Thursday, July 09, 2009

Anda bertanya saya menjawab “Seputar Hukum Menjatuhkan dan Menukar Pemerintah”


Di dalam Islam seseorang Imam itu wajib ditaati di sisi mazhab ahlul sunnah wal jamaah dan hal ini jelas berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak di dalam kitab dan sunnah. Mentaati mereka, memenuhi hak-hak mereka merupakan kewajipan yang mesti dipenuhi seperti yang diperintahkan oleh Allah dan rasul. Tetapi terdapat situasi yang agung dan penting yang memberi kesan besar kepada kehidupan umat Islam di dalam urusan dunia dan agama yang menjurus kepada darurat dan membawa kepada keperluan untuk menukar dan menjatuhkan Imam atau pemerintah.

Hal-hal ini ada yang merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama dan ada pula yang menjadi khilaf di kalangan mereka. (lihat Kitab Al-Imamah Al-Uzma oleh Syeikh Dr Abdullah Umar Ad-Domaiji, hal. 468)

Hal-hal yang membolehkan Imam dan Khalifah (pemerintah) umat Islam dijatuhkan dapat diringkaskan oleh penulis kepada perkara berikut :

PERTAMA : KAFIR ATAU MURTAD DARIPADA ISLAM

Telah disebutkan di dalam surah An-Nisa ayat 141 yang bermaksud : "Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman."

Juga apa yang disebutkan oleh hadis Ubadah bin Somit ra berkenaan mencabut ketaatan apabila melihat kufur bawahah yang berlaku kepada pemerintah, hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim.

دَعَانَا النبي (ص) فَبَايَعْنَاهُ فقال فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا على السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ في مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إلا أَنْ ترو كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ من اللَّهِ فيه بُرْهَانٌ

Maksudnya : “Nabi salallahualaihiwasalam telah memanggil kami, lalu kami berbaiah dengannya. Baginda berkata ketika berbaiah, supaya kami dengar dan taat, samada ketika kami dalam keadaan cergas (senang), atau dalam keadaan benci, keadaan susah atau dalam keadaan mudah, Dan kami dipesan agar tidak menanggalkan urusan kepada ahlinya (mencabut ketaatan kami kepadanya) melainkan setelah kamu melihat kekufuran yang nyata disisi kamu daripada Allah yang menjadi bukti (keterangan).” (Hadis sahih riwayat Bukhari ms. 13 Jilid 8 di dalam Fathul Bari, Muslim dan Tirmidzi)

Khatabi berkata yang dimaksudkan “Bawahh” itu ialah kekufuran yang jelas yang dizahirkan. (Lihat : Fathul Bari Jilid 13 ms. 8.)

Imam An-Nawawi pula berkata : “Yang dimaksudkan dengan kufur di sini ialah maksiat, makna hadis ini ialah tidak menarik ketaatan di dalam urusan pemerintahan mereka sehingga kamu melihat kemungkaran yang tersangat jelas yang pasti dilakukan oleh mereka daripada kaedah Islam.” (Lihat : Sahih Muslim dengan Syarah oleh Imam Nawawi Jilid 12,ms. 229)

Apakah anda belum melihat kekufuran yang jelas dilakukan oleh pemerintah ? Bagi mereka yang sudah melihatnya boleh sahaja mencabut ketaatan daripada pemerintah dan bagi yang belum maka dia perlu mentaati pemerintah Islam yang ada.

Hendaklah anda melihat pula perkara yang membatalkan Iman dan syahadah itu apakah para pemerintah yang berkuasa ke atas anda ada melakukannya atau tidak ?

Apakah mereka ada melakukan sesuatu yang boleh membatalkan iman mereka ?

Ini disebabkan ramai ulama buta yang wujud di dalam negara umat Islam sekarang yang memaksa orang awam agar tetap taat kepada pemerintah sedangkan telah jelas kebathilan dan kekufuran pemerintah yang berkuasa apabila menolak Al-Quran, menghina Islam, mencela sosok peribadi rasulullah di dalam ucapan-ucapan mereka, mengadakan perjanjian setia dan cinta terhadap musuh-musuh Allah swt dan terlibat di dalam banyak amalan syirik yang membatalkan Iman dan syahadah mereka.

Tentu anda sudah lupa tentang seorang pemerintah terkenal Arab yang pernah berucap di khalayak dengan mengatakan : “Pada kurun ke 20 ini kita sudah tidak memerlukan Al-Quran untuk mengajarkan kita apa yang perlu dilakukan…”

Bukankah kata-kata seperti ini jelas membawa kepada kekufuran ?

Para ulama tidak mensyaratkan kepada pemerintah untuk mengiklankan atau mengakui bahawa dirinya terkeluar daripada Islam tetapi seperti yang disebut di dalam hadis iaitu mencukupi jika kelihatan atau terzahir daripada perbuatan dirinya.

Imam Al-Kasymiri menyatakan : “Menjadi dalil dari hadis ini juga, harus mengkafirkan ahli kiblat, walaupun mereka tidak keluar dari Kiblat seperti masih lagi solat mengadap Kiblat.

Ini adalah kerana boleh jadi mereka melakukan kekufuran dengan tidak iltizam (tidak tetap) dan tidak pula mereka menukar Millah oleh kerana itu sebelum mengkafirkan mereka diperlukan bukti keterangan kerana orang yang keluar dari Millah atau Kiblat tidak perlu lagi bukti keterangan kerana telah jelas benar kekufuran mereka.” (Ikfar Al-Mulhidin dengan ayat penulis ms. 22)

Mari kita lihat jenis pemerintah seterusnya yang dibolehkan mencabut ketaatan daripadanya.

