Monday, November 27, 2006

Hakikat Iman DiSisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Memahami hakikat iman ialah satu persoalan yang penting khususnya apabila pemahaman ini membentuk kepada pemecahan kelompok manusia dan membezakan status manusia di antara satu sama yang lain. Kita seringkali membaca persoalan iman di dalam pelbagai kitab-kitab dan buku malahan sejak di bangku sekolah didedahkan dengan kefahaman iman yang cetek serta tidak mendalam.

Disebabkan iman yang diajar di dalam matapelajaran pengajian Islam di bangku sekolah ialah bertujuan untuk meluluskan pelajar di dalam peperiksaan dan ilmu “so- called” yang dicari oleh golongan muda-mudi di sekolah ialah “kumpulan silibus” yang ditulis oleh lembaga pendidikan demi memastikan para pelajar memenuhi ciri-ciri keilmuan yang berteraskan kepada pekerjaan.

Maka di sekolah, pengajian Islam lebih berbentuk satu kelas pengajian yang mencurahkan teks-teks hafalan yang mesti dihafal oleh pelajar dan salah satunya ialah pengertian iman dan dihafal untuk dijawab dalam kertas peperiksaan. Setelah itu pengertian iman itu dilupakan dan diabaikan dan tidak diterapkan di dalam kehidupan. Demikian juga guru-guru dan ustaz yang mengajar seringkali tidak memahami apakah makna iman dan lawannya iaitu kufur dengan pemahaman yang sahih sehingga dapat menerangkan kepada umat Islam akan kewajipan mereka dalam menunaikan tuntutan keimanan.

Pengertian Iman

Iman disisi bahasa arab bermaksud membenarkan atau mempercayai sesuatu khabar dan disebut oleh pakar bahasa Ibn Manzur sebagai membenarkan dan lawannya ialah mendustakan (lihat dalam Kitab لسان العرب m/s 223 Jilid 1).

Bagaimanapun maksud iman yang hakiki tidak hanya bermakna “Membenarkan” sebaliknya seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Jauzi Al-Bagdadi ra (meninggal 597 Hijrah) bahawa iman di dalam Al-Qur’an itu pernah disebut dan didatangkan dalam lima bentuk iaitu :

Pertama : Kepercayaan : iaitu mempercayai dan membenarkan apa yang didatangkan oleh Allah swt seperti di dalam ayat 17 Surah Yusof وَمَا أَنْتَ بِمُؤْمِنٍ لَنَا وَلَوْ كُنَّا صَادِقِينَ)) “Dan tidaklah kamu akan mempercayai kepada kami sekalipun kami ini benar”. Di dalam ayat di atas digunakan kalimah sodiqin yang bermaksud hubungan iman itu ialah mesti dicapai dengan kepercayaan yang terhasil apabila membenarkan apa yang disampaikan.

Kedua : Iqrar dan pengakuan dengan lisan tetapi tidak membenarkan dengan hati, Ketiga : At-Tauhid, Ke-empat :Syariah, Kelima :As-Solat.

Lihat keterangan lanjut di dalam kitab نزهة الأعين النواظر في علم الوجوه والنظائر m/s 145-147 Cetakan Beirut.

Al-Imam Ibn taimiyyah ra menyebutkan juga masalah ini bahawa iman itu tidaklah hanya bermaksud membenarkan seperti kebanyakkan sangkaan orang ramai kerana tidak dikatakan kepada seluruh perkara yang dibenarkan seperti khabar berita dan lain-lain yang disampaikan oleh seseorang itu dengan diberi jawapan أمنت “aku beriman” sebaliknya digunakan kalimah صدقت iaitu “aku membenarkan atau aku mempercayainya”. Ini disebabkan penggunaan jawapan aku membenarkan seringkali berlaku kepada perkara keduniaan dan urusan harian.

Adapun “keimanan” berlaku kepada perkara ghaib dan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar maka dari situlah ucapan aku beriman digunakan sebagai ganti aku membenarkan. Berkata lagi Syeikhul Islam Ibn taimiyyah bahawa iman itu ialah darjah keyakinan dan kepercayaan yang bermula di hati dengan mencapai ketenangan dan jauh dari keraguan serta darinya membenarkan seluruh apa yang didatangkan oleh Allah swt dan ditunaikan dengan ketaatan.

