Masyarakat kita cukup terkenal dengan keseragaman dan kesamaan sehingga disebabkan oleh kesukaan kepada sifat persamaan itu maka kita boleh melihat adanya kesenian “Boria” dan pelbagai adat yang diwarisi turun temurun bagi menjadikan setiap orang memiliki persamaan dengan orang yang lain. Di tanahair, upacara kelahiran diselangi dengan adat bercukur jambul dan kenduri doa selamat. Di samping itu akan ada acara tambahan seperti bemarhaban, berendoi dan seumpamanya.
Selain adat kelahiran, banyak lagi adat yang menunjukkan persamaan orang Melayu seperti adat pernikahan yang menyaksikan wujudnya acara rombongan meminang, menetapkan wang hantaran, acara akad nikah di masjid, acara bersanding sehingga kenduri kahwin yang pasti akan wujud persamaan dengan mana-mana kenduri seperti pemberian bunga telur dan seumpamanya.
Adat kematian pula akan menyaksikan wujud acara tahlil, bacaan yassin, menyiram air mawar ke kubur, kenduri doa selamat dan budaya pemakaian baju kurung dan baju melayu ke tanah-tanah perkuburan.
Semua orang awam biasanya akan melakukannya kerana enggan menjadi berbeza dengan orang lain.
Maka upacara itu dibuat mengikut kemampuan masing-masing, ada yang dibuat secara bermewahan dan ada pula secara beserdehana namun semua orang melakukannya kerana orang lain juga melakukannya dan enggan menjadi berbeza.
Tidak terhad hanya kepada acara dan majlis yang mesti dilakukan, masyarakat kita juga memiliki pakaian yang khusus dan diterima sebagai simbol persamaan seperti pemakaian baju batik pada hari-hari tertentu, warna hitam pada waktu perkabungan, memakai baju melayu dan kain pelikat apabila ke surau dan jubah serta serban apabila terlibat dalam aktiviti ibadah.
Kaum wanita tanah Melayu misalnya cukup terkenal dengan memakai kain telekung putih untuk menunaikan ibadah solat sehingga ke tanah Mekah menunaikan haji dan umrah juga memakai kain telekung bewarna putih.
Berganjak lebih jauh daripada itu kita juga melihat pada hari ini melihat wujud persamaan di dalam aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang tidak ingin berbeza dengan orang lain. Perlahan-lahan pengaruh persamaan ini kita lihat memasuki rumah-rumah kita melalui TV apabila semua orang pun mahu memasang astro apabila jirannya memasang astro walau mungkin dia tidak perlu.
Aspek persamaan itu kini sudah menjadi sebuah cara kehidupan kita.
Hal itu bergerak perlahan sehinggalah kepada mentaliti dan pemikiran.
Kita sukar menerima orang yang berbeza cara kehidupannya dengan kita.
Kita payah menerima orang yang pemikiran dan mentalitinya berbeza dengan kita
Kenapakah agaknya begitu ?
Apabila seseorang di kampung kita melahirkan anak dan tidak pula melakukan acara yang sepatutnya dilakukan oleh masyarakat umum maka orang ramai pun mula mengata. Apabila dia bernikah pula maka tidak mengadakan acara yang sepatutnya diadakan maka kata-kata itu akan bertukar pula kepada cemuhan dan pemulauan. Demikianlah juga apabila wujud kematian dan kemalangan jika ada orang yang tidak megadakan kenduri arwah, majlis tahlil dan bacaan yassin maka orang-orang yang berada di sekitarnya tidak akan berasa selesa dengan sikap orang yang berbeza ini.
Hal ini sudah meluas sehingga kepada kanak-kanak, remaja dan juga para pelajar di universiti. Melalui perkembangan dakwah dan pendidikan Islam, para pemuda dan pemudi yang bersemangat agama biasanya akan menubuhkan gerakan dakwah dan jamaah organisasi tertentu di sekolah, di madrasah dan juga di universiti serta pusat pengajian mereka untuk memperjuangkan misi-misi mereka.
