Saturday, June 29, 2013

Sesiapa yang mentaati Allah maka dia akan ditaati oleh makhluk

Para ulama ahli sunnah bersepakat bahawa jin memang boleh memasuki badan manusia. Hal ini disebut oleh Imam Ibn Taimiyyah,
دخول الجن في بدن الإنسان ثابت باتفاق أهل السنة والجماعة
'Masuknya jin ke dalam badan manusia adalah sabit dan disepakati oleh ahli sunnah wal jamaah.' [Majmu' al-fatawa]

Diriwayatkan oleh Qadhi Abi Husain bin Abi Ya'la Al Fara' bahawa,
أن الإمام أحمد بن حنبل كان يجلس في مسجده فأنفذ إليه الخليفة العباس المتوكل صاحباً له يعلمه أن جارية بها صرع ، وسأله أن يدعو الله لها بالعافية ، فأخرج له أحمد نعلي خشب بشراك من خوص للوضوء فدفعه إلى صاحب له ، وقال له : امض إلى دار أمير المؤمنين وتجلس عند رأس الجارية وتقول له - يعني الجن - : قال لك أحمد : أيما أحب إليك تخرج من هذه الجارية أو تصفع بهذه النعل سبعين ؟ فمضى إليه ، وقال له مثل ما قال الإمام أحمد ، فقال له المارد على لسان الجارية : السمع والطاعة ، لو أمرنا أحمد أن لا نقيم بالعراق ما أقمنا به ، إنه أطاع الله ، ومن أطاع الله أطاعه كل شيء ،
'Imam Ahmad sedang duduk di dalam majlisnya dalam masjid lalu datang seorang kenalannya yang merupakan wakil daripada Khalifah Al-Mutawakil untuk memberitahunya bahawa seorang hamba perempuan milik Khalifah telah dirasuk oleh jin. Maka Khalifah pun mengirimkannya untuk meminta Imam Ahmad supaya mendoakan perempuan tersebut agar sembuh.

Maka Imam Ahmad pun memberikan sepasang kasutnya yang diperbuat daripada kayu yang dipakainya untuk berwudhuk lalu diberikan kepada wakil khalifah tadi. Imam Ahmad berkata, Pergilah ke rumah Amir al-Mukminin dan duduklah di kepala hamba perempuan tersebut dan katakan kepada jin yang merasuk di dalam badannya bahawa Ahmad berkata hendaklah engkau pilih yang mana satu engkau suka antara keluar daripada tubuh perempuan ini atau engkau akan dipukul dengan kasut ini sebanyak tujuh puluh kali ?

Maka lelaki itu pun pergi dan mengatakan seperti yang diberitahu oleh Imam Ahmad dan jin yang di dalam badan perempuan itu pun menjawab : Kami dengar dan taat. bahkan kalau dia (Imam Ahmad) mengarahkan kami keluar daripada Iraq pun nescaya kami akan keluar kerana dia mentaati Allah dan sesiapa yang mentaati Allah maka dia akan ditaati oleh segala sesuatu'. [Tabaqat al-Hanabilah]

Sunday, June 23, 2013

Agama ini tiada ruang untuk orang yang biadap


Orang dahulu kalau berbeza umur setahun pun dipanggil abang dan kakak sebagai tanda hormat menghormati. Duduk atas bantal pun tidak boleh sebab tidak sopan kerana ia tempat letak kepala. Hari ini orang sudah kurang peduli soal adab dan kesopanan. Salah satu puncanya kerana generasi Internet hari ini membesar dalam keadaan berkomunikasi tanpa faktor berikut :

1. Melihat dengan siapa dia berkomunikasi
2. Body language atau bahasa badan
3. Tidak diajarkan nilai dan ilmu tentang adab

Jadi mereka hanya nampak mesej dan komunikasi tersebut tetapi tidak memandang lebih daripada itu.

Contohnya :

Seorang anak muda lahir tahun 90 an, terjumpa/terbaca status Fb seorang lelaki bernama Ramli bin Abu :

' Orang lelaki yang memakai seluar ketat perlulah melabuhkan baju agar menutupi bahagian kemaluan depan dan belakang supaya tidak nampak kembung dibahagian zip depan seluar dan saiz punggung kerana itu juga aurat.'

Lalu anak muda ini tak setuju dengan status ini. Tak puas hati maka dia pun menulis dan menaip komen menyanggah. Kritik, tegur, hentam, kutuk, dan lain-lain mengikut karekter peribadinya.

-Budak baik dan Islamik sikit tegur dengan bagi hujah
-Budak tak Islamik kritik tak setuju
-Budak nakal hentam atau kutuk

Namun isunya ialah semua mereka ini hanya nampak >>>Mesej yang mereka tak setuju itu <<<<

Apa yang mereka terlepas pandang, tak terfikir dan tak pernah terlintas di kepala otak berjambul mereka itu ialah hal seperti berikut :

1. Siapa Ramli bin Abu ?
2. Kenapa dia cakap atau tulis macam itu?
3. Masa dia menulis itu situasi dia macam mana?
4. Patutkah aku komen atau aku ni siapa nak komen dia ?

---------------------

1. Rupa-rupanya Ramli bin Abu ialah seorang bapa yang ada 10 orang anak dan sudah berusia 64 tahun, lahir pada tahun 1949. Beliau juga seorang pensyarah universiti dan pernah menjadi guru sekolah.

Budak yang komen tak setuju di FB Ramli ini ada bapa dan bapanya pun dulu pernah belajar dengan Cikgu Ramli bin Abu masa zaman mudanya.

2. Ramli bin Abu menegur di Fbnya kerana melihat cucu-cucunya pakai seluar ketat nampak terbonjol dibahagian zakar dan menampakkan bentuk punggung dan ikut kata ustaz dia zaman mengaji di pondok dulu ialah aurat lelaki antara pusat dan lutut serta menampakkan bentuk badan itu tak sah aurat.

3. Masa Ramli bin Abu menulis itu maka dia menulis dengan sedih dan sayang kepada cucu-cucunya. Air mata dia tumpah atas keyboard atau skrin handphone beliau.

4. Patutkah anak-anak muda lahir tahun 90 an, yang kenal pun tidak Ramli bin Abu menyatakan tak setuju mereka, menyakitkan hati orang tua ini, kutuk dia, kritik dia, membawakan hujah-hujah ustaz-ustaz yang kata boleh bla2....sekadar nak memenuhi hobi, masa lapang atau rasa nafsu muda mereka ??

-----------------

Selepas baca tazkirah ini, anak muda yang biadap masih akan cuba mempertahankan kebiadapannya dengan berkata,
لاتنظر الى من قال ولكن انظر الى ماقال
'Lihatlah pada apa yang dikatakan bukan pada siapa yang mengatakannya.'

Aljawab, Allah suruh lihat pada siapa orangnya yang kita nak cakap :

1. Allah melarang meninggikan suara pada Nabi dalam ayat 2-3 surah al-hujurat.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ

Maknanya bercakap dengan Nabi tidaklah sama macam bercakap dengan orang lain.

2. Allah melarang kata uh, pada ibubapa dan suruh bercakap dengan perkataan yang halus pada mereka.

3. Allah suruh Nabi Musa berbicara dengan Firaun dengan perkataan yang terang dan lembut.

4. Allah suruh berhujah dengan ahli kitab dengan baik dan memujuk

5. Manakala orang munafiq dan jahil Allah suruh berpaling tak payah cakap

Dan lain-lain cukup banyak lagi hadith dan sunnah yang turut mnekankan konsep mempertimbangkan dengan siapa orang yang kita berkomunikasi.

Pendek kata, orang tak beradap tiada bahagian dalam agama ini !

Friday, June 21, 2013

Pelajaran dakwah, 'Jadilah diri sendiri yang hebat'

Pelajaran hidup daripada dakwah seorang pendakwah yang hebat

Apabila melihat tokoh tertentu yang mempunyai sejarah hidup yang hebat, pencapaian yang luar biasa maka sudah tentu sebagai orang biasa maka kita pun merasa teringin untuk menjadi seperti dirinya. Fenomena ini wujud dimana-mana sehingga melahirkan pengikut, taasub dan golongan pengkagum kepada kehidupan dan peribadi seorang tokoh.

Perkara seperti ini adalah menyalahi ajaran yang dibawa oleh sekolah kehidupan yang pernah dibangunkan oleh baginda salallahualaihiwassalam dan sahabatnya.

1. Sekolah kehidupan mengajar kita bahawa kehidupan setiap orang adalah berbeza dan kita perlu merasa bahagia dan redha dengan apa yang diberikan oleh Allah Ta'ala kepada kita.

Diriwayatkan ada hadith dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Salallahualaihiwassalam menyebut 'وَارْضَ بِما قَسَمَ الله لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النّاسِ' 'Dan redhalah dengan pembahagian Allah (apa yang diberikan) kepadaMu maka nescaya engkau akan menjadi orang yang paling kaya.' [riwayat al-Tirmidzi]

Kejayaan seseorang juga adalah berbeza, bagi seorang penulis ialah menghasilkan buku, bagi seorang petani ialah mengusahakan tanamannya sehingga berhasil, bagi seorang peniaga ialah memajukan bisnesnya. Jika semua orang ingin menjadi penulis buku dan tidak ada yang mahu menjadi petani, peniaga dan pengusaha maka semua orang akan kelaparan.

2. Pendakwah yang sebenar ialah orang yang mengajar manusia untuk redha dan bergembira dengan apa yang dimilikinya, mengajar mereka untuk memanfaatkan pemberian Allah kepada mereka untuk beramal bagi menghadapi hari kemudian.

Lihat Rasulullah salallahualaihiwassalam, baginda tidak mengubah kedudukan Bilal, keluarga Yasir yang terdiri daripada Ammar dan Sumaiyah yang merupakan golongan hamba menjadi bangsawan tetapi baginda mengajar mereka erti syukur, redha dengan kehidupan yang diberi dan bersiap sedia dengan akhirat yang akan dihadapi dikemudian hari.

3. Dakwah yang benar tidak menjadikan kita mahu menjadi seperti orang lain tetapi dakwah yang benar menjadikan diri kita sebagai lebih baik daripada sebelumnya.

Jarang kita dengar atau baca dalam hadith baginda menyuruh para sahabat supaya menjadi seperti Abu Bakar RA, jadilah seperti Umar RA tetapi baginda sebaliknya menyebut :
وما أمرتكم به فأتوا منه ما استطعتم
'Dan apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu maka penuhilah ia semampu kamu.' [riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Begitu juga al-Quran menyuruh supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan.

4. Di antara keburukan dan bid'ah paling buruk daripada sikap mengkagumi tokoh ialah kita membanding-bandingkan kehidupan kita dengannya, menetapkan peraturan dan ketetapan yang tidak disuruh oleh agama seperti jika seseorang tokoh itu sukakan sesuatu maka kita pun memaksa diri kita untuk menyukainya, jika dia membencinya maka kita pun ikut membencinya.

Di dalam hadith Ibn Abbas RA bahawa Khalid bersama Rasulullah salallahualaihiwassalam dihidangkan daging Dhab panggang lalu baginda menolaknya. Maka Khalid bertanya apakah ia haram ? Lalu baginda bersabda :
لا، ولكن لا يكون بأرض قومي فأجدني أعافه
'Tidak, tetapi haiwan ini tidak ada dikampung halaman kaumku lalu aku tidak mempunyai selera untuk memakannya.' [riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Para sahabat tidak pula ikut mengharamkan atau merasa jijik atau meninggalkan makan dhab semata-mata kerana tokoh idola mereka tidak lalu untuk memakannya. Kerana mereka mengerti ini bukan agama tetapi personaliti yang berbeza !

Thursday, June 20, 2013

Kenapa dulu ilmu mulia kini ia menjadi tidak berharga

Dulu hanya yang terpilih boleh menguasai ilmu menjadikan ia mulia

Kata Imam Al-Auzaie Rahimahullah,
كان هذا العلم كريما ، يتلاقاه الرجال بينهم ، فلما دخل في الكتب ،
دخل فيه غير أهله
'Sesungguhnya dulu ilmu ini ialah suatu yang mulia, para ulama saling bertalaqi sesama mereka. Namun apabila ilmu sudah masuk ke dalam kitab (yakni ditulis jadi kitab) maka orang yang bukan ahlinya pun dapat masuk ke dalamnya.' [Siyar A'lam al-Nubala]

Maksud Imam al-Auzaie Rahimahullah ialah dulu hanya mereka yang benar-benar beragama (siqah), rajin, dan diberi keizinan sahaja dapat mengaji ilmu dan bertalaqi dengan para ulama' tetapi apabila ilmu sudah dibukukan maka semua orang pun boleh baca hatta orang munafiq dan zindiq.

Dahulu, para masyeikh (guru-guru) belum tentu menerima semua anak murid, ada yang letakkan syarat kena hafal Quran dulu, kena berjanggut, kena rajin ibadah dan sebagainya. Contohnya Imam Al-A'mash, seorang tabien dan merupakan murid kepada Anas bin Malik RA diriwayatkan pernah meletakkan seekor anjing yang garang dihadapan rumahnya agar murid yang benar-benar berani sahaja dapat melepasinya.

Begitu juga Imam Sufyan Al-Tsauri rahimahullah yang berkata :
كان الرجل إذا أراد أن يكتب الحديث تأدب وتعبد قبل ذلك بعشرين سنة
‘Seseorang yang hendak menulis hadith (mempelajari hadith) maka dia perlu mempelajari adab dan beribadah selama dua puluh tahun terlebih dahulu.' [Hilyah al-Awliya]

Sekarang, sesiapa sahaja boleh membaca pelbagai ilmu tentang hadith daripada buku walaupun dia seorang yang fasiq dan kaki maksiat atau budak mentah !

---------------

* Syeikhul Islam Abu Rahman bin Amru al-Auzaie, merupakan murid kepada Atho bin Abi Rabah. Guru kepada Imam Ibn Mubarak, Malik dan Ibn Syihab az-zuhri. Meninggal pada 157 Hijrah.

Wednesday, June 12, 2013

Ahli sunnah, akhlak mereka juga benar-benar menurut sunnah

Firman Allah SWT,

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
“Jadilah engkau seorang yang pema'af dan suruhlah orang mengerjakan perkara yang ma'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” [Al-A’raaf:199]

Qadhi Zainuddin bin Makhluf al-Maliki terkenal sebagai seorang yang paling kuat permusuhan terhadap Imam Ibn Taimiyyah. Beliau pernah mengkafirkan Imam Ibn Taimiyyah dan memfatwakan harus membunuh sang Imam. Beliau juga antara orang yang bertanggungjawab membuat fitnah dan pelbagai tohmahan sehingga Imam Ibn Taimiyyah dipenjara sekian lama.

Namun takdir Allah, Qadhi Ibn Makhluf terlebih dahulu meninggal dunia.

Apabila telah sampai berita tentang kematian Ibn Makhluf maka Ibn Qayyim yang ketika itu merupakan murid kepada Imam Ibn Taimiyyah segera mendatangi gurunya bagi menyampaikan berita itu dengan gembira.

Namun sebaliknya yang berlaku.

Hal ini diceritakan sendiri oleh Imam Ibn Qayyim yang mengatakan bahawa apa yang berlaku ialah,

فنهرني وتنكر لي واسترجع. ثم قام من فوره إلى بيت أهله فعزاهم،

Beliau Imam Ibn Taimiyyah bahkan menegur dan memarahi perbuatan saya. Kemudian beliau beristirja' (membaca ان لله وان اليه راجعون) Setelah itu Imam Ibn Taimiyyah bangkit dari tempatnya lalu langsung menuju ke rumah keluarga Ibn Makhluf bagi mengucapkan takziah di atas kematian sang Qadhi tersebut.

Beliau kemudian melakukan sesuatu yang luar biasa dengan berkata,

إني لكم مكانه، ولا يكون لكم أمر تحتاجون فيه إلى مساعدة إلا وساعدتكم فيه

'Saya kini adalah sebagai penganti Ibn Makhluf kepada anda semua. Jika kalian memerlukan bantuan atau apa-apa pertolongan maka saya pasti akan membantu.'

[Madarij al-Salikin, Ibn Qayyim al-Jauziyah]