Di Malaysia sehingga ke saat ini masyarakat Islam secara umum masih lagi dihantui oleh kepercayaan khurafat dan amalan mistik yang boleh menggugat dan merosakkan Aqidah. Filem seram seperti yang ditayangkan di televisyen misalnya banyak mengarut dan sangat jauh daripada Islam.
Kepercayaan bahawa orang mati boleh menjadi hantu dan kewujudan saka yang dinamakan dengan pelbagai nama sebenarnya adalah sesat dan boleh membatalkan keimanan kepada Allah swt.
Kita melihat banyak filem-filem seram misalnya menceritakan perihal orang yang mati kemudian bangkit daripada kubur lalu menjadi hantu. Ada juga kisah filem yang menceritakan perihal orang yang mati dalam keadaan rohnya tidak diterima lalu terawang-awangan menghantui manusia kerana dosanya.
Perkara ini semua membatalkan aqidah.
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dengan hadis hasan yang marfu dari Abu Hurairah ra bahawa nama para malaikat tesebut ialah Munkar dan Nakir.
Disebutkan oleh baginda rasulullah dalam hadis yang banyak, baik melalui riwayat Abu Daud, Nasaie, Abi Syaibah dan lain-lain mengenai datangnya 2 malaikat dan menyoal manusia akan siapakah tuhannya ? Apakah agamanya ? siapakah nabinya ? dan jika seorang manusia itu dapat menjawab soalan para malaikat maka akan dibukakanlah baginya pintu-pintu syurga sehingga dia dapat melihat tempat tinggalnya di syurga dan diperluaskan baginya kubur serta beristirehatlah dia dengan penuh nikmat dan tenang sambil menanti datangnya hari kiamat.
Orang yang mati tidak boleh hidup semula dan setiap yang mati maka roh mereka akan kembali kepada Allah swt dan disebut oleh para ulama bahawa roh –roh manusia akan memasuki alam barzakh (alam kubur) untuk disoal-siasat sehingga ke hari akhirat.
Hal ini jelas dan wajib diimani dan sabit (jelas) disebutkan dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah ra dari Nabi Salallahualaihiwasalam yang pernah bersabda dengan bermaksud :
“ Sesungguhnya manusia itu apabila akan menjadi mayat maka dia akan didatangi oleh malaikat, dan jika lelaki itu seorang yang soleh (baik) maka akan dikatakan kepadanya keluarlah wahai jiwa yang baik dan berada dalam jasad yang baik pula, keluarlah dengan kemuliaan dan bergembiralah dengan keredhaan tuhan, lalu apabila ruh itu sudah keluar maka akan segeralah dibawanya ke langit lalu apabila di sana akan dibukalah pintu kepadanya sambil ditanya oleh Malaikat di langit siapakah lelaki itu ? Maka dijawab si fulan dan si fulan. Lalu akan menyambutlah para malaikat dengan sebaik sambutan sambil menyebut : Selamat datang wahai jiwa yang baik dan berada pula dalam jasad yang baik bergembiralah dengan keredaan tuhan dan berbau wangilah jiwanya. Sehinggalah ruh itu dibawa jumpa Allah swt lalu dikembalikan ke kuburnya dengan kegembiraan sambil menanti di kuburnya akan kedatangan hari kiamat.
Manakala jika manusia yang mati itu seorang yang jahat maka apabila di datangi malaikat dikatakan kepada jiwanya keluarlah wahai jiwa yang keji, dalam jasad yang buruk keluarlah dengan penuh kehinaan dan bergembiralah dengan neraka dan azab. Lalu apabila dibawa ruh itu ke langit maka berkatalah malaikat penjaga pintu di langit, siapakah yang berbau busuk ini ? maka dijawablah fulan dan si fulan maka berkatalah mereka, wahai jiwa yang keji tiadalah kebaikan bagimu tidak lah dibukakan pintu buatmu wahai jiwa yang keji dalam jasad yang buruk pula. Kembalilah engkau dalam kehinaan lalu ruh iu pun dibawa ke kuburnya lalu diazab." (Hadis Sahih riwayat Ahmad no.8754, Nasaie’, Ibnu Majah)
Tiada suatu roh pun yang akan terlepas daripada cengkaman Malaikat dan roh-roh ini akan dibawa ke langit untuk menemui Allah swt dan sekiranya roh tersebut ialah roh orang yang beriman maka ianya akan disambut dengan baik dan pintu langit akan dibuka manakala jika roh tersebut adalah roh yang jahat maka ianya akan dicampak dari langit ke bumi sehingga terbenam dan dikembalikan ke lubang kubur untuk menghadapi soal siasat malaikat.