Kemudiannya kalimah iman itu juga hanya digunakan dalam perkara yang ghaib dan bersangkut soal-soal yang datang dari Allah swt. Iman pula memiliki ciri-ciri makna yang lebih khusus dari sekadar “tasdiq” membenarkan, iaitu iman membawa makna perkhabaran yang iltizam (pasti) dan keyakinan yang tidak tergugat serta jauh dari syak dan ragu-ragu.

Kalimah “tasdiq” membenarkan digunakan kepada sesuatu yang lebih umum dan hanya kepada zahir hal seperti dikatakan aku mempercayaimu dan aku membenarkan berita yang disampaikan lalu hanya sekadar itu.

Maka iman pula sebaliknya tidak boleh diterjemah demikian kerana, kalimah iman yang lawannya kufur ialah sesuatu yang tidak hanya membenarkan sebaliknya mengandungi keyakinan, ketegasan kepada janji dan berita khabar yang pasti lalu membawa kepada ketaatan dan perlakukan balas dari keyakinan yang dimiliki.

Hal ini tercerna dalam pelbagai dalil dari kitab dan sunnah misalnya :

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum berimankah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku telah mengimaninya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): "Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan segera." dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Baqarah : 260).

Pendapat yang mengatakan burung-burung itu dicincang diatas adalah menurut pegangan At-Thabari dan Ibnu Katsir, sedang menurut Abu Muslim Al Ashfahani dan lain-lain ahli- takwil aqli pengertian ayat diatas bahawa Allah memberi penjelasan kepada Nabi Ibrahim a.s. tentang cara Dia menghidupkan orang-orang yang mati. Disuruh-Nya Nabi Ibrahim a.s. mengambil empat ekor burung lalu memeliharanya dan menjinakkannya hingga burung itu dapat datang seketika, bilamana dipanggil. Kemudian, burung-burung yang sudah pandai itu, diletakkan di atas tiap-tiap bukit seekor, lalu burung-burung itu dipanggil dengan satu tepukan/seruan, nescaya burung-burung itu akan datang dengan segera, walaupun tempatnya terpisah-pisah dan berjauhan. Maka demikian pula Allah menghidupkan orang-orang yang mati yang tersebar di mana-mana, dengan satu kalimat cipta hiduplah kamu semua pastilah mereka itu hidup kembali. Jadi menurut Abu Muslim sighat amr (bentuk kata perintah) dalam ayat ini, pengertiannya khabar (bentuk berita) sebagai cara penjelasan. Pendapat beliau ini kemudian dipegang pula oleh Ar Razy dan Rasyid Ridha. Wallahualam

Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa iman itu mempunyai pelbagai tahap kedudukan dan Nabi Ibrahim as telah membenarkan tetapi tidak mencapai tahap ketenangan dan keyakinan hati serta belum muthma’inah sehingga memaksanya memohon kepada Allah swt agar ditunjukkan kepada baginda akan kekuasaan Allah swt sehingga beroleh baginya keyakinan dan keteguhan iman.

Iman itu mengandungi makna iqrar (pengakuan), juga pembenaran (tasdiq) serta kepercayaan yang mencapai darjah keyakinan sehingga dengannya disebut wajib ditunaikan dengan hati, lisan dan amalan perbuatan. Lalu sekiranya mahu disebut iman itu dengan perkataan tasdiq maka haruslah diperluaskan makna tasdiq (pembenaran) itu tidak hanya dengan menyebut tasdiq pada hati, lisan dan amalan perbuatan sebaliknya mesti ditegaskan dengan iqrar, keyakinan yang membawa kepada ketaatan (yang disebut al-inqiyad).

Allah swt menyebutkan kalimah iman di dalam Al-Qur’an tidaklah dengan mutlak sebaliknya seringkali mengikatnya dengan sesuatu atau menafsirkannya seperti mengikat kalimah iman dengan perkara ghaib dan perintah atau menafsirkannya dengan tuntutan keimanan dan rukun-rukunnya serta cri-ciri mereka yang beriman.

