Wednesday, July 22, 2009

AHLUL SUNNAH BUKAN MURJIAH


Pada hari ini kita melihat muncul pelbagai kepalsuan dan kebathilan yang berselindung di sebalik nama Islam. Di antara kesemua golongan yang membawa kesesatan tiada yang lebih bahaya melainkan golongan Murjiah kerana mereka seringkali bersembunyi di kalangan ahlul sunnah .

Kebahayaan mereka ini telah dijelaskan oleh para ulama seperti Zaid bin Ali bin Al-Husain yang berkata : "Aku bebas daripada Murji'ah yang sukakan kepada kefasikan di dalam alasan mengharap keampunan Allah."

Kemunculan faham Murjiah mutakhir ini disebabkan bercambahnya kelahiran “ustaz segera” yang merasakan diri mereka sudah alim dan hebat setelah lulusan daripada institut-institut agama yang banyak dan merasa ghairah serta tidak sabar-sabar mahu menunjukkan belang dan ilmu di dada.

Malangnya kekurangan taqwa dan pengalaman menyebabkan ramai pendakwah muda ini terjerumus ke dalam belitan syaitan apabila demi kesenangan dunia dan kerusi empuk yang ditawarkan pihak pemerintah kerap kali mengabui mata dan menyebabkan mereka terjebak di dalam faham murjiah.

Contoh mudah terhadap isu ini apabila kita melihat mereka melabel pihak-pihak tertentu sebagai khawarij, hizbiyyun, aqlaniyyun dan sebagainya tanpa merujuk kepada usul dasar Ahlul Sunnah dan bahkan mereka sedikit sekali yang pernah menelaah kitab-kitab muktabar berkenaan isu tersebut.
TIDAK MERUJUK KEPADA KAEDAH DASAR DI DALAM MELABEL SESUATU KUMPULAN

Hendaklah ustaz muda atau pendakwah yang baru hendak menunjukkan belangnya terlebih dahulu mengkaji kitab-kitab berkait ilmu firaq dan perbandingan mazhab serta pemikiran. Sekadar permulaan Kitab Al-Milal Wa An-Nihal karya Imam As-Syahrastani boleh dirujuk untuk melabel sesuatu kumpulan dan mengenali usul pemikiran mereka agar jangan sampai tersilap.

Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil . Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah : 8)

Mempunyai ilmu sahaja tidak berguna tanpa memiliki Hikmah dan Akhlak di dalam menyampaikannya maka hendaklah golongan Murjiah ini terlebih dahulu melakukan muhasabah dan pemeriksaan secara menyeluruh dan menyampaikan pesan dengan penuh taqwa.

Para ulama terdahulu begitu risau di dalam mengharamkan sesuatu yang masih belum mencapai tahap kepastian dan sudah pastinya berkenaan hal yang menjadi khilaf di kalangan para ulama adalah HARAM bagi ahli ilmu untuk mewajibkan orang ramai di atas suatu pendapat selama di dalamnya terdapat ruang dan jalan untuk menerima pendapat yang lain.

Sikap ini dicela di kalangan ulama.

KEMUNCULAN MURJIAH DI MALAYSIA

Bertapak di atas slogan Islam mudah dan Islam yang tidak jumud dengan harapan agar dakwah mereka diterima oleh pemerintah menyebabkan mereka dengan keras memusuhi rakyat dan golongan awam, orang miskin, petani, pekerja buruh yang merupakan golongan marhean.

Dakwah mereka hanya ditumpukan kepada para VVIP, kelas atasan dengan harapan agar dakwah ini yang mereka sebagai pemukanya diterima dan diberikan peluang menduduki jawatan penting yang menguntungkan mereka namun kepada orang ramai di jadikan alasan bahawa tujuan ini hanyalah semata-mata untuk kepentingan dakwah.

Maka satu demi satu pantang larang para ulama salaf di langgar dan diabaikan apabila mereka dengan ghairan menyeru masyarakat kepada fahaman yang tiada dasar yang kukuh ini.

Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dari jalan An Nadhr Ibnu syumail dia berkata (yang bermaksud ) : “ Saya menemui Al Ma’mun, maka dia berkata : “Apa kabar wahai Nadhr?” maka saya berkata : “Baik – baik, saja wahai amirul mukminin’.

