Wednesday, March 31, 2010

Apa yang Kita Malu dan Tak Malu ?

Selalunya saya perhatikan bahawa ramai di kalangan kita sekarang ini sudah malu untuk mengaku beragama dan malu pula untuk beramal dengan agama. Dewasa ini orang ramai lebih senang dan berbangga menjadi anti-agama, agama biasa-biasa, sederhana, moderate dan semacam lagi ungkapan-ungkapan yang menunjukkan bahawa saya bukanlah seorang yang KUAT BERAGAMA.

Kita Malu untuk memegang Al-Quran di Khalayak Ramai...khuatir kononnya kita dianggap wara' dan beragama....malu rupanya...

Tetapi kita tidak pula malu untuk memegang guitar, alatan muzik di hadapan khalayak, ke sana sini memikul kayu besar itu sambil berbangga dikenali dan disangka sebagai pemuzik, ahli kumpulan muzik, artis dan sebagainya...


Kita malu untuk memakai pakaian yang labuh menutup aurat, malu untuk kelihatan seperti ustazah dan orang yang alim serta wara kerana tidak mahu menjadi hipokrit kononnya (aku tak baik jadi buat apa nak pakai tudung labuh atau pakaian yang menutup aurat sempurna)





Tetapi kita tidak pula malu untuk mendedahkan aurat dan bahagian anggota tubuh badan kita kepada lelaki yang bukan mahram dan kepada mereka yang tidak berhak melihat aurat dan bahagian badan kita.




Kuat beragama ialah satu aib dan memalukan pada zaman ini

Kenapa dan mengapakah jadi sedemikian ?

Banyak faktornya yang mendorong perkara sedemikian terjadi.

Pertamanya sudah pastilah apa yang berlaku ini merupakan jasa ibubapa yang dikasihi di dalam merosakkan dan menyesatkan anak-anak mereka menjadi hamba-hamba Allah SWT yang derhaka. Mereka bijak menggunakan agama untuk hawa nafsu mereka dengan memaksa anak-anak supaya mentaati ibubapa. Jangan menjadi anak derhaka dan hendaklah taat kepada ibubapa kerana itu suruhan agama dan sebeban lagi hujah-hujah yang padu dan jitu untuk memaksa para anak mentaati ibubapa.

Kan senang kalau mentaati ibubapa menjadi anak yang baik ?

Malangnya ketaatan kepada ibubapa itu sebenarnya ialah amanah Allah SWT kepada para ibubapa agar dapat menjadi alat untuk membolehkan mereka (ibubapa) mudah membawa anak-anak mereka menuju Allah SWT, sebagai bantuan untuk membolehkan mereka membimbing dan membesarkan anak-anak mereka dengan Islam.

Namun bukan itu yang berlaku sebaliknya ibubapa menggunakan senjata "Ketaatan kepada ibubapa" untuk memenuhi nafsu serakah dan jahat mereka. Anak-anak menjadi mangsa kejahilan agama, mangsa nafsu keduniaan dan nafsu kebanggaan mereka sehingga anak-anak dibesarkan jauh daripada Islam, dengan tujuan menjadi aset kebanggaan duniawi dan lebih dahsyat kehidupan anak-anak itu dirosakkan dengan arahan dan ajaran yang salah serta menyeleweng.


Mereka (ibubapa) menyuruh anak-anak mentaati mereka sedangkan mereka tidak pula taat kepada Allah SWT.

Ibubapa menakut-nakutkan anak-anak dengan slogan "Anak Derhaka" dan mengancam mereka dengan neraka dan dosa sedangkan para ibubapa telah terlebih dahulu sepatutnya takut dan gerun dengan janji-janji Allah SWT kepada orang yang khianat kepada amanah dan derhaka kepadanya.

Mereka ini (golongan ibubapa yang tidak beragama tetapi menggunakan agama sebagai alat) adalah sejahat-jahat manusia dan tiada ketaatan kepada mereka.

Tiada ketaatan kepada makhluk di dalam bermaksiat kepada Allah SWT dan mentaati ibubapa yang derhaka kepada tuhan ialah dilarang jika ketaatan itu membuatkan diri mereka semakin berbangga dan suka di dalam kesesatan.

Keduanya sudah pasti pihak kerajaan dan pemerintah yang berkuasa.


Pemerintah berperanan besar menerapkan agen perosak berupa hiburan di dalam masyarakat kerana untuk menyeimbangi sokongan dan suara mojariti agar rakyat tetap suka serta bernaung di dalam kerajaan yang memerintah. Tiada usaha dakwah dan pembaikan dilakukan secara bersemangat kerana apa yang menjadi pemerhatian pemerintah adalah cuma satu, iaitu jalan untuk mereka kekal memerintah....itulah fokus utama semua pemerintah....mahu lebih kuasa dan mahu mengekal kuasa.


Ketiga ialah Para pendakwah, ulama dan ahli ilmuan agama


Mereka ini suka menjadi rahib, paderi dan ahli ibadah yang tidak perlu bersusah payah melakukan kerja-kerja kasar mencari rezeki dan menggerakkan tulang empat kerat. Bernaung di bawah bangunan tinggi dan mewah sebagai penasihat yang warak, atau bekerja mengikut jadual sebagai tukang syarah dan ceramah menyebabkan anak-anak muda dan masyarakat bawahan sangat jauh berhubungan dengan ahli agama.

Tiada dijemput tiadalah kelibat, datang dengan undangan dan sampul berisi bukan sekadar surat...mereka ialah orang-orang yang suka dan gembira didengari suaranya, disanjungi dan dihormati...demi pengaruh mereka bercakaran sesama sendiri dan demi keyakinan bahawa hanya mereka yang lebih suci dari yang lain maka mereka akan melakukan apa sahaja termasuk mencerca dan mencela aib peribadi.



Itulah ahli agama rata-ratanya di zaman ini...berjalan tidak berkaki, perut semakin lebar setiap hari tanpa puasa Isnin khamis yang menjadi amalan sunnah nabi SAW.

Nafsu dan emosi menguasai diri, kerana kematangan dan akhlak yang terpuji terpendam disebalik tekanan duniawi yang memaksa para pendakwah menjadi hamba-hamba sahaya kepada pemerintah zalim dan jahil dengan itu secara tanpa disedari mereka pun mula memilih topeng-topeng dan skrip-skrip yang mudah daripada Al-Quran dan As-sunnah untuk diamalkan di atas pentas kehidupan.

Hakikatnya sudah menjadi sunnatullah, bahawa hanya pelakon yang handal memainkan watak mengikut skrip sahaja yang biasanya akan menjadi watak utama dan skrip pula jika yang sukar dan susah sahaja barulah akan mendapat anugerah.



Rata-rata yang lain cuma watak sampingan yang akan dilupakan oleh sejarah.

3 comments:

Dr Nazatul Shiha said...

Salam...

Satu ketukan yang keras untuk semua yang bergelar ibubapa. Seringkali, ketukan yang keras diperlukan supaya kita sedar kesilapan kita. Namun, ramai juga yang beremosi bila diketuk sebegitu - tanpa menyedari teguran sebegitu hanyalah untuk kebaikan diri sendiri juga. Jika kita ikhlas mencari keredhaanNya, maka kita sedia terima tazkirah ini dengan hati yang terbuka...
Allahua'lam.
Wasalam.

abuMuhammad said...

Salam Ustaz,
Lebih baik artikel ini ditujukan kpd diri sendiri. Terima Kasih ustaz!!

Unknown said...

jazakumullahu khairan khatira..