KEDUA : MENINGGALKAN SOLAT DAN SERUAN KEPADANYA

Merupakan pendapat majoriti ulama Islam bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia menjadi kafir di sisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Diriwayatkan bahawa telah berkata Qadhi Iyad ra mengenai ijmak ulama' ke atas penguguran Imam di sebabkan meninggalkan solat dan seruan kepadanya. (Lihat : Dalam Syarah Sahih Muslim oleh Nawawi jilid 12,ms. 229)

Sepertimana kekufuran merupakan antara sebab pemerintah wajib dilucutkan daripada pemerintahannya, maka begitu juga wajib menggugurkan pemerintah yang tidak menunaikan solat dan menyeru manusia kepada meninggalkan solat.

Perlucutan atau mengugurkan kepimpinan seseorang pemerintah adalah berpunca daripada tidak menunaikan solat walaupun peninggalan itu berlaku adalah kerana dengan sebab mengingkari kewajipan solat itu lalu dia menjadi kafir atau dia tidak menunaikan solat kerana mengabaikan solat atau dengan sebab malas menunaikan solat dan tidak dia menjadi kafir.

Dalil bagi menguatkan kenyataan ini adalah hadis, daripada Buraidah yang berkata bahawa telah bersabda Nabi salalahualaihiwasalam :


العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر


Maksudnya : “Perjanjian di antara kami dan mereka adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya, maka dia telah menjadi kafir.” (Hadis sahih riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasaie dan Ibnu Majah)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Auf bin Malik yang berkata, telah bersabda baginda Nabi salallahualaihiwasalam :

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عليهم وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فقال لَا ما أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ

Maksudnya : “Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Sahih Muslim no.1482 Jilid 3)

Dari hadis ini difahami, sekiranya pemerintah meninggalkan solat, maka mereka boleh dijatuhkan dan diperangi kerana telah mengabaikan perjanjian Islam.

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ummu salamah ra yang diriwayatkan berkata :

إنه يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ وَلَكِنْ من رضي وَتَابَعَ قالوا يا رَسُولَ اللَّهِ ألا نُقَاتِلُهُمْ قال لَا ما صَلَّوْا

Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan diperintah oleh pemerintah yang kamu mengenali mereka, tetapi kamu akan mengingkari mereka. Barangsiapa yang membenci, maka dia bebas. Barangsiapa yang engkar maka dia selamat melainkan orang yang redha dan mengikuti mereka. Maka berkatalah sahabat : Wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka ? Lalu dijawab oleh baginda dengan berkata : “Tidak boleh, selama mereka masih menunaikan solat.” (Hadis sahih riwayat Muslim)

Dijelaskan di dalam banyak kitab-kitab Aqidah terdahulu yang belum dicemari oleh kesesatan pemikiran manusia bahawa Iman itu adalah wajib dengan amal. Menunaikan tuntutan keimanan dan membuktikan keIslaman melalui hati, lisan dan perbuatan adalah kewajipan setiap Muslim termasuk para pemerintah.

Sewajarnya umat Islam menyedari bahawa kewajipan menegakkan tauhid dan memerangi syirik ialah tanggungjawab setiap yang bersyahadah kepada Allah. Malangnya kerana syirik pada hari ini datang bukan dalam bentuk berhala tetapi lebih tersusun seperti idea, material dan habuan dunia.

KETIGA : MENINGGALKAN BERHUKUM DENGAN APA YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH SWT

Para pemerintah juga dijatuhkan apabila mereka terbukti tidak melaksanakan hukum Allah swt sedangkan mereka mampu dan berpeluang untuk melaksanakannya tetapi tidak melakukannya kerana keengganan dan ketidak yakinan mereka kepada hukum Allah swt atau disebabkan engkar.

Kita boleh mendapati hal ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang meriwayatkan daripada Yahya bin Al-Husain, daripada neneknya, Umm Husain yang berkata :


سمعت رَسُولَ اللَّهِ (ص) يقول إن أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ مُجَدَّعٌ فَاسْمَعُوا له وَأَطِيعُوا ما قَادَكُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ


Maksudnya : “Aku pernah dengar Rasulullah bersabda sekiranya kamu diperintah oleh hamba habsyi yang luas lubang hidungnya sekalipun, maka hendaklah kamu dengar dan taat terhadapnya selama dia melaksanakan kitabullah.” (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Bekas Ketua Jabatan Aqidah Universiti Ummul Qura Mekah, Dr Abdullah Umar Sulaiman Ad-Domaiji pengarang Kitab Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah menyebut dengan jelas bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa syarat mendengar dan mentaati pemerintah adalah terikat kepada ketaatan mereka terhadap Kitab Allah swt.

Apabila pemerintah tidak berhukum dengan hukum Allah maka tiada ketaatan kepadanya dan menjadi hujah dan alasan yang dibolehkan untuk menjatuhkannya kerana kegagalannya untuk melaksanakan hukum Allah tersebut ini disebabkan menjadi kewajipan Imam untuk berhukum dengan hukum Allah dan hak ke atasnya adalah terpenuhi selama dia memenuhi hak melaksanakan hukum Allah.

Manakala hukum ke atas dirinya sendiri pula, adalah persoalan lain dan boleh jadi jatuh ke atasnya hukum sebagai fasiq, zalim atau kafir tertakluk kepada perbuatannya.

Kemudian pengarang kitab Al-Imamah Al-Uzma menyebutkan bahawa sekiranya pemerintah itu menjadi kafir kerana tidak menghukum dengan hukum Allah maka menjatuhkannya adalah menjadi wajib sekalipun perlu dengan peperangan. (Lihat : Al-Imamah Al-Uzma ms. 473)

Adapun perkara yang seterusnya menjadi khilaf kepada sebahagian ulama di antara yang berpendapat perlu menjatuhkan pemerintah secara mutlak dan ada yang mengatakan tidak menjatuhkannya.

KE-EMPAT : MENJADI FASIQ, ZALIM DAN PERLAKU BID'AH


Qadhi Iyad ra berkata bahawa ; " Jumhur ahlul sunnah daripada fuqaha dan muhaddisin serta mutakalimin berpendapat tidak boleh menjatuhkan Imam yang fasiq dan zalim serta haram keluar daripada ketaatan kepadanya…" (Lihat Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi)

Sekalipun begitu semua ulama bersepakat bahawa tidak boleh mengangkat pemerintah yang zalim dan fasiq sebagai pemimpin.

Imam Al-Qurtubi telah menyebut :


لا خلاف بين الأمة أنه لا يجوز أن تعقد الإمامة لفاسق


Maksudnya : “Tiada khilaf dikalangan ulama bahawa sesungguhnya tidak harus diserahkan kepimpinan kepada orang yang fasiq.” (Jami Ahkam Al-Quran Jilid 1 ms. 270)

Walaubagaimanapun, ulama berselisih pendapat tentang kefasikan yang dilakukan oleh pemerintah setelah dia memerintah, sedangkan pada awal perlantikan, dia tidak fasiq atau zalim.

Perkara ini terbahagi kepada dua pendapat :

Pendapat pertama :

TIDAK BOLEH DIJATUHKAN PEMERINTAH ITU SECARA MUTLAK

Mereka adalah jumhur ulama ahlul sunnah wal jamaah antaranya Qadhi Iyad dan sebilangan besar dari Fuqaha’ dan Muhaddisin (ulama hadis). Walaubagaimanpun, mereka mewajibkan memberi nasihat dan peringatan kepada pemerintah yang melakukan amalan fasiq. (Lihat : Syarh An-nawawi ‘Ala Sahih Muslim Jilid 12, ms. 229)

Di dalam hal ini para ulama telah pun menjelaskan bahawa adalah menjadi mazhab para sahabat nabi seperti Saad bin Abi Waqqas, Usamah bin Zaid, Ibnu Umar, Muhammad bin Maslamah serta Abu Bakrah radiallahu ta’ala anhum ajmainn untuk tidak menderhaka kepada pemerintah yang zalim atau menjatuhkan mereka selama mereka masih belum kafir atau tidak menunaikan solat dan selama masih berhukum dengan hukum Allah swt.

Inilah juga pendapat Imam Hasan al-Basri serta Imam Ahmad dan sekalian ulama ahlul sunnah wal jamaah. (Lihat Al-Bidayah wan Nihayah oleh Ibnu Katsir Jilid 9 ms.135)

Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah ra menyebut : “ Inilah pendapat ahlul hadis iaitu menolak untuk keluar daripada ketaatan atau menentang raja yang derhaka dan bersabar ke atas kezaliman mereka sehingga diberi kelapangan daripada kejahatan mereka.” Lihat Majmuk Fatawa, Jilid 4, ms. 444)

Mereka berpendapat dan berpegang kepada hadis-hadis yang melarang daripada menyebarkan fitnah dan perpecahan umat serta menyuruh supaya menetap diri di dalam jamaah dan tidak memulakan usaha pertumpahan darah.

Sesungguhnya Saad bin Abi Waqas ra berkata ketika berlakunya fitnah pembunuhan Khalifah Usman bin Affan ra : Aku bersaksi bahawa rasulullah pernah bersabda : "Sesungguhnya akan berlaku fitnah (pada umat ini) dan mereka yang duduk adalah lebih baik daripada berdiri dan golongan yang berdiri ialah lebih baik daripada mereka yang berjalan dan mereka yang berjalan ialah lebih baik daripada golongan yang berlari" Lalu ditanyakan kepada baginda apakah pesananmu jika datang seorang masuk ke rumahku dan mengacungkan tangannya untuk membunuh aku ?

Lalu baginda menjawab : " Jadilah seperti anak Adam (iaitu Habil yang dibunuh tanpa membalas)" dan hadis seperti ini juga dikeluarkan dari riwayat Abu Hurairah, Khabab bin Arat , Abi Bakrah dan Ibnu Mas'ud dan lain-lain sahabat. (Hadis sahih riwayat Tirmidzi no. 2194 dan lain-lain).

Dimaksudkan dengan tidak membalas ialah supaya tidak menambahkan lagi penyebaran fitnah dan juga dimaksudkan duduk lebih baik dari berdiri ialah menjauhi kekacauan dan kerosakan yang berlaku.

Pendapat Kedua :

DIBOLEHKAN UNTUK MENJATUHKAN PEMERINTAH YANG FASIQ DAN ZALIM

Ianya dipegang oleh Imam Al-Qurtubi, pendapat Imam As-Syafie di dalam Qaul Qadimnya dan pendapat sesetengah ulama Syafie’iyah dan termasuk pendapat yang yang masyhur daripada Imam Abu Hanifah. (Lihat Ma’sar Al-Inafah, Jilid 1 ms.72)

Imam Al-Qurtubi menyatakan : “Pemerintah yang dilantik kemudian menjadi fasiq setelah perlantikan. Berkata jumhur, sesungguhnya terfasakh dan tercabut kepimpinannya dengan sebab fasiq yang zahir dan dimaklumi. Ini adalah kerana, sesungguhnya telah sabit bahawa kepimpinan adalah dilantik untuk melaksanakan hudud, menyempurnakan hak-hak, menjaga harta anak yatim..sehingga akan rosak maksud kepimpinan itu melalui kefasiqkan yang ada pada dirinya. (Lihat : Jami Ahkam Al-Quran Jilid 1 ms. 271)

Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Muktazilah dan khawarij. (Lihat di dalam Al-Farq Bainal Firaq ms. 73)

Mazhab Asya’irah dan Zaidiyah juga turut berpendapat bahawa Imam yang zalim boleh dijatuhkan. (Lihat : Maqalat Al-Islamiyyin, ms. 151-166)

Pendapat ini agak syadid dan ketat namun sekalipun demikian, ada ramai para sahabat nabi seperti Ali bin Abi thalib ra, Ummul Mukminin Aisyah, Tolhah dan Zubair serta sejumlah sahabat baginda nabi yang lain seperti Muawiyah, Amru dan Nu’man bin Basyir juga termasuk sahabat seperti Abdullah bin Zubair, Muhammad bin Hasan bahawa mereka berpendapat : “ Menghayunkan pedang untuk menegakkan kewajipan Amar makruf nahi mungkar itu adalah wajib sekiranya kemungkaran itu tidak dapat dicegah melainkan dengannya.” (Al-Fasl fi Milal wa Ahwa An-Nihal, Jilid 4, ms. 171)

Al-Imam Ibnu Hazm juga menyebutkan lagi bahawa tetap digunakan pedang sekalipun kemungkaran dan maksiat itu tidak mencapai tahap kekufuran. Bahkan wujud riwayat yang banyak yang menunjukkan ramai sahabat dan tabien yang keluar daripada Imam dan menghayunkan pedang untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran dan ada pula yang menyokong serta menolak untuk keluar dari Imam dan menetap di dalam ketaatan.
Misalnya di dalam sejarah juga telah menunjukkan wujud di kalangan sahabat dan tabien yang membantu Abdullah bin Ibnu Zubair ra di dalam menentang Bani Umaiyah. (Lihat : Al-Bidayah Wan Nihayah, ms. 238)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Bakar As-Siddiq ra berkenaan ayat Al-Quran : yang Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; Tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, Maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-Maidah : 105)

Ketika mana beliau (Abu Bakar) berdiri memberikan khutbah maka dia memuji Allah dan kemudian berkata : “Wahai manusia kamu semua membaca ayat ini tetapi kamu meletakkan ayat ini di tempat yang bukan pada tempatnya. Sesungguhnya aku mendengar rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “ Sesungguhnya manusia apabila melihat kemungkaran tetapi tidak mengubahnya maka dikhuatiri Allah akan menimpakan ke atas mereka azabnya.” Dan di dalam riwayat yang lain menyebut : “Sesungguhnya manusia apabila melihat kezaliman dan tidak melakukan apa-apa usaha dengan tangannya maka dikhuatiri akan ditimpakan oleh Allah dengan azab daripadanya.” ( Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnadnya dan Isnadnya sahih menurut Syeikh Ahmad Syakir, diriwayatkan oleh Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Nasaie dengan sanad yang sahih)

MENGAMBIL JALAN PERTENGAHAN DI ANTARA DUA PENDAPAT

Saya mendapati langkah yang terbaik ialah :

1) Menetap diri pada dalil umum yang asal

Hendaklah umat Islam mentaati pemerintah yang melaksanakan hukum Allah swt dan menjalankan kewajipan agama yang dasar sekalipun dianya tetap seorang yang fasiq atau ahli maksiat selama maksiat dan kejahatannya itu tidak membahayakan urusan umat Islam.

2) Berpindah ke dalil yang lebih khusus apabila wujud hujah dan berlaku sesuatu yang mengubah dalil umum

Pemerintah yang zalim haruslah ditegur dan diberikan nasihat berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Amru yang berkata aku telah mendengar rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “ Jika kamu melihat umatku tidak berani mengatakan kepada perlaku zalim itu dengan berkata : “Sesungguhnya engkau zalim maka hendaklah kamu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir pada hadis no. 6521)

Menegur pemerintah disebut di dalam kitab-kitab feqah dengan wujud pelbagai cara dan wasilah yang sesuai tanpa mengikat hanya dengan satu cara sebaliknya dilihat kepada status kejahatan dan situasi semasa.

3) Tidak bersubahat dengan pemerintah yang zalim dan tidak melaksanakan hukum Allah dan berusaha memerangi atau menjatuhkannya jika terdapat jalan atau kemampuan.

Apabila pemerintah enggan mengikut kitab Allah dan sunnah rasulullah setelah dinasihati dan ditegur secara baik dan berhikmah maka hendaklah dia dijatuhkan dengan kekerasan atau cara yang paling kurang mudharatnya kepada umat Islam berdasarkan dalil-dalil yang banyak untuk menjatuhkan khalifah dan pemimpin.

MELIHAT PEGANGAN SALAF DI DALAM PERGADUHAN POLITIK

Para sahabat terbahagi kepada tiga bahagian dan masing-masing di antara mereka melakukan apa yang dipercayai benar berdasarkan keilmuan dan hujah yang dimiliki oleh pihak masing-masing.

GOLONGAN PERTAMA : PIHAK YANG MENYOKONG ALI BIN ABI THALIB

GOLONGAN KEDUA : PIHAK YANG MENYOKONG MUAWIYAH BIN ABI SUFYAN

GOLONGAN KETIGA : PIHAK YANG BERDIAM DIRI DAN TIDAK MENYOKONG MANA-MANA PIHAK DAN JUMLAH MEREKA ADALAH SEDIKIT.

Para ulama seperti al-Imam Bukhari menyebutkan bahawa Tolhah, Zubair dan Aisyah telah berbaiah kepada Ali bin Abi thalib sebagai pemimpin mereka tetapi kemudian mereka keluar dari ketaatan kepada Ali dan menuntut kebenaran dari Ali bin Abi Thalib terhadap pembunuhan Ustman.

Mereka memerangi Ali bin Abi Thalib sekalipun beliau tidaklah kafir atau menjadi murtad namun ramai para sahabat yang bangkit dan berusaha menjatuhkan beliau kerana memiliki hujah dan pendapat mereka yang merasakan mereka berhak untuk menjatuhkan pemerintah.

Tidak perlu Imam atau Khalifah menjadi Kafir baru dia dapat dijatuhkan tetapi cukup untuk melihat kepada keperluan dan maslahat ummah.