Dia berkata lagi : “Apakah itu irja?” maka saya katakan, : “Ianya pendapat agama yang selaras dengan ( keinginan ) para raja, mereka mendapatkan dengannya bahagian dari dunia mereka, dan mereka mengurangi dengannya bahagian dari agama mereka.”

Dia menyahut : “Engkau benar’”.

Imam Az Zuhri berkata : “ Tidak ada bid’ah yang lebih berbahaya dalam islam kecuali bidah irja’".

Sufyan As Sauri berkata “ Murji’ah meninggalkan Islam lebih lembut dari pakaian yang tipis."
Ibrahim An Nakha’ie berkata : “Sungguh, fitnah mereka (golongan Murjiah) lebih aku takut terhadap umat ini dari pada fitnah azariqah ( salah satu puak daripada Khawarij yang dinisbahkan kepada Abu Rasyid Nafi bin Azraq meninggal 80 Hijrah )

Kesemua riwayat salaf di atas termuat di dalam Kitab Al Bidayah wan Nihayah juz 10 ms. 276.

Slogan mereka ialah memutar belit dan memalsukan maksud hadis-hadis berikut daripada maksud sebenar yang dikehendaki oleh rasulullah dan agama ini (Maqasid Syarak) :

Hadis yang disalah gunakan oleh golongan Murjiah untuk mempromosikan ketaatan buta terhadap pemimpin :

1) Hadis Nabi s.a.w antaranya:

اسمع وأطع ، في عسرك ويسرك ، ومنشطك ومكرهك ، وأثرة عليك ، وإن أكلوا مالك ، وضربوا ظهرك

Maksudnya: “Dengar dan Taatlah dalam susah dan senangmu, keadaan rela dan terpaksa, dan dalam keadaan yang memudaratkan kamu dan jika mereka merampas harta mu sekalipun dan memukul belakangmu”. [al-Sunnah, Ibn Abi Asim].

2) Dalam hadis Sahih Muslim daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a Nabi s.a.w bersabda dengan bermaksud : Maksudnya: “Hendaklah kamu mendengar dan mentaati pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan merampas hartamu, maka dengar dan taatlah”.


3) Dalam hadis Muslim juga:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِىَ وَتَابَعَ ». قَالُوا أَفَلاَ نُقَاتِلُهُمْ قَالَ « لاَ مَا صَلَّوْا ».

Maksudnya: “Daripada Ummu Salamah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Akan ada pemimpin-pemimpin yang kamu kenal kemungkaran mereka itu dan kamu ingkar akannya maka sesiapa yang mengenali kemungkaran mereka akan terlepas (daripada terjebak dalamnya) dan sesiapa yang ingkar maka dia selamat, tetapi sesiapa yang reda dan mengikut (maka dia binasa)’. Kata para Sahabat: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: ‘Tidak boleh selagi mereka bersolat’.”

4) Dalam hadis Sahih Muslim juga:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِى أَثَرَةٌ وَأُمُورٌ تُنْكِرُونَهَا ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَأْمُرُ مَنْ أَدْرَكَ مِنَّا ذَلِكَ قَالَ « تُؤَدُّونَ الْحَقَّ الَّذِى عَلَيْكُمْ وَتَسْأَلُونَ اللَّهَ الَّذِى لَكُمْ ».

Maksudnya: “Daripada Abdullah kata beliau: Bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Sesungguhnya akan berlaku selepasku beberapa peristiwa dan kejadian yang kamu ingakr akannya’. Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana perintahmu jika ada antara kami yang mendapati keadaan itu? Jawab baginda: ‘Kamu tunaikan hak yang ada atas kamu dan kamu mintalah hak kamu kepada Allah’.”

Jawapan Ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah Terhadap penipuan dan pendustaan Ahlu Bidah (Murjiah) di dalam penggunaan hadis ini :

Kaedah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan Jawapan :

Hadis-hadis yang menyeru ketaatan ini tidak bermaksud ketaatan itu berlaku secara mutlak dan hadis tersebut tidak pula melarang supaya menjatuhkan mereka apabila “Keadaan” mengizinkan atau “wujud alasan syarak” supaya mereka dijatuhkan demi memelihara Maqasid syarak (manfaat Agama, Nyawa, Akal, Maruah, Harta)

Hujah ini berdasarkan Firman Allah swt :

Firman Allah swt yang bermaksud : “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya).” (Al-A’raf : 3)

Firman Allah swt yang bermaksud : “Maka Kami hukumlah Fir'aun dan bala tentaranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut. Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim. Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong.” (al-Qasos : 40-41)

Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan mereka berkata;:"Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).” (al-Ahzab : 67)

Firman Allah swt yang bermaksud : Mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mukmin dan tidak (pula mengindahkan) perjanjian. Dan mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama.” (At-Taubah : 11)

Selama pemimpin menunaikan hak Allah ketaatan kepada mereka ialah wajib berdasarkan ayat di atas manakala sambungan ayat ini yang berikutnya :

Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui. Jika mereka merusak sumpah (janji)nya sesudah mereka berjanji, dan mereka mencerca agamamu, maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang (yang tidak dapat dipegang) janjinya, agar supaya mereka berhenti." (At-Taubah : 12)

Bahkan Al-Quran membolehkan pemimpin diperangi apabila melanggar batasan dan hak Allah swt iaitu melakukan sesuatu yang membahayakan agama dan merosakkan Islam di dalam ayat seterusnya.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merusak sumpah (janjinya), padahal mereka telah keras kemahuannya untuk mengusir Rasul dan merekalah yang pertama mulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (At-Taubah :11- 13)

Al-quran juga jelas melarang kitra cenderung dan sokong kepada orang-orang yang berbuat zalim berdasarkan :

Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Hud : 113)

Sufyan as-Sauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini).

Sufyan as-Sauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk kamu menjahit!”


Begitu sekali kerasnya amaran Sufyan al-Thauri kepada lelaki berkenaan.

Lantas al-Suyuthi telah mengarang sebuah kitab, khusus pada memberi amaran terhadap ulama’ agar yang mendatangi pemerintah.


Kesemua ayat-ayat di atas jika dilihat di dalam kitab tafsir muktabar seperti Jami Ahkam Al-Quran oleh Imam Al-Qurtubi ra akan menyebut perbahasan yang lebih panjang.

Saya tidak bercadang mengulas panjang ayat di atas kerana ketiadaan bahan yang mencukupi kerana saya menulis artikel ini secara spontan.

Adapun hujah daripada Hadis sendiri :

Juga apa yang disebutkan oleh hadis Ubadah bin Somit ra berkenaan mencabut ketaatan apabila melihat kufur bawahah yang berlaku kepada pemerintah, hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim.

دَعَانَا النبي (ص) فَبَايَعْنَاهُ فقال فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا على السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ في مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إلا أَنْ ترو كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ من اللَّهِ فيه بُرْهَانٌ
Maksudnya : “Nabi salallahualaihiwasalam telah memanggil kami, lalu kami berbaiah dengannya. Baginda berkata ketika berbaiah, supaya kami dengar dan taat, samada ketika kami dalam keadaan cergas (senang), atau dalam keadaan benci, keadaan susah atau dalam keadaan mudah, Dan kami dipesan agar tidak menanggalkan urusan kepada ahlinya (mencabut ketaatan kami kepadanya) melainkan setelah kamu melihat kekufuran yang nyata disisi kamu daripada Allah yang menjadi bukti (keterangan).” (Hadis sahih riwayat Bukhari ms. 13 Jilid 8 di dalam Fathul Bari, Muslim dan Tirmidzi)

Khatabi berkata yang dimaksudkan “Bawahh” itu ialah kekufuran yang jelas yang dizahirkan. (Lihat : Fathul Bari Jilid 13 ms. 8.)

Imam An-Nawawi pula berkata : “Yang dimaksudkan dengan kufur di sini ialah maksiat, makna hadis ini ialah tidak menarik ketaatan di dalam urusan pemerintahan mereka sehingga kamu melihat kemungkaran yang tersangat jelas yang pasti dilakukan oleh mereka daripada kaedah Islam.” (Lihat : Sahih Muslim dengan Syarah oleh Imam Nawawi Jilid 12,ms. 229)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Auf bin Malik yang berkata, telah bersabda baginda Nabi salallahualaihiwasalam berkenaan kewajipan mentaati pemerintah dan Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Sahih Muslim no.1482 Jilid 3)

Jelas sekali di dalam hadis-hadis di atas memberi izin untuk menjatuhkan pemerintah apabila terpenuhi syarat-syarat dan keadaan yang sesuai maka ketaatan kepada pemerintah bukanlah selama-lamanya tetapi terikat kepada maslahat Syarak.

Memahami maslahat Syarak dan kaedah usul fiqh di dalam bermuamalah dengan Kitab dan Sunnah ialah Kewajipan yang dituntut terhadap pendakwah.

Ketaatan kepada pemerintah hanya berlangsung di dalam perkara ketaatan dan selama Kitab Allah (Al-Quran ) di jadikan sebagai perlembagaan dan dasar ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang meriwayatkan daripada Yahya bin Al-Husain, daripada neneknya, Umm Husain yang berkata :

سمعت رَسُولَ اللَّهِ (ص) يقول إن أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ مُجَدَّعٌ فَاسْمَعُوا له وَأَطِيعُوا ما قَادَكُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ


Maksudnya : “Aku pernah dengar Rasulullah bersabda sekiranya kamu diperintah oleh hamba habsyi yang luas lubang hidungnya sekalipun, maka hendaklah kamu dengar dan taat terhadapnya selama dia melaksanakan kitabullah.” (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Perkataan rasulullah selama dia melaksanakan Kitab Allah disyarahkan oleh para ulama dengan terlaksananya hudud dan hukum-hukum Allah dan inilah yang menjadi hujah kepada pihak yang menentang Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib (seperti Ummul Mukminin Aisyah ra , Talhah Bin Ubaidillah dan lain-lain sahabat) untuk menentang Khalifah Ali kerana menangguhkan hukum balas (qisos) terhadap pembunuh Khalifah Ustman.

Kesemua hal ini adalah perselisihan umat Islam yang sangat panjang dan memerlukan sikap berhati-hati dan kebijaksanaan para pendakwah untuk menghormati perbezaan tafsiran dan menumpukan usaha dakwah pada pokok Aqidah bukan pada perselisihan politik.

KEPALSUAN SERUAN MURJIAH MASA KINI

Dakyah Murjiah paling dahsyat apabila mereka menyeru orang ramai meninggalkan usaha Amar makruf Nahi Mungkar walau telah jelas kewajipannya di dalam hadis yang sahih dengan alasan wujud hadis yang mengarahkan orang ramai mentaati pemerintah.

Kewajipan Muslim melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar jelas disebut dalam hadis yang bermaksud: "Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Golongan Murjiah (khususnya pemuda Ruwaibidhah) kerap membidahkan para ulama Sunnah walau jarak keilmuan dan pengetahuan mereka sangat jauh berbeza dan hal ini berpunca kerana kelemahan ilmu dan kecetakkan pemikiran akibat terperap (hanya duduk belajar di dalam negara) tanpa keluar mencari pertunjuk kebenaran dan ilmu di lautan yang luas.

Sebagaimana diriwayatkan dari Qatadah ra :

من لم يعرف الاختلاف, لم يشم الفقه بأنفه
"Barangsiapa yang tidak mengetahui perkara khilaf, tidaklah sampai melepasi ilmu fiqh dari hidungnya (maksudnya belumlah mahir)".

Juga terdapat dalam riwayat dari Usman Ibn Atho ra mengatakan :

لا ينبغي لأحد أن يفتي الناس حتى يكون عالما باختلاف الناس
" Tidak patut bagi seseorang berfatwa melainkan setelah dia mengetahui tentang perkara yang diperselisihkan (khilaf) oleh orang lain."

(Sila rujuk Ibnu. Abd Bar' dalam " Jami' Bayan Ulum)

Misalnya tuduhan mereka dengan mengatakan kepada ulama yang memansuhkan hadis-hadis ketaatan kepada pemimpin dengan ayat-ayat Al-quran yang menyeru Amar makruf nahi mungkar dan hadis-hadis amar makruf nahi mungkar sebagai ahli bid’ah sangatlah mengecewakan.