“(Iaitu) mereka yang beriman, kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” (Al-Baqarah : 3).

Demikian ayat di atas menyebutkan Iman itu ialah kepercayaan yang teguh yang disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa. Tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu. Juga ada kalanya ditafsirkan ciri-ciri pemilik iman itu seperti firman Allah :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-hujurat : 15).

Dimaksudkan dengan golongan yang benar itu ialah mereka yang benar iman mereka disisi Allah swt dan memenuhi ciri-ciri iman di dalam ayat ini yang menjelaskan bagaimanakah sifat dan ciri mereka yang beriman iaitu dengan menunaikan perintah Allah swt setelah menyakini segala kebenaran apa yang diturunkan oleh Allah swt yang lalu mengerjakan segala tuntutan dan perintah yang dituntut.

Mengapa Perlu Ditekankan Iman Bukan Hanya Tasdiq (membenarkan) ?

Hal ini penting kerana dari usul yang salah pada awalnya akan menghasilkan cabang dan furu’ (ranting) yang menyeleweng dari kefahaman yang sahih. Iman sekiranya disebut hanya sebagai tasdiq (membenarkan) maka akan menghasilkan kejahatan di muka bumi yang sangat banyak dan kesesatan apabila manusia menganggap iman itu cukup sekadar dibenarkan tetapi tidak perlu ditunaikan segala perintahnya.

“Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang Kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab: "Allah". Maka Katakanlah "Mangapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?. " (Yunus : 31).

Cukup banyak dalil dari kitab Al-Quran yang menunjukkan golongan kafir turut mengakui dan membenarkan Allah swt sebagai tuhan yang menciptakan alam tetapi tidak mahu tunduk mentaati (inqiyad) dan enggan menerima keyakinan yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam dengan mendustakan dakwah Islam.

Kerana itu sekadar membenarkan tetapi tidak melaksanakan tuntutan Islam merupakan sebahagian atau separuh dari kekufuran ini disebabkan Islam itu terdiri daripada amalan zahir dan batin serta iman itu pula menuntut ditunaikan dengan keyakinan tanpa ragu dan amalan ketaatan dari hasil penyerahan kepada apa yang telah diyakini.

Di dalam ayat 31 Surah Yunus, dipersoalkan kepada kaum kafir mengapa kamu tidak bertaqwa ? dan di dalam ayat 84 Surah Al-Mukminun pula dipersoalkan mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran ? dan ayat 87 yang menyebut mengapa kamu tidak bertaqwa ? yang ayat sebelumnya menyebutkan mereka semua telah mengaku Allah swt yang menciptakan alam langit dan bumi dan memberi rezeki kepada manusia.

Sekaligus bermaksud termasuk dalam maksud tuntutan iman itu ialah ketaqwaan dan bukan hanya pembenaran dan pengakuan bahawa Allah itu yang menciptakan alam dan sebagainya serta demikian pada seluruh hal yang ghaib yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam tetapi juga perlu ditunaikan yang demikian itu lalu baru disebut sebagai bertaqwa iaitu menunaikan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Maka satu penjelasan yang cukup baik telah diberikan oleh Syeikh Hafiz Ibn Ahmad Al-Hakami ra di dalam kitabnya أعلام السنة المنشورة apabila menyebutkan syarat-syarat penyaksian keimanan itu mempunyai tujuh perkara sebelum membolehkan penyaksian itu membawa manfaat kepada seseorang. Iaitu mengetahui akan makna keimanan itu zahir dan batin, keyakinan hati kepadanya, ketaatan kepada tuntutan keimanan zahir dan batin, menerima segala prinsip-prinsip dan isi kandungannya tanpa penolakan, ikhlas dalam menerima dan melaksanakannya, membenarkan dengan hati dan lisan serta perbuatan tidak hanya pada ucapan lisan dan mencintainya mengasihi ahli keimanan dan isinya serta memberi wala dan membenci kekufuran dan musuh keimanan.