Ini jelas daripada hujah Ali bin Abi Tholib ra yang berkata : “ Telah berbaiah Tolhah dan Zubair kepadaku di Madinah dan aku menjadi khalifah di Basrah, sekiranya ada lelaki yang membaiah Abu Bakar sekalipun nescaya kami akan membunuhnya dan begitu juga jika Umar.” (Dikeluarkan oleh Ishaq bin Rawaihah daripada Salim di dalam Fathul Bari Jilid 13 ms. 53 dan di dalam Tarikh Al-Islam oleh Az-zahabi Jilid 3, ms. 391)

Setiap riwayat hadis dan sejarah menunjukkan bahawa para ulama dan sahabat nabi tidaklah menantikan pemerintah menjadi kafir dahulu baru boleh menjatuhkannya sebaliknya setiap zaman Islam menyaksikan penggulingan dinasti dan kepimpinan negara dilakukan apabila mereka mendapati berlaku penyelewengan dan kezaliman dan tidak hanya menanti pemerintah menjadi kafir sahaja baru boleh dijatuhkan. (Lihat Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah ms. 530)

Hujah bahawa kita mesti berdiam diri dan tidak mencampuri pergaduhan politik atau fitnah ialah hujah sebahagian sahabat nabi dan bukanlah kewajipan agama untuk memilih pendapat ini setelah kita memiliki dua syarat iaitu :

1) Ilmu (mengetahui hukum Allah dan layak membuat penilaian)

2) Kebenaran diyakini berada dipihaknya setelah memiliki hujah atau informasi dan bukti yang kukuh (menyakini kebenaran berada di pihak kita dan bertanggungjawab untuk menegakkannya kerana kita kelak akan dipersoalkan)

Para sahabat seperti Muawiyah, Nu’man bin Basyir dan Mughirah bin Syu’bah ra semuanya keluar daripada Khalifah Ali bin Abi thalib kerana menyakini mereka di pihak yang benar dengan ilmu dan pengetahuan mereka.

Para sahabat mengajar kita supaya memperjuangkan apa yang diyakini benar setelah mencapai tahap dan memenuhi syarat yang kukuh terhadap pengetahuan kitab Allah dan as-sunnah rasul-Nya dan memperjuangkan kebenaran sehingga tertegak tanpa berdiam diri atau duduk sahaja menanti perubahan tanpa usaha. Sikap mereka sekalipun dianggap salah oleh sebahagian ulama namun diperkirakan sebagai Mujtahid yang tersilap dan dimaafkan serta disebut oleh para ulama kedua-dua pihak yang membunuh dan dibunuh berada di dalam syurga.

Usamah bin Zaid berkata kepada Ali melalui utusannya : “Sekiranya engkau berada di dalam lubang singa sekalipun nescaya aku suka untuk bersama kamu kecuali di dalam urusan ini (merujuk kepada peperangan di antara sahabat).” (Hadis sahih bukhari di dalam bab fitan)

PUNCA SIKAP BERDIAM DIRI MUNCUL DI KALANGAN SAHABAT

Para ulama menyebutkan para sahabat berdiam diri dan tidak menyertai mana-mana pertelingkahan politik dan urusan siyasah kerana tidak mengetahui di sudut ilmu dan juga tidak memiliki hujah untuk menyebelahi mana-mana pihak.

Ini terbukti berdasarkan dalil daripada Abdullah bin Umar yang ditanya : “Siapakah golongan yang menderhaka ? “ Lalu dijawab : “Kalaulah sekiranya aku mengetahuinya maka tidaklah ada sesiapapun yang akan mendahului aku baik kamu atau selain kamu melainkan aku sudah dahulu menentang mereka.” (Al-Fasl fi al-milal wa-al-ahwa, Jilid 4 ms. 171)

Juga ada riwayat yang menunjukkan sebahagian para sahabat yang seperti Saad dan Muhammad bin Maslamah ra yang berdiam diri turut menyesal kerana tidak terlibat di dalam peperangan menentang pemberontak selepas mendapati pembunuhan Ammar bin Yasir (disebabkan nabi pernah meramalkan yang Ammar akan dibunuh oleh penderhaka).

Maka kalau dilihat di dalam kitab Al-Qawasim Minnal Awasim, para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri ini ialah mereka yang muda atau mereka yang tidak terlibat dengan kepimpinan dan kurang memiliki maklumat dan informasi berkaitan situasi semasa sehingga tidak dapat membuat penilaian saksama siapakah pihak yang benar lalu menyebabkan mereka berdiam diri.

Adapun sahabat yang besar dan tokoh-tokoh masyarakat yang padanya tanggungjawab dan beban ummat mereka tampil membela kebenaran dan memperjuangkan apa yang diyakini benar kerana memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang diperintahkan oleh Al-Quran dan As-sunnah.

Pengajaran yang baik untuk kita ialah hendaklah kita bertindak dan beramal berasaskan hujah dan bukan hanya kepada ikutan buta kerana sekiranya kita tidak mempunyai hujah dan pengetahuan atau kemampuan maka sikap sahabat iaitu berdiam diri adalah lebih baik dicontohi oleh kita.

Adapun jika kita memiliki pengetahuan dan ilmu serta mampu membuat penilaian yang saksama mengenai siapakah pihak yang benar maka memperjuangkan apa yang diyakini benar itu ialah suatu kewajipan dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan.

Inilah yang disebut oleh Ibnu Umar yang diriwayatkan berkata : “Tidaklah ada perkara yang aku sesali melainkan memerangi pihak yang memberontak bersama dengan Ali bin Abi thalib.” (Lihat : Siyar Alam nubala Jilid 3. ms.232)

Begitu juga perkataan Saad : “ Aku menyesal meninggalkan pertempuran memerangi golongan yang menderhaka.” (Jami Ahkam Al-Qurtubi Jilid 16 ms. 319)

KESIMPULAN UNTUK KITA

Kesimpulan ringkas daripada saya ialah hendaklah kita membuka mata dan tidaklah menjadi seperti pemuda dan pemudi yang menyesatkan agama melalui kejahilan dan kecetekkan ilmu agama dan sikap ta’asub kepada pendapat masing-masing.