Ini disebabkan di antara ulama yang berfatwa sedemikian ialah Al-Imam Ibnu Hazm ra yang menyebut jelas di dalam kitabnya bahawa Setiap hadis yang mengajak kepada mentaati pemerintah yang zalim dan bersabar ke atas mereka serta tidak memerangi mereka telah di mansuhkan oleh ayat Al-quran dan hadis yang berkaitan Amar Makruf dan Nahi Mungkar dan anda boleh melihatnya di dalam Kitab Al-Fasl fi al-milal wa-al-ahwa Jilid 4, ms 173.

Tidakkah mereka lupa bahawa Imam Ibnu Hazm inilah merupakan ikutan mereka di dalam soal feqah (apabila mereka suka sekali mengambil hukum secara zahir ) dan mereka menolak beliau apabila fatwa dan pendapatnya menyalahi nafsu mereka.

Sekalipun pendapat ini lemah namun para ulama menyebutkan tidak berlaku percanggahan di dalam hadis yang menyeru kepada amar makruf nahi mungkar dan hadis yang mengarahkan ketaatan kepada pemerintah kerana yang dimaksudkan ialah setiap hukum terjalan serentak dengan peranan dan matlamat masing-masing.

Hadis –hadis yang menyeru supaya mentaati pemerintah ialah perintah syarak yang menyeru kepada maslahat ummah yang mahukan kesatuan dan kekuatan serta hak-hak kebajikan umat terpelihara dan kewajipan syarak dapat tertegak. Ini difahami dengan perjalanan solat jemaah, solat jumaat yang dikerjakan secara jamaah.

Konsep berjemaah di dalam Islam mengajarkan umat supaya diwujudkan kepimpinan dan mentaatinya ialah asas kepada keutuhan umat.

Manakala konsep amar makruf nahi mungkar pula ialah asas Islam untuk memelihara hak agama daripada penyelewengan dan hak umat Islam agar dipelihara maruah, harta dan nyawa mereka daripada dizalimi dan ditindas.

Tiada agama di atas dunia ini yang menyeru manusia bersabar dan redha kepada kejahatan melainkan agama ini tersesat daripada pertunjuk langit.

Seruan bersabar menghadapi kezaliman, meredhai kejahatan ialah seruan yang tidak dapat diterima oleh syarak dan penyeru-penyeru kepada maksud ini hendaklah melakukan penilaian semula serta muhasabah di atas pendapat mereka agar dikembalikan kepada kitab Allah dan sunnah rasulullah dengan kefahaman yang sebenar dan memenuhi maksud syarak.
Dakwah yang Menyalahi Fitrah

Mereka menyeru supaya kejahatan pemerintah dibiarkan dan diserahkan kepada mereka (kerana mereka ulama) untuk mencegahnya sedangkan mereka lebih banyak membuang masa menyeru orang ramai mentaati pemerintah daripada berusaha mencegah dan menasihati pemerintah.

Dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, serta Abu Daud dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih dari Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, “ : “Sesiapa yang datang ke muka pintu Sultan (pemerintah), maka dia akan ditimpa ujian. “

Tidaklah sesiapa yang menambah dekatnya dia kepada Sultan (pemerintah) melainkan akan ditambahkan jarak jauhnya dia dari Allah SWT“.

Juga dikeluarkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : “”Sesungguhnya Qurra’ (ahli al-Quran) yang paling dimurkai oleh Allah ialah mereka yang menziarahi pemerintah.”

Seterusnya dikeluarkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “: “Apabila kamu melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan Sultan (pemerintah), maka ketahuilah bahawa si alim itu sebenarnya adalah seorang pencuri.”“

Juga dikeluarkan oleh al-Dailami daripada Umar al-Khattab, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, : Sesungguhnya Allah suka kepada pemerintah apabila mereka ini banyak bercampur gaul dengan Ulama tetapi Allah mengutuk Ulama’ apabila mereka itu bercampur gaul dengan pemerintah, kerana sesungguhnya apabila Ulama itu bercampur gaul dengan pemerintah, mereka menginginkan dunia.”

Sikap murjiah sangat terkenal dengan kemalasan mereka di dalam beramal dan berjihad untuk Islam dan keengganan mereka di dalam melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar sebaliknya lebih suka mengajak umat Islam mengambil jalan yang dicela oleh Allah swt iaitu berserah tanpa usaha.

