Thursday, December 18, 2014

Membaca surah al-Waaqiah untuk kaya

Ada sahabat bertanya, apakah hukumnya membaca surah al-Waaqiah untuk tujuan agar dimurahkan rezeki ?

Aljawab,

Memang terdapat dakwaan sebahagian daripada guru agama bahawa membaca surah al-Waaqiah dapat memudahkan rezeki.

Hal ini adalah berdasarkan hadith dhaif yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda ;

من قرأ سورة الواقعة في كل ليلة لم تصبه فاقة أبدا
'Barangsiapa yang membaca surat Al-Waaqiah pada setiap malam, maka dia tidak akan tertimpa kemiskinan buat selama-lamanya.

Matan yang lainnya pula menyebut;

من قرأ الواقعة كل ليلة لم يفتقر
'Barangsiapa yang membaca surat Al-Waaqiah setiap malam,maka dia tidak akan menjadi fakir.'

[Kedua-dua hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman]

# Hadith-hadith di atas didhaifkan oleh para Imam seperti Imam Ahmad, al-Daraquthni dan Abi Hatim. Ianya juga termasuk hadith yang mungkar dan matannya juga ditolak oleh ahli hadith.

# Al-Quran diturunkan bukanlah untuk menjadikan umat Islam kaya. Sebaliknya ia diturunkan sebagai panduan hidup dan perintah daripada Allah SWT.

Al-Quran juga dibaca untuk mendapat hidayah, petunjuk dan sebagai hukum dalam kehidupan.

# Walaupun fadhilat membaca surah al-Waaqiah untuk kaya itu tidak benar. Namun janganlah meninggalkannya dan tidak membaca surah ini lagi. Kerana setiap ayat al-Quran yang dibaca dengan ikhlas, tadabbur dan diamalkan akan menjadi syafaat untuk kita di hari akhirat kelak.

WA

Menilai kealiman seseorang

Ramai orang sering bertanya bagaimanakah kita mahu mengukur keilmuan seseorang? Siapakah yang lebih alim di antara ahli ilmu itu adakah si ustaz A, Professor. B atau Dr. C ?

Kenapa mahu tahu ? 

Mungkin kerana mahu berbangga dengan gurunya yang dianggap lebih alim dari guru orang lain atau kerana mahu memastikan ilmunya itu benar disebabkan pada pendapatnya, sang alim itu jika ia tersangat alim maka pasti akan tidak berbuat silap!

Aljawab,

Kealiman seseorang adalah terletak pada taqwanya terhadap Allah.

Diriwayatkan bahawa Huzaifah al-Yamani RA pernah berkata ;

كفى بالمرء علما أن يخشى الله وكفى بالمرء جهلا أن يعجب بعمله
Cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai alim apabila dia bertaqwa kepada Allah dan cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai jahil apabila dia takjub dengan amalnya.

Perkataan yang sama turut diucapkan oleh Imam Masruq dan diriwayatkan dalam hadith Abdullah bin Amr RA yang dikeluarkan oleh Al-Baihaqi di dalam Syuab Al-Iman dan al-Tabarani dalam Al-Awsat dengan lafaz ;

وكفى بالمرء فقهاً إذا عبد الله وكفى بالمرء جهلاً إذا أعجب برأيه
Cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai faqih apabila dia beribadah kepada Allah dan cukuplah seseorang itu (layak) dianggap sebagai jahil apabila dia takjub dengan pendapatnya.

[Hadith ini didhaifkan oleh Syeikh Albani]

Pernah di zaman salaf, seseorang bertanya kepada para ulama dengan soalan berikut ;

سئل من أعلم أهل هذه البلد
Siapakah yang paling alim di dalam negeri ini ?

Lalu mereka pun menjawab ;

قال اتقاهم
yang paling bertaqwa di kalangan mereka.

Justeru kita tak akan pernah tahu siapa dikalangan mereka yang lebih bertaqwa, kecuali Allah SWT sahaja yang memiliki pengetahuan tentangnya. Hormatilah setiap ahli ilmu itu dan ambillah ilmu dengan akhlaknya yang bermanfaat.

Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebutkan;

أن الاشتغال بالتفضيل بين بعض المذاهب ، أو الشيوخ المتبوعين ، وتنقص الآخرين ، هو من أصول أهل البدع
'Sesungguhnya perbuatan menyibukkan diri dengan membeza-bezakan keutamaan di antara sebahagian mazhab ke atas mazhab yang lain, atau membandingkan antara syeikh-syeikh yang lebih patut diikuti dan kemudian merendahkan pihak yang lain, hal ini adalah termasuk dasar ahli bid’ah....[Majmuk al-fatawa, Ibn Taimiyyah]

Setiap alim ada rukhsoh dan kekurangan, ada kelebihan dan kemahiran tertentu, maka ambillah dari mereka apa yang menjadi keperluan dan tinggalkan perbuatan membanding-bandingkan seorang alim dengan alim yang lain.

Sungguh ilmu itu tujuannya adalah taqwa, justeru jangan digunakan atau diambilnya selain dari untuk itu!

Menolak kiamat dengan kasih sayang

Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi Salallahualaihiwasallam yang bernama Abu Tufail RA, bahawa pernah tersebar pada zaman mereka berita tentang kemunculan Dajjal.

Ringkas ceritanya, untuk mendapatkan kepastian maka mereka pun pergi mendatangi Hufaizah bin Usaid RA, beliau ialah sahabat Nabi yang lebih alim dan merupakan sahabat Nabi SAW yang lebih senior.

Huzaifah bin Usaid RA menolak dakwaan tersebut dan ternyata cerita kemunculan Dajjal di Kufah itu ialah khabar angin yang dusta.

Kemudian Huzaifah memberi penjelasan dengan katanya ;

إن الدجال لو خرج في زمانكم لرمته الصبيان بالخذف ، ولكن الدجال يخرج في بغض من الناس ، وخفة من الدين ، وسوء ذات بين ، فيرد كل منهل ، فتطوى له الأرض طي فروة الكبش
Dajjal itu kalau keluar di zaman kamu nescaya kanak-kanak (kamu) akan melontarnya dengan batu. Tetapi Dajjal akan keluar apabila wujud kebencian di antara manusia, kurangnya pegangan agama dan buruknya hubungan sesama manusia (perpecahan). Dia (Dajjal) akan bebas bergerak ke mana sahaja dia mahu dan dibentangkan kepadanya bumi ini seperti terbentangnya kulit kambing (diraikan macam hamparan permaidani merah).

Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak.

# Dajjal tak akan muncul sehingga timbulnya permusuhan dan hilangnya ukhuwah dan kasih sayang sesama manusia.

Seperti kata Ibn Mas'ud RA bahawa di antara tanda kiamat itu ialah seseorang itu tidak akan memberi Salam kecuali kepada orang yang dikenalinya sahaja.

Justeru marilah kita menangguhkan kiamat dan kemunculan Dajjal dengan menyebarkan ukhuwah dan kasih sayang sesama manusia.

WA.

Mengenal ahli sihir, dukun dan bomoh yang berhubung dengan jin

Tidak seperti cerita kartun atau filem barat kononnya ahli sihir memakai jubah hitam, bertopi tajam ke atas dan menaiki penyapu terbang, ahli sihir yang sebenarnya tidaklah kelihatan berbeza daripada kebanyakan orang ramai.

Mereka mungkin berkeluarga, ada pekerjaan dan berpenampilan biasa sekalipun mempunyai perhubungan dengan jin dan mengamalkan sihir.

الاستعانة بالشياطين على تحصيل ما لا يقدر عليه
Meminta pertolongan kepada syaitan untuk mendapatkan sesuatu yang diluar kemampuannya atau sesuatu yang luar biasa.

Berikut adalah sedikit panduan yang dapat dikongsikan sebagai cara mengenali dukun, bomoh serta mereka yang mengamalkan sihir dan berurusan dengan jin;

1. Mampu merawat dan melakukan pelbagai perkara ajaib tetapi cara hidupnya menyalahi Islam dan tidak ikut syariat.

Seorang tukang sihir pasti berusaha menyembunyikan rahsia dan amalannya kerana bimbang akan dibinasakan oleh orang yang beriman. Namun status mereka akan terbongkar jika disoal tentang agama, tauhid, ilmu-ilmu alQuran dan syariah serta melihat cara hidup mereka yang ternyata jahil dan menyalahi Islam namun memiliki kelebihan serta kemampuan yang luar biasa. 