Al-Imam Abu Hanifah ra misalnya berpendapat bahawa boleh keluar menjatuhkan pemerintah yang zalim dan fasiq di dalam usaha amar makruf nahi mungkar demikian yang diriwayatkan melalui Abi Bakar bin Jasos yang menyebutkan bahawa mazhab Abu Hanifah terkenal dengan pendapat yang membolehkan memerangi pemerintah yang zalim dan sesat dan ini diakui oleh Al-Imam Auzaie dan juga Abu Ishaq Al-Fazari. (Lihat Ahkam Al-Quran lil Jasos Jilid 1, ms. 70)

Al-Imam Malik ra juga terkenal dengan kelantangannya menegur pemerintah sehingga beliau pernah disebat kerana fatwanya tetapi Imam telah menyuruh manusia berbaiah kepada pemerintah namun di dalam beberapa hal Imam Malik juga tetap mensyaratkan bahawa hendaklah diberikan bai’ah kepada pemimpin yang adil. (Lihat Ahkam Al-Quran Li Ibnul Arabi Jilid 4 ms. 1721)

Al-Imam Syafie disebut di dalam Aqidah An-Nasafiyah halaman 145 yang dinisbahkan oleh Az-Zabidi daripada sahabatnya bahawa Imam Syafie berpendapat bolehnya keluar daripada Imam yang zalim dan fasiq daripada pendapatnya yang qadim.

Kecuali Imam Ahmad ra yang banyak riwayat berkenaan hal ini yang berbeza-beza namun yang paling tepat ialah beliau berpendapat tidak boleh keluar melawan pemerintah yang fasiq dan zalim berdasarkan riwayat ibnu Abi Ya’la di dalam tabaqat hanabilah. (Lihat : Tabaqat Hanabilah Jilid 1, ms. 24) Demikian juga yang disebutkan oleh Imam Ibnu Qudamah di dalam kitabnya.

Walau apapun, marilah kita renungi...

Para salaf sendiri berselisih di dalam hal ini dan sangat singkat akal mereka dan cetek ilmu mereka yang mendakwa pendapat salaf ialah mentaati pemerintah secara membuta tuli dan memaksa rakyat dan orang awam untuk tunduk kepada penguasa yang zalim, taghut dan ada sebahagiannya sudah jatuh ke tahap kufur dan syirik apabila secara terang-terangan menghina ayat-ayat Allah dan menolak kitab dan sunnah kerana beralasan ketinggalan zaman dan hanya mahu Islam yang berbentuk tafsiran akal semata-mata.

Marilah kita melengkapkan diri kita dengan ilmu dan hujah serta mencari jalan untuk mengabdikan diri kepada Allah swt dengan segala usaha dan upaya meninggikan kalimah Allah swt dan memenuhi tuntutan tauhid kepada-Nya.

Akhir kata, menurut Imam Ibnu Hazm ra setiap hadis yang mengajak kepada mentaati pemerintah yang zalim dan bersabar ke atas mereka serta tidak memerangi mereka telah di mansuhkan oleh ayat Al-quran dan hadis yang berkaitan Amar Makruf dan Nahi Mungkar dan anda boleh melihatnya di dalam Kitab Al-Fasl fi al-milal wa-al-ahwa Jilid 4, ms 173.

Aku mengatakan kepada diriku bahawa aku telah menyampaikan sebahagian besar penulisan ini daripada kitab utama yang dirujuk oleh diriku iaitu kitab Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah tulisan guruku Syeikh Dr Abdullah Umar Ad-domaiji, bekas Dekan Jabatan Aqidah Universiti Ummul Qura, Mekah yang padaku kitab terbaik di dalam membahaskan persoalan siyasah syar’iyah di masa kini, beserta tulisan Prof. Dr Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya Siyasah Syar’iyah seorang ulama yang gigih berdakwah dengan ilmu dan hujah.

Semoga Allah memberi hidayah kepada orang yang bertanya dan yang membacanya.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

9 comments:

Abu Muhammad Haikal said...

assalamualaikum,

apakah dapat kita ambil kira dasar (perlembagaan) pemerintah dalam masaalah ini?

Unknown said...

assalamu'alaikum...
saya ingin bertanya. ketika hajjaj at-thaqafi bermaharajalela, ketika hajjaj membunuh zubair, adakah sahabat ketika itu menentang hajjah? atau mereka mengambil sikap berdiam diri dan bersabar.
saya tidak ingat maklumat ini dengan tepat. seingat saya hajjaj membunuh zubair, namun orang seperti anas bin malik menasihatkan supaya bersabar

Ustaz Emran said...

1. kita boleh mengambil kira dasar perlembagaan di dlm soal ini ~

Setiap pemerintah akan membawa dasar tertentu dan itu menjadi hujah kepada kita di dlm menerima atau menolak mereka.

2. berkenaan kisah pembunuhan Abdullah bin Zubair ra (perlu diingat) bahawa abdullah bin zubair ialah sahabat nabi dan anas bin malik juga ialah sahabat nabi kedua-duanya bahkan setaraf.

Bukan hanya itu ummul mukminin Aisyah ra juga menyokong Abdullah bin Zubair dan beberapa org sahabat yg lain.

Sahabat mmg berbeza pendapat dan oleh itu jgn menjadi keliru dgn mengatakan ini ialah pendapat sahabat ini itu sedang kita tidak mengkaji kisah dan riwayat2 yg sampai secara keseluruhan dgn ilmu.

namun Imam Malik bin Anas ra menyebut pd perselisihan para sahabat, kita perlu memilih pendapat yg benar.

Berbalik kpd situasi kita, jgn ambil hujah anas bin malik dgn alasan krn itu teladan salaf...

itu salah.