Al-Imam Abu Hanifah ra misalnya berpendapat bahawa boleh keluar menjatuhkan pemerintah yang zalim dan fasiq di dalam usaha amar makruf nahi mungkar demikian yang diriwayatkan melalui Abi Bakar bin Jasos yang menyebutkan bahawa mazhab Abu Hanifah terkenal dengan pendapat yang membolehkan memerangi pemerintah yang zalim dan sesat dan ini diakui oleh Al-Imam Auzaie dan juga Abu Ishaq Al-Fazari. (Lihat Ahkam Al-Quran lil Jasos Jilid 1, ms. 70)

Pemerintah yang zalim haruslah ditegur dan diberikan nasihat berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Amru yang berkata aku telah mendengar rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “ Jika kamu melihat umatku tidak berani mengatakan kepada perlaku zalim itu dengan berkata : “Sesungguhnya engkau zalim maka hendaklah kamu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir pada hadis no. 6521)

Berserah Tanpa Usaha Ialah Sikap Jabariyah.

Sikap Jabariyah (iaitu golongan Bidah) yang tidak berusaha mengubah nasib umat sebaliknya hanya bersabar dengan cara berserah tanpa usaha bukanlah sikap ahlul sunnah wal jamaah.

Umar r.a yang bertanya Nabi s.a.w tentang amalan dengan mengatakan:
"Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan adakah ia sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda: Sesungguhnya segala sesuatu telah pun ditetapkan pada setiap perkara. Lalu dibalas oleh Umar: Kalau begitu, adakah kita harus menyerah sahaja? Baginda bersabda: Beramallah wahai anak al-Khattab. Segala sesuatu itu sudah dipermudahkan. Sesiapa yang tergolong di kalangan ahli kebaikan (syurga), maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan sesiapa yang tergolong dalam ahli seksa, maka dia dijadikan beramal jahat untuk ke neraka."- Hadis sahih riwayat Ahmad, jil. 1, ms. 29).

Sama juga dengan sebuah kisah yang diceritakan melalui sahih al-Bukhari dan Muslim mengenai protes Musa a.s kepada Adam a.s. Dan juga dalam riwayat-riwayat lain. Kesemuanya menunjukkan kepada kita bahawa amal dan takdir itu saling berkaitan.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Bagi ahli syurga, dipermudahkan supaya mereka dapat beramal dengan amalan ahli-ahli syurga dan ahli neraka dipermudahkan supaya mereka beramal dengan amalan-amalan ahli neraka." - Hadis sahih melalui rijal yang tsiqah (dipercayai) dikeluarkan oleh al-A'jari.

Lalu mereka (orang mukmin) segera bertaubat dan memohon kepada ALLAH agar termasuk di kalangan orang yang dipermudahkan amalan kebaikan dan diredhai lalu dipermudahkan untuk melakukan amalan-amalan soleh yang membawa kepada takdir yang baik dan diredhai.

Berfatwa dan bertindak (beramal) berdasarkan hujah Kitab dan Sunnah di dalam lingkungan pengetahuan Kita tanpa mencampuri urusan yang di luar pengetahuan kita.

Hendaklah kita bersikap bijak dengan tidak mudah menuduh dan mencela seseorang tanpa mengkaji latar belakang dan mengetahui selok-belok sesuatu perkara kerana jika tidak kita akan terjebak di dalam kesesatan dan kebuntuan.

Di dalam Islam, kita perlu menjadikan diri kita tunduk dan patuh hanya kepada Allah swt dan kepada sesiapa yang diperintahkan oleh Allah swt.

Di dalam Al-Quran Allah swt befirman :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisa : 59)

Al-Quran sendiri menyebut jika kita berbeza pendapat maka kembalikanlah persoalan tersebut kepada Kitab Allah dan sunnah rasulullah dengan ilmu dan hujah.

Saya bukanlah seorang khawarij dan saya menolak sebarang keganasan dilakukan ke atas seorang Muslim dan saya juga seorang Murjiah yang menyokong pemerintah secara membuta tuli tanpa hujah dan saya mengambil sikap para salaf di dalam isu ini dengan menyerahkan keputusan kepada Allah swt.

