Friday, March 05, 2010

Tidak membahayakan dan tidak pula mengundang bahaya ialah prinsip Islam


Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda :

لا ضرر ولا ضرار

“Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” – hadis hasan riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi.

Ramai orang hari ini terlupa untuk merujuk kepada Islam di dalam kehidupan mereka sehingga tanpa disedari setiap langkah dan saat yang mereka lalui dipenuhi dengan pelbagai kesalahan dan kemudharatan yang berpanjangan baik kepada diri mereka sendiri juga kepada orang yang disekeliling.

Hadis di atas telah diterima oleh para fuqaha dan dijadikan sebagai salah satu usul kaedah di dalam syariah Islamiyah bagi menetapkan pelbagai hukum dan fatwa penting.

Tidak boleh melakukan kemudharatan kepada orang lain

Islam menolak sebarang bentuk kemudharatan baik kepada diri sendiri atau pun dilakukan kepada orang lain. Kemudharatan itu di definisikan sebagai melakukan sesuatu yang “mengurangi, merugi, menyakiti, menyusahkan, menyulitkan, menghilangkan, menyedihkan, meninggalkan”

Kamus Inggeris pula menyatakan mudharat itu bermaksud “Disadvantage, harm, injury, to fail, to miscarry.”

Apa-apa bahasa pun, maka setiap apa yang menjadi sebab dan punca kepada wujudnya kemudharatan kepada agama Islam dan manusia lainnya dan diri sendiri ialah terlarang.

Hal ini perlu dilihat di dalam kaedah syarak yang menetapkan bahawa hendaklah tiada kemudharatan berlaku kepada Agama, nyawa, akal , maruah dan harta seseorang maka melakukan kemudharatan yang maksudnya seperti disebutkan di atas adalah dilarang di dalam Islam serta perlu dicegah.

Hukum melakukan kemudharatan kepada diri sendiri dan orang lain adalah haram dan termasuk perbuatan zalim.

Allah SWT befirman : “Kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang zalim dengan siksaan hari yang pedih (kiamat)." (Az-zukhruf : 65)

“Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.” (As-syura : 42)

Banyak lagi ayat dan dalil yang menyatakan keharaman berlaku zalim dan larangan memudharatkan orang lain tanpa hak.

Contoh perbuatan yang zalim dan memudharatkan diri dan orang lain :

1. Maslahat Agama – Syirik, khurafat, dosa, maksiat, fitnah, hasad, dll

2. Maslahat Nyawa – Mendera diri dan orang lain (termasuk MENDERA ANAK dan ISTERI), memandu laju, melakukan aktiviti yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

3. Maslahat Akal – Minum arak, menghisap dadah, melakukan aktiviti yang merosakkan akal

4. Maslahat Maruah – Pergaulan bebas, dayus, zina, dll

5. Maslahat Harta – Mencuri, merosakkan harta, vandalisme, dll

Tidak boleh pula mengundang kemudharatan

Kemudharatan juga tidak boleh dilakukan dengan alasan hendak menolak bahaya yang sedia ada kecuali bahaya tersebut terlalu besar dan sudah tiada cara lain untuk menolaknya namun hendaklah dipastikan bahawa kemudharatan yang hendak dilakukan itu tidak akan melebihi bahaya dan kemudharatan yang sedang menimpa.

Teladan dalam hal ini dipertunjukkan oleh Al-Quran melalui kisah Balqis, apabila beliau membuat keputusan untuk mendatangi menghadap Nabi Sulaiman bagi mengelakkan berlakunya kemudharatan dan bahaya kepada negaranya.

Firman Allah SWT : “Dia (Balqis) berkata: "Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, niscaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat. Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.” (An-Naml : 34-35)

Tindakan bijak Balqis disebut di dalam Al-Quran sehingga akhirnya membawa kepada keIslaman Balqis dan penyerahan kerajaannya kepada Nabi Sulaiman as. Banyak lagi ayat di dalam Al-Quran yang menyebut perihal-perihal yang seumpama itu dalam bab mencegah kemudharatan dan usaha bagi mengelakkan diri daripada kebahayaan.

Al-Quran juga menyebut : "Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah : 195)

Juga termasuk mengundang kemudharatan apabila seseorang itu mendedahkan dirinya kepada bahaya tanpa alasan syarak dan hal tersebut ialah berdosa sekalipun dia tidak melakukan kemudharatan itu tetapi mendedahkan dirinya kepada perbuatan mudharat itu sendiri ialah haram.

Firman Allah SWT : “ Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah bahaya disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri.” (Ar-Rum : 36)

Kaedah syarak ini menjadi asas penting di dalam keputusan dan tindakan seorang Muslim bagi memastikan mereka semuanya dapat memelihara kewajipan syarak dan melaksanakan tugas sebagai hamba Allah SWT dan dalam masa yang sama juga kebajikan mereka sebagai manusia tetap terpelihara.

Antara contoh Aplikasi Kaedah ini di dalam kehidupan

1. Mengutamakan maslahat ramai melebihi maslahat individu dan tidak mengorbankan kepentingan ramai demi kepentingan pihak yang sedikit

2. Tidak mengundang bahaya dengan berkahwin dengan lelaki yang tidak beragama dengan alasan mahu mengubahnya atau mahu membentuknya sedangkan peratusan kegagalan adalah sangat tinggi.

3. Tidak bertegang leher dan bergaduh dalam masalah furu’ dengan menjaga ukhuwah dan perpaduan yang lebih penting dan besar

4. Tidak boleh merawat sakit yang sedikit dengan rawatan yang mengakibatkan risiko dan memberikan mudharat yang lebih besar kepada pesakit

5. Tidak mencari pasal dan mencari musuh

6. Menggelakkan sebarang bentuk bahaya dan mudharat serta tidak mendedahkan diri mencari bahaya

7. Merahsiakan perkara-perkara yang sulit dan tidak bermanfaat untuk disebarkan agar mengelakkan berlakunya mudharat

Wallahu’alam.


No comments: