab ;

قال اتقاهم
yang paling bertaqwa di kalangan mereka.

Justeru kita tak akan pernah tahu siapa dikalangan mereka yang lebih bertaqwa, kecuali Allah SWT sahaja yang memiliki pengetahuan tentangnya. Hormatilah setiap ahli ilmu itu dan ambillah ilmu dengan akhlaknya yang bermanfaat.

Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebutkan;

أن الاشتغال بالتفضيل بين بعض المذاهب ، أو الشيوخ المتبوعين ، وتنقص الآخرين ، هو من أصول أهل البدع
'Sesungguhnya perbuatan menyibukkan diri dengan membeza-bezakan keutamaan di antara sebahagian mazhab ke atas mazhab yang lain, atau membandingkan antara syeikh-syeikh yang lebih patut diikuti dan kemudian merendahkan pihak yang lain, hal ini adalah termasuk dasar ahli bid’ah....[Majmuk al-fatawa, Ibn Taimiyyah]

Setiap alim ada rukhsoh dan kekurangan, ada kelebihan dan kemahiran tertentu, maka ambillah dari mereka apa yang menjadi keperluan dan tinggalkan perbuatan membanding-bandingkan seorang alim dengan alim yang lain.

Sungguh ilmu itu tujuannya adalah taqwa, justeru jangan digunakan atau diambilnya selain dari untuk itu!

No comments: