Thursday, June 20, 2013

Kenapa dulu ilmu mulia kini ia menjadi tidak berharga

Dulu hanya yang terpilih boleh menguasai ilmu menjadikan ia mulia

Kata Imam Al-Auzaie Rahimahullah,
كان هذا العلم كريما ، يتلاقاه الرجال بينهم ، فلما دخل في الكتب ،
دخل فيه غير أهله
'Sesungguhnya dulu ilmu ini ialah suatu yang mulia, para ulama saling bertalaqi sesama mereka. Namun apabila ilmu sudah masuk ke dalam kitab (yakni ditulis jadi kitab) maka orang yang bukan ahlinya pun dapat masuk ke dalamnya.' [Siyar A'lam al-Nubala]

Maksud Imam al-Auzaie Rahimahullah ialah dulu hanya mereka yang benar-benar beragama (siqah), rajin, dan diberi keizinan sahaja dapat mengaji ilmu dan bertalaqi dengan para ulama' tetapi apabila ilmu sudah dibukukan maka semua orang pun boleh baca hatta orang munafiq dan zindiq.

Dahulu, para masyeikh (guru-guru) belum tentu menerima semua anak murid, ada yang letakkan syarat kena hafal Quran dulu, kena berjanggut, kena rajin ibadah dan sebagainya. Contohnya Imam Al-A'mash, seorang tabien dan merupakan murid kepada Anas bin Malik RA diriwayatkan pernah meletakkan seekor anjing yang garang dihadapan rumahnya agar murid yang benar-benar berani sahaja dapat melepasinya.

Begitu juga Imam Sufyan Al-Tsauri rahimahullah yang berkata :
كان الرجل إذا أراد أن يكتب الحديث تأدب وتعبد قبل ذلك بعشرين سنة
‘Seseorang yang hendak menulis hadith (mempelajari hadith) maka dia perlu mempelajari adab dan beribadah selama dua puluh tahun terlebih dahulu.' [Hilyah al-Awliya]

Sekarang, sesiapa sahaja boleh membaca pelbagai ilmu tentang hadith daripada buku walaupun dia seorang yang fasiq dan kaki maksiat atau budak mentah !

---------------

* Syeikhul Islam Abu Rahman bin Amru al-Auzaie, merupakan murid kepada Atho bin Abi Rabah. Guru kepada Imam Ibn Mubarak, Malik dan Ibn Syihab az-zuhri. Meninggal pada 157 Hijrah.

1 comment:

Unknown said...

Zaman dulu, berkat berdepan dengan guru, agak sayalah... roh ilmu guru pun terbayang pada muridnya. Murid tengok guru, dengar suaranya, lama-lama terbawa pada karekter.
Hari ni...ilmu dah direkod banyak dalam buku. Bukan salah...baguslah, senang orang nak mengaji...tapi talaqqi ramai la pulak tertinggal. Kalau nak cerita biografi ilmuwan dulu, disebut sekali dia berguru dengan siapa.

Orang kafir pun boleh mengaji ilmu Islam.