Ini semua termasuk perkara ghaib dan segala kejadian seperti soal jawab malaikat di alam kubur ialah kejadian yang tidak dapat dilihat dan digambarkan oleh mata kasar.
Sebahagian ulama menyatakan haram hukumnya cuba meniru atau mengambarkan kejadian di alam kubur kerana ianya termasuk persoalan ghaib yang tidak disuruh kita mengambarkan atau memikirkan mengenainya sebaliknya cukup hanya mengimani dan membenarkan.
Mengatakan atau mempercayai bahawa ada roh manusia yang tidak diterima terawang-awangan di dunia kerana jahatnya perbuatan pemilik roh itu sewaktu hidup adalah sesat dan dusta.
Ini disebut oleh rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud : “Sesungguhnya seorang manusia itu apabila telah diletakkan dalam kubur dan beredar kaum kerabatnya meninggalkan kuburnya maka akan terdengarlah olehnya bunyi derapan kasut mereka itu dan datanglah dua malaikat duduk di sisinya ”. (hadith Sahih riwayat Bukhari no. 1369)
Rasuk dan buatan orang
Pada hari ini kerap sangat kita melihat ramai orang pergi dan menuju kepada dukun dan bomoh bagi memohon pertolongan dan meminta pertolongan menyembuhkan pelbagai penyakit dan masalah.
Ramai orang mengadu kepada saya bahawa dia terkena sihir, muntah berdarah dan sebagainya namun hakikatnya semuanya adalah dusta. Bukan sihir tidak wujud tetapi ramai dikalangan kita begitu mudah menganggap sesuatu hal itu sebagai sihir dan buatan orang sedangkan realiti ialah sebaliknya.
Sudah beberapa kali orang datang berjumpa dengan saya minta diubatkan, katanya : Ustaz, tolong saya… kami sudah berubat di merata tempat dan pihak hospital tidak tahu apakah punca sakitnya.
Doktor kata tidak ada sakit apa-apa tetapi saya tetap merasa sakit dan seperti ada penyakit.
Apabila berjumpa dengan bomoh dan dukun mereka mengatakan saya terkena sihir dan buatan orang tetapi sudah ramai mengubat tetap tidak sembuh.
Setelah dilihat saya mengatakan : “Tuan tidak terkena sihir atau buatan orang sebaliknya mesti ada sakit yang normal yang tidak dapat dikesan oleh doktor melainkan perlu diperiksa oleh pihak pakar dan kena buat kajian makmal.
Tidak lama selepas itu ternyata orang yang sakit itu sebenarnya terkena kanser.
Kanser disangka sihir.
Dukun dan bomoh yang menyesatkan.
Hukum menemui bomoh ialah haram dan berdosa serta boleh mengugurkan aqidah. Berjumpa dan menemui mereka adalah berdosa dan sesungguhnya perbuatan itu sangatlah ditegah oleh Allah dan Islam melarang sebarang usaha ke arah menyokong amalan syirik seperti bomoh atau dukun termasuk ustaz yang mengubat tanpa menggunakan Quran dan As-sunnah.