Tuhan saya ialah Allah swt.

Emran Ahmad,
Seorang Ahlul Sunnah yang hidup di zaman moden.
Saya tidak mungkin menjadi khawarij hanya kerana pendapat saya bertentangan dengan beberapa pihak.

p/s :

Usul Khawarij ada empat :

1) Mengkafirkan perlaku dosa besar
2) Menafikan wujud maksiat di dalam Iman (kalau bermaksiat maknanya Iman terbatal)
3) Memerangi pemimpin yang berdosa (kerana pemimpin yang berdosa, zalim, maksiat dianggap kafir oleh mereka)
4) Tidak menerima tafsiran sahabat dan riwayat sahabat hanya mengambil Al-quran secara zahir

Kesemua ciri2 usul khawarij yg disebut di dalam kitab firaq seperti Al-Milal Wal Nihal tiada pada saya, semoga Allah memberikan keadilan kepada hamba-hamba-Nya yang teranaiya.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

4 comments:

Anonymous said...

ustaz pernah tak baca aqidah thahawiyah syarah syeikh abdul mun'im mustafa halimah (abu baseer altartousi)?

ana tak pernah baca.

kalau ustaz pernah baca ,bagus tak syarahan dia?

ini laman dia http://www.altartosi.com/
dan
http://www.abubaseer.bizland.com/

Unknown said...

Assalamu'alaikum..

ustaz, saya baca dalam satu blog : http://an-nawawi.blogspot.com/2008/07/kenapa-sampai-perlu-jatuhkan-pemerintah.html

"Kita ambil juga dari iktibar Nabi Nuh ‘alaihi salam. Apakah beliau berdakwah sehingga 1000 tahun kurang 50 tahun pernah memaksa atau pun meminta pemerintah dari kaumnya supaya turun takhta dan letak jawatan. Lalu mengatakan bahawa pemerintah yang ada perlu diganti dengan orang yang lain yang lebih baik agamanya..."

"Begitu juga Musa ‘alahi salam dan Harun ‘alaihi salam. Apakah mereka diperintahkan supaya menjatuhkan Fir’aun yang mana kita sedia tahu betapa zalimnya Fir’aun? Atau sebenarnya Musa dan Harun diwahyukan supaya melaksanakan tugas dakwah dengan kaedahnya? Yang mana, Tauhid dan mengesakan Allah sebagai priority intisari dakwahnya. Malah, ia adalah merupakan intisari utama dakwah para nabi dan rasul, iaitu mengajak dan menegakkan tauhid ke dalam hati dan diri setiap manusia sasarannya. Bukannya menjatuhkan pemerintah dan menukar pemerintah sebagai asas yang paling utama dan terutama. Tiada Kalam yang menyatakan di mana Musa dan Harun diutuskan supaya menjatuhkan Fir’aun bagi tujuan dan wasilah jalan dakwahnya sebagaimana dakwaan kebanyakan orang-orang agama zaman ini yang lantang menghambur peribadi pemerintah."

Apa pandangan ustaz?

Ustaz Emran said...

Assalamualaikum,

Komen saya ialah :

1) Mengantikan pemerintah bukan sebab ada org lain lebih baik dari dia, itu salah

Tetapi ditukar pemerintah apabila 1) Murtad 2) Tdk menunaikan solat 3) Tdk berhukum dengan hukum Allah 4) zalim dan menrosakkan agama

Hal ini dituntut oleh syarak demi memelihara maqasid syarak (Maslahat Agama, Nyawa, Akal, Maruah, Harta)

Usahlah petik hujah2 artikel2 dr penyokong UMNO dan mereka yg jahil ini.

Golongan ini tidak menerima usul fiqh dan status mereka seperti anti hadis yg menolak hadis...tiada guna berhujah dgn org yg menolak hadis maka persis juga golongan ini.

Tiada guna berhujah dgn org yg menolak usul fiqh dan berhujah dengan hadis dan quran berdasarkan zahir ayat dan mengamnbil pendapat yg memudahkan mereka.

Tiada jihad, tiada amar makruf nahi mungkar, tiada usaha mengubah negara atau menukar pemerintah.