Kita tidak hidup di zaman mereka dan para sahabat tidak sepakat di dlm hal tersebut dan ini disebutkan oleh para ulama feqah dan usul bahawa hujah sahabat hanya berlaku di dlm hal yg mereka sepakati dan soal ketaatan kpd pemimpin tdk berlaku kesepakatan yg pasti.

Berkenaan zaman ini, byk yg bercanggah dgn hadis nabi saw.

Misalnya terdpt hadis sahih menyebut jika diangkat khalifah yg kedua maka hendaklah dia dibunuh.

Maksudnya hanya boleh ada seorg pemimpin umat islam di dlm satu-satu masa...

habis kita nak bunuh siapa skrg ?

dlm malaysia sahaja ada 14 raja dan ketua negeri...siapa yg nak dibunuh ? kemudian di dlm dunia Islam ada byk raja, presiden, PM dsbnya

sedang dlm hadis sebut jelas..apabila diangkat khalifah (iMam) yg kedua hendaklah dia dibunuh.

ooo...hadis ni maksud dia lain..maksudnya bla-bla..itulah geng2 murjiah

apabila hadis2 yg tdk sehaluan dgn sikap dan pendapat mereka akan ada sahaja ditafsir bagi menepati kehendak mereka.

Oleh yg demikian...kita kena faham...konsep politik hari ini jauh berbeza dgn apa yg terjadi di zaman salaf.

Ketika zaman salaf, penjahat spt Hajjaj masih Islam, menerima dasar Islam, berbakti dan berjihad menegakkan Islam di sebalik kezaliman dan kekejamannya dia tetap menjadikan Al-Quran dan as-sunnah sbg dasar negara.

Hari ini ? dasar negara ialah sekuler di mana2 negara Islam...

hmm...cukup sekadar ini.

Admin said...

Assalamu'alaikum..

Ketahuilah manhaj salaf dalam bermuamalah dengan pemimpin yang zalim dan fasiq adalah menasihati mereka tanpa menjatuhkan maruah mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka dan berusaha untuk memperbaiki diri kerana kezaliman pemerintah bermula dengan kemaksiatan yang tersebar dalam rakyatnya sebagaimana yang dinyatakan Imam Ibn Abil Izz al-Hanafi r.h:

وأما لزوم طاعتهم وإن جاروا، فلأنه يترتب على الخروج من طاعتهم من المفاسد أضعاف ما يحصل من جورهم، بل في الصبر على جورهم تكفير السيئات ومضاعفة الأجور، فإن الله تعالى ما سلطهم علينا إلا لفساد أعمالنا، والجزاء من جنس العمل، فعلينا الاجتهاد في الاستغفار والتوبة وإصلاح العمل

Maksudnya: “Adapun wajib mentaati mereka walaupun berlaku zalim maka kerana memberontak dan keluar daripada ketaatan mereka itu membawa kepada kerosakan-kerosakan yang berganda berbanding kezaliman mereka, bahkan bersabar atas kezaliman mereka itu menghapuskan dosa-dosa dan menggandakan pahala, kerana sesungguhnya Allah Taala tidaklah menjadikan kekuasaan mereka atas kita melainkan kerana rosaknya amalan kita dan balasan itu setimpal dengan amalan maka wajib atas kita bersungguh-sungguh memohon ampun dan memperbaiki amalan”. [Syarah al-Tahawiah, m.s 381 tahkik al-Albani].

Antara petikan dari respon kepada artikel ini:

http://mashoori.wordpress.com/2009/07/20/ahlus-sunnah-wal-jamaah-bukan-khawarij/

Ustaz Emran said...

Wa'alaikumusalam,

pendapat yg menyuruh mentaati para pemerintah yg zalim ialah pendapat murjiah yang disebut oleh para ulama Islam sebagai penyembah berhala.

Golongan murjiah hari ini bersembunyi disebalik nama salafy.

Petikan Syarah At-Tahawiyah di atas bukanlah maksud Imam Ibn Abil Izz Al-hanafi kerana mazhab Hanafi seperti yg dipegang oleh Imam Abu Hanifah ra Membolehkan menjatuhkan Pemerintah yang fasiq dan Zalim pendapat ini juga dipegang oleh Imam Al-Qurtubi, pendapat Imam As-Syafie di dalam Qaul Qadimnya dan pendapat sesetengah ulama Syafie’iyah dan termasuk pendapat yang yang masyhur daripada Imam Abu Hanifah. (Lihat Ma’sar Al-Inafah, Jilid 1 ms.72)

Imam Al-Qurtubi menyatakan : “Pemerintah yang dilantik kemudian menjadi fasiq setelah perlantikan. Berkata jumhur, sesungguhnya terfasakh dan tercabut kepimpinannya dengan sebab fasiq yang zahir dan dimaklumi. Ini adalah kerana, sesungguhnya telah sabit bahawa kepimpinan adalah dilantik untuk melaksanakan hudud, menyempurnakan hak-hak, menjaga harta anak yatim..sehingga akan rosak maksud kepimpinan itu melalui kefasiqkan yang ada pada dirinya. (Lihat : Jami Ahkam Al-Quran Jilid 1 ms. 271)

Pendapat ini agak syadid dan ketat namun sekalipun demikian, ada ramai para sahabat nabi seperti Ali bin Abi thalib ra, Ummul Mukminin Aisyah, Tolhah dan Zubair serta sejumlah sahabat baginda nabi yang lain seperti Muawiyah, Amru dan Nu’man bin Basyir juga termasuk sahabat seperti Abdullah bin Zubair, Muhammad bin Hasan bahawa mereka berpendapat : “ Menghayunkan pedang untuk menegakkan kewajipan Amar makruf nahi mungkar itu adalah wajib sekiranya kemungkaran itu tidak dapat dicegah melainkan dengannya.” (Al-Fasl fi Milal wa Ahwa An-Nihal, Jilid 4, ms. 171)

Al-Imam Ibnu Hazm juga menyebutkan lagi bahawa tetap digunakan pedang sekalipun kemungkaran dan maksiat itu tidak mencapai tahap kekufuran.