Malangnya mereka juga gagal menerima perbezaan.
Apabila ada orang berbeza pendapat, berbeza pemikiran maka orang itu akan dilayan sebagai musuh atau dianggap sebagai persaingan dan cabaran.
Apa Pendirian Islam terhadap Perbezaan ?
Islam ialah agama yang syumul dan merupakan rahmat kepada seluruh alam.
Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT
Di dalam firman-Nya yang bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) , melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiya : 107)
Perbezaan merupakan fitrah yang dijadikan oleh Allah SWT kepada manusia dan perbezaan itu tidaklah salah di dalam Islam bahkan diterima serta diiktiraf.
Allah befirman yang bermaksud : “Sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berbeza pendapat.” (Adz-Zariyat : 8)
Allah befirman yang bermaksud : “Dan penciptaan laki-laki dan perempuan, sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.” (Al-Lail : 3-4)
Allah befirman yang bermaksud : “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia itu umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.” (Hud : 118)
Berdasarkan kepada petunjuk Islam, para ulama menyebut adalah merupakan perkara biasa manusia ini berbeza pendapat, budaya dan cara kehidupan dan hal itu merupakan kebebasan serta hak masing-masing untuk berbeza di antara satu sama lain.
Allah befirman yang bermaksud : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat : 13)
Di dalam ayat di atas, para ulama tafsir menyebutkan bahawa Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa penciptaan manusia ini dijadikan secara berbeza-beza keturunan, berpuak dan bangsa serta jantina dengan matlamat agar kesemuanya boleh bersatu di atas agama Allah SWT.
Kemuliaan itu bukanlah letaknya di atas persamaan acara, pengamalan , adat dan cara kehidupan seharian tetapi sebaliknya merujuk kepada siapakah yang paling bertaqwa kepada Allah SWT di dalam keadaan masing-masing.
Perbezaan ialah hak manusia dan hak tersebut tidak boleh dicerobohi dengan memaksa manusia untuk menerima atau bersama dengan apa yang tidak disukainya.
Hal ini disebutkan di dalam firman Allah SWT : “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (Al-Baqarah : 256)
Perbezaan hanyalah dikeji dan dicela apabila ianya menyelisihi jalan kebenaran dan bercanggah dengan Al-Quran dan As-sunnah.
Selama perbezaan dan menjadi berbeza dengan amalan masyarakat yang tidak mempunyai dasar serta hujah daripada Al-Quran dan As-sunnah maka seseorang itu berhak diberi ruang untuk mengamalkan apa yang memudahkannya dan memberikan keselesaan kepadanya.
Adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk mengelakkan diri daripada mencela, mengutuk, membuat cerita, fitnah dan mengumpat serta pelbagai lagi gangguan kepada orang-orang yang memilih untuk menjalani kehidupan yang berbeza dengan kita selama perbezaan itu tidak membawa kepada pelanggaran syarak.
Nabi SAW bersabda : “Muslim sebenar ialah sesiapa yang orang-orang Islam lain terselamat dari kejahatan lidah dan tangannya.” (Hadis sahih bukhari)
Hal ini disebut oleh para ulama Islam seperti Dr Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya Halal Wa Haram Fi Islam bahawa mengharamkan atau melarang sesuatu yang halal maka ianya adalah berdosa dan boleh terjatuh syirik. Berdasarkan hal yang sedemikian apabila jiran dan rakan kita memilih cara kehidupan yang bercanggah dengan cara kehidupan yang diamalkan oleh masyarakat kebanyakkan maka adalah haknya untuk mendapat ruang dan kebebasan tanpa diganggu.
Apabila kelahiran jika seseorang itu tidak mengadakan acara berendoi, cukur jambul dan adat Melayu yang lain sebaliknya melakukan hanya sekadar bertahnik, memberi nama dan berakikah maka dia berhak dengan perbezaannya itu kerana Islam tidak menghalang perbezaan bentuk ini.
Begitu juga apabila seseorang itu ingin berkahwin dengan meminang tanpa ada rombongan peminangan sebaliknya meminang dengan dirinya sendiri maka itu haknya. Jika sewaktu perkahwinan dan dia hanya mahu berkahwin dengan membayar maskahwin tanpa wujud wang hantaran dan dipersetujui oleh keluarga perempuan maka itu haknya.
Seterusnya apabila selesai bernikah dan setelah ada kemampuan dan kelapangan mahu mengadakan kenduri pernikahan dengan tidak mengikut adat-adat Melayu maka itu haknya. Sekalipun dia ingin menjamu tetamunya itu memakan satey atau makanan segera seperti pizza dan seumpamanya dan bukannya dengan nasi minyak maka itu haknya.
Apabila berlaku kematian dan dia inginkan agar tidak dibuat tahlil, bacaan yassin dan kenduri arwah sebaliknya cukup sekadar menguruskan mayat dan kemudian mahu kembali menjalani kehidupan seperti biasa maka itu juga haknya.
Begitu juga di dalam rumahtangga, pemikiran dan sehinggalah kepada penyertaan kepada jemaah dan aktiviti dakwah yang wujud di sekeliling kita. Jika seseorang itu ingin melaksanakan kewajipan agama tanpa mahu berorganisasi atau berjamaah dengan persatuan dan gerakan yang sedia ada di sisinya maka itu haknya.
Tiada sesiapa yang berhak dan boleh memaksanya selama tiada dalil agama dan syarak yang sah untuk mengajak kepada PERSAMAAN.
Seruan kepada Persamaan dan Kesatuan ialah Hak Milik Mutlak Allah SWT
Ramai orang gagal menyedari bahawa seruan untuk bersama, bersatu dan bergabung diri hanyalah milik mutlak Allah dan hanyalah dapat dilakukan di bawah perintah Allah SWT.
Allah SWT berfirman : “Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang sama di antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)." (Ali-Imran : 64)
Menyeru manusia kepada kesatuan bukan di atas agama Allah SWT adalah merupakan kebathilan dan seolah-olah mengadakan sekutu dan syirik kepada Allah SWT.
Seruan mengajak manusia kepada tuhan yang satu ialah seruan yang padanya tidak boleh ada perbezaan. Apabila manusia di ajak untuk bersama-sama mentauhidkan Allah dan dia menolaknya maka perbezaan seperti inilah yang wajar ditentang dan boleh diperangi.
Begitu juga dengan kewajipan-kewajipan agama yang wujud dalil jelas daripada Al-Quran dan As-sunnah yang lain seperti perintah mendirikan solat berjamaah, berpuasa, menunaikan haji dan mengeluarkan zakat.
Apabila seseorang mahu bersolat sendirian sedangkan dia lelaki yang mampu menunaikan solat berjamaah maka ketika ini dia boleh dibantah dan diperbetulkan untuk dibawa kepada persamaan soff untuk berjamaah. Begitu juga apabila orang ramai berbeza di dalam hal yang terdapat padanya dalil dan pertunjuk jelas daripada Al-Quran dan As-sunnah maka ketika itu wajiblah untuk mengikuti Al-Quran dan As-sunnah dan bersatu padanya tanpa menyelisih diri dan berbeza.
Kita sukar menerima perbezaan kerana kita terasa hilang kawalan dan merasa jahil dengan perbezaan dan cara kehidupan yang tidak sama dengan kita. Kejahilan itu apabila dimiliki oleh mereka yang hatinya kotor dan tidak bersih akan menyebabkan mereka mencemuh dan mencela orang yang berbeza dengan menyangka mereka melakukan kerja mulia dan suci di sisi tuhan dan mata orang ramai namun pada hakikatnya merekalah yang buruk kelakuannya di sisi Allah SWT.
Kesatuan itu hanyalah milik Allah SWT dan ditegakkan hanya kerana Allah SWt dan dilaksanakan mengikut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT : “Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang bercahaya.” (Al-Haj: 8)
No comments:
Post a Comment