Cukup sabar dan berdoa sahaja.

Dakwah pd aqidah tu cuma penyedap mulut.

Aqidah ialah segala2nya termasuk persoalah Al-Wala Wal Bara (mentaati Allah dan memusuhi musuh Allah)

2) Kisah Nuh as ini disyarah dengan kefahaman yg salah..

seruan Nabi Nuh membawa tauhid yg sahih...Nabi Nuh tidak pun berusaha untuk menukar pemerintah atau membina negara kerana semua yg ada bukan ISlam tetapi kafir.

Sisitem yg ada pula bukan sistem Islam tapi sistem yg kafir dan ditolak oleh Islam.

Maka dakwah perlu ditumpukan pd aqidah dan tauhid, setelah wujud org yg memeluk Islam barulah difardhukan kepada mereka dengan kewajipan individu, lalu bergerk kpd kewajipan masyarakat dan seterusnya pelaksanaan hukum Allah dan usaha jihad dilaksanakan bagi meninggikan kalimah Allah.

Tahukah anda pengikut nabi Nuh cuma 9 orang yg beriman...macam mana nak tegak negara atau nak menjatuhkan kuffar ?

Tentulah kena dakwah dulu.

Janganlah samakan situasi itu dengan umat Islam yg berjuta tetapi tiada hukum Allah tertegak...umat Islam yg ramai tapi redha dengan sistem sekuler dan membiarkan kezaliman berleluasan alasannya krn Nabi Nuh tak pernah suruh pemerintah zaman dia turun / letak jawatan pun.

Ini hujah bodoh dari orang yg bodoh.

Ustaz Emran said...

Zaman Nabi Musa as.

Siapa kata Allah tidak perintahkan untuk menjatuhkan Firaun ?

Allah suruh Nabi Musa as berdakwah kepada Firaun dan pengikutnya kerana masyarakat ketika itu masih belum ada yg beriman...

Golongan yg beriman sangat sedikit ketika itu, kalau Allah menyuruh mereka berperang nescaya mereka akan kalah dan tewas kerana Iman mereka belum kukuh.

Jadi disuruh berhijrah dan melarikan diri dari kekuasaan FIRAUN.

Takderlah pula Allah suruh Nabi Musa jadi Mufti Firaun ker, penasihat agama kepada Firaun ker..

tapi disuruh Nabi Israel melarikan diri daripada Firaun supaya bebas dari kezaliman Firaun dan kemudian dia menyeberangi laut merah (untuk apa ?

Bukankah untuk melarikan diri dari Firaun ?

Supaya keluar (Memisahkan diri) dr kezaliman dan kejahatan Firaun...

Kemudian apabila Firaun mati di hanyutkan oleh Laut, Maka Nabi Musa as dan bani israel berperang dengan bangsa2 yg mendiami suatu kawasan tinggi.

Jihad berlaku, pengikut nabi Musa as menang dan mereka menghuni kawasan tersebut dsbnya...bacalah kisahnya lebih lanjut.

Ingat tak lagi ayat dlm Quran sebut Bani Israel berkata : "Pergilah Engkau wahai Musa dengan Tuhan mu berperang sedang kami duduk di sini sahaja menanti."

Juga ayat :

"Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israil sesudah Nabi Musa, yaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah." Nabi mereka menjawab: "Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang." Mereka menjawab: "Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari anak-anak kami?". Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, merekapun berpaling, kecuali beberapa saja di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim. " (Al-Baqarah : 246)

Nampak tak ? Jihad itu wajib ke atas umat Musa dan bani israel enggan maka mereka dilaknat dan dikalahkan kecuali sekumpulan dr kalangan mereka yg tetap beriman. (menurut riwayat keturunan Yusha yg beriman)


Makanya ternyata pemahaman penulis website itu keliru sekali.

Allah bukan sahaja suruh jatuhkan Firaun, tetapi suruh lari dari Firaun bila tidak mampu menjatuhkan firaun, bila lari dan memiasahkan diri dan berjaya maka mereka perlu pula berjihad bagi menegakkan negara nabi israel

Makanya saudari

fahamilah Al-quran dan as-sunnah dengan ilmu yg sahih dan dari ulama.


Wallahualam.