Bahkan wujud riwayat yang banyak yang menunjukkan ramai sahabat dan tabien yang keluar daripada Imam dan menghayunkan pedang untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran dan ada pula yang menyokong serta menolak untuk keluar dari Imam dan menetap di dalam ketaatan.

Misalnya di dalam sejarah juga telah menunjukkan wujud di kalangan sahabat dan tabien yang membantu Abdullah bin Ibnu Zubair ra di dalam menentang Bani Umaiyah. (Lihat : Al-Bidayah Wan Nihayah, ms. 238)

Kesimpulannya :

Pendapat golongan salafy yang mengajak mentaati pemerintah sekuler dan penjenayah yang rakus menindas rakyat ialah sebenarnya pendapat yg bathil dan dikaburi oleh fahaman murjiah.

Mereka dipergunakan oleh Zionis dan pihak musuh Islam untuk menyebarkan kefahaman yg memandulkan Islam dan menjadikan umat Islam sesat pada aqidah mereka.

Lihat shj pada petikan yg dibawa KONON dr Kitab At-Tahawiyah.

Menyuruh org bersabar, redha dan jangan berusaha menjatuhkan pemerintah kerana menganggap pemerintah yang zalim itu adalah terlantik sebagai balasan kpd dosa manusia.

Mana ada aqidah ahlul sunnah wal jamaah begini ?

Ini Aqidah irja, aqidah jabariyah dan golongan yg menafukan usaha di dalam agama segala-galanya sudah ditakdirkan kita hanya berdiam diri sahaja.

Sebab itu kita lihat golongan salafy murjiah ini mereka senang, membodek pemerintah dan menemui pemerintah demi mendapatkan habuan dan suapan upah.

Inilah seburuk-buruk fahaman di zaman ini iaitu Murjiah yg lebih besar bala dan bencananya dr golongan khawarij.

Wallahualam

Unknown said...

assalamu'alaikum ..
ustaz emran, bagaimana kita perlu memahami maksud syarah at-tahawiah (yang ditahkik al-albani) tu dalam realiti kita sekarang? bukan ker jelas disebut perlunya mentaati pemerintah dan bersabar.. ustaz tau tak keterangan yang muktabar utk menghuraikan isi at-tahawiah ni. kalau ada, tolong share. ok

Ustaz Emran said...

wa'alaikumusalam,

jgn risau cik nur,maksud syarah at-tahawiyah tahkik albani yg dibawa oleh muwahiddun tu salah..tulisan terjemah melayu ni jgn percaya sgt..

suruh dia bawa petikan asal dlm arab, bgtau mukasurat berapa, no. nota kakinya n rujukan.

kalau tak saya anggap ianya kelentong...dusta.

dlm fatwa Syeikh Bakar abu Zaid, Syeikh Abdullah Jibrin selalu tegur geng murjiah (yg sokong kerajaan / pengampu pemerintah) demi habuan dunia n menerima sogokan CIA n Amerika (sponsor dr US utk sebarkan Islam aman damai yg takde jihad ni)

geng2 murjiah ni mmg terkenal dgn sikap suka copy paste benda2 yg benar pd situasi yg tak benar.

syarah at-tahawiyah ada banyak..tahqiqnya pun banyak, boleh pakai tahqiq syeikh Syuaib al-arnauth dll..

saya lebih suka baca aqidah tahawiyah syarah Syeikh Abdullah al-jibrin atau syeikh safar al-hawali (ulama sunnah di arab saudi)

puak2 sufi pun ada syarah aqiah tahawiyah vesi depa shj..jgn ingat syarah aqidah tahawiyah ni semua boleh pakai..kena tgk manhaj yg dibawa jugak.

Ianya ttp kitab yg terdedah kd kesalahan krn yg benar hanya Al-Quran dan as-sunnah.

akhir kata ianya balik pd Islam anda tasiran siapa ?

boleh download di www.alhawali.com naskah syarah Aqidah tahawiyah tulisan syeikh Dr. Safar.

Bersabar pd pemerintah dan taat dlm terpaksa kpdnya hanya berlaku apabila Al-quran dan sunnah ditegakkan, selama pemerintah itu menegakkan Al-quran dan sunnah..kalau dia tak laksanakan hukum Allah tak wajib taat.

Hal ini ijmak ulama Islam berdasarkan hadis Umm Husain :

Maksudnya : “Aku pernah dengar Rasulullah bersabda sekiranya kamu diperintah oleh hamba habsyi yang luas lubang hidungnya sekalipun, maka hendaklah kamu dengar dan taat terhadapnya selama dia melaksanakan kitabullah.” (Hadis sahih riwayat Bukhari

Jelas maksud hadis, taat berlaku hanya selama dia melaksana kitab Allah.

Org yg mewajibkan taat pd pemerintah n suruh sabar ialah org yg munafiq, sesat n murjiah yg disebut oleh ulama ahlul sunnah sbg sejahat-jahat manusia di atas muka bumi.

memutar beli ayat n hadis rasulullah demi wang ringgit,harta n pangkat.

para ulama salaf bahkan mendhaifkan atau mencela ulama yg selalu menghadap pemerintah krn menganggap hal itu sbg pengampu.

Ulama sepatutnya menyebelahi rakyat n org yg tertindas bukan pihak berkuasa.

malangnya doktrin murjiah hari ini begitu popular di atas nama salafy.

semoga Allah memelihara kita.

Unknown said...

thanks ustaz..
saya dah clear. faham dan sangat puas hati dengan explanation ustaz..
thanks again..

MAI89 said...

Assalamualaikum ustaz,

merujuk pada keadaan negara sekarang,bagaimana jika umat Islam bersatu (dengan kerajaan) dengan harapan dapat menyebarkan pengaruh yang baik dalam pentadbiran negara?

sama konsep seperti berdakwah..

minta pandangan ustaz