Sebagaimana pesan Imam al-Syafie rahimahullah ;

بَلْ إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَمْشِي عَلَى الْمَاءِ، وَيَطِيرُ فِي الْهَوَاءِ، فَلَا تَعْتَبِرُوا بِهِ حَتَّى تَعْرِضُوا أَمْرَهُ عَلَى الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ.
"bahkan jika kalian melihat seseorang berjalan di atas air dan terbang di atas udara maka janganlah terpedaya olehnya sehingga kalian menimbang perkaranya di atas Al-Qur'an dan As-Sunnah." [Riwayat Ibn Abi Hatim]

Ingatlah, Allah sangat cinta kepada Nabi Salallahualaihiwassalam dan Dia tidak akan memuliakan seseorang yang bermaksiat dan menyalahi syariat baginda kecuali itu adalah dari syaitan.

2. Bomoh, dukun atau si perawat itu meminta sesuatu dari pesakit seperti rambut, bajunya, gambar dll. Hal ini seperti sihir Labid bin al-asham kepada baginda Salallahualaihiwasallam.

3. Si perawat atau sang bomoh meminta nama pesakit dan nama ibunya serta menyuruh melakukan petua-petua tertentu yang pelik. Itu adalah permintaan jin dan ianya haram dipatuhi. Termasuk juga menjadi amalan mereka mengenakan pengeras atau upah tertentu yang ditetapkan oleh jin atau tukang sihir. 

Contohnya minta sediakan garam, pulut kuning, kunyit, halia, ajinomoto, beras, kain hitam dll.

Hakikatnya baginda rasul, para salaf merawat penyakit sihir dan gangguan syaitan dengan berpandukan kepada alQuran dan iman.

Daun bidara, air zam zam, tamar dll yang digunakan para salaf tak lebih dari sekadar penguat zahir pesakit, membantu jiwanya melawan sihir. 

Bukannya menjadi bahan rawatan. Ianya umpama panadol, ubat doktor bagi mengurangkan derita pesakit sihir, bukan untuk menyembuhkannya kerana hanya Allah yang dapat menyembuhkannya dengan berwasilah kepada alQuran dan Iman.

4. Si perawat, tukang urut, bomoh dan dukun serta ustaz melakukan upacara tertentu seperti jampi-serapah yang bercampur antara ayat Quran dan bacaan lain seperti seruan azimat, meniup pada kemenyan, memotong limau, membuat ikatan dan pintalan, melukis rajah, mengguna tangkal, sembelihan, menyebut nama-nama jin atau ketua jin, menyeru nama wali, orang mati atau pendekar.

Perawat yang sebenar yang mengikut syariat, mana ada benda ni semua. Mereka cukup sekadar baca alQuran, solat dan berzikir.

5. Mana-mana insan yang menjalin hubungan dengan syaitan orangnya pengotor, berbau busuk atau tidak sedap, wajahnya gelap, masam, matanya merah, liar dan biadap, suka berbicara lucah, jika pun dia pandai menyamar disebalik 'topeng ustaz' akan terdedah melalui ujian perempuan dan wang. Mereka amat gilakan kedua-duanya dan akan terdedah tembelangnya ketika berurusan dalam hal ini.

6. Tidak telus dan tidak jujur, banyak berahsia serta bercakap sesuatu tentang pesakit secara tergantung. Dia tidak mahu kita dengar jampi-serapahnya, disoal banyak dia akan marah.

7. Tidak mampu berdepan dengan ayat Allah yang dibaca oleh orang yang beriman dan bertaqwa. Jika diperhatikan para Ustaz yang beramal dengan sihir dan ilmu kedukunan menambah kekuatan sihir mereka melalui dosa penyebaran hadith palsu, pembohongan atas nama agama dan lain-lain maksiat agar bertambah mujarab bantuan syaitan kepada mereka.

Namun jika bertembung dengan alim-ulama yang soleh, mereka akan takut, resah dan lemah. Bahkan jin mereka akan lari meninggalkan mereka.

وَلا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَى

WA