Sesungguhnya telah diriwayatkan dari Muawiyah bin Hakam Al-Sulami yang berkata : Aku telah bertanya nabi salallahualaihiwasalam mengenai perbuatan kami pada masa jahiliyyah yang selalu mendatangi dukun dan bomoh bagi meminta nasihat dan menyelesaikan masalah maka bersabdalah nabi salallahualaihiwasalam :
فلا تأتوا الكهّان
“Dan janganlah lagi kamu mendatangi dukun (termasuk bomoh).” (Hadis Sahih, riwayat Muslim dalam Kitab Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Nawawi Jilid 14, no 5774, Ahmad Jilid 7, no. 24166)
Sesungguhnya menurut Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyebut sesungguhnya perbuatan mendatangi bomoh dan dukun ini merupakan perbuatan jahiliyyah dan hanya dibuat ketika zaman jahiliyyah lalu tidak wajar dan sangat tidak patut umat Islam hari ini melakukannya setelah berlalu zaman jahiliyyah dan sudah datang Islam yang membawa sinar cahaya dan pertunjuk hidayah dari Allah swt.
Apalah faedahnya mendatangi dukun dan bomoh ? Sedangkan mereka sendiri manusia biasa dan jahil serta tidak pun mengetahui perihal ghaib dan tidak pun mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Apakah belum cukup firman Allah swt yang menyebut :
“ Katakan sesungguhnya tidak ada sesiapa pun baik di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah.” (Surah An-Naml : 65)
Kebanyakan dukun atau bomoh ini sebenarnya tiada kuasa pun mengubati penyakit dan menyelesaikan masalah sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud : “Dan tidaklah mereka itu (ahli sihir) dapat memberi mudharat kepada sesiapa pun melainkan dengan izin Allah.” (Surah Al-Baqarah : 102)
Bahkan jika diteliti mereka bukanlah golongan yang berpelajaran, juga bukanlah mempunyai kepakaran tertentu yang dipunyai cuma sedikit kepandaian menipu dan kepandaian dalam hal-hal ghaib serta mempunyai hubungan dengan sihir dan alam syaitan.
Diriwayatkan dari Ummul Mukminin Aisyah ra ketika bertanya kepada baginda tentang perihal bomoh dan dukun yang kadang-kadang apabila memberitahu sesuatu ternyata benar maka baginda salallahualaihiwasalam pun bersabda :
تلك الكلمة من الحق يخطفها الجني فيقرها في أذن وليّه فيخلطون معها مائة كذبة
“ Itu ialah kalimah (khabar) yang benar yang dicuri oleh jin (termasuk syaitan) lalu membisikkannya ke telinga tuannya sambil mencampuri bersamanya seratus pembohongan.” (Hadis Sahih disepakati oleh Bukhari no. 5762 dan Muslim no 2228)
Lihatlah betapa sesatnya orang Melayu yang pergi berjumpa bomoh meminta air penawar dan penerang hati bagi anak-anak untuk berjaya dalam peperiksaan sedangkan si bomoh itu sendiri memiliki anak-anak yang semuanya gagal dalam pelajaran.
Sesungguhnya segala hasil dari pendapatan si bomoh tadi dalam mengubati orang dengan kepandaian sihirnya ialah haram dan setiap perkataannya juga ialah haram diamalkan dan dipercayai.
Diriwayatkan dari Safiyah binti Abi Ubaidah ra dari isteri-isteri nabi dari baginda nabi yang pernah bersabda dengan maksudnya :
“ Barangsiapa yang mendatangi bomoh (juga dukun) lalu bertanyakan sesuatu darinya kemudiannya membenarkan apa yang diberitahu oleh bomoh tersebut maka tidaklah diterima solatnya (amalan kebajikan) selama 40 hari.” (Hadis Sahih, riwayat Bukhari no. 2230)
Disebut oleh Al-Khutobi bahawa yang dimaksudkan sebagai عرافا atau كهان adalah sama sahaja maknanya cumanya عرافا ialah sebutan mashyur kepada mereka yang mengaku mengetahui di manakah barang yang hilang manakala كهان lebih kepada istilah umum bagi bomoh dan dukun dalam bahasa arab. (Lihat Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh An-Nawawi Jilid 14, ms. 446)
Bagaimanapun dalam masyarakat Melayu mereka semua ini sama sahaja dikenali sebagai baik dukun atau bomoh tanpa ada beza dan para ulama’ semuanya bersepakat mengenai haramnya perbuatan tersebut.