Berkata Imam Abu Bakr Muhammad ibn Husain Al-Bagdadi Al-Ajari ra di dalam kitabnya As-Syariah bahawa tidaklah seseorang itu dianggap muslim sehingga terkumpul padanya pembenaran iman itu pada perkara hati, lisan dan perbuatan kemudian menambah lagi hendaklah wahai kaum muslimin menetap diri pada apa yang dipegang oleh ulama muslimin iaitu sesungguhnya iman itu wajib kepada semua makhluk dan ianya pembenaran dengan hati dan iqrar (pegakuan) lisan serta dengan amalan perbuatan serta tidaklah dianggap iman pada hati melainkan telah diketahui dari pengakuan lisan dan tidaklah diterima pengakuan lisan dan hati melainkan dengan amalan perbuatan. Sekiranya telah sempurna ketiga perkara ini maka seseorang itu dianggap telah mencapai kedudukan mukmin seperti yang disebut oleh kitab dan sunnah serta pegangan ulama muslimin.

Imam Al-La’likaie ra di dalam kitab شرح أصل إعتقاد أهل السنة والجماعة pernah menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebutkan di dalam kitabnya Al-Umm pada bab niat di dalam solat yang menyebutkan bahawa telah ijmak para sahabat dan tabieen sesungguhnya iman itu ialah qaul (perkataan) dan amal perbuatan serta niat di hati dan tidaklah terpisah di antara satu sama lain melainkan iman mesti dengan ketiga-tiganya sekali.

Juga berkata Imam Al-Auzaie ra bahawa tidaklah tertegak iman melainkan dengan qaul (perkataan) dan tidaklah tertegak iman dengan qaul perkataan kecuali dengan amal dan tidaklah tertegak dengan perkataan dan amal kecuali mesti dengan niat. Para salaf kita yang terdahulu tidaklah memisahkan iman dengan amal perbuatan dan amal perbuatan dengan iman serta iman itu ialah dari amal dan amalan perbuatan itu dari keimanan.

Lihat lanjut di dalam kitab الإباناة لابن بطة m/s 807 Jilid 2.

Juga berkata Imam Al-Baghawi ra di dalam kitab شرح السنة bahawa telah bersepakat para sahabat dan tabien dan sesiapa yang selepas mereka dari kalangan ulama sunnah bahawa sesungguhnya iman itu ialah dengan amalan perbuatan. Demikian juga al-Imam ibn Abd Bar ra yang menyebut di dalam kitab التمهيد bahawa telah ijmak para ulama fiqh dan hadith mengenai iman itu ialah perkataan dan amal perbuatan.

Dalil Iman itu Mesti dengan Hati

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Ar-Radd ; 28).

“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah Dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir Padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, Maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.” (An-Nahl : 106).

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Aku bersaksi disisi Allah bahawa tidaklah seseorang itu mati dan dia mengucapkan syahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini rasulullah dengan benar di hatinya kemudian dia tetap padanya melainkan dia menuju ke syurga.” (hadith hasan, riwayat Imam Ahmad).

Dalil Iman itu Mesti Dengan Lisan Perkataan

“Katakanlah: "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan Para Nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun di antara mereka dan hanya kepada-Nyalah Kami menyerahkan diri." (Ali-Imran : 84).

“Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi Katakanlah 'kami telah tunduk', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Hujuraat : 14).

Sabda baginda rasulullah sallahualaihiwasalam : “Aku diperintahkan untuk memerangi semua manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini ialah rasulullah dan setelah mereka mengatakan demikian maka selamatlah dari aku akan darah mereka dan harta mereka kecuali dengan haknya dan hisabnya ke atas Allah.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalil Iman Itu Mesti Dengan Amalan Perbuatan

“Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (An-Nisa : 76).

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabuut : 2).

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, Padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat.” (Al-Baqarah : 214).

“Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat Kami adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya, dan mereka itu tidaklah sombong.” (As-Sajdah : 15).

Sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam : “ Iman itu terbahagi kepada tujuh puluh lebih bahagian yang paling tinggi ialah kalimah lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan serendah-rendahnya ialah menghilangkan duri di jalanan dan malu itu sebahagian dari iman.” (Hadith sahih diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Bersambung…

No comments: