Saturday, December 26, 2009

Siapakah orang-orang yang berakal ?


Dunia ini penuh dengan kegilaan.

Di sana sini kita melihat bermacam-macam orang dan bermacam-macam ragam manusia.

Ada yang waras dan ada pula yang tidak pada sangkaan kita.

Namun, pernah tak kita bertanya kepada diri kita akan siapakah orang yang benar-benar berfikiran waras dan siapakah pula yang tidak ? Jika tidak pernah maka mungkin patut sudah sampai masanya untuk kita bertanya secara serius di dalam hidup kita ini apakah ciri-ciri seseorang yang waras dan berakal dan apakah pula ciri-ciri orang yang tidak waras dan tidak berakal.

Al-Quran menjelaskan kepada kita tentang ciri-ciri orang yang berakal

Allah SWT befirman : “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Ali-Imran : 190)

Ayat ini menjelaskan bahawa di antara ciri-ciri awal orang yang berakal itu ialah mereka memerhatikan kejadian langit dan bumi, melihat pertukaran siang dan malam serta mengakui kebesaran Allah SWT.

Ciri-ciri mereka itu diperjelaskan dalam ayat yang seterusnya :

Allah SWT befirman lagi “ (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali-Imran : 190-191)

Orang yang berakal itu ialah orang yang beriman dan mereka yang tidak beriman adalah tidak berakal.

Ciri-ciri seterusnya orang yang berakal itu ialah mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan mereka baik secara duduk, berdiri dan mahupun berbaring.

Berakal itu bermaksud menggunakan akal untuk mengingati Allah SWT dan mengunakan akal di jalan Allah SWT kerana akal itu adalah anugerah Allah SWT sebagai alat untuk membolehkan manusia berfikir dan membezakan perkara yang baik dan buruk, memahami ayat Allah SWT dan supaya manusia itu mengerti dan menghargai apa yang diberikan kepada mereka di dalam dunia ini hanyalah sementara dan pinjaman yang tidak kekal.

Siapakah yang menghidupkan kita jika bukan Allah SWT ?

Siapakah yang membesarkan kita di dalam perut ibu kita ?

Siapakah yang memberi kita rezeki dan memberi kita makan ?

Siapakah yang menyelamatkan kita apabila kita di dalam kesusahan ?

Amatlah malang apabila manusia yang yang menyangka dirinya bijak dan sibuk dengan dunia dan melakukan pelbagai kerja dan menceburi pelbagai bidang yang dibangganya sebagai usaha bijaksana namun tidak menyedari hakikat kehidupan ini, seperti persoalan dari manakah dia datang, untuk apa dia hidup di atas muka bumi ini dan ke manakah dia akan pergi sesudah mati.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar, bahawa rasulullah pernah ditanya tentang siapakah orang beriman yang paling bijak ? Lalu dijawab oleh baginda dengan bersabda : “Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik persediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah orang yang paling bijak.” (hadis riwayat Ibn Majah)

Ramai saintis, ramai professor , ramai pengkaji, ramai professional di atas muka bumi ini menyombong diri dengan berkata kami tidah mudah percaya kepada dakyah dan khabar agama yang dipenuhi mitos dan lagenda. Kami hanya percaya kepada kajian makmal, kami hanya percaya dengan apa yang terbukti di depan mata namun kita lihat daripada kehidupan mereka di dunia ini dipenuhi oleh siri-siri kegagalan dan kemusnahan hidup yang berterusan.

Malangnya mereka tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku dalam kehidupan mereka.

Lihatlah mana-mana professional dan cendiakawan manusia yang menolak agama dan tuhan, ke manakah hasil mereka ? Mungkin kita melihat mereka cerdik mampu menyelesaikan teori X dan Y tetapi dimalam hari hidup mereka dipenuhi oleh arak, suntikan dan ubatan dadah, kepala mereka diserabutkan oleh masalah anak, menghadapi krisis rumahtangga dan suami isteri tinggal berasingan, tidak kurang yang bercerai dan hidup dengan kesengsaraan hati dan derita disebalik kemewahan.

Apalah yang dibanggakan di dalam kehidupan mereka ?

Seorang demi seorang kita lihat pakar dan ahli kaji yang cerdik dan bijaksana di dalam ilmu pengetahuan manusia dan jujur hatinya mahu mencari kebenaran telah memeluk Islam dan berbondong-bondong manusia yang mendalami agama ini disudahi dengan menjadi penganutnya dan mengamalkan isi kandungannya.

Kehidupan ini hanyalah sementara, usah dibazirkan dengan melakukan perkara yang sia-sia dan tidak membawa manfaat kepada akhirat. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “ Ramai manusia yang terpedaya dengan dua (jenis) kenikmatan; (iaitu) kenikmatan kesihatan (yang baik) dan kelapangan masa." (Hadis riwayat al-Bukhari )

Kesimpulannya

Jika ingin mengkaji tentang quantum dan fizik, maka kajilah tetapi lakukanlah ia dengan keimanan kepada Allah SWT dan di jalan Allah SWT.

Jika ingin mengkaji tentang tisu dan sel manusia di dalam ilmu biologi maka lakukanlah tetapi laksanakanlah ia dengan keimanan dan untuk manfaat agama Allah SWT.
Pastikan apa yang dilakukan mampu menjadi bekal kepada akhirat.

Janganlah menjadi orang yang bodoh, tersesat dan terhanyut di dalam kehidupan dunia dan kecerdikan buatan sendiri (AI) namun suatu apa pun yang diusahakan olehnya di dunia ini langsung tiada yang membawa manfaat untuk bekal di akhirat.

Allah SWT befirman : “Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?" Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuslah amalan- amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” ( Al-Kahfi : 103-105)

Oh sangat malang sekali menjadi orang yang sebegitu.

Masa kita adalah terhad jadi ayuh gunakanlah ia di jalan Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis Nabi diriwayatkan bersabda yang bermaksud : “Orang yang bijak itu adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal (bekerja) untuk bekalan selepas matinya. (Manakala) orang yang lemah itu adalah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan kemudian mengharap (pertolongan) Allah.” (hadis riwayat Tirmidzi).

6 comments:

Naim said...

Salam,

Ya, di Malaysia sudah ada aliran pengkaji sains yang cerakinkan agama & sains.

Nama kumpulan itu ASASI.
http://www.kesturi.net/

Saya amat setuju dengan konklusi entri ini.

@naimisa

Anonymous said...

Mengapa manusia sanggup berbunuhan untuk Tuhan yang mereka tak pernah nampak dan kenal ?

Bagaimana Nabi Muhammad boleh yakin Jibril itu malaikat dan bukannya iblis atau jin tanah ?

Adakah Tuhan itu meminta ianya disembah?

JIka Tuhan mahu manusia beriman, cukuplah berkata "beriman, maka berimanlah semuanya (kun fayakun).

Jika Tuhan mahu manusia jadi baik, sudah dimasukkan ke dalam genetik atau DNA, otak ibarat komputer yang boleh dirakam atas kehendak pencipta, tak perlu berperang menumpah darah.

Semua soalan logik sains sahaja, untuk difikirkan bersama.

Ahmad Muslihin said...

salam ziarah ustaz...

Daud Mili said...

nice post..~

Ustaz Emran said...

alhamdulillah

Dr Nazatul Shiha said...

Salam,

Amatlah malang bagi mereka yang hidupnya seumpama binatang ternak. Makan, minum, tidur, dan mati begitu saja dalam keadaan yang sia - sia. Semoga kita semua dijauhkan dari kesesatan itu dan semoga Allah sentiasa melindungi kita dari azab kubur dan azab api neraka, ameen.