Selain dari itu, kerap juga berlaku penyelewengan dalam masyarakat Melayu ialah apabila mereka hanya mengingati Allah dan meminta pertolongan Allah apabila mereka dalam kesusahan.
Ketika berlaku kemalangan, musibah yang melanda barulah dapat kita melihat golongan ini memakai kopiah putih dan mencari naskah Al-Quran dan membelek-belek surah yasin serta membaca dengan penuh pengharapan sedangkan sebelum ini langsung tidak pernah mengenal tikar sejadah dan jarang sekali mengangkat wudhuk.
Sikap ini samalah dengan golongan kafir yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran :
“ Dan ketika mereka menaiki kapal di tengah lautan dan menghadapi bahaya di lautan maka segeralah mereka berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas dan lurus namun apabila mereka telah diselamatkan dari bahaya dan pulang dengan selamat ke daratan maka mereka pun kembali menjadi syirik kepada Allah.” (Surah Al-Ankabut : 65)
Sangatlah ramai manusia sebegini hanya mengenal tuhan apabila berlaku kematian, musibah dan kemalangan, bila menghadapi kekecewaan dan putus harapan kepada makhluk maka kepada Allah mereka ini menuju namun bila segala hasrat sudah dipenuhi tiadalah mereka mengingati Allah kecuali sedikit.
Sesungguhnya ganjaran dan perintah bertawakkal kepada Allah sangatlah besar kerana pergantungan dan pengharapan kepada Allah mustahil datang melainkan dari hati yang bersih dan penuh yakin serta beriman kepada Allah dan pertolongan-Nya seperti firman Allah swt yang bermaksud : “ Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka sesungguhnya Allah akan menyediakan baginya jalan keluar (dari kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangkai olehnya.” (Surah Thalaq : 2-3)
3 comments:
erm.. sy bersetuju.. lg pun kat tv pun byk citer2 hantu konon-konon nyer la.. da mcm2 diolah...
"Sihir tidak berkuasa untuk memudharatkan manusia kecuali dengan izin Allah".
Maknanya kalau Allah izinkan, tentulah sihir itu terjadikan.
Justeru, sihir itu wujud. Cuma jangan pergi minta pertolongan bomoh untuk hilangan sihir tapi mintalah dari Allah...
Masalahnya orang yang terkena sihir dan hubungannya kurang baik dengan Allah, akan merasa doanya tidak begitu dimakbulkan oleh Allah. Kerana itu dia rasa memerlukan orang lain untuk berdoa untuknya. Orang yang banyak amalan hingga doanya lebih mudah dimakbulkan oleh Tuhan.
Perlu diingat juga, orang yang dah terkena sihir ini, antara attack dia adalah supaya mangsa semakin jauh dari Allah. Jadi makin sukar untuk mendekati Allah dalam situasi ini, kecuali orang2 yang kuat. Kerana itu perlukan bantuan orang lain yang kuat beramal.
Justeru, saya rasa pendapat yang mengatakan sihir itu tidak wujud adalah tidak benar, sebab ia wujud cuma kepada siapa kita nak minta pertolongan menghilangkannya itu yang perlu diperbetulkan.
wa'alikumusalam,
sihir mmg wujud...mempercayainya wajib sbb ada dlm quran dan hadis
tetapi yg kita nafikan ialah sihir yg palsu...sakit demam dikata sihir..
mcm mana saudari tahu itu sihir ?
bomoh bagitau...mempercayai bomoh ni yg dilarang dlm Islam..
Kebanyakkan sihir yg diadukan kpd saya...90 % ialah sakit biasa...n sebahagiannya kanser.
bukan sihir
ada tanda2 sihir yg sahih..
nanti kita jelaskan/.dah mlm sy mengantuk.
salam.